Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 22- MIMPI

Sufie bingkas bangun. Ditoleh jam, “Dah pukul dua pagi.” Bajunya basah kerana peluh. Sudah beberapa hari Rijal menjadi cerita dalam mimpi, sejak dia mendengar sajak yang ditulisnya itu ke udara. Mimpi itu melingkarkan resah, di dalam mimpi Rijal menyeru namanya dengan cukup romantis, mengungkap kalimah agung betapa dia mencintai dan merindui. Mimpi indah terseram untuknya.

"ASTAGFIRULLAAH,” diraup wajah. Telapak tangannya basah. “Hari-hari mimpi serupa.”

Sufie melangkah ke luar. Hajatnya mahu ke dapur, mahu minum. Sebaik melangkah kelihatan Tini sedang bersandar. Mungkin baru pulang.

“Awal balik hari ni?” aju Sufie.

Soalan itu disambut senyuman kelat. “Kena pecat…”

Niat Sufie mahu minum terbantut. Langkah dihayun mendapatkan Tini. Dia duduk bersebelahan gadis itu.

“Kenapa? Nak luahkan sesuatu. Aku sudi mendengar.” Sufie ramas jemari Tini.

“Aku tolak keluar dengan client. Bos marah, lepas tu pecat aku. Aku dah tak ada kerja. Dah tak ada sumber pendapatan,” luah Tini.

“Aku masih ada. Apa yang aku makan kau makanlah. Sehingga kau dapat kerja baru, aku bayar sewa rumah untuk kau.” Sufie usap tangan Tini.

“Ah! Kau kenal aku kan. Aku bukan jenis yang suka makan bertanggung. Aku ada kudrat, pandailah aku cari makan,” sanggah Tini.

“Kau nak aku tolong carikan kerja tak?” tanya Sufie.

“Boleh juga… kerja apapun tak apa, janji halal dan boleh tanggung aku sampai aku dapat kerja baru.” Tini ceria.

Sufie renung wajah Tini. Matanya pincing. Dia sebenarnya serba-salah untuk bertanya. Digigit kecil hujung bibir. Namun kelakuan itu dihidu. Tini membiarkan sahaja. Bukan dia malas bertanya. Tetapi dia lebih suka kalau tuan empunya diri yang memutuskan rasa hati. Terkulat-kulat Sufie, dan akhirnya dia putuskan juga.

“Aku nak tanya boleh?” perlahan nadanya.

“Tanyalah… jangan kau tanya yang pelik-pelik sudah. Tak kuasa aku nak menjawab.” Tini terdorong ke depan.

“Hari tu ada kiriman sajak dari US yang ke udara bukan?” tanya Sufie ragu.

“Oh! Lelaki dari negara Uncle Sam tu ke?” balas Tini.

“Kau masih ingat?”

“Memanglah ingat, sebab dia seorang saja dari sana. Tapi sajak tu tak menarik pun. Sajak biasa-biasa.” Tini berkata polos. Dia seorang yang suka berterus-terang.

“Adoi… kang dah kena komen. Siapalah yang berani-berani hantar sajak aku tu?” gumam Sufie halus.

“Apa yang kau nak tahu? Cepatlah tanya, aku nak masuk tidur pula ni.” Tini menepuk peha Sufie.

“Siapa nama pengirim tu? Apa yang kau tahu pasal dia? Aju Sufie berlapik, risau niatnya terbongkar.

Tini cuak, matanya mengecil. Diamati Sufie agak lama.

“Kenapa tiba-tiba kau nak tahu? Ada yang patut aku tahu ke?” terjungkit kening Tini. Nadanya mendesak.

“Cuma nak tahu. Tak salah kan?” tenang wajah Sufie.

“Nak tahu atau nak ambil tahu? Ceritalah biar aku tahu,” tokok Tini.

Mungkin kerana ralit mereka tidak sedari yang Salmi sedang mengintai dari balik langsir. Terjingkit-jingkit dia menapak. Jeritan nyaring bergema bila dia sampai. Apa lagi, terkejut Sufie dan Tini.

