Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 19- CEMBURU CORRADO

Sufie terkial-kial. Hari pertama dia di dapur, nampaknya belajar menguli, mencanai dan merias pizza masih belum cukup. Ilmunya ibarat setitik air di lautan, masih banyak yang perlu dipelajari.

Seperkara lagi. ‘Ahad’. Bila sebut pasal Ahad, semua orang tahu maksud cuti dan kesesakan. Kesesakan kerana bergandanya bilangan pelanggan yang datang. Mana tidaknya habis kaum kerabat diangkut. ‘Huh… memang terkejar-kejar jadinya.’

Hari Ahad adalah hari yang paling ditakuti krew-krew Italian Pasticceria Cafe . Hari di mana Arturo bertukar menjadi sembilan puluh sembilan peratus musang pendek yang gila. Hari di mana para krew terpaksa menggandakan kelajuan ke tahap maksimun. Hari di mana percakapan paling minimum berlaku. Pendek kata hari yang paling memenatkan.

“Kak Sufie ok tak? Terkial-kial saya tengok.” Boy separuh berbisik.

“Nak kata pun tak kena Boy. Tapi hari pertama yang mencabar jugalah. Cabaran itu kan menyeronokkan,” wajah dia kelat. Senyum paksa dia lirikkan.

“Kena siap sebelum pukul sembilan! Saya tolong Kak Sufie, nanti cepat sikit.” Boy menawarkan bantuan.

“Alhamdullilah… terima kasih Boy,” wajah riang Sufie menjelma. Lega rasa hati.

Boy mula menggelek doh pizza. Pantas, dan itulah perkataan yang layak untuknya.

“Boy… balik ke stesen kamu. Itu tugas Sufie,” giat satu suara. Suara yang dikenali Sufie.

Corrado yang sedang memotong bahan untuk pasta memandang. Tegas dan tajam renungannya. Boy senyap. Sufie berwajah tenang.

“Tapi kalau biar Kak Sufie buat, takut tak terbuka kedai,” getar bibir Boy terluah.

“Balik ke stesen kamu. (Lo sonoil managerqui) Saya manager di sini. Dengar dan ikut arahan diberi,” suara tegas Corrado kedengaran. Kali pertama didengari Sufie. Mungkin kerana dia bukkan krew dapur.

“Baik chef,” langkah Boy laju.

Corrado menyambung kerja. Tidak dapat dinafikan yang Sufie sedikit terkejut melihat sikap Corrado. “Kus... semangat.”

Tapi terkejut itu tidak lama. Dipujuk hati, “Biasalah bos kenalah tegas bila kerja.” Sufie kembali senyum. Ketawa kecil bila merasakan perkara tadi lucu. Mengundang perhatian Corrado. Dia leka seketika.

“Auch... (Le mie dita) Jari saya.” Diangkat tangannya. Setitik demi setitik darah menitik. Lukanya tidaklah parah, namun menjentik gelisah Sufie.

Krew lain tidak menyedari, mungkin kerana sibuk atau segan. Maklumlah Corrado terkenal dengan sikap pendiam dan sukar bergaul.

Sarung tangan polly D untuk makanan disarung Sufie. Tangan Corrado ditarik. Terkejut Corrado yang sedang leka melihat darah menitis. Kepala paip diputar kecil lalu dilalukan air ke atas jari yang luka. Tekun dia memerhati luka, hingga tidak perasan renungan Corrado yang jatuh pada wajahnya.

“Dia masih menjaga hak Engkau TUHAN. Layakkah aku untuk dia?” soal Corrado. Dia yakin TUHAN mendengar. Getar datang tiba-tiba. Mungkinkah getar cinta?

Sufie ke kotak kecemasan. Diambil plaster luka, dibuka mahu dibalut jari Corrado. Tetapi ditepis.

“Saya tak suka plaster luka itu. Saya geli dengan tekstur dan warnanya. Lagi pula selang sehari dua mesti getah dia melekat di jari. Kotor.”

Sufie senyum. Tapi kelat, mungkin risau. Corrado gembira bila dirasakan dirinya disayangi.

“Awak sapu ubat luka ni dulu. Lepas tu tampal plaster ni. Luka awak agak dalam,” cemas nada Sufie. Dia ralit memerhati luka dijari Corrado.

“Sapu ubat luka saya ok. Tapi bab plaster itu saya tak mahu. Rimas nak buat kerja. Tak selesa,” pangkah Corrado. Nadanya romantis mengundang getar Rozita yang kebetulan di situ menunggu pesanan.

