Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 28- PERTEMUAN

Hujan malam turun lebat, setelah sekian lama daerah itu tidak diratapi awan. Bintang-bintang hilang di balik selimut malam, malah bulan juga ikut merajuk. Maka murunglah langit malam, tiada lagi pestaria dengan tarian bintang dan senyuman bulan.

Di pinggir pintu paling hadapan. Matanya melatari  laman anjung. Meliang- liuk pokok di taman diasak angin dan diterjah hujan. Mungkin kalau boleh dibaca hatinya kala itu, keadaannya adalah sama. Saat ini hatinya gugup, ketar tangannya ketika itu. Entah mengapa dia sendiri tidak tahu, yang pasti jantungnya menendang dada. Kencang sekali.

“Astagfiruwah… Ya Allah kenapa ni? Hatiku tak tenteram, tak tenang. Mungkin ni petanda?”

Corrado muncul, satu senyuman disimpul selepas matanya menangkap senyum yang tidak lekang di wajah Sufie.

“Jom… Kita mesti sampai sebelum pukul sembilan. Rozita sedang menunggu di tempat letak kereta. Saya suruh dia keluar dahulu. Hujan masih lebat. Mari saya payungkan. Jangan risau payung ini besar, lebih dari cukup untuk mengelakkan kita bersentuhan.”Corrado menekan punat kecil di batang dan payung merah mengembang. Ternyata benar, payung itu cukup besar.

“Tak manis, dan saya tak biasa berpayung macam ni. Saya cari payung lain. Mungkin ada payung dalam bilik persalinan. Awak pergi dulu, nanti saya susul.”

“Saya sudah agak…”Corrado melangkah merapati pasu bunga bersaiz besar. “ Ini payung untuk kamu. Saya sengaja selit celah pasu… Nah.”

“Terima kasih Maaf kalau awak tak selesa dengan cara saya,”gumam Sufie sebelum senyum tipisnya muncul. Hatinya masih resah, masih teragak-agak dengan keputusan yang diambil.

“Ummm…Ya. Saya sedikit tidak selesa, tapi tidaklah sampai menjengkelkan. Kalau tidak menjadi salah, boleh saya kata sesuatu?”aju Corrado. Renungan mesranya bertukar kepada renungan yang mendebarkan dada. Sufie berkalih pandangan.

“Apa dia?”Tanya Sufie tanpa berpaling.

“Kamu bahagia dengan hidup kamu? Kadang-kadang saya rasa kamu sengsara! Terlalu banyak peraturan. Betul ke, kamu benar-benar bahagia?”soal Corrado dengan nada gusar. Terpalit nada kesal dengan cara hidup Sufie yang dianggap penuh kekangan.

Tersentak dengan pertanyaan yang tidak disangka itu, Sufie berpaling. Senyum tipis dengan wajah tenang yang tidak menunjukkan tanda amarah, menjadikan Corrado malu. Tidak disangka gadis Albino itu mampu setenang itu. Jauh sekali dengan berita dan cakap-cakap yang pernah dia dengar berkaitan umat islam. ‘Mungkin ini keindahan sebenar islam? Tenang dan santun dalam amarah,”detik hati Corrado.

“Saya berjalan agak lambat, kena pula hujan tengah lebat. Mata saya pun tak berapa bagus bila malam. Rasanya sempat kalau saya terangkan sambil berjalan.”Sufie membuka payung kecil berbunga putih, tanpa mengajak Corrado, dia melangkah.

Sepantas itu juga jejak derap Sufie dituruti. Bersaingan mereka berjalan. Walaupun begitu jawapan yang ditunggu belum terluahkan oleh Sufie. Dia masih menanti. Bila langkah mereka menghampiri lorong pejalan kaki berbumbung. Payung dikuncupkan mereka berdua. Usai perlakuan itu, Sufie melantun kata.

“Ya. Saya bahagia,”pendek dibalas Sufie.

“Err… Itu saja. Puhhh… Rasa macam orang bodohlah pula. Saya harapkan jawapan yang lebih memuaskan hati,”kesal Corrado terluah.

“Jadi apa yang awak harapkan?”aju Sufie kembali. Sesekali langkahnya tersasar, menerbit gusar Corrado.

