Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 21- RASA HATI

Khairul tidak senang duduk. Air matanya menitik lagi. Setitik demi setitik. Dia jadi hairan kenapa air matanya menitik. Dibelek, dipusing dan diramas. Hatinya remuk bila kertas itu diramas.

Kembali kertas itu dilurut-lurut dengan lengan jaket yang dipakai. Masih terbekas renyutan. Dia kesal. Dibaca lagi sajak itu, emosi yang sama kembali berpilin.

“Sajak biasa saja. Tengok tulisan dah tahu, dia ni bukan penyajak atau sasterawan. Tapi kenapa aku rasa sedih? Rasa ditinggalkan,” langkah dia terhenti.

Dia berdiri di tembok batu, menghayati panorama Jackie Kennedy Reservoir yang berkeluasan 106 hektar itu. Bila dia menghembus nafas, wap sejuk meluncur keluar bertebaran. Ditemukan kedua telapak tangan, pantas digosok laju kemudian bila terasa panas, cepat-cepat dilekapkan tapak tangan ke pipi. Kesuamman menjalar ke permukaan kulit.

Warna biru air di Jackie Kennedy Reservoir direnung. Mendamaikan. Tenangnya terkuak bila dilempar batu. Bergetar air hingga ke tepi. Dilempar lagi batu. Itulah yang akan dilakukan bila dia ke situ.

Siapa tak kenal Central Park Manhattan yang berkeluasan 883 hektar itu. ‘Cantik dan menakjubkan’ dan itulah yang dapat digambarkan mengenai taman yang mula dibina pada tahun1860.

Khairul masih memerhati. Sepasang American Robin melayah turun, mungkin mandi atau mungkin minum. Dada burung itu oren kemerahan dengan secalit putih di bahagian mata. Terlompat-lompat si jantan, menarik cacing untuk pasangannya.

Khairul mendengus. Dibaca lagi sajak itu, hatinya kembali sayu. “Mesti perempuan yang tulis. Sebab tu guna khalifahku. Walaupun sajak ni biasa-biasa saja. Tapi aku dapat rasa kesedihan dia. Siapa dia agaknya. Macam mana sajak ni boleh ada dalam bagasi lama aku?” Khairul melarikan lagi wajah, mencari-cari pasangan American Robin.

“Dah terbang… kalaulah aku dapat cari pasangan yang setia macam American Robin tu. Tapi wujud ke perempuan yang setia zaman sekarang. Yang kaki kikis ramai lah.” Khairul gigil kecil. Dia menghayun langkah, mahu ke Le Pain Quotidien.

Setibanya di hadapan restaurant berpintu kaca dengan bingkai kayu berkilat itu, dia melangkah masuk. Macam biasa Maya, gadis berkulit pucat dan berambut perang menyapa.

I can take orders,” pantas dia mendapatkan Khairul.

Bibir tipis mengukir senyum. Maya menarik kerusi, tanpa malu dia duduk.

Fish and chips… as usual.” Maya kenyit mata.

“Yup…” Senyum Khairul.

Kicauan American Robin mengalih tumpuan Khairul.

“Agaknya tu burung tadi. Merdu… mungkin sebab tu aku suka ke sini.”

Bila pasangan burung itu terbang, dia kembali merenung sajak itu. Satu keluhan kecil kedengaran.

“Aku mesti cari siapa penulis sajak ni. Aku nak jumpa dia. Nak bertentang mata. Mungkin mama tahu sesuatu tentang penulis sajak ni,” wajah resahnya bertukar ceria. Dia nekad.

A love letter from a lover…”jeling Maya sebelum berlalu.

Fish and Chip itu hambar. Selera dia tidak seperti minggu-minggu yang biasa.

Maya datang lagi. Ditarik kerusi lalu duduk. Mungkin kerana pelanggan sudah surut. Dikerling lipatan kertas di sisi Khairul dan dia senyum.

“Kenapa tak makan?” aju Maya. Tidak disangka gadis itu petah berbahasa.

