Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 9- ITALIAN BOCCONOTTI COOKIES

Italian bocconotti cookies itu dibaling ke dinding, jatuh berderai di lantai. Corrado hanya memandang, hatinya ikut berderai.

spazzatura..spazzatura.” (Sampah..sampah) Arturo meninggikan suara. Wajahnya merona merah, menahan marah. Dia berlalu pergi.

Corrado mencapai bungkusun lebihan Italian bocconotti cookies, juga berlalu pergi. Mata- mata yang memerhati mencemuh kecil, namun masih ada mata-mata yang meluahkan simpati. Sungguhpun sedih dia masih senyum nipis, cuba berlagak seperti biasa.

Corrado menghayun langkah ke taman hospital, mencari ketenangan. Bukan sekali dua, namun sudah acap kali dia dimarahi lelaki Itali dengan tubuh dempak dan bermisai lentik itu. Arturo adalah ketua chef di kafe ‘Italia Pasticceria’ juga merangkap ayahnya.

Uomo scontroso.” ‘Lelaki pemarah’ Corrado merengus marah. Dikeluarkan satu Italian bocconotti cookies dan diamati. Manisan itu sepatutnya seakan kek, namun diubah suai menjadi biskut. Dan itu telah membakar kemarahan ayahnya.

Seorang yang sukakan kelainan, itulah gambaran Corrado. Seorang anak muda yang begitu teruja dengan pembaharuan, begitu suka berexperimentasi. Namun berlainan dengan ayahnya yang begitu kuat darah Italinya. Warisan adalah warisan dan tidak perlu diubah, kerana ia sudah cukup sempurna.

Italian bocconotti cookies digigit, rapuh diluar, lembut di dalam. Rasa masam yang terbit daripada jem resbbery melunakkan lagi kunyahan. Bila tektur dan rasa yang pelbagai itu bercampur dia berkata tanpa paksa.

Delizioso...Delizioso.” ‘Sedap...sedap’. Mata Corrado tertutup rapat, nikmat makin berganda ketika mendengar bunyi rangup biskut itu. Senyuman yang terukir mati tiba-tiba.

Kata-kata itu ibarat sampah bila dia teringatkan peristiwa tengah hari tadi. Hampir separuh pekerja kafe tidak menyukai rasa baru Italian bocconotti cookies yang diciptanya itu. Ah… sebenarnya kesemua mereka tidak menyukai rasa baru itu. Hanya berpura-pura menyukai, mugkin risau jika dia terasa hati.

Kafe Italian Pasticceria mempunyai empat cawangan dan yang terbaru di taman Hospital Selayang.

Semenjak perceraian ibu bapanya, dia hidup penuh ketegasan. Ayahnya berubah menjadi tegas, malah wajahnya juga tidak lagi senyum. Dia benar-benar merindui sebuah senyuman. Senyuman yang hangat dan penuh keiklasan. Wajah lembut ibunya muncul, namun hanya senyuman sahaja yang diingati kerana ibunya berpisah semenjak dia berumur lima tahun.

Demi melupakan kenangan pahit itu, ayahnya membawa dia berpindah ke Malaysia. Negara yang tidak pernah dia impikan.

Kesibukkan mengikut ayahnya menguruskan kafe, menyebabkan dia kesunyian. Mungkin ayahnya cuba membuktikan pada kenangan lama yang dia juga mampu berjaya. Ayahnya begitu tegas mendidik dan melatihnya. Setiap bahan dan sukatan haruslah tepat dan hasilnya haruslah sempurna, jika tidak maki hamun adalah hadiah terindah yang akan membengkakkan telinga.

“Putt.” Corrado meludah Italian bocconoti cookies yang dikunyah. Geram dengan apa yang telah berlaku. Beg kertas berisi lebihan biskut itu turut dilempar. Dia memicing mata memerhati. Biarlah bungkusan itu dirobek-robek kucing-kucing kurap, dipatuk-patuk burung pipit dan dipijak sesiapa sahaja yang lalu, kerana ia adalah sampah yang tidak dihargai.

Pesakit dan pelawat yang melalui taman itu mengelak untuk memijak beg kertas berisi Italian bocconotti cookies itu.Sudah dua puluh minit, namun masih tiada yang sudi memijaknya. Dari jauh muncul seorang gadis pelik, berbaju kurung longgar dan bertudung labuh. Cermin mata hitamnya agak besar seperti pelakon zaman 80-an. Jalannya teratur dan lambat. Mungkin tidak disedari, dia kemudian tersepak beg kertas itu. Bertaburan Italian bocconoti cookies bergolek keluar.

“Subhanallah.” Gadis pelik itu terkejut kecil. Dia menunduk lalu mengutip biskut-biskut itu.