“Jawapan yang dapat memuaskan hati saya!”

“Saya jawab kemudian. Sekarang jawab soalan saya. Pernah bercinta? Jangan kata tak! Mustahil lelaki sekacak awak tak pernah bercinta.”

Tertunduk Corrado seketika. Persoalan itu melilit hati. Ah! Memang dia pernah bercinta, malah cinta yang dirasakan ikhlas itu akhirnya dikhianati oleh orang dicintainya.

“Pernah…” mendatar sahaja.

“Miera,” teka Sufie tanpa memandang.

Terhenti langkah Corrado. Tidak disangka lain yang diharap lain pula yang berlaku. Bila dilihat Sufie masih melangkah tanpa menghiraukannya, mahu atau tidak terpaksalah dihayun langkah kembali.

“Bestkan bila bercinta! Macam-macam benda sanggup buat sebab nak rebut cinta. Mesti ramai kata awak buat kerja bodoh, sampai sanggup seksa diri sendiri masa tu kan?”

“Ya… Saya akui perkara tu. Tapi saya tidak pernah rasa itu kerja bodoh. Jauh sekali menderita. Saya bahagia.”Corrado angkat tangan tanda bersumpah. Senyum Sufie sedikit menyebalkannya. Dikira yang gadis albino itu tidak mempercayai kata-katanya.

“Betul saya tidak tipu! Saya bahagia buat semua itu. Mungkin di mata orang Nampak saya merana, tapi hakikatnya saya gembira. Tidak sedikit pun derita.”

Makin bersungguh Corrado mempertahankan pendapat, makin lebar pula senyuman terukir di wajah Sufie.

“Sekarang, awak dah jawab soalan saya tadi.”Sufie melangkah. Baru setapak dua dia kembali berpaling. “Tiada istilah berkorban dalam bercinta atau mencintai. Tahu tak kenapa?”soal Sufie. Satu renungan tajam dilemparkan. Terpana Corrado seketika, itulah kali pertama dia lihat renungan itu dari Sufie. Dia geleng kepala selepas mengangkat bahu.

“Bila cinta menyapa, duka sama macam mawar merah yang cantik dengan haruman semerbak, dan gembira pula seperti kepingan coklat yang enak dikunyah. Manis mencair. Dua-dua membawa bahagia.”Sufie kembali melangkah.

Langkah Corrado masih terhenti. Diperhati Sufie. Ada kagum yang menyubur. Dirasakan dia sedang bermimpi, tidak disangka dia akan bertemu dan berkenalan dengan gadis seperti itu. Bukan tidak pernah dia bertemu atau berselisih dengan gadis berpurdah dan berjubah labuh, namun rata-rata hanya memandang sepi kepadanya. Mungkin mereka takut timbul fitnah jika menghadiahkan sekeping senyuman. Khayalannya mati bila Sufie mengamit dari jauh. Disusun kembali langkah yang tertunda.

“Siapa kawan baik awak tu?”aju Sufie sebaik Corrado tiba.

“Sahabat lah… Kami dah macam adik-beradik. Pasti kamu suka bila bertemu dengan dia.”Makin laju langkah diatur.

Kelibat Rozita bersandar pada kereta sambil menyilang tangan kelihatan dari jauh. Sesekali gadis montel dengan baju panas besar itu memandang sekeliling dengan raut wajah resah.

“Sini… Sini…”jerit rozita riang. Tangannya mengamit dari balik hujan lebat.

“Nampaknya kena redah hujan lagi,”usik Corrado.

“Tak apalah, hujan rahmat. Hadiah Tuhan untuk seisi bumi.”Tanpa menunggu, Sufie mengatur langkah hingga terlupa untuk membuka payung di tangan. Corrado jadi pelik, gadis yang begitu teliti boleh terlupa untuk berpayung, walhal payung itu digenggam erat.

Makin menghampiri kereta Corrado, semakin kencang jantungnya berlari. Ah! Sebenarnya ketika Rozita melambai, ingatannya sudah melayang bersama ketenangan yang luput. Dia benar-benar ketakutan. Takut kepada sesuatu yang terhijab oleh akal.