“Tak selera,” pendek dibalas.

Kepingan ikan di pinggan dikuis dengan garfu. Maya capai sebatang kentang goreng. Dikunyah malas. Matanya tak lepas merenung Khairul.

“Surat cinta? Dari siapa?” aju Maya. Memang dia gadis yang penyibuk. Semua hal mahu diambil tahu. Dari perkara paling remeh hinggalah isu negara.

Pintu terbuka, seorang lelaki tua bertongkat masuk. Baju bercorak jalurnya kelihatan lusuh. Mungkin gelandangan. Maya bangun menghalau, tetapi lelaki tua itu tetap pegun malah merayu untuk satu hidangan.

Go out… no free food here. Do not let me call the police,” sergah Maya. Pincing matanya menyentak Khairul seketika.

“Boleh tahan singa minah saleh ni.” Kharul bangun. “Let him oder.I pay…

Thank sir.” Lelaki itu menggengam erat dan berkali-kali dihayun tangan Khairul. Ketawa Khairul pecah tiba-tiba bila perut lelaki gelandangan itu berbunyi.

“Lelaki yang berhati suci.” Maya renung terharu. Khairul tersentak. Bukan kerana pujian itu, tetapi seakan-akan pernah mendengar ayat itu. Rasa seseorang pernah menuturkan ayat itu kepadanya. Hatinya diusap sayu.

“Macam pernah dengar ayat tu… tapi di mana dan siapa yang cakap kan ya?” getus hati. Wajah kelatnya mengundang hairan Maya.

“Kenapa?” tajam direnung.

“Tak apa-apa. Saya bayarkan sekarang.” Dia melangkah ke kaunter.

Sekali lagi lelaki gelandangan menyalami dan memeluk Khairul sebaik dia melangkah meninggalkan Le Pain Quotidien.

Mendung menebar di wajah langit. Khairul melajukan langkah. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Angin mula bersiul. Central Park didakap suram ditambah 26 ribu batang pokok menjadikan ia melankolis.

Berterbangan dedaun bila angin semakin kuat bertiup. Malah jaket labuh yang disarungnya turut terbuai-buai. Mungkin kerana lalai, sajak di tangan ditiup angin. Terkejar-kejar dia. Namun angin tidak mudah mengalah, makin jauh kertas itu dilayangkan.

“Makin jauh kertas ni kena tiup angin. Jangan melayang sampai atas pokok sudah. Kena cepat, bila-bila masa hujan boleh turun. Lencun aku nanti.” Khairul terbongkok-bongkok, malah berlari-lari, sungguhpun begitu kertas itu masih tidak berjaya ditangkap.

Hujan yang dijangka, turun juga akhirnya. Lebat meludah bumi. Kertas itu kebasahan.

“Sakit punya hujan, habis basah kertas aku.”

Khairul pantas mencapai kertas itu. Diperiksa jika ada koyakan. Dibaca sekali lagi dan pening menyerang hebat. Terduduk dia seketika. Rezeki berpihak kepadanya kerana ada gazebo berhampiran. Dia berjalan perlahan ke situ. Matanya berpinar.

“Setiap kali hujan mesti aku pening. Tapi hari ni macam nak pecah kepala. Agaknya aku migrain.” Dia berpaut pada tiang gazebo. Matanya layu dan makin berpinar. Jaketnya basah kuyup, mujurlah itu jaket kalis air. Kepala pula makin berdenyut. Dia putuskan akan pulang bila surut hujan dan pening.

***

“Mama… mama…” laung Khairul sebaik pintu apartment dikuak. Sunyi macam selalu. Bermakna mamanya belum pulang.

Dia terketar-ketar, ternyata tubuhnya masih kesejukan. Diperhatikan tapak tangan yang pucat. Kalau toreh pasti tak berdarah. Ditanggalkan jaket lalu disangkut ke dinding. Suis pemanas udara dipetik. Dia senyum bila hawa panas memeluk tubuh.

