Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 17- MIERA MUNCUL LAGI

“Assalamualaikum kak long.” Nada bertenaga Afiena. Langkahnya laju. Mestilah laju sebab tak tertanggung rindu.

Sufie meleretkan senyuman. Tidak disangka Afiena datang petang itu. Dia datang sendirian menjinjing bungkusan plastik.

“Wa’alaikumsalam Fiena. Kebetulan kak long baru habis solat. Kita duduk dekat taman ya. Angin di situ manja. Suka mengulik. Silap-silap boleh terlena.” Makin meleret Senyuman Sufie. Afiena makin bahagia bila melihat senyuman itu.

“Fiena ok saja. Marilah. Lama tak jumpa kak long. Lepas kejadian tu baru sekali kak long balik. Itu pun sehari.” Fiena bernada merajuk. Sufie ketawa kecil. Dipintal-pintal hujung tudungnya, mengenang peristiwa lucu itu.

Dia masih ingat sampai sahaja dia di kaki tangga melaju mek dan Afiena memeluk.Mujurlah dadanya bugar, kalau tidak sudah tentu mati tak cukup oksigen. Manakan tidak hampir sepuluh minit dia didakap,dipeluk dan dicium. Dia sendiri hairan.

‘Dah buang tabiat ke dua beranak ni. Ayah pun sama. Tapi ayah taklah sampai peluk -memeluk dan menangis.’Sufie teringat detik hatinya ketika itu.

Afiena memincing mata.

“Aik… Kalau kak long ketawa macam ni, selalunya bersebab. Apa yang geli hati sangat ni?”

“Tak ada apa-apa Cuma teringat satu drama Melayu. Pelakon dia memang hebat.”

“Drama baru ke kak long. Fiena kurang sikit kalau drama Melayu ni.”

“Drama Melayu bagus FIena. Kena pulak drama yang bertajuk ‘Air mata di kaki tangga’ pelakon dia saja dah meremangkan bulu kaki.”

“Siapa pelakon dia kak long? Tiba-tiba rasa minat.” Afiena teruja. Tapi tidaklah sampai tahap sangat teruja, sebab dia memang tak minat cerita Melayu. Untuk dia drama melayu tak ada ‘class’. Lemau semacam jalan ceritanya. Kalau dia tonton drama Melayu, pasti lima belas minit pertama air liur basi dia dah meleleh.

“Pelakon dia Siti Sarah dan Afiena. Ala… pelakon yang terlebih emosi tu.” Sufie ketawa lagi.

“Aik… Lain macam ni.” Afiena berfikir seketika, kemudian menjerit marah. “Kak long kenakan Fiena ya? Wah… Wah. Sekarang dah pandai kenakan orang ya.”

“Gurau Fiena. Maaf kalau terasa hati,” ketawa manis Sufie pecah lagi. Diikuti ketawa Afiena.

“Kita ke taman. Banyak yang kak long nak tanya.”

Waktu petang suasana di taman permainan meriah. Angin pun bertiup laju. Jerit, pekik kanak-kanak yang bermain memelodikan suasana. Sufie ketawa lagi. Afiena merenung wajah itu, senyuman muncul tanpa dipaksa. Dia gembira apabila Sufie gembira.

Saat punggung mereka berlabuh, Sufie memulai bicara.

“Fiena ok? Makin kurus sekarang,” ditenung wajah bujur sirih Afiena. Mata lembutnya mendamaikan.

“Alhamdullilah. Tengah diet,” dalih Afiena.

Berat badannya makin susut kebelakangan ini. Puncanya kerana dia begitu risaukan Sufie. Dia amat takut jika perasaan Sufie disakiti. Takut itu menyebabkan dia sanggup menjadi orang munafik. Dia sanggup mengatakan Rijal meninggal dunia ketika berada di hospital, malah kemunafikannya itu dicanang kepada setiap yang datang bertandang.

Mek mengamuk, ayah membantah, malah suaminya sendiri menolak mentah-mentah sikapnya itu. Namun dia masih berkeras dan akhirnya rahsia bukan lagi rahsia bila dia menerangkan isi surat Sufie.