“Kak Sufie pucatlah!”terperanjat Rozita melihat wajah Sufie.

“Ok, Tak? Kalau tidak, saya pergi dengan Rozita saja,”tingkah Corrado. Wajahnya terpalit gusar.

Kembang hidung Rozita bila mendengar kata-kata itu. Dan dia benar-benar berharap yang Sufie akan bersetuju dengan cadangan Corrado. Andai kata dihimpunkan semua doa-doanya dan salah satu bakal dimakbulkan, maka dia berharap yang doanya pada malam ini tertunai.

“Awak dan Rozita? Berdua?” soal Sufie dengan kerut di dahi.

“Yup… Berdua. Kamu tak keberatan kan Rozita?”aju Corrado sebaik berpaling memandang Rozita.

“Tak! Ok aje.” Rozita melangkah setapak setelah dirasakan suaranya perlahan. Mungkin gugup.

No way . Saya akan ikut. Tak manis anak dara dengan anak teruna berdua-duaan. Bimbang ada yang tumbuh tanduk. Dah, mari kita pergi sekarang,” usik Sufie. Corrado faham dalam usikan itu ada tegas yang terpasak, dia ketawa, manakala Rozita mencemik kecil. Hampa.

Sepanjang perjalanan Sufie diam. Jauh matanya merayap, nun sejauh yang mampu. Hanya Rozita yang rancak bercerita. Misinya hanya satu, menggunakan kesempatan yang ada untuk memenangi hati lelaki pujaan. Melalui cermin pandang belakang, Corrado memerhati wajah Sufie. Ada gelora yang sedang membadai pada raut wajah itu. Sesekali tumpuannya terganggu apabila Rozita menarik lengan baju yang dipakai. Naik meluat pula dia dengan perlakuan Rozita itu.

“Kamu ok! Dari tadi senyap tidak bersuara. Kalau malas saya hantarkan kamu berdua balik,”nada mendatar Corrado lantang menerjah.

Sekilas Rozita berpaling pada Sufie sebelum pandangannya bertaut pada Corrado pula.

“Kami ok sajalah. Kak Sufie tu bukan apa. Gembira sangat tengok lampu waktu malam. Bukan selalu dia keluar malam. Tak ada apa-apalah. Tak payah risau.”

“Insay-ALLAH saya ok… mungkin penat sikit. Hari ni kan hari Ahad,”dalih Sufie.

Makin menghampiri tempat dituju, semakin getar menyapa hati. Makin terketar-ketar tangannya. Dia beristigfar lagi. Kali ini terkumat-kamit mulutnya. Ada resah yang sukar ditafsir. Ada hati yang melonjak-lonjak. Di antara gembira dan sedih, dia buntu sekarang.

“Dah sampai ke Corrado?”takjub Rozita menyapa.

“Ya. Kita akan ke oriental kitchen dekat sayap kanan hotel. Kawan saya sedang menunggu kita di sana.”

Lemah langkah yang dihayun, menarik perhatian Corrado. Rozita mula mencemik bila dirasakan lelaki bermata hijau laut itu pilih bulu.

“Jalanlah dulu. Saya sejuk. Mungkin sebab kena hujan tadi. Nanti saya cari awak dekat sayap kanan hotel.”Sufie melabuhkan punggung di kaki tangga bersebelahan susur besi dengan kerawang berbentuk bunga Casablanca. Kakinya benar-benar lemah. Dirasakan, andai dia terus melangkah, mungkin dia akan jatuh.

“Saya bimbang kamu sesat.”

“Tak apalah. Saya boleh tanya petugas hotel. Awak pergilah dulu.”

“Saya teman kamu. Saya telefon kawan, suruh dia tunggu.”Telefon bimbit bersaiz sederhana dikeluarkan dari poket seluar jean yang dipakai. Namun belum sempat nombor didail, Rozita datang menarik tangan Corrado.

“Tak payahlah. Saja nak buat Kak Sufie susah hati. Dah jom kita pergi dulu, nanti Kak Sufie datanglah tu.”

Sufie senyum redup, tanda bersetuju. Rozita makin galak senyum apabila Corrado mula menurut.