“Lambat lah kalau macam ni! Aduh… selagi tak siasat aku tak senang duduk. Macam mana caranya ya.” Khairul memicit-micit dahi. Pening menggila, mungkin kerana banyak berfikir.

Keempukan sofa menjadikan dia sedikit selesa, dikalih kepala ke kanan. Terlihat pintu bilik yang terkunci. Di dalam bilik itulah dia terjumpa bagasi yang terdapat sajak di dalamnya. Dia mengeluh lagi.

“Aku nak periksa lagi sekali. Mana tahu ada petunjuk.”

Sungguhpun pening dan kesejukan, dia tetap bangun dan memulas tombol pintu bilik itu.

“Berkunci… semalam tak pula berkunci. Mesti kunci ada dengan mama. Kena tunggu mama balik lah jawabnya.”

Langkah diatur ke sofa. Dihenyek tubuh sasanya. Kepala disandar dan dia tidur.

Telefon berdering memagut lena Khairul. Diraba-raba telefon bimbit malas, bila dicapai ditekan dan ditekap ke pipi. Suara gembira menerjah.

“Dia terima cinta aku akhirnya… kau dengar tidak kawan. Dia terima cinta aku akhirnya,” makin galak suara itu, makin bingit telinganya.

“Corrado! Sabar. Bertenang. Apa hal sebenarnya? Tak pernah-pernah kau seriang ni.” Khairul berbasi-basi, malas melayan. Dia keletihan. Sebetulnya, akalnya yang keletihan.

“Gadis tu dah setuju nak kahwin dengan aku. Dia pinjamkan aku buku berkaitan agama Islam. Aku rasa dia nak aku pelajari dan dalami Islam sebelum kami berkahwin,” suaranya laju, macam orang tak cukup nafas.

“Tahniah… nampaknya dia bukan calang-calang gadis. Kalau tak, mana mungkin kau terpikat. Bertuah kau Corrado. Aku juga yang menduda,” usik Khairul.

“Kau tu yang memilih sangat. Kat NY bertimbun gadis cantik. Petik jari, mesti sangkut. Kau kan playboy hebat,” ketawa kedengaran di hujung corong.

“Aku dah tak buat kerja tu. Aku dah jadi baik. Kau carikan aku seorang gadis Melayu. Aku nak buat isteri,” ketawa mengirai.

“Gadis NY lagi cantik,” balas Corrado.

“Tapi gadis Melayu tetap yang tercantik. Hidung tak mancung, kulit tak putih, tak hitam. Tubuh tak tinggi, tak rendah. Pendek kata serba-serbi sederhana.”

“Nanti kau balik Malaysia, kau pilih sendiri. Kau duduk kat NY lama-lama hendak buat apa. Malaysia pun bagus,” bidas Corrado.

“Bisnes… aku terikat dengan amanah. Tak kan aku nak tinggalkan mama aku seorang diri kat sini,” tokok Khairul.

“Tepuk dada tanya selera. Aku masih ada kerja. Selamat tinggal kawan.”

“Eh! Nantilah dulu… aku belum habis cakap lagi ni.”

“Apa lagi kawan.”

“Bila kau nak kenalkan buah hati, pengarang jantung kau tu kat aku? Siapa nama dia? Aku kenal tak buah hati kau tu?” bertalu soalan diaju.

“Tak payah kenallah. Nanti kahwin aku jemput, kau tengoklah puas-puas.”

“Kau ni macam tak percaya kat aku. Aku tak mengoratlah isteri kawan baik.” Khairul mengusik.

“Nantilah. Kalau jadi dan betul kami dah bertunang baru aku kenalkan,” dalih Corrado.

“Oklah… nama dia siapa? Bagi tahu nama pun dah cukup. Mana tahu silap-silap bekas mata air aku. Bermadu kita Corrado,” giat Khairul.

“Itu mustahil. Aku yakin seratus peratus yang perkara tu tak mugkin berlaku. Dia bukan citarasa kaulah Rijal. Aku yakin kau tak akan pandang pun dia,” ketawa Corrado pecah.