Mek terjelupuk ke birai dinding.Air matanya meluncur laju, malah lebih laju berbanding ketika berita kematian Sufie diberitakan.

“Anak aku menderita selama ini, dan aku yang membesarkan dia sejak kecil tak sedar langsung. Anak aku menjanda di malam pertama. Kesian anak aku dipermain-mainkan lelaki tak guna macam Rijal. Kalau aku tahu, awal-awal aku dah tetak dia dengan parang. Mek ikut apa kata kamu Fiena. Kita semua mesti pura-pura tak tahu apa yang dah berlaku.” Mek meluah marah. Wajah sayu Sufie muncul, menambah sendunya.

Afiena masih hanyut, mengelamun. Satu tepukan keras mengenai bahunya.

“Mengelamun… Kak long tanya ni, bila kita nak buat kenduri tahlil untuk abang long kamu.”

“Untuk lelaki tak guna tu. Orang dah meninggal apa yang nak ditahlilkan lagi. Bukan dia tak ada mak, ayah. Biarlah keluarga dia yang buat.” Afiena meradang.

“Tapi dia tetap suami kak long. Orang yang pernah memberi kasih pada kak long. Orang yang pernah mencintai kak long,” nada lembut Sufie bergema. Afiena menjadi marah tiba-tiba.

“Kenapalah kak long ni baik hati sangat? Rijal tu seratus kali ganda tak layak untuk kasih sayang kak long. Lelaki tu tak guna sesen pun. Fiena tetap bantah,” selar Afiena.

“Dari mula kak long kahwin Fiena dah tak suka pada abang long. Kenapa?”

“Dia jahat. Sebab dia lelaki jahat!” balas Afiena geram.

“Buat baik pada orang yang baik itu mudah. Tapi nak buat baik pada orang yang jahat itu payah. Tapi apa guna duk habiskan masa ingat kejahatan orang pada kita. Hidup tak lama Fiena. Dari duk hitung kejahatan orang, lebih baik hitung kabaikan orang. Kak long tetap nak buat tahlil.” Sufie bertegas.

“Fiena bantah. Dan Fiena tak akan sokong.” Marah Fiena makin menjadi-jadi bila teringat isi surat Sufie. Macam manalah Sufie boleh berlembut hati terhadap lelaki berhati garuda itu. Bukan dia seorang malah mek, dan Kamarul pun sakit hati. Cuma ayahnya sahaja yang masih bersabar. Kalau diikutkan geram mahu saja dia beritahu kenapa dia tak suka majlis tahlil diadakan. Tapi maruh Sufie pun harus dijaga. Dia mengeluh kecil, melepas sesak dada.

“Fiena sayang kak long tak?” aju Sufie. Bernada simpati.

“Sayang,” balas Afiena malas.

“Tolong kak long?” pinta Sufie.

“Apa dia.” Afiena menjawab malas. Matanya mengecil, cuba menahan marah.Dia sudah dapat mengagak apakah permintaan itu.

“Tolong jangan tolak hajat kak long. Kita buat tahlil untuk abang long, ya.” Sufie memeluk tangan Afiena, meletakkan kepala pada bahunya. Afiena menjadi resah. Di antara penipuan yang cuba disembunyikan dan permintaan seorang kakak.

“Tengoklah nanti. Tapi Fiena tak janji.”

“Macam tulah adik kak long.” Sufie tertarik pada bungkusan plastik bersebelahan Afiena.

“Apa dalam plastik tu?”

“Batang keladi. Mek kirim. Dah siap potong, tinggal Kak long masak saja. Ada juga sepasang baju dengan duit. Ayah kirim buat belanja.”

“Tak payahlah kalau duit tu. Kak long masih boleh makan dan minum. Nampak tak kedai pastri tu,” jari ditala ke suatu sudut yang menempatkan Italian Pasticceria café.

“Cantiknya! Penuh pasu kat dinding kafe tu. Kafe terkenal tu kalau kak long nak tahu. Ownerdia hensem giler. Fiena tengok dalam majalah bulan lepas. Untung kak long. Mana tahu berjodoh dengan dia.” Afiena galak mengusik.

