Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 20- SAJAK

Jam dua belas tengah malam Sufie sampai. Letih.

Dia menguap sekali dua. Terlena di kerusi rotan. Sedar-sedar bila suara Salmi menyanyi.

“Assalamualaikum gadis cantik… malam-malam orang tak menyanyi sampai nak pecah rumah,” senyum tawar. Sufie keletihan. Manakan tidak seharian dia terkejar-kejar di dapur.

“Yeh… Kak Sufie dah balik,” laju dia datang dengan sebuah radio kecil.

Memang Salmi hantu radio, terutama bila siaran kendalian Tini ke udara. Dicium pipi Sufie lalu disalami. Bersimpuh dia di sisi.

“Best tajuk malam ni. Sedih lah dengar luhan hati yang kecewa.” Salmi mula terlentang, ditompang dagu.

“Biasalah kalau kecewa bercinta tu,” balas Sufie malas.

“Kak Sufie pernah kecewa sebab cinta tak?” aju Salmi. Dia menoleh.

“Sal rasa? Rasa-rasa Kak Sufie ni pernah dikecewakan ke tak?” teka Sufie. Wajah Rijal bertandang, sekaligus jantungnya menendang dada. Ah! Kenapalah susah sangat hendak dipadam wajah itu.

Salmi senyap. Tidak menjawab. Sufie tahu, tentu Salmi rasa dia tidak pernah bercinta. Dia tidak kisah, malah itu lebih baik.

Suara Tini kedengaran jelas bila Salmi memutar volume.

“Salam sejahtera kepada pendengar setia. Malam ini kita cukup bertuah kerana berpeluang mendengar luahan hati, nun jauh dari bandar Uncle Sam. Kita dengarkan bersama-sama…”

Instrumen sayu menebar. Suara Tini kedengaran. Suara sayunya tidak pernah menghampakan. Pasti ada air mata yang menitik. ‘BUK…’ jantung Sufie gugur. Seiringan air mata. Suara itu dikenali. “Abang…” terpancul tanpa dipinta.

Salmi ralit. Memang jenis kuat mengelamun. Ketar menyentak, memeluk jasad. Sufie pegun.

Kun Fayakun

Kata-kata sakti TUHAN mencanai takdir

Kini…

Akulah bulan di malammu

Mentari di siangmu. (Insya ALLAH takdir kita bersama)

Oh, khalifahku

Ku turuti cintamu

Ku pijak jejakmu

Ku hanyut dalam cinta halal ini

Cinta halal yang diintai rindu

Oh, khalifahku

Aku merasakan hidupku sudah cukup sempurna

Bisikankku kepada TUHAN sudah bersambut. Aku bahagia.

Khalifahku

Ternyata aku kepingan kaca

Tidak ampuh menjadi permata cincinmu.

Aku retak, pecah

Kau lepaskanku saat malam pertama

Kini aku bukan lagi milikmu dan kau bukan milikku.

Permainan takdir yang memenatkan.

Aku telusuri jua, jika ini jalan cintaNya

Terima kasih khalifahku

Sesaat cinta, seabad rindu.

Sufie pejam mata. Terkasima. Bait-bait itu miliknya. Nukilan yang disertakan dengan sekeping surat. Dia masih waras. Dia tidak lupa jauh sekali gila. Memang itu hasil tulisannya. Bagaimana surat itu boleh jatuh ke tangan orang lain. Mungkin Rijal yang buang.

“Hati dia keras. Lebih keras dari batu. Tak apalah. Dia pun dah pulang bertemu ALLAH,” mata dia masih pejam.

Terasa jari halus menyeka mata. Terkebil-kebil bila melihat Salmi sedang menyapu air matanya. Ah… apalah yang akan difikir gadis manis ini nanti.

“Kan betul Sal kata, rancangan ni best. Tengok Kak Sufie pun meleleh air mata. Tapi kalau nak lagi feel, kenalah putus cinta sekali. Lagi masyuk…” ketawa Salmi pecah.

“Kak Sufie nak masuk tidur. Lewat sangat dah ni. Sal pun jangan lewat-lewat, esok ada kelas,” lewa Sufie berkata. Tubuhnya terasa longlai. Wajah Rijal menerpa tidak henti-henti. Meramas-ramas emosi. Dia lemas dalam kenangan yang pernah membunuh hati.