Sufie memerhati dari kaki tangga. Dia duduk paling tepi, risau jika di tengah akan menghalang pergerakan tetamu yang datang. Dia mendongak langit memandang bulang. Kemilau cahaya itu mendamaikan hatinya seketika. Gemersik buluh cina berhampiran bagaikan simfoni indah buatnya saat itu. Dia hanyut dalam khayalan tanpa sedar.

“Cik boleh guna payung saya kalau nak,”suara menyapa tiba-tiba.

Dia memerhati di hadapan dan barulah disedari yang rintik hujan membasahi bumi. Ditoleh pula kepada suara yang berkata.

“Allahhuakbar,” getar sekali suaranya.

Tidak lekang walau sesaat matanya merenung wajah itu. Kepalanya berpusing dengan badan yang menggeletar hebat. “Betul ke apa yang aku lihat ni? Mustahil. Dia dah mati.”

“Siapa yang dah mati?” aju lelaki itu dengan kerut seribu. Kemudian dia sengih. “Maaf saya kena cepat ada janji dengan kawan.”

Sufie terpana tanpa kata. Dia benar-benar… Sukar sekali untuk dinyatakan seperti apa gelodak jiwanya saat itu, yang pasti dia merasakan seakan-akan rohnya disentap hebat. Seakan nyawanya mahu melayang, namun sukar melepasi jasad. Nafasnya tertahan.

Payung yang ditinggalkan lelaki itu dibiarkan ditiup angin. Dia kebasahan. Dalam ketar dia berpaut pada susur besi, menapak dalam payah. Penuh cermat agar tidak jatuh. Dia mahu mengejar lelaki itu. Mahu ditanya adakah dia adalah Rijal. Lelaki yang pernah dicintai.

Rozita menarik kerusi berhadapan Datin Abda. Wanita pertengahan usia itu dimatanya sungguh anggun dan bergaya. Corrado pula masih berdiri memerhati, cuba mengesan kelibat Sufie. Dia berharap yang gadis albino itu akan muncul sebelum sempat dia menarik kerusi.

“Kalau ya pun, duduklah dulu. Rijal pergi dekat kereta. Kata dia nak ambil sesuatu.”

Corrado menarik kerusi sebaik hampa menyapa. Baru sesaat dua, Rijal muncul dengan senyum penuh usikan. Rozita menjadi malu dan Corrado jadi serba-salah.

“Nampaknya merpati dua sejoli turun ke tanah akhirnya.”Rijal kenyit mata. Tangan Corrado dijabat sebaik lelaki Itali itu menyuakan tangan.

Datin Abda mencuri pandang ke wajah Corrado. Ternyata lelaki itu punyai ketampanan yang mampu mencairkan mata yang melihat. Ternyata Rozita gadis yang bertuah. Segelas jus oren disuakan kepada Rozita. Sebenarnya beliau sudah memesan seawal tadi lagi. Beliau berharap segalanya akan selesai awal. Rindu pada rumah agaknya.

“Comel!” Lentok kepala Datin Abda, Cuba memerhati Rozita yang agak menunduk. Apa lagi kembang-kempislah hidung Rozita bila dipuji.

“Ada special hari ni…”Rijal melatari satu persatu wajah yang ada di meja itu. Menambah gugup Rozita, menambah meluat Datin Abda. Hatinya masih berbulu dengan insiden yang berlaku sewaktu di dalam pesawat. Corrado pula hanya membisu kerana dia lebih berminat untuk menyilau kelibat Sufie.

Seorang pelayan berbaju putih dengan seluar polos warna hitam datang. Satu- persatu potongan kek Vanila dihidang. Seperti tadi ianya tidak menarik minat Corrado. Fikirannya melayang.

“Jemput makan. Jangan malu-malu,”pelawa Rijal. Ada renungan nakal bersama pelawan itu.

Kek Vanila itu amat menarik, sekaligus meruap rasa lapar. Masing-masing tanpa kata mula menyuap. ‘Nikmatnya’Agaknya itulah yang sedang bermain-main difikiran mereka ketika itu.

“Auchh… Sakitnya”Rozita berdengking sambil tangannya meluahkan sesuatu. “Cincin. Siapa punya?”