“Wah… wah… bukan main yakin kau ya,” tokok Khairul.

“Aku bukan baru kenal kau Rijal. Dah masak dengan perangai kau.”

“Itu masa muda. Sekarang lain.”

“Aku kena letak telefon sekarang. Kau tahulah ayah aku tu. Kalau dia bertukar jadi musang pendek. Lapan hari lapan malam tak habis,” ketawa mereka berdua pecah. Perbualan mati bila Corrado mematikan talian.

***

Mek termenung di kaki tangga. Pak Awi masih di atas kerusi goyang. Wajah kelat isterinya disisir. Diangkat kaca mata yang melurut ke bawah.

“Teh ni tak kelat macam biasa. Manis pula yang terlebih,” Direnung mek.

Mek buat muka selamba. Tidak berminat untuk berbual.

“Meknya. Manis sangat teh ni. Tak kelat macam biasa. Awak nak saya kena kencing manis ke?” direndahkan pandangan. Mek berkalih pandang.

“Saya bancuh macam biasa. Tak lebih tak kurang. Mana ada terlebih manis,” pangkah mek.

Pak Awi ketawa. Terasa sunyi malam mengendur.

“Lah… baru saya perasan kelat teh ni terlekat kat muka awak. Kenapa ni?” agah Pak Awi.

“Saya risaulah. Dah empat lima kali budak Sufie tu telefon.”

“Baguslah macam tu. Kuranglah sikit rindu awak.”

“Bagus… tak bagus langsung.” Mek menapak tangga. Dia bersimpuh di sisi suaminya. “Dia nak buat tahlil untuk Rijal.” Mek menagih simpati.

“Jadi…” aju Pak Awi tenang.

“Orang tak mati. Nak ditahlilkan apanya abang oiii,” resah mek terluah.

“Itulah awak buat kerja melulu. Sekarang berjawablah dengan Sufie. Mesti sedih budak tu bila tahu.” Pak Awi merapatkan bibir cawan ke bibirnya. Dihirup cermat.

“Kalau si Rijal tu perangai macam manusia, saya tak buat kerja bodoh ni. Saya pun tak faham dengan perangai Sufie tu.” Mek membutang mata.

“Anak sendiri pun awak tak faham. Pelik!” sindir Pak Awi.

“Memanglah pelik. Mana ada isteri yang nak tahlilkan suami sejahat Rijal tu.” Mek meninggikan suara. Dia geram.

“Eh… eh… apa pulak tak ada. Adalah,” balas Pak Awi. Dicubit pipi mek.

“Siapa yang baik sangat tu. Saya nak jumpa. Nak ceramah berbakul-bakul.”

“Siapa lagi… anak awak, si Sufie tu lah,” ketawa Pak Awi bergema.

Mek tersentak. Kata-kata suaminya memang benar.

Suasana kembali sunyi, hanya batuk Pak Awi yang melalikan suasana sunyi. Batuk tua Pak Awi makin menjadi-jadi. Makin menambah serabut kepala mek.

“Esok kita ke klinik. Makin menjadi batuk awak tu.”

Pak Awi urut dada kemudian jeling mek. “Tak payah. Membazir. Saya tak apa-apa, esok lusa baiklah,” cantas Pak Awi.

“Membazir apanya. Bukan kita pergi merambu. Kita pergi klinik jumpa doktor. Minta ubat,” marah mek.

“Amboi… kalau sayang sekalipun, janganlah naik suara kat saya. Makin batuk nanti,” usik Pak Awi.

“Awak tu. Bila saya kata tak mahu dengar. Kita duduk berdua, kalau jadi apa-apa tengah malam siapa susah. Awak seoranglah suami saya.” Mek senyum. Namun kelat.

Makin galak Pak Awi ketawa. Lucu mengeletek hati. Mek berwajah masam.


Previous: BAB 20- SAJAK

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.