“Cantiknya! Nampak macam sedap. Tak. Bukan macam sedap, tapi memang sedap.” Gadis itu senyum tanpa malu. Senyuman yang tidak disembunyikan itu menceriakan hati Corrado. Dia memerhati penuh minat.

Gadis itu memerhati biskut itu dengan senyuman yang paling manis pernah dilihat Corrado. Gadis itu memerhati sekeliling, mencari sesuatu. Mencari tuan punya biskut-biskut itu agaknya.

Entah kenapa, tanpa dipaksa hatinya menjadi ringan. Corrado menghayun langkah merapati gadis itu.

“Cari sesuatu cik?”

“Tekejut saya. Awak cakap melayu.” Gadis itu bertanya cuak.

“Ya! Hairan.”

Gadis itu senyum nipis, semakin menipiskan kemarahan Corrado.

“Saya cari tuan biskut-biskut ini. Nampak sangat sedap. Sayang kalau dibazirkan. Mungkin tuannya berada berdekatan.” Gadis itu masih memerhati sekeliling, sehingga tidak disedari Corrado memerhati wajahnya. Gadis itu menyedari juga perbuatan Corrado dan berkata.

“Di barat perbuatan merenung terlalu lama, dianggap biadap. Mungkin saya pelik, tapi cara awak memalukan saya.” Gadis itu berkata lembut, gelisah wajahnya memadamkan senyum manisnya. Corrado resah.

“Bukan menghina. Tapi suka dengan senyuman awak yang manis.”

“Maaf saya perlu ke sebelah sana, mungkin tuannya berada di situ.” Gadis itu mula menghayun langkah, namun mati langkahnya bila Corrado kembali bersuara.

“Saya yang punya. Biskut itu tak sedap langsung. SAMPAH!” Corrado berkata tegas.

“SAMPAH!” Gadis itu terkejut. Matanya membutang.

“Ya..SAMPAH. Rasa yang meloyakan.” Corrado menjuih bibir.

“Boleh saya rasa satu. Jika perlu saya bayar. Tapi bukan hari ini.” Gadis itu bersuara, ternyata dia tidak berpuas hati dengan pendapat Corrado, biskut itu sungguh cantik dan rasanya pastilah sedap.

“Kesemuanya! semua milik awak. Awak boleh buat apa saja dengan biskut itu.”

Gadis itu berjalan meninggalkan Corrado, lalu berlabuh pada sebuah bangku di kawasan yang dipenuhi kanak-kanak yang sedang bermain. Corrado menghampiri dan duduk bersebelahan, mugkin kerana terlalu rapat gadis itu menjarak dengan meletakkan beg kertas di tengah. Serta-merta Corrado tahu gadis itu tidak selesa. Dia turut menjauh.

Mungkin kerana sudah mendapat izin, rakus gadis itu mencapai biskut. Dia menyebut sesuatu lalu mungunyah lahap. Mengerut-ngerut wajah dan senyum. Diambil lagi dan dikunyah. Corrado memerhati. Sudah lima Italian bocconotti cookies dikunyah dengan senyuman ceria, penuh nikmat. Corrado terhibur melihat keletah gadis itu. Perasaan yang sukar dia nyatakan.

“Sedap.” Corrado bertanya separuh berbisik.

Gadis itu tersentak. Tersedak dan terbatuk-batuk. Dia seakan terlupa Corrado di sebelah. Dia begitu asyik mengunyah biskut itu dan ralit dengan keletah kanak-kanak yang sedang bermain.

“Ya… Saya bagi lima bintang. Saya suka semua mengenai biskut ini. Kali pertama saya makan biskut ni. Namanya pun saya tak tahu.” Gadis itu menjawab tanpa menoleh Corrado. Mungkin kerana malu.

Italian bocconotti cookies. Tapi rasanya sudah tidak asli. Tidak seperti asal.” Corrado menjawab lemah. Wajahnya memandang ke hadapan, memerhati kanak-kanak yang sedang berkejaran.

“Bagi saya, itu tak penting pun. Selagi makanan ni mampu mengembirakan seseorang itu sudah cukup. Kita tidak mungkin mampu menggembirakan hati sepuluh orang. Tapi jika hati salah seorang gembira, itu sudah memadai. Kita bukan TUHAN, kita hanyalah manusia biasa yang akan terus-menerus belajar dari kesilapan.” Gadis itu kemudian bangun dan merapati beberapa kanak-kanak di situ.

Kedengaran gadis itu berkata lantang, tapi masih lembut dan lunak suaranya.