“Nama dia Corrado. Tapi doa Fiena tak masin agaknya. Peminat dia saja bersusun, belum lagi yang applynak jadi kekasih. Dan kak long tak akan pilih dia. Lagi pun kak long masih tak dapat lupakan abang long.” Sufie bernada lemah.

“Lagi-lagi abang long… Lagi-lagi abang long. Tak faham Fiena. Lelaki tu psiko, tak balik modal kak long rindu dia. Orang mati tak bangun semula.” Afiena marah bila nama Rijal disebut-sebut.

“Jangan emosi sangat Fiena. Cuba bawa bertenang.” Sufie menenagkan Afiena.

“ Soal hati siapa yang boleh tolak. Sekali dia menghimpit, naik semput perasaan. Alhamdullilah Allah masih ada. Kalau tak mahu meroyan kak long,” luah Sufie. Marah Afiena surut.

‘Begitu sekali cinta kak long. Kasihan dia. Maaf kak long. Bukan niat nak menipu, Cuma Fiena tak mahu kak long terluka,’ getus hati kecil Afiena.

“Dah dekat pukul enam. Kak long kena kerja. Fiena mahu ikut atau nak balik dulu. Tak nak tengok Mr. Corrado ke?” usik Sufie.

“Fiena setia tahu. Walaupun Abang Kamarul tak hensem tapi hati dia hensem,” balas Afiena manja. “Fiena balik dululah kak long. Telefonlah kalau ada apa-apa. Jangan nanti orang kata tak ada keluarga.” Afiena menyindir tajam. Sufie senyum.

***

Macam biasalah kalau orang berjalan lima minit. Sufie lapan minit. Corrado seperti biasa menunggu di meja taman. Dia terasa nikmat bila dapat menikmati secawan expresso sambil menanti kelibat Sufie. Corrado bangun bila melihat langkah Sufie yang agak berlainan.

c'è una strana.” ‘Ada yang pelik.’ Risau menjengah hati. Corrado resah.

Kalau diikutkan hati, mahu saja dia berlari dan mendukung Sufie, namun gadis itu bukan sebarangan. Gadis suci yang tidak tersentuh oleh lelaki.

Iasvegliadiome,‘Jagakan dia untukku Tuhan,’ seru Corrado berkali-kali. Entah kenapa kerap kali dia menyebut dan meminta bantuan Tuhan. Perkara paling lucu dan tak masuk akal pernah dilakukannya. ‘Tuhan’ perkataan yang tidak mungkin dapat dicari dalam kamus hidupnya kini wujud.

“Petang Corrado. Macam biasa awak masih bersemangat dan senyuman awak tak pernah menghampakan,” luah Sufie sebaik tiba. Dia memandang seketika pada serumpun lily putih yang mekar dan senyum. Corrado yang menyedari.

“Casablanca. Bunga Lily Casablanca. Seputih dan secantik awak Sufie. Saya tanam supaya saya tak lupa kecantikan awak.” Corrado beremosi seketika.

“Ada-ada saja awak ni Corrado. Terima kasih. Lain kali tanamlah bunga yang boleh ingatkan awak pada kekasih hati, bukan tanam bunga yang boleh ingatkan awak pada saya.” Sufie senyum riang. Dia benar-benar bersyukur mendapat sahabat sebaik Corrado.

“Saya masuk dulu Corrado. Belum punch card.” Sufie melangkah perlahan. Ada sesuatu yang tidak kena dalam langkahnya.

“Kali pertama aku lihat senyuman kau. Aku dah putuskan kau adalah amore (kekasihku). Kalaulah kau boleh membaca mataku. Tentu kau tahu mataku berkata ti amo(aku cintakan kau).”

Pandangan Corrado mengekori Sufie.

“Tubuh dia tertutup rapat. Tak ada bahagian dari tubuh dia yang mampu membuat jantung lelaki berdesir. Namun budinya mendesirkan hatiku hari demi hari. Tuhan aku tidak kuat.” Corrado kembali duduk. Ditenung Lily Casablanca. Dia senyum bila bayangan Sufie muncul.

