Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 25- MELAWAT


Pagi-pagi lagi Sufie sudah bergegas mahu ke hospital. Mangkuk tingkat besi berbunga cempaka kuning dijinjing kemas. Mangkuk bertingkat tiga itu terisi bubur nasi. Langkahnya dilajukan, namun matanya seakan tidak mengizinkan. Sejak kebelakangan ini penglihatanya kembali berbalam-balam, tampak pecah. Tetapi itu bukanlah alasan untuk dia meraih simpati. Sudah sifatnya tidak suka menyusahkan.

Sufie tersenyum ayu. “Harap-harap selera Tariq terbuka dengan bubur nasi ni?” wajahnya bertukar kelat. Kini satu kebimbangan mula menusuk akal. “Makan ke dia bubur nasi? Insya-ALLAH.” Dia kembali senyum.

Hujan rintik turun kembali. Sufie melangkah laju, namun seperti tadi langkahnya masih terbatas. Baru beberapa langkah hujan mulai lebat, menyimbah bumi, sekaligus meratah setiap inci jasad.

“SubhanALLAH! Hujan rahmat sudah turun,” terlarik senyuman tanpa paksa.

Mungkin kerana embun masih tersisa, maka jilatan hujan semakin membekukan langkah. Sufie menggigil. Ya, dia menggigil kerana suhu yang tidak dapat diterima tubuhnya. Sesekali sentakan tangan menyebabkan mangkuk tingkat berayun ke hadapan. Cepat-cepat ditahan, risau jika bubur tumpah.

Bila melintasi jejantas, dia berteduh di situ, menanti hujan reda.

“Mujur ALLAH gerakkan hati aku nak tinggalkan buku di hospital, rupa-rupanya hujan nak turun lebat pagi ni.” Sekali lagi Sufie meleretkan senyuman. Bibirnya bergerak-gerak seiring badan. Dia benar-benar kesejukan.

Sudah setengah jam, namun hujan masih mengila, malah tempias juga galak meludah. Bibir Sufie pucat malah mukanya juga ikut pucat. Gigilan badannya makin hebat.

“Pin… pin…” sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan Sufie. Tingkap kaca diturunkan. Wajah dari dalam berkerut resah. Dia melaung pantas. “ Masuk! Nanti demam.”

Sufie menyisir wajah lelaki bermata hijau laut itu. Ada keiklasan yang terbit, namun berdua dengan bukan muhrim amat ditakuti.

“Se… selamattt pagii Coorrado…” terputus-putus sapaan Sufie.

Seketika mata Corrado terpaku kepada susuk Sufie yang terbekas akibat kebasahan, Bila disedari kelakuan itu kurang sopan cepat-cepat dilarikan pandangan. Sekali lagi matanya terpaku bila melihat kepucatan wajah Sufie.

“Cepat naik… saya hantarkan kamu ke hospital,” bersungguh Corrado mengajak.

Sufie serba salah. Keiklasan Corrado sukar ditolak, malah tidak sanggup ditolak, tetapi dia malu jika dilihat TUHAN sewaktu mereka berdua. Dia pegun seketika.

“Lekaslah naik, tempias kuat tu. Nanti tak pasal-pasal awak demam.” Corrado berganjak dan menarik selak pintu. Pintu yang ditolak laju terkuak.

Sufie senyum dalam payah. “Tak apalah Corrado… saya nak tunggu hujan berhenti. Awak pergilah dulu. Kelas saya bermula pukul sepuluh pagi. Masih awal,” dalih Sufie. Hatinya sebal terpaksa menolak keiklasan Corrado.

“Cepatlah naik! Free…tak terhutang budi dan tak tergadai body.Saya tak akan buat perkara yang bukan-bukan,” pujuk Corrado bersungguh. Nadanya romantis seperti selalu.

Sufie senyum, namun senyuman dengan tubuh yang masih menggigil tidak mampu menenagkan perasaan Corrado, malah senyuman itu hanya menambah siksa di hati.

“Cepatlah naik! Saya tak boleh parkir lama-lama di sini. Kalau bertembung dengan polis tentu kena saman. Awak tak kasihankan saya ke?” sengaja disayukan nada suara. Moga-moga Sufie akan mengalah.

“Maafkan saya Corrado. Saya betul-betul mahu tunggu hujan berhenti. Lagi pun baju saya basah lencun, tak selesa duduk dalam kereta dengan air cond.” Sufie berharap helahnya akan berhasil.

Ternyata hati yang diserang cinta tidak akan betah bila melihat bunga yang dipuja kebasahan. Corrado keluar bersama sekaki payung. Kaki seluarnya basah ketika mengharung air.

“Cepatlah masuk nanti awak demam.”

“Maaf saya tak biasa, lagipun kalau saya berjalan dalam lima belas minit lagi sampailah.” Sufie berwajah kelat.

“Tak sudi?” sayu wajah Corrado memancing hatinya.

“Saya tak selesa satu kereta dengan bukan muhrim. Maafkan saya ya.” Sufie menghayun langkah tanpa sempat Corrado membalas.

Corrado memerhati, matanya pincing tiba-tiba kerana terkesan sesuatu. Diamati lagi adakah dia tersalah lihat. Namun makin diperhati, makin dia yakin yang telahannya itu benar. Kelihatan langkah Sufie agak tersasar sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Adakala laju dan adakala perlahan. Makin sakit hati Corrado diserang resah.

Satu dengusan kecil kedengaran. Dia kesal dengan kedegilan Sufie. Namun kemudian dia senyum bangga.

“Sungguh suci kamu Sufie. Benar-benar bidadari dari syurga. Mana mungkin aku lepaskan gadis sebaik kamu.” Corrado berlari mendapatkan Sufie. Apabila semakin menghampiri derap langkahnya diatur sesenyap mungkin.

Sufie mendongak bila dirasakan bebayang memayunginya. Hujan juga sudah tidak menujah lagi. Dia melihat lingkaran bunga pada kembangan payung yang memayungi. Kemudian dia menoleh ke sebelah. Tiada sesiapa. Badanya masih menggeletar, mencuit ketenangan Corrado.

“Izinkan saya memayungi awak sampai ke hospital?” pinta Corrado lembut.

Sufie tidak membalas. Langkahnya makin tersasar bila nistagmus menyerang lagi. Adakala sukar untuk Corrado menahan diri daripada memegang Sufie bila dirasakan langkah gadis itu tersasar, namun seperti diduga sentuhan ikhlas itu ditepis. Tindakan itu makin mendebarkan bila jantung menendang dada. Makin subur perasaan kagum dan cinta itu.

‘Ah! Memang benar-benar gadis yang tahu menjaga kehormatan. TUHAN aku sangat-sangat ingin menjadikan dia isteriku,’ desir hati Corrado yang paling dalam.

“