Rozita bingung. Diambil dan dibelek-belek lagi. Dia benar-benar tidak percaya. Ledakan ketawa terlerai selepas itu. Geli hati Rijal melihat keletah yang dirasakan begitu lucu. Manakala Corrado masih resah, mungkin selepas ini resahnya akan bertambah.

“Ada cincin dalam kek saya. Mungkin cincin chef terjatuh masa membakar kek,”teka Rozita dalam hairan.

“Mungkin kamu patut tanya chef sebelah kamu tu.”Rijal meyinggung lengan Corrado di sebelah, membuatkan lelaki itu terkejut. Ternyata dia khayal dalam dunianya dan tidak menyedari apa yang berlaku.

“Cincin siapa ni?”aju Rozita malu-malu. Sekilas itu dia terbayang drama melayu yang ditonton minggu lepas. “Dia nak pinang aku ke? Kenapalah dia tak cakap yang dia sukakan aku selama ni.”Rozita jadi kelu dan berkalih pandang. Makin berat untuk ditatap wajah lelaki itu. Namun hatinya benar-benar berbunga.

Corrado cuak seketika. Diperhati cincin di atas tapak tangan Rozita. Dia cuba mengingati sesuatu.

“Hey, kawan. Tu cincin yang kau tempah minggu lepas. Strait dari USA. Cincin lamaran untuk gadis pujaan hati kaulah tu. Aku suruh chef sumbat dalam kek tadi.”

Dup dap… Dup dap…. Begitulah irama jantung Rozita. Makin menunduk kepalanya saat itu. Dia merasakan yang dunia sudah bertukar menjadi syurga. Syurga kebahagiaan yang didambakan setiap gadis. Kini dia pasti yang Corrado mahu menyuntingnya.

“Aku kena berani. Aku kena gapai impian aku sekarang. Walau apa yang jadi aku tak akan lepaskan, walau untuk sesaat.”Rozita angkat muka sejurus itu. Dia benar-benar nekad. “Saya setuju terima lamaran awak.”

Kelu Corrado. Lain yang dirancang lain yang jadi. Mungkin silapnya juga kerana meninggalkan Sufie tadi. Sekarang salah faham sudah berlaku.

“Rosak rancangan aku. Rijal ini pun pandai-pandai ubah apa yang aku aturkan. Mungkin salah aku juga tidak beritahu yang Rozita ikut sama,”keluh Corrado sendirian.

“Semua dah selelai. Harap semuanya gembira. Rijal kamu balik dengan Corrado. Mama nak balik awal. Letih,”luah Datin Abda. Tanpa persetujuan Rijal, tangannya pantas mencapai kunci kereta. Beliau bergegas sejurus itu.

“Nampaknya ada lagi seorang penumpang. Hari ni aku tidur rumah kau sajalah. Esok pagi aku nak ke hospital melawat Dani. Kira esok gerak sekali.”Rijal berkata sebaik langkah mamanya hilang.

Ketika Datin Abda tergesa-gesa beliau terlanggar Sufie, menyebabkan gadis itu jatuh. Mungkin kerana tergesa-gesa mahu menolong beliau turut jatuh keranan lantai licin akibat air menitik dari baju kurung Sufie.

Pelayan hotel yang melihat bergegas datang membantu. Sufie membantu, walaupun cuba dibantu. Zahir dan batinya terasa longlai.

“Maaf puan atas kejadian yang menimpa. Mahu saya iring ke bilik?”tawar seorang pelayan kepada Datin Abda.

Sempat Datin Abda melemparkan seulas senyuman kepada pelayan itu selepas dia membetulkan baju. “Tak mengapa. Saya ok. Saya ke sini hanya makan. Rasanya dia yang patut dibantu. Kesian habis basah lecun.”

Datin Abda dan pelayan itu mendekati Sufie. Beliau menepuk lembut bahu Sufie dari arah belakang. Rasa bersalah terpamir di wajah. “Maafkan saya ya. Saya terburu-buru tadi. Ini kad saya, kalau ada kecederaan saya sanggup tanggung kos perubatan.”