“Oh… alangkah bagus kalau kau seromantis tu dekat aku.”

“Pakai sajalah, nanti luka awak terjangkit kuman,” pujuk Sufie.

“Kenapa awak risau Sufie?” jeling Corrado.

“Sebab awak sahabat saya. Sahabat yang saya hargai. Balut cepat,” arah Sufie. Ditarik tangan Corrado kasar.

“Kasarnya. Saya tak suka plaster mengerutu tu. Tengok,” disuakan plaster kepada Sufie, “Warna kuning dia macam nanah. Boleh tukar plaster yang lain?” degil Corrado makin menjadi. Sufie pelik kenapa dia boleh sedegil itu.

“Nak yang cantik… tunggu kejap.” Sufie tersengih kecil. Makin angau Corrado.

Ditarik laci kabinet. Sebatang pen marker berwarna hitam dikeluarkan. Dilukis sepasang mata bersama senyuman pada plaster luka. Agak menarik dan comel.

“Semua masalah boleh diselesaikan. Jeng… jeng… plaster baru. Cari kat kedai pun tak dapat,” membulat mata Sufie ditambah senyuman manis.

Sah-sah Corrado beku. Rozita menjauh hati, boy mula menyedari isi hati Corrado. Yang lain masih pantas berkerja.

“Cantik… boleh tahan. Tolong tampal.” Corrado gagap tiba-tiba. Macam berlian nak diluah keluar.

“Baik! Hulurkan tangan.” Sufie ketawa kecil. Bagai mendengar melodi indah, Corrado terpana seketika.

Siap menampal, ditangglkan sarung tangan poly D. Sufie kembali ke stesennya . Masih seperti tadi, dia terkial-kial. Corrado senyum bila melihat senyuman pada plaster luka itu. Dicium palaster itu. Terasa bahagia menyelinap ke sanubari. ‘Walau siapapun KAU TUHAN. Tolong jadikan dia kekasihku.’ Getus Corrado.

Arturo masuk. Bila sebut Arturo memang tidak sah kalau tidak membebel. Mangsa pertama adalah Sufie. “(Velocemente) Cepat,” Misai dia bergerak-gerak, seiringan mulut lazernya. Sufie tersentak, namun masih tenang seperti biasa.

Arturo makin marah bila melihat reaksi Sufie. Seperti kewibawaannya dicabar. Dia mendengus kasar.

“Kerja laju lagi. Sudah hampir pukul sembilan. Pastikan semua pizza siap dibakar tepat pukul sembilan. Tak boleh terlewat walau seminit,” keras Arturo memaksa. Dia bercekak pinggang kemudian menarik kolar baju. Diperhatikan Sufie agak lama dengan mata mencerlang dan gigi yang diketap-ketap.

“Fizi!” Laung Arturo.

Fizi yang sedang membakarsfogliatelli berpaling laju. Dia gugup. Siapa-siapa pun akan gugup jika terpaksa berhadapan dengan musang pendek itu.

“Kamu tolong budak ini,” diperhatikan Sufie, “Lembab.” Giatnya.

Fizi angguk patuh. Kerana mengejar masa, pantas dia berkerja. Sudah beberapa kali tangannya tersentuh tangan Sufie dan berkali-kali jugalah dia meminta maaf. Sekaligus menarik cemburu Corrado.

Terkumat-kamit mulut Corrado menyabarkan hati yang terbakar. Dia ingat kerjanya makin fokus bila Sufie di dapur, namun lain pula jadinya. Makin resah, makin gelisah, makin beronar. Sudah lama perasaan sebegitu tidak singgah, dan dirasakan makin hebat berbanding sewaktu mencintai Miera.

“Tak boleh jadi ni. Setiap saat makin gila aku dibuatnya. Kalau dibiarkan silap-silap makan pisau Fizi aku bagi.” Corrado mengomel.

Rozita kembali lagi, mengambil makanan yang sudah siap. Sempat dia menyindir Corrado. “Gelisah nampak… kalau memberi biarlah pada yang sudi. Kan dah susah sekarang, macam anak tikus telan racun!” tekan Rozita.

“Hidangan sudah siap. Jangan buang masa. Pelanggan masih ramai. Nanti sejuk, pelanggan suruh masak yang lain.” Corrado jeling. Nadanya geram.

“Marahlah tu. Cakap pun meninggi suara. Memang sah-sah angau!” geram Rozita terburai. Sebenarnya dia hampa dengan layanan itu.