“Ya ALLAH. Aku mohon kekuatan. Aku rasa terpenjara dengan kenangan Rijal. Ya ALLAH kenapa aku masih ingatkan orang yang dah tiada? Bahagiakah dia di sana? Bahagiakanlah dia ya ALLAH, kerana dia pernah membahagiakanku,” diraup wajah. Dia merebahkan diri. Lama-lama dia larut dalam mimpi.

***

Pagi-pagi lagi Sufie sudah berteleku di bangku taman hospital. Mushaf ditangan dibaca tanpa suara. Sesekali dengan suara yang lirih sehingga tidak didengari. Tumpuannya hilang bila terkenang hal semalam.

“Macam mana sajak yang aku tulis boleh sampai US? Siapa yang bawa ke sana? Jangan-jangan surat aku pun kena baca. Memang malu muka aku.” Sufie gigit pen. Terjungkit kening. Pandangannya ditala pada Italian Pasticceria Café.

Jam begini pintu kafe masih tertutup. Seminit dua lagi pasti kumpulan gadis-gadis cantik akan tiba. Sufie senyum.

“Macam-macam ragam manusia. Corrado pun satu. Dalam banyak-banyak yang menempel tak kan tak ada yang dia sangkut. Pelik juga citarasa orang hensem ni,”

“Awak seru nama saya ke?” tercatuk Corrado di belakang. Sufei terkejut.

“Awal datang. Ada tempahan nak kena siapkan,” teka Sufie.

“Tunggu awaklah,” tokok Corrado. Dia berselindung di balik pokok.

“Jauh menyorok. Sebelah saya masih kosong. Tapi tak boleh duduk dekat-dekat,” pesan Sufie.

“Kalau saya duduk sebelah awak, tak merasalah nak berbual panjang.”

“Apa yang boleh kita bualkan. Awak nak tanya sesuatu ke?” soal Sufie. Dia berkalih duduk. Agar senang menolah.

“Kalau saya Islam…” patah kata mati. “Awak sudi kahwin tak, kalau saya Islam?” terpancul juga ayat keramat itu.

Sufie ketawa mendadak. Setitis air matanya tumpah. Rasa bahagia bila Corrado menutur ayat begitu. Namun dia pasti itu hanya gurauan.

“Mestilah saya sudi… Rugilah kalau saya tolak jejaka sehensem awak Corrado. Tu… nampak,” jari runcing menala ke arah kafe. “ Tengok, beratur peminat awak duk tunggu. Alih-alih saya juga yang menang.”

Corrado menapak ke depan. Hatinya berbunga. Tidak disangka Sufie menerima. Dalam gagap dia berkata.

“Mahu bercinta tak?”

“Saya teringat pesan Al-Iman Hassan AL’Bana

Kalau bercinta, berkawan 20 tahun sekalipun. Kita tidak akan mengenal dia. Yang akan kita kenal adalah lakonannya.”

“Jadi awak tak mahu jadi kekasih saya,” layu nada Corrado.

“Tak… saya pilih kahwin.” Sufie senyum lucu. Wajah kelat Corrado dipandang.

“Saya tanya boleh?” aju Sufie.

“Apa saja,” balas Corrado.

“Kamu Ateis ke? Saya perhati kamu tidak seperti orang lain.” Sufie menoleh. Corrado berwajah selamba.

“TUHAN sudah lenyap ditelan kebijaksanaan manusia. Zaman moden siapa yang perlukan TUHAN. Semua perkara sudah mampu dilakukan manusia. Buktinya kita sudah mampu ke bulan,” meluncur laju ayat itu. Terselit keangkuhan dalam tuturnya.

“TUHAN menyayangi orang yang beriman kepadaNya, tidak lupa yang ingkar. Ajaib kan kasih sayang TUHAN,” kening Sufie terjungkit tinggi.

“Orang lemah saja yang perlukan TUHAN. Meyandarkan kelemahan diri pada TUHAN yang tak wujud,” sindir Corrado.

“Sama macam Nietzsche.” Bidas Sufie.

“Siapa dia?” kerut tergaris di wajah Corrado.