“Adik-adik!” Gadis itu berkalih bila matahari tepat memancar pada wajahnya. Ternyata sinaran mentari itu membuatkan dia tidak selesa. Kemudian dia kembali berkata. “Siapa suka makan biskut?”

Kanak-kanak di situ ternganga macam orang bodoh. Mungkin mereka berfikir, betulkah ada orang yang nak beri biskut percuma. Kalau ya, kenapa? Untuk apa?.

“Mari… Mari. Jangan takut. Tengok apa yang kakak pegang ni. Wah… Wah… bau dia harum.” Gadis itu berpura-pura mencium Italian bocconotti cookies. “ Mari beratur.” Senyuman gadis itu semakin manis, semakin meresahkan Corrado. Entah kenapa dia begitu resah melihat senyuman gadis itu.

“Parah..Kenapa hati aku dup..dap..dup..dap. Masak kalau macam ni.” Corrado mengusap-usap dada. Matanya tak lekang merenung gadis itu.

“Yeh… Biskut percuma.” Seorang kanak-kanak menjerit riang, diikuti jeritan lain yang berturut. Mereka berlari mengelilingi gadis itu.

Kanak-kanak itu disuakan dengan Italian bocconotti cookies. Gadis itu berkata sesuatu lalu menunding jari pada Corrado. Kerana riuh- rendah yang berlaku, dia tidak dapat mendengar apa yang dikatakan gadis itu. Seorang demi seorang daripada kanak-kanak itu berlari merapati Corrado dan berkata.

“Sedap biskut abang beri. Terima kasih. Esok abang buat lagi.” Kemudian kanak-kanak itu berlari semula bermain. Sekelip mata biskut itu licin.

Corrado senyum meleret. Hatinya sedang berbunga. Jika hatinya boleh diibaratkan seperti ladang bunga, pastilah ladang itu sudah meriah dengan bunga-bunga yang kembang penuh.

Gadis itu melangkah sopan, merapati dan duduk kembali, namun semakin menjauh.

“Betul kan apa yang saya kata.” Gadis itu senyum memandang kanak-kanak yang bermain.

“Kata apa?” Corrado bertanya gembira.

“Yang biskut awak sedap. Awak patut gembira, sebab hari ini dah berjaya menceriakan budak-budak tu. Tengok betapa berselera dan riang mereka makan biskut awak. Cuba awak tengok yang dua orang tu, sampai berebut.” Gadis itu ketawa tipis, hampir tidak didengari.

“Budak-budak, bukan tahu apa pun. Semua dibedal.” Corrado kembali bernada layu, ternyata hampa masih menyelimuti hatinya.

“Tapi saya bukan budak-budak. Pendapat saya masih belum cukup untuk awak ke?”

Corrado senyum puas. Seperti benar-benar telah tersedar daripada lena.

“Terima kasih. Boleh saya lakukan sesuatu untuk membalas budi awak.” Corrado masih senyum.

“Tak perlulah. Saya tak tolong awak pun. Lagi, awak belum kenal saya. Entah-entah saya orang jahat. Siapa tahu.” Gadis itu mengelak.

“Awak dah menyelamatkan seluruh hari saya, dan awak kata tak tolong apa-apa.” Corrado teruja, menyatakan rasa hati.

“Tak mengapa. Kecil saja pertolongan tu.” Gadis itu bangun.

“Nanti dulu. Saya orang baik-baik. Tengok muka saya. Nampak macam orang jahat ke?” Corrado pantas bangun menghalang, Gadis itu serba salah.

“Tak perlu balas. Saya seganlah awak buat macam ni. Tak manis orang tengok.” Gadis itu masih berdalih. Ternyata gadis itu tidak senang dengan sikap berani Corrado. Malah dia juga masih tidak mempercayai Corrado.

“Saya akan ikut ke mana saja awak pergi, selagi tak dapat balas budi awak.” Corrado berkeras.

“Jangan memaksa pada benda yang tak perlu dipaksa. InsyaALLAH saya ikhlas. Tak harap balasan.” Gadis itu cuba melepasi Corrado, namun tetap juga dihalangi.

“Saya betul-betul mahu balas jasa awak. Jangan tolak. Kalau tak saya pegang tangan awak. Saya rasa awak bukan gadis yang suka dipegang tanpa sebab.” Corrado masih memaksa.

Gadis itu berkerut seribu. Hatinya diterjah masalah baru. Akhirnya dia beralah, berharap selepas ini Corrado yang disangka mempunyai masalah mental itu akan berputus asa.

“Saya baru tiba semalam. Nasib kurang baik saya dirompak. Mujurlah ada pemandu teksi yang sudi hantarkan saya tanpa kenakan bayaran.” Kata-kata gadis itu terhenti.