Fizi ketawa tiba-tiba. Darah Corrado tersirap pantas. Mungkin melebihi seratus darjah Celsius. Dipandang pantas. Sufie kelihatan tergamam, mungkin dia buat silap. Manakala Fizi berkata lembut. Makin mendidih suhu cemburu Corrado.

“Tak apalah Su, nanti saya bantu apa yang patut. Su pandai sebenarnya. Cuma perlu lebih masa saja. Saya sudi membantu kalau perlu. Bila-bila masa,” senyum nakal Fizi lirikkan.

Corrado mendengus. “Lelaki gatal.”

Laju dia melangkah merapati dan berkata tajam. Sufie dan Fizi tersentak dengan nada yang tidak dijangka itu.

“Fizi kamu pergi balik stesen. Sudah hampir pukul sembilan. Kalau betul pun nak mengorat, lepas kerja bolehlah buat. Jangan nampak macam gersang,” muncung mulut Corrado. Dia sendiri pening dengan sikapnya itu. Fizi menghindar, sempat dia terkebil-kebil. Sufie beristigfar.

“Biar saya bantu kamu.” Corrado pantas mencanai doh. Sufie pula menyapu puri tomato dan merias pizza dengan pepperoni, cili bengala, buah zaiton dan menabur beberapa jenis keju.

Dia hanya berzikir halus, tidak didengari. Corrado gelisah. Marahkah dia kepadaku? Persoalan itu melayah ke hatinya bertalu-talu. Sesekali dijeling Sufie, namun gadis itu masih tekun menyiapkan kerja.

“Marah!” aju Corrado lembut.

“Kenapa tanya?” balas Sufie. Sempat dilayangkan senyuman.

“Risau awak terasa hati dengan apa yang saya cakap tadi,” tekan Corrado.

“Alhamdullilah. Saya ok saja. Mungkin yang terasa hati Fizi.Awak tahu kan kenapa?” bidas Sufie tenang.

Corrado kembali berang bila nama Fizi disebut. Ditahan perasaan itu. Sebulan dua ini perasaan cemburu sering menjentik jantung. Bergetar laju dibuatnya. “Huh… “ Keluh Corrado. Perasan yang tidak pernah dimergertikan Sufie.

“Lelaki miang tu…” Keras Corrado bersuara.

Sufie memintas sebelum habis dia berkata. Pincing matanya. Jari diletak ke bibir, isyarat diam. “Perlahan sikit. Terasa Fizi nanti.”

Makin bergetar hati bila matanya melihat jari runcing dan merah merekah bibir Sufie. Namun cemburu bangkit bila nama Fizi disebut.

“Fizi… Fizi… dan Fizi. Boleh tukar nama lain tidak? Awak minat dia agaknya.”

Sufie menjatuhkan pandangan ke wajah Corrado. Ditenung lembut tanpa sepalit senyum. Corrado jadi pegun. Agak lama, entah apa yang ditilik pun tidak pasti, yang pasti renungan lembut itu melumpuhkan kelelakian Corrado. Wajahnya merona merah.

“Awak ada masalah dengan Fizi? Jujur dengan saya,” pinta Sufie lembut. Akhirnya terpalit juga secalit senyuman. Namun serius.

“Mana ada. Saya ok dengan semua krew.” Corrado berpaling, berlagak jantan.

“Jadi cuba terangkan kenapa perkara tadi boleh berlaku.” Sufie ke hadapan dan separuh berbisik. Corrado menapak ke belakang, mencari ruang.

“Saya tak suka lelaki gatal! Adakah jawapan itu sudah cukup untuk awak Cik Sufie…” Corrado menunduk, separuh berbisik. Nadanya tegang.

“Bagi saya dia tak gatal. Cuma peramah. Awak kan tahu dia sama macam Rozita, suka menyakat,” bela Sufie.

“Dia gatal… dia gatal… dan dia gatal… dan saya tidak akan ubah pendapat saya itu,” bangkang Corrado. Semakin rendah dia menunduk. Sufie cuba mengelak, namun terhantuk bibir Corrado.

“Aduh… “ Seisi dapur berpaling. Bibir Corrado pecah ada darah mengalir. Mungkin terkena kerongsang pada tudung.