***

Corrado menahan marah. Hatinya terbakar setiap kali Sufie dimarahi Arturo. Fokusnya tersasar. Sudah beberapa kali gadis albino itu dimarahi. Salahnya Cuma sedikit, iaitu lambat. Atau dalam bahasa kasarnya lembab. Tapi seperti dijangka gadis itu masih mampu bertenang dan senyum, malah tidak sepatah pun cacian keluar dari mulutnya. Menambah sayang Corrado, sekaligus menambah resahnya.

***

Waktu rehat. Seusai solat, ketika Sufie duduk di bangku taman.

“Hoi... Hantu.” Nada keras menerjah.

Sufie berpaling. Miera bercekak pinggang. Terbutang matanya dengan mulut menjuih. Dia meludah tepat ke wajah Sufie. Mata-mata memerhati. Miera puas, malah bangga bila dikira Sufie penakut.

“Bomoh mana kau pakai hah? Orang gila pun pelik la, kalau Corrado boleh suka kat kau,” hina Miera. Sengaja dilantangkan suara. Sufie kelu.

“Nah cermin. Tilik muka kau.” Miera lempar cermin bulat kecil ke atas meja. Senyum sinis kemudiannya.

“Rasa-rasanya kau nie hantu jenis apa? Langsuir atau pontianak?” soal Miera garang.

“Tak payah jawab. Sebab dua-dua hantu gatal. Hantu yang lapar jantan. Macam kau.”

Sufie istigfar panjang. Lidah kelu. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dijawab. Dia risau jika dijawab, syaitan akan memandu jawapannya. Tentulah apa yang keluar bukan kebenaran tapi amarah semata-mata. Jadi dia pilih diam.

“Apa kau buat kat sini Miera. Menjerit macam orang gila.” Tariq muncul dari belakang.

“Eh...Tariq. Bila sampai.” Miera melunakkan suara.

“Hai, aku duk minum dari tadi kat sana. Tak kan tak perasan. Kau buat apa kat sini?” aju Tariq.

“Cari perempuan gatal ni. Perempuan murah,” bidas Miera kejam.

“Rasanya ayat tu paling sesuai untuk kau. Ke hulu, ke hilir bertukar jantan.” Tarik senyum sinis, mencebik bibir tanda meluat.

“Aku ni tunang kau. Kau kena ingat. Yang kau duk bela perempuan murah ni buat apa? Kau kenal ke dia?” soal Miera meninggi.

“Lebih dari kenal,” sepi seketika. Tariq manarik nafas kemudian bersuara lantang.

“Selamat malam dan selamat menjamu selera. Saya Tariq nak buat pengakuan di depan semua orang. Gadis ni bernama Sufie. Saya umumkan di depan semua orang yang dia adalah kekasih saya dan hanya dia yang akan saya nikahi.”

Suasana hingar-bingar. Bisikan demi bisikan kedengaran. Telahan berjangkit. Corrado terpana. Tidak disangka ada yang mendahuluinya. Sebaik sahaja Rozita memberitahu apa yang berlaku, dia bergegas ke taman. Tapi sebaik tiba lain pula yang berlaku. Sufie menunduk. Ibarat orang bodoh. Rasanya kalau ada anugerah gadis paling bodoh ketika itu, dialah yang paling layak.

Dari dalam Arturo berjalan laju. Dari meja ke meja, dia memohon maaf. Wajahnya merah menahan malu dan amarah. Dan akhirnya dia sampai ke meja Sufie.

“Kamu nak rosakkan perniagaan saya. Dari hari pertama saya dah tahu kamu ni pembawa bala.” Arturo senyum, namun nadanya tegang. Sufie masih kelu.

“Dia kacau tunang saya uncle.” Miera menuang racun.

“Kacau aku atau Corrado. Kau ingat aku tak tahu kau tergila-gilakan Corrado. Lagi satu aku tak pernah anggap kau tunang. Kau tu yang perasan.” Tariq membidas.