“Kalau nak bergurau pun agak-agaklah Sal oii…” tawa Tini pecah. Sufie urut-urut dadanya.

“Belum tidur lagi Sal. Dah lewat ni, esok ada kelas.”

“Belum mahu lelap. Tengah tunggu siaran Kak Tini, tapi tulah tak juga ke udara. Alih-alih ada kat ruang tamu,” usik Salmi. Dipeluk lengan Tini dengan geram.

“Tak habis-habis dengan manja dia, naik rimas Kak Tini tahu,” cemik Tini.

“Biarlah Tini, masa ada lah nak bermanja. Nanti bila masing-masing dah bawa diri, susah pula nak jumpa.”

Sufie senyum. Memang dia jenis yang mudah tersenyum. Lagipun senyum itukan sedekah. Perkara paling mudah yang dapat dilakukan bagi memperoleh pahala. Sedar tak sedar sudah hampir ke pukul empat pagi mereka bercerita. Malah mereka rasakan keakraban makin menyulam ketika itu. Salmi menguap beberapa kali, begitu juga dengan Tini.

“Aku nak masuk tidur dulu. Kalau layan kau dua orang ni, sampai ke pagilah jawabnya,” langkah diatur. Tini berlalu dikuti Salmi.

Sempat Salmi berpaling. “Kak Sufie nak solat sunat dulu ke? Kalau tak Sal nak padam lampu bilik air.”

“Tak apalah, Kak Sufie tolong padamkan.” Sufie bangun mengorak langkah.

Langkahnya mati. Terlucut semangatnya tiba-tiba. Wajah Rijal menerpa lagi, menendang dada dengan lebih hebat. Entah kenapa ingatan mengenai Rijal makin menggila sejak akhir-akhir ini. Adakala dia tewas. Air mata bukti ketewasannya. Wajah itu sekan berhantu, sentiasa menyengat ingatan yang cuba dipadam. Menyengat hati yang cuba diubati. Dia kembali terduduk.

“Ya ALLAH kenapa dengan hatiku? Makin aku cuba untuk sabar makin sakit kurasa. Adakah ini satu petanda? Kalau ya, untuk apa dan kenapa?” soalan itu hanyut tanpa jawapan.

Sufie malu bila menyedari titis air mata jatuh. Jarinya yang putih mulus, lembut menyeka mata. Kalau diikutkan mahu sahaja dia meraung. Resah bertamu bila teringat hari ditinggalkan Rijal. Hari dimana Rijal demam. Sungguhpun begitu, yang pergi tetap tak kembali. Kini baru dia sedari, rindu adalah racun paling berbis.

Radio disebelah diputar. Air matanya masih menitis. Wajah Rijal hilang sebaik penceramah bersuara.

“Diriwayatkan daripada Rasullulah A.S. Beliau bersabda

Sesungguhnya besarnya pahala diukur dengan besarnya ujian, dan apabila ALLAH suka kepada kaum itu, maka mereka diuji. Jika mereka redha, maka ALLAH redha dan jika dia marah, ALLAH pun marah kepadanya.” (Riwayat al-Tirmizi no.2396)

“Alhamdullilah…” Sufie menguntum senyum. Petikan ceramah itu, ibarat hadiah daripada ALLAH. Ibarat ALLAh menyampaikan pesan kepada resah hatinya. Dia bingkas bangun setelah mematikan radio, meluru dia ke bilik air. Niatnya hanya satu. Sama seperti malam-malam sebelumnya. Berjumpa dan mengadu nasib kepada TUHAN.

***

Khairul tersentak daripada lamunan bila Robert mengajukan soalan. Dia yang terpinga-pinga angguk, tanda setuju. Tapi apa yang dipersetujui pun dia tak tahu. Sehari dua ini dia bermimpikan seorang gadis berdiri di sebuah bilik yang malap. Kalau tak silap hanya lampu meja yang menyala ketika itu. Susuk tubuh gadis itu tinggi lampai, wajahnya terlindung dalam kelam.