“Aik… satu aliran pun tak kenal. Makin pelik awak ni Corrado,” senyum sindir Sufie hadiahkan.

“Kalau saya tahu. Tak perlulah saya tanya,” balas Corrado manja.

“Nietzsche ialah orang yang pernah menggegarkan Eropah dengan pandangannya, TUHAN telah mati. Tahu kenapa sampai dia cakap macam tu?” duga Sufie.

“Tak. Saya tak minat nak tahu.”

“Jadi kenapa awak ikut falsafah dia?”

“Saya ikut diri sendiri. Bukan sesiapa,” tingkah Corrado perlahan.

“Biar saya beritahu. Nietzsche sebenarnya teruja dengan kehebatan ilmu pengetahuan. Bagi dia manusia telah menjadi hebat dengan ilmu. Malah dengan ilmu pengetahuan jugalah manusia dapat menguasai alam. Macam penemuan telefon. Penemuan ubat untuk siflis, TBC dan penyakit berjangkit.”

“Betul… dan itu bukti manusia tidak memerlukan TUHAN. Sebenarnya manusia berimaginasi pasal TUHAN sebab itu salah satu cara psikologi untuk menenangkan hati yang kecewa. Mungkin kecewa pada dunia dan perhubungan.” Corrado mendengus. Dirasakan ayat itu bakal mematikan hujah Sufie. Dia senyum manis, semanis kambing jantan berbau hamis.

“Kalau awak lihat dan perhatikan. Mesti awak perasan semakin manusia mencapai kesempurnaan semakin banyak kekurangan sebenarnya. Cuba awak lihat manusia mampu cipta teres menyalur lahar gunung berapi, malah boleh jangka bila gunung berapi akan meletus.

Tapi awak harus ingat, manusia masih tidak mampu menahan gunung berapi daripada meletus. Yang paling kritikal. Kita semua tak mampu menghentikan penuaan diri yang berlaku, hari demi hari. Akhirnya kita tetap mati.

Di mana Nietzsche sekarang. Dia sudah lama mati, sedang TUHAN tetap ada. Itu sudah cukup bagi saya untuk menyatakan kita lemah dan memerlukan TUHAN. Dan kita kuat bila TUHAN bersama.” Sufie senyum. Tidak disangka hobi suka membaca banyak manfaatnya.

Corrado mendengus. Masih tidak berpuas hati. Baginya jawapan Sufie lebih kepada teori. Tiada bukti. Siapa-siapa pun boleh kata TUHAN itu wujud. Masakan tidak, sejak dari kecil sudah dipsiko yang TUHAN ada. Lama-lama bila dah melekat macam tulah jadinya.

“Manusia mundur,” luah Corrado tiba-tiba. Tidak disangka Sufie mendengar.

“Masih tak percaya TUHAN wujud?” usik Sufie. Sebenarnya dia tidak berniat memaksa Corrado menerima pendapatnya. Hanya berkongsi.

Awak tidak pernah lihat TUHAN. Jadi kenapa hendak percaya yang TUHAN ada,” senyum Corrado.

“Awak cintakan seseorang Corrado?” aju Sufie. Ditenung wajah separuh Corrado.

“Ya! Dan saya benar-benar cintakan dia,” melankolis nadanya.

“TIPU… saya tak percaya langsung,” pangkah Sufie.

Tercengang Corrado. Tidak disangka luahan hati dicantas.

“Kenapa tidak percaya. Jahat sangat ke saya, sampai awak kata begitu?” lemah Corrado menyoal.

“Ya. Memang saya tak percaya. Sebab kata-kata awak dusta.” Sufie berwajah polos.

“Kenapa awak kata saya tipu?” nadanya makin lemah.

“Saya nak tanya. Awak pernah nampak dengan mata awak sendiri tak CINTA?”

“Tak.”

“Bermakna awak tipulah tu,” senyum lembut Sufie lemparkan. Corrado jadi penasaran.

“Cinta memang tak nampak, tapi saya boleh rasa dan saya yakin cinta wujud.” Corrado bersungguh-sungguh.

Sufie ketawa. Pertama kali dia melihat ketawa Sufie. Hatinya terpesona. Barisan gigi putih Sufie menyihir. Mata biru bundar gadis itu juga tidak kalah.