“Berani kau ingkar arahan papa kau. Aku ni Tengku Miera Edora. Gadis paling anggun dan cantik. Tak ada lelaki yang berani menolak pesona aku. Kau tu yang buta. Apa yang kau pandang kat langsuir ni. Aku rasa semua lelaki kat hospital nie gila. Nantilah aku cadangkan supaya nama hospital ni ditukar ke Hospital Sakit Mental,” tengking Miera. Nafasnya tercungap-cungap.

Rozita datang, perasaannya sudah tak tertahan melihat Sufie diperlakukan begitu. Dipeluk seketika leher Sufie. Matanya bergenang. Tangan putih Sufie kemudian dipimpin. Sufie yang buntu hanya menurut.

***

Corrado berkaca mata merah. Memakai baju lengan panjang ,berzip hingga ke leher atas, seluar baggy dan bertopi. Dia cuba melindungi wajahnya sekali-sekala.

Pagi-pagi lagi dia dah terpacak berhampiran tempat letak kereta. Dia sendiri pelik macam mana dia tergamak bangun awal pagi dan ke hospital hanya kerana nak menunggu Tariq. Kereta Tariq berhenti betul-betul dihadapannya. Lelaki itu senyum.

“Tak payah nak menyamar. Aku rasa kau tengah tunggu aku.” Tariq menduga.

Diritto. Tepat. Mana kau tahu aku akan tunggu?” soal Corrado.

“Aku pun lelaki. Aku faham apa yang kau tengah fikir. Kau sukakan Sufie. Ops... Lebih tepat kau cintakan Sufie.” Tariq bersuara lucu.

“Apa niat kau semalam. Kau sengaja nak malukan Sufie? Kenapa kau jerit dekat semua orang yang dia kekasih kau?” tanya Corrado geram.

“Salah ke apa aku buat? Bukan ke, kau buat benda yang sama semasa Sufie hadir temuduga hari tu. Kau jerit mahu jadi suami dia,” nada lucu masih bermain di bibir Tariq.

“Kenapa kau kisah?” soal Corrado.

“Sebab aku sakit hati. Kau tak perasan lelaki berkaca mata hitam pagi tu. Itulah aku.” Tariq berubah serius.

“Kau dah ada Miera. Dia tunangan kau. Kenapa nak main-mainkan Sufie?” Corrado berwajah berang.

“Tunang aku, mantan kekasih kau. Aku tahu sampai sekarang Miera tu masih tergila-gilakan kau. Bukan kau saja Doktor Zikrey pun tergila-gilakan dia. Boleh aku katakan rata-rata lelaki kat hospital ni, tergilakan dia.” Tariq kembali mengusik.

“Itu dulu. Sekarang lain. Aku dah lupakan Miera.” Corrado mengeluh.

“Melupakan cinta pertama? Kau pasti yang cinta pertama mampu dilupakan macam tu saja?” soal Tariq. Dia kemudian memusing-musing kunci keretanya.

“Op... Lupa nak tanya. Kau pasti yang kau mampu lupakan gadis secantik Miera? Pelik bin ajaib kalau kau boleh lupakan gadis sebagus dia hanya kerana gadis albino tu.” Tariq ketawa lucu.

Satu tumbukan padu singgah di pipi Tariq. Wajah menyinga Corrado merona merah. Matanya terbeliak.

“Jangan berani kau panggil dia albino. Dia tu Casablanca. Lily paling cantik yang pernah wujud.”

“Aduh! Boleh tahan kau ni Corrado. Rileks la. Tak payah nak naik angin. Kalau Sufie tengok, mahu menangis air mata darah dia. Terharu lelaki sekacak kau sanggup bertumbuk sebab dia,” ketawa Tariq makin bergema.

“Kau ni memang sengal. Semua benda kau nak buat lawak. Cubalah serius. Ingat last warning, Jangan kau cuba main-mainkan Sufie.” Corrado berlalu pergi. Tariq masih ketawa.

Wajah bengkak Tariq menarik minat Sufie.

“Kenapa pipi? Bergaduh dengan siapa?” aju Sufie. Dia sedikit gusar. Tariq jadi gembira, bila dirasakan Sufie menggambil berat.