“Jadi?” Corrado kembali teruja. Gadis itu menelan air liur, penuh debaran. Dia sangsi jika apa yang diputuskan akan mengundang lebih banyak masalah.

“Saya baru bertugas, selepas tiga bulan baru akan terima gaji. Kamu tahu dimana-mana kerja part time. Kalau boleh biarlah gajinya dibayar hari, untuk menampung makan minum saya selama tiga bulan.”

Italian Pasticceria.” Corrado menjawab pantas.

“Di mana? Kerja apa?” Gadis berkaca mata hitam itu bertanya.

“pasticcere.” Corrado menjawab penuh semangat.

“Maksud kamu?”

“Pembuat pastri. Sama macam saya. Jangan risau saya akan ajar.”

“Nampaknya saya tiada pilihan. Di mana kafenya?”

“Di situ.” Corrado menunding jari ke suatu arah. Sebuah kafe kecil dengan papan tanda mini yang tertulis ‘Italian Pasticceria cafe’ tersergam indah. Reka bentuknya bercirikan Andalusia dengan garapan ciri Melayu. Berkonsep terbuka, membenarkan angin bebas keluar masuk, bebas menyapa para pelanggan. Dinding kafe itu dilatari oleh pasu-pasu bunga yang dimatikan pada dinding, penuh warna-warni. Kelibat pelanggan yang bertali arus menandakan ia sebuah kafe yang digemari.

“Wah! Teruja saya. InsayALLAH esok saya akan ke sana.”

“Ok… Sebelum saya terlupa, nama kamu?” Corrado bertanya gopoh.

“Khairunnisa Sufie! Panggil saja Sufie.”

“Keluarga kamu sudah tahu berkenaan nasib kamu yang kena rompak.”

“Belum. Phone saya tertinggal dalam lori ikan yang saya tumpang. Satu sen tak berbaki masa di rompak.” Sufie menjawab dalam.

“Pakai telefon saya.” Corrodo menghulurkan telefonnya. Dia senyum bila membayangkan wajah tersenyum Sufie dan ucapan terima kasih daripadanya. Tapi lain pulak yang jadi.

“Tak perlu. Terima kasih sudi membantu. Esok bila saya dapat gaji pertama, saya akan telefon keluarga.” Sufie menolak lembut telefon itu. Sebenarnya dia tidak gemar meminjam telefon orang, apatah lagi jika orang lelaki.

“Peliklah awak ni. Tak macam gadis lain.”

“Ya, saya albino. Awak bukan orang pertama kata macam tu.” Sufie berkata lembut, wajahnya tenang seperti tiada apa-apa yang melukakan.

“Bukan pelik yang itu. Tapi pelik sebab tak mudah nak ditolong. Kalau gadis-gadis lain, macam-macam yang nak dikikis. Naik pening kepala.”

“Jadi buaya tembaga lah, ya! Hati-hati jangan suka bermain hati, nanti hati sendiri yang merana.” Sufie menyiram nasihat.

“Bukan buaya tembaga. Saya tak layan pun. Mereka yang datang nak bermanja. Minta yang bukan-bukan, ofer yang pelik-pelik.” Corrado ketawa berdekah. Wajahnya merona merah kerana malu. Mungkin dia teringatkan perkara-perkara lalu.

Sufie diam seketika, begitu juga Corrado. Dia ingin sekali mendengar celoteh Sufie, namun tidak sampai hati melihat ketenangan pada wajah gadis itu.

“Saya harap, bos awak sudi bayar gaji hari. Bolehlah saya sara hidup untuk tiga bulan ni.” Berat nada Sufie.

“Sudah tentu.” Corrado menjawab laju, ada riak yakin bersama jawapannya.

Suasana sunyi kembali, mereka berdua sedang memerhati gelagat kanak-kanak yang sedang bermain. Sufie kembali senyum. Resahnya melayang entah ke mana. Dia kembali teringatkan kata-kata Abu Al-Itahiyyah.

Betapa sering hidupmu terancam,

Namun ALLAH sentiasa menjaga,

Dan memberi yang terbaik untukmu,

Masih saja engkau

Membenci segala keputusanNya.

“Kenapa kamu senyum. Ada yang melucukan?” Corrado bertanya dengan senyuman yang tidak dapat dipadam lagi. Hari yang paling ceria dan bermakna untuknya. Hari di mana hasil masakannya begitu dihargai.

“Cuma teringatkan kisah saya.”

“Maksud kamu?”

“Saya risau di mana harus tidur? Bagaimana hendak ke sini? Apa yang akan saya makan selama tiga bulan? Saya begitu risau sehinggakan lupa yang TUHAN itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”

“TUHAN?” Corrado terpana mendengar ayat itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.