Datin Abda merasakan yang Sufie tidak senang dengan kehadirannya. Buktinya dia tidak respon terhadap percakapan beliau. Malah pelayan yang cuba membantu juga tidak dihiraukan.

“Rasanya baik kita bertiga pergi. Mingkin cik ni mahu sendirian. Saya tinggalkan kad di sini. Apa-apa call ya.”

Sufie masih kaku. Ternyata semangatnya sudah disedut keluar. Titis demi titis air jernih menjatuh laju. Dia sendiri keliru. Jika sebelum ini dirasakan yang dirinya sudah cukup tabah. Namun permainan TUHAN merubah segalanya.

“Ya ALLAH. YA RAHMAN, YA RAHIM. Akukah hambamu yang tidak cukup dengan satu cinta? Kenapa aku masih gagal melupakan lelaki yang pernah menzalimiku. Lelaki yang melihatku tak ubah macam boneka. Aku sengsara di hari aku tinggalkan dia. Aku juga sengsara di hari kau jemput dia. Dan sekali lagi aku sengsara di hari kau pulangkan dia. Walaupun itu bukan dia.”

Dalam lemah, Sufie mengesot. Sedikit-demi sedikit, dipaut dinding dan digagahi untuk bangun. Janji harus ditepati. Janji yang dia akan bertemu sahabat Corrado. Jika janji dimungkiri maka dia adalah munafik. Dalam ketar, tetap juga dia melangkah. Ternyata hawa dari pendingin udara lebih sejuk berbanding hujan. Atau mungkin kerana dirinya yang kebasahan.

Akhirnya sampai juga dia di sayap kanan. Tempat di mana janji harus ditepati. Dia berjalan mengitari ruangan Oriental Kitchen. Cuba mencari kelibat Corrado dan Rozita. Tapi dengan keluasan yang sebegitu adalah sukar untuk dia mencari dengan cepat. Ditambah penglihatan yang bermasalah. Sesekali matanya lebih meliar. Berharap menemui lelaki yang berwajah seakan Rijal. Sebaik wajah lelaki itu muncul difikiran, sebaik itulah air matanya turun. Dia cuba memperlahankan esakan. Risau menarik perhatian tetamu. Ah! Sememangnya dia sudahpun menarik perhatian dengan tubuhnya yang basah lencun dan warna kulitnya yang memucat akibat dingin.

“Gelisah semacam aje muka kau ni Corrado. Gelisah sebab takut nak jumpa mertua atau gelisah sebab takut nak jawi,”usik Rijal sekaligus mengirai ketawa Rozita.

Corrado leka, diabaikan usikan itu. Matanya melingas memerhati. Namun yang ditunggu masih belum muncul.

“Heh… Kenapa dengan kau ni. Dah makin pelik aku tengok. Sepatutnya gembira. Ni muka kelat macam awek dekat kaki tangga hotel.”Rijal menyenduk tauhu lalu meletakkan ke dalam pinggan Corrado dan Rozita.

“Gadis berbaju kurung ke?”aju Corrado mendadak. Sekaligus mencuit cemburu Rozita.

‘Sikit-sikit Kak Sufie. Dah melamar aku pun masih duk ingat Kak Sufie,”bungkam Rozita. Matanya mengecil geram.

“Minat nampak…”Rijal jeling nakal.

“Ya. Aku berminat,”tegas Corrado menjawab. Sekaligus mematikan selera Rozita. Sudu dilepaskan. Kini dia turut merenung Corrado. Rijal pula tersentak. Tidak disangka sahabatnya itu nekad.

“Gadis tu tak sedar hujan turun. Aku berilah payung dekat dia. Tapi masa aku tinggalkan dia, aku tengok dia tak ambil pun payung tu. Mungkin dia suka mandi hujan.”

Bagai terkena renjatan elektrik, Corrado tersentak. Bingkas dia bangun. Belum sempat Rozita bertanya, belum sempat Rijal ketawa dia berlari laju. Kelam-kabut langkahnya. Mengundang sesal Rozita, mengundang curiga Rijal.