“SUBHAANALLAAH,” Sufie terkejut. Perkara yang tidak disangka berlaku. Peti kecemasan dibuka lagi. Kapas dan ubat luka diambil.  Tanpa persetujuan, bibir tipis Corrado dibersihkan dengan air kemudian disapu sedikit ubat. Dia berhati-hati agar tidak tersentuh kulit Corrado. Mahu pitam Corrado rasakan. Mahu sahaja dia menjerit betapa dia gembira diperlakukan begitu. Matanya tidak lepas memerhati Sufie.Benarlah kata-kata Rozita yang Sufie tidak kalah cantikannya dengan gadis-gadis normal. Tapi bukan itu yang dicintai, sebaliknya akhlak Sufie.

Para krew lain sudah tidak mempedulikan mereka berdua, maklumlah lagi setengah jam sebelum jarum jam menikam angka dua belas dan sembilan.

Sufi jeling stesennya. Masih banyak doh yang belum dicanai. “Kena bamboo dengan chef la jawabnya lepas ni,” kening diangkat. Sufie senyum pada Corrado.

“Masih tenang. Tak takut kena leter dengan chef?” aju Corrado. Rasa bersalah menjelma.

“Tak apa, ada yang menemani saya. Kuranglah sikit takut saya.” Sufie masih senyum. Dia mula melangkah. Berharap masih sempat menyiapkan beberapa keping pizza.

“Siapa temankan awak? Fizi ke?” aju Corrado geram.

Fizi tersentak bila namanya dilaung. Dia kembali menyambung kerja bila wajah tegang Corrado tidak memandangnya. Sufie geleng kepala. Naik pening dia dengan perangai Corrado yang keanak-anakkan itu.

“Allah yang temankan saya. Dekatnya Allah melebihi dekatnya urat leher saya sendiri,” jari Sufie menekan lembut leher. Dia kembali mencanai doh.

“Saya tolong…” Tangan Corrado pantas bekerja. Macam mesin, tidak terkejar Sufie.

“Hebat…” Puji Sufie. Kembang hidung mancung Corrado. Hatinya berbunga.

“Kenapa sejak kebelakangan ni perangai awak agak lain?” soal Sufie. Separuh berbisik.

“Awak rasa?” jeling Corrado manja.

“Ada awek kacau awak lagi ke? Mereka bagi dan minta yang pelik-pelik lagi ke?” lembut Sufie bertanya. Simpati dengan nasib Corrado. Memang dia sering diganggu gadis-gadis yang mengharapkan cintanya.

“Ada gadis tolak cinta saya…” Tegang dan tersekat-sekat nada Corrado. Tangannya kini pantas merias pizza.

Sufie ketawa geli hati. Ketawanya lirih, tidak didengari. “Siapa gadis malang tu? Ada juga yang tolak orang sehensem awak.”

“Bukan gadis tu yang malang tapi saya. Mungkin saya tak cukup baik,” rajuk Corrado.

Sufie tersentuh. Kasihan sahabatnya. Patutlah kelakuannya agak kebudak-budakkan kebelakangan ini. Rupa-rupanya hatinya sedang duka.

“Siapa gadis tu? Biar saya jumpa. Saya akan terangkan betapa baiknya awak, Corrado,” pujuk Sufie.

“Awak rasa saya baik ke?” aju Corrado teruja. Dia mengiring ke arah Sufie.

“ALHAMDULILLAAH! Mengenali awak salah satu rahmat buat saya. Seorang lelaki yang berjiwa lembut dan penyayang. Bukan ke saya dah pernah beritahu sebelum ni. Saya suka berkawan dengan awak. Moga-moga gadis itu juga terbuka hati menerima lelaki sebaik awak.”

Kembang-kempis hidung Corrado. Terasa dunia dia yang punya. Dia mengelamun seketika, terbuai dengan kata-kata Sufie. Sah malam ini dia tidak akan dapat tidur sampai ke pagi.

“Kalau saya kata gadis itu awak. Percaya tidak?” sengih Corrado.

“Ish… Ke situ pula. Tak perlulah bergurau macam tu. Nanti silap-silap saya jatuh perasan, naya awak. Siang malam saya kacau.” Sufie ketawa.

“Saya sanggup kena kacau, asal yang mengacau itu awak Sufie.” Corrado mengirai ketawa.

“Alamak tinggal lima belas minit lagi… kena cepat.” Mata Sufie melirih jam. Makin pantas mereka berdua berkerja.

Corrado senyum. Berharap yang suatu masa Sufie sedari yang dia tidak pernah mengusik betapa dia mencintainya. Sufie menjeling Corrado. Wajah kacak dambaan para gadis itu tidak sanggup diimpikannya. Kata-kata Corrado tidak lebih daripada usikan jejaka kepada gadis. Tanpa paksa wajah Rijal muncul dan senyum.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.