“Maaf Corrado. Saya hanya nak uji awak. Nak tahu pendapat awak.”

“Uji!” tercengang Corrado.

“Ya lah. Awak perasan tak, yang cinta tak terlihat itu boleh diumpamakan macam TUHAN. Tak dapat dilihat, tapi dapat dirasa.”

Sufie membelek-belek buku yang dibawa. Sekilas direnung jam tangan.

“Saya tinggalkan buku kat atas bangku ni. Ambil dan baca. Saya nak cepat.”

“Bukan ke sekolah bermula pukul 10 pagi,” terkebil –kebil Corrado menyoal.

“Ada kerja sikit. Maaf,” terkoncoh-koncoh Sufie berlalu. Corrado senyum melihat langkah Sufie yang sudah teratur.

Bila kelibat Sufie menjauh dia keluar dari balik pokok dan ke bangku. Di ambil dan diamati judul yang tercetak. ‘ ALLAH MERINDUI, KENALILAH DIA.’

Corrado terjelupuk duduk. Hatinya dikelubungi rindu. Namun entah pada siapa atau apa. Bibirnya bergetar. Hatinya berkata.

“TUHAN ajarkan aku mencintaiMu. Aku mahu kenali siapa Engkau.” Corrado menyeka mata yang bergenang. Dia bangkit dan bergerak ke kafe.

***

“Naik kematu tapak kaki aku. Pukul lapan setengan baru sampai. Janji pukul lapan. Memang janji melayu. Tengok tuan macam minah saleh,” bebel Tariq.

“Aku terserempak Corrado tadi. Tu yang lambat sikit. Maaf”

“Patutlah… jumpa buah hati rupa-rupanya. Kau suka kat dia eh… boleh tahan citarasa kau ni,” sakat Tariq. Memang dia tak senang duduk kalau tak menyakat. Siapa saja akan disakat dan diusik.

“Dia tak pandangnya aku. Kami borak-borak kosong tadi. Tak sedar terlewat. Mana penyelia dengan Sya? Kata ada mesyuarat.” Sufie memanjangkan leher, mengintai-intai kelibat penyelia dan Sya.

Memanglah ada meeting. Tapi kita berdua saja.” Tariq ketawa lagi. Memang jenis kanak-kanak ribena, terlebih aktif.

“Meeting apanya kalu dua orang?” soal Sufie tak selesa.

“Alah, takut sangat. Dengan Corrado boleh pula duduk berdua-duaan.” Tariq buat muka merajuk.

“Apa yang darurat sangat sampai panggil aku pagi-pagi ni.” Sufie senyum kecil, dan senyuman itu memujuk rajuk Tariq.

“Tolong aku cari maklumat siapa gadis yang derma hati kat aku?” rayu Tariq.

“Kau nak ajak dia kahwin ke?” butang mata Sufie menyoal. Dia sedikit ke hadapan.

“Aku nak kahwin dengan dia. Aku tak mahu kahwin dengan gadis lain. Aku dah janji dengan diri aku, yang aku hanya akan kahwin dengan dia,” bersungguh Tariq.

“Entah-entah gadis tu dah beranak pinak. Kalau tak pun, muka dia macam tersepit celah pintu. Kau sanggup ke Tariq?” usik Sufie.

“Aku tak kira, yang tu belakang kira. Aku nak cari juga gadis tu.” Tariq berkeras.

“Dah Miera kau nak letak kat mana?” bantah Sufie. Pening kepala dia bila memikirkan perangai orang lelaki yang macam budak kecil.

“Dia boleh blah… aku tak sukakan dia mak aku yang paksa. Aku tak pernah suka pun kat dia.”

Wajah Rijal muncul lagi. Dia teringat malam pertama bila Rijal meluahkan ayat yang lebih kurang sama. Sufie pegun seketika.

“Kalau tak suka jangan bertunang dari mula. Kau tahu tak perangai kau macam budak-budak. Kau ainaya Miera. Aku tak mahu dan tak akan masuk campur.” Sufie marah. Giginya mengetap-ngetap geram, matanya membulat. Dia berlalu meninggalkan Tariq yang kelu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.