“Kamu tunggu dulu. Jangan ke mana-mana. Saya nak kejar Corrado. Ingat jangan ke mana-mana,”arah Rijal. Kini hatinya mulai sangsi apakah benar yang Rozita adalah gadis pilihan Corrado. Jika bukan maka dialah yang paling bersalah kerana telah mengkhianati hati seorang gadis yang mencintai sahabatnya. Masakan dia silap, wajah Rozita telah menceritakan segalanya.

“Mampus kalau salah.”

Langkah Corrado menyusut, menurun resahnya. Namun gusar masih tersisa bila melihat gigilan Sufie. Gadis albino itu kesejukan. Dia duduk tercatuk di sudut restaurant. Mungkin dia sesat memandangkan Oriental Kichen adalah restaurant yang terbesar bagi hotel ini.

Langkah disusun dengan cermat. Dimaniskan wajah. Resah hati harus disembunyikan serapat-rapatnya. Kalau boleh mahu dipeluk jasad itu dalam dakapan, agar cinta menghangatkan dingin yang cemburu.

“Sudah lama saya tunggu… Tapi… Tapi kamu tetap tidak muncul. Sejuk? Mahu balik? Atau mahu makan?”aju Corrado bertubi.

Sufie mendongak lemah. Bergenang mata Corrado tatkala pandangannya jatuh pada bibir pucat Sufie. Sedikit kecewa dan sesal bersarang.

“Maaf… Maaf… Maaf.” Hanya itu mampu diucap Corrado.

Seperi tadi, Sufie masih bisu. Pandangannya kosong. Hanya senyuman lemah yang terukir. Dia cuba bangun namun lemah makin mencengkam. Makin menambah sebak Corrado.

Rijal sedikit tercungap sebaik tiba. Mungkin kerana faktor usia atau mungkin juga kerana kurang bersenam. Dia berdiri di belakang Corrado. Dia senyum sebaik mengesan wajah Sufie.

Jantung Sufie kembali deras menendang dada. Wajah yang dicari kini muncul tanpa diundang. Dia bangun. Tanpa paksa dia mengatur langkah longlai. Dia memegang kepala kerusi bila dirasakan langkahnya makin goyah. Corrado terpana apabila Sufie melepasinya dan berdiri di hadapan Rijal membelakanginya.

Berkerut dahi Rijal melihat kelakuan Sufie. Sejurus itu dia pasti yang gadis itulah yang ditemui di kaki tangga. Mungkin wajahnya tidak diingati namun baju kurung itu adalah bukti nyata. Pandangan mereka bertemu. Ada kedamaian yang singgah, malah hati Rijal turut merasai kedamaian itu. Ralit dia memerhati wajah albino itu.

Duhhh… Sufie tumbang. Dia pengsan. Jasadnya letih, namun lebih letih hatinya. Hati yang menunggu sekian lama.

Kekakuan Corrado mati sebaik terdengar bunyi itu, pantas dia berpaling dan meluru. Digoncang bahu Sufie. Bagaimanapun keletihan telah melenakan jasad. Rijal masih memerhati. Kali pertama dia sebegitu. Sukar untuk ditafsir apa yang bermain dibenaknya kala itu. Hatinya meronta untuk menyambut ketika Sufie hampir rebah. Mahu dipaut sekuat tenaga. Tapi dia tidak berdaya. Kali pertama dia kenal makna sebenar kaku.

‘Kenapa aku rasa lemah? Rasa sedih? Rasa nak sangat peluk dia?’keluh Rijal. Tubuh yang terbaring itu diperhati lagi. Terasa yang mereka pernah bertemu. Kalau ya, dimana? Dan bagaimana? Persoalan itu hanyut bila Corrado cuba mengangkat tubuh Sufie. Rijal tersentak, pantas dia membongkok.

“Aku  angkat,”tegas nada Rijal menyebabkan dahi Corrado berkerut, malah hatinya turut memberontak dengan permintaan Rijal. Namun belum sempat dia menjawab, Sufie sudah berada dalam dakapan Rijal. Laju dia melangkah mendapatkan kereta.

“Tak tahu kenapa. Tapi, aku sedih bila lihat  dia, dalam masa yang sama aku gembira. Aku mahu lindungi dia. Mungkin aku dah gila!”

Makin laju derap kaki Rijal melangkah. Makin cemburu Corrado. Dia turut melajukan langkah.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.