“Siapa dia agaknya? Kenapa dah beberapa hari aku mimpikan dia?”

Usai mesyuarat, semua staf berlalu, yang tinggal hanya Robert yang masih pelik melihat lamunan Khairul.

“Someone who is caring always belong to someone who is caring,”agah Robert.

“Even you don’t know who she is?” duga Khairul. Dia berpusing-pusing di atas kerusi. Robert ketawa melihat gelagat yang dirasakan kebudak-budakan.

“Yeh… even you don’t know who she is. Or maybe you forget him,” tukas Robert. Bila fail terakhir siap dikemas, dia berlalu.

“Siapa yang dah aku lupakan.” Khairul menggali ingatan, cuba mencari sesiapa yang penting, yang pernah dilupakan.

“Melisa, Jodi, Karla, Mariah, atau…. Arggg… aku dah tak ingat lagi. Siapalah agaknya gadis tu?” ibarat peluru berpandu, soalan itu meluncur laju.

Dari kerusi dia dapat melihat pemandangan Manhattan yang terbentang luas. Hutan batu yang megah dengan kepesatan itu telah memagut kehormatan rakyatnya. Maruah diperdagankan, tepuk dada tanya harga. Begitu rendah nilai maruah di mata mereka.

Dia melangkah ke dinding kaca. Diseluk poket kot berjenamanya. Kertas remuk itu kembali dibuka dan dibaca macam hari-hari sebelumnya. Tatkala sedang ralit, tiba-tiba dipegang dada, diurut-urut. Rasa sakit menyentak. Bukan sakit yang biasa, tapi sakit yang pelik. Dan dia pasti sakit itu kerana pedih bila sajak itu dibaca. Makin dibaca, makin sakit dadanya. Nafasnya terputus-putus, kepalanya pusing dan badannya menggeletar. Namun masih juga dibaca. Pinar matanya makin berganda, memaksa dia berpaut pada meja. “Buk….” Dia rebah.

***

Datin Abda berteleku di birai katil selepas menjemah kepala Khairul dengan tuala. Sebal hatinya terbit bila terpandang kertas dalam gengaman anaknya. Sudah dicuba untuk menarik kertas itu, tapi kejap tangan Khairul menghalang.

“Tak habis-habis dengan Sufie… orang dah meninggal, apa yang kau cari lagi Rijal!” bentak Datin Abda sendirian.

Diusap-usap kepala Rijal. Diperhati wajah anaknya itu, dan sebal makin menyebalkan hatinya. Beliau beranggapan Rijal sudah tahu perkara sebenar.

“Sia-sia usaha aku. Akhirnya ingatan kau terhadap Sufie dah kembali,” keluh Datin Abda.

Malam makin larut ketika Rijal merengek kecil. Dia mengigau tentang gadis dan sebuah bilik suram. Dia meracau-racau, cakapnya macam buih di laut. Tidak difahami. Datin Abda memisat-misat mata, sempat dia menguap sekali dua. Bila kesedarannya pulih, dia menjamah dahi Rijal.

“Demam,” ditarik telapak tangannya. “Makin naik suhu badan dia…” pantas didail nombor. Beliau sudah putuskan mahu menghantar Rijal ke hospital. Bila panggilan berjawab dan urusan sudah selesai, beliau kembali mendail nombor seseorang.

“Siapa pula yang telefon ni,” tergopoh-gapah mek berjalan. Masih sempat disangul rambutnya.

“Mek ni aku. Abda,” suara cemas menerpa dari corong telefon.

“Ada apa?” geram mek terbit bila teringatkan Rijal.

“Rijal… Rijal demam lagi,” adu Datin Abda. Dijeling Rijal dengan pandangan sayu.

“Demam biasa saja tu, esok lusa baiklah dia,” tokok mek.

“Dia meracau macam dulu. Aku rasa dia teringatkan Sufie. Aku takut demam dia tak mahu kebah. Apa aku nak buat…” kata-kata itu mati seketika sebelum bersambung. “Kalaulah Sufie masih ada…”

Datin Abda tersentak bila suara tinggi mek memotong. “Jangan kau sebut nama orang yang dah meninggal. Percuma saja kalau kau sebut pun… yang meninggal tetap akan pergi,” dalih mek.

Hatinya pedih bila menipu Datin Abda. Namun membiarkan Sufie bersama Rijal, ibarat memberi korban kepada Harimau. Anaknya sudah cukup tersiksa dengan sikap Rijal, bodohlah dia kalau terjerat kali kedua.

“Maaf mek. Aku tahu kata-kata aku tadi agak melampau. Aku bukan apa, Cuma tak tergamak lihat penderitaan Rijal,” pujuk Datin Abda. Sesekali diusap ubun-ubun Rijal.

Mek mendengus kasar, hatinya berpilin. ‘Jadi kau ingat aku tergamak nak lepaskan anak aku dekat buaya macam Si Rijal tu. Mati hidup semula aku tak akan terima dia sebagai menantu,’ getus hatinya.

“Mek! Kau dengar tak apa yang aku cakap. Aku minta maaf sebab sentuh pasal arwah Sufie,”

“Aku dengar. Tak payah nak minta maaf. Kau jagalah Rijal baik-baik. Aku kena letak telefon sekarang. Assalamualikum,” ditekan butang hijau. Datin Abda terkilan, tidak disangka sikap mek berubah. Tidak seramah dahulu.

“Awak menipu lagi?” aju Pak Awi keras. Dia memang pantang jika ada yang menipu.

Mata mek membutang, tidak disangka suaminya curi dengar. Dia bisu.

“Awak tipu Abda ya? Sanggup awak bohongi sahabat sendiri?” tinggi nada Pak Awi.

“Ya… saya sanggup demi Sufie. Budak Rijal tu tak layak untuk anak kita,” tingkah mek geram. Rambutnya dilurut-lurut.

“Tapi awak tipu Abda.” Pak Awi menjengilkan mata. Mek gugup lantas ditundukkan kepala.

“Bila saya benci seseorang, maka saya benci seluruh keturunan dia. Termasuk Abda,” getar nada mek. Air matanya menitis bila teringatkan Datin Abda, sahabat tercinta.

“Awak sedar tak apa yang awak kata sekarang ni? Awak bertuhankan ALLAH atau nafsu serakah awak tu. Ingat sikit yang musibah itu satu, tapi akan menjadi dua bila awak sesali. Pertama musibah itu sendiri dan yang kedua hilangnya pahala atas musibah itu. Padahal awak pun tahu pahala tu lebih besar daripada musibah yang awak tanggung.”

“Saya tak peduli dan tak mahu tahu. Siapa yang ainaya anak saya, dialah seteru.” Mek berkeras.

“Saya bagi awak masa untuk berfikir dan selesaikan masalah ini. Satu pesan saya. Jangan sampai saya masuk campur. Awak tahu saya tak suka ada penipu dalam rumah ini,” ancam Pak Awi keras. Dia batuk, mek meluru laju. Bila sebut pasal keluarga, hati mek cair macam air batu kerana baginya keluarga adalah intan permata yang berharga.

“Saya urut dada awak ya…” cemas nada mek.

“Tak payahlah. Awak bukan sayangkan saya pun. Agaknya kalau saya tak ada awak lagi bahagia,” luah Pak Awi.

Air mata mek menitis. “Awaklah syurga saya. Kenapa nak cakap yang bukan-bukan? Marah sungguh awak pada saya.”

“Suami mana tak marah bila isteri sendiri tak menurut kata. Bukan saya minta gadai batu permata. Saya nakkan awak beri kemaafan pada Rijal dan Abda. Jangan diturut kata hati, nanti mati dalam sengsara.”

“Yalah… saya turutkan kemahuan awak.” Mek mengalah, dipapah suaminya.

“Jangan turut kemahuan saya. Turutilah kemahuan ALLAH,” sindir Pak Awi.

Mek diam. Kebenaran kata-kata suaminya tidak tersangkal.

“Saya ikut nasihat awak, tapi saya perlu sedikit masa. Sekurang-kurangnya biarlah saya bertenang dulu,” pinta mek. Pak Awi senyum lega.

***

“Rijal… bangun nak.” Datin Abda goncang lembut badan Rijal. Sedikit demi sedikit Rijal membuka mata, itu pun dalam payah. Terasa berat kelopak matanya. Namun demi ibu tersayang digagahi juga.

Tatkala wajah suram ibunya jelas kelihatan, dia bersuara lemah. “Bukan ke tadi Rijal masih di pejabat?”

Datin Abda kuncup dahi anaknya. “Kau demam… mama minta Robert hantarkan kau ke rumah,” ada getar dalam suara Datin Abda. Dijeling kertas dalam gengaman Rijal.

“Mama tahu siapa penulis sajak ni?” aju Rijal bila dia perasan jelingan Datin Abda.

“Mama rasa kamu lebih tahu siapa penyajak tu,” lemah suaranya.

“Rijal tak tahu. Dan perkara tu merungsingkan hati Rijal. Kalau mama tahu tolonglah ceritakan,” rayu Rijal lemah. Dia berwajah terdesak.

“Betul kamu tak ingat siapa penulis sajak tu?” harapan berbunga di hati Datin Abda. Dia merasakan perkara itu masih boleh disembunyikan.

“Kalau tahu Rijal tak tanya.”

“Kenapa kamu beria-ia nak tahu?” aju Datin Abda sangsi.

“Entahlah…. Cuma hati ni rasa perit. Rasa sakit bila Rijal baca sajak ini. Seolah-olah sajak ni berkait dengan Rijal,” dalam suranya. Ditenung Datin Abda lama, berharap ibunya akan berkata jujur.

“Lagi apa yang menarik pasal sajak tu, sampai kamu demam dibuatnya,” aju Datin Abda tenang.

“Rijal asyik mimpikan seorang gadis di dalam bilik suram berteman lampu meja. Gadis tu berdiri kaku. Tapi muka dia tak nampak sebab bilik suram,” dengus Rijal kesal. Datin Abda senyum, menyembunyikan perasaan terkejutnya. Bagaimana tidak terkejut jika gadis yang dimaksudkan Rijal adalah Sufie.

Datin Abda ketawa besar, atau lebih tepat ketawa palsu. “Sajak tu mama yang tulis… Dulu teringin sangat nak jadi penulis, alih-alih jadi usahawan. Kita kan anak-beranak tentulah kamu memahami rasa hati mama. Sajak tu mama tulis masa putus cinta waktu sekolah dulu.”

Tidak berkelip mata Rijal, rupa-rupanya sajak yang menghantui hidupnya adalah karya mamanya sendiri. Terasa bodoh bila difikirkan yang dia demam dan rungsing hanya kerana sajak mamanya.

“Habis tu siapa pula gadis dalam mimpi Rijal tu?” aju Rijal, cuba merungkai mimpi.

“Eh… tanya mama pula. Manalah mama tahu, kamu kan ramai kekasih. Jangan-jangan arwah isteri kamu tak. Mungkin dia marah sebab kamu lama tak balik jenguk anak sendiri,” sindir Datin Abda.

“Mungkin juga. Rijal dah buat keputusan nak balik Malaysia minggu depan,” sengih Rijal. Tidak disangka hatinya lembut hanya kerana arwah isterinya hadir dalam mimpi.

Datin Abda tersentak. Membenarkan Rijal balik ke Malaysia bermakna membenarkan memori lukanya terungkai kembali. Dia termenung lagi menggali akal. Walau apa yang terjadi, Rijal tidak harus Menjejak kaki ke Malaysia selagi memorinya berkaitan Sufie belum benar-benar padam.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.