“Bos kaulah, siapa lagi. Si budak Corrado tu marah pasal hal semalam.” Tariq mengeyit mata.

“Hal apa pula. Aku dah lupakan semua tu. Kau pun satu. Agak-agaklah kalau ya pun nak tolong. Tak payahlah sampai kau canang aku kekasih kau.” Sufie senyum geli hati.

“Mana ada aku tipu. Aku memang nak couple dengan kau Sufie,” nada bergurau kedengaran.

“Dah kau nak campak ke mana Miera. Dua bulan kita berkawan, tak pernah kau beritahu aku, Miera tu tunang kau.”

“Aku tak hadap si Miera tu. Ayah aku yang paksa. Mak aku pun suka. Nak tak nak kenalah aku setuju.” Tariq meluahkan kesal. Sufie terpana. Kali pertama Tariq bernada sebegitu.

“Alasan klise orang lelaki. Jadi kenapa setuju? Dah ada pilihan hati ke?” aju Sufie. Soalan yang menyesakkan dada Tariq.

“Tak tahanlah dengar bebelan orang tua.”

“Ke situ pula. Tak manis cakap macam tu. Mereka membebel sebab risaukan anak teruna mereka. Kau pun memang hensem tak kalah dengan lelaki lain. Hidung pun tercatuk,” usik Sufie.

“Ayah aku ada darah Afganistan. Memanglah hensem. Kau saja yang tak mahukan aku. Apa nak buat Corrado tu lagi hensem.” Tariq makin galak mengusik.

“Corrado tu sahabat aku.”

“Maknanya aku masih ada peluang?” aju Tariq bersungguh.

“Kau pun sahabat aku. Berbalik pada soalan tadi. Siapa sebenarnya yang kau suka?” soal Sufie berminat.

“Aku pun tak tahu siapa dia. Cuma, aku dah berjanji akan kahwin dengan dia seorang.” Tariq senyum.

“Dan apa kata gadis tu?” aju Sufie. Dia menghirup secawan koko panas.

“Budak tu tak tahu aku sukakan dia. Muka dia pun aku tak ingat. Nama dia pun aku tak tahu.” Tariq tersengih-sengih bila merasakan jawapan itu bodoh.

“Ish... Berat kes kau ni Tariq. Tak tahu hujung pangkal, alih-alih jatuh cinta.”

“Dalam badan aku ada hati gadis tu. Dia dermakan hatinya kat aku. Menurut mama, gadis tu tolak wang yang mama beri. Dia tak harapkan apa-apa. Kata mama gadis tu ikhlas. Kau boleh bayangkan gadis sebaik tu sebagai teman hidup aku. Aku rasa dia adalah harta terbaik kalau aku dapat.” Tariq senyum lagi. Fikirannya menerawang, cuba melakar-lakar wajah gadis itu.

“Susah apanya. Tanyalah mama kau. Tentu dia tahu. Tak pun tanya doktor hospital,” cadang Sufie.

“Mama aku jenis pegang janji. Hospital pun sama. Sebab tu aku pilih jadi guru dan mintak mengajar di SDH. Senaglah aku nak siasat. Nanti kau tolong jadi pengapit aku. Aku upahlah bunga telur,” makin kuat Tariq ketawa.

“Mana ada orang perempuan jadi pengapit pengantin lelaki.”

Penyelia muncul. Beberapa borang ditangannya.

“Ni borang. Mana yang belum lengkap diisi, tolong penuhkan. Hari ni Tariq mengajar di kelas biar Sufie dan cikgu lain yang mengajar di katil pesakit.”

“Baik puan,” balas Sufie.

“Apa yang puannya. Panggil saja Kak Mah. Tak payahlah formal sangat. Kamu ikut saya Tariq. Tombol pintu kelas rosak.” Kak Mah mengarah.

“Baiki tombol? Tak pernah hayat saya buat kerja tu. Manalah saya reti,” bantah Tariq.

“Ada saya kisah. Dah jangan banyak soal. Ikut saja.”

Sufie senyum. Tariq tersengih. Kak Mah ketawa. Mereka berpecah membawa haluan masing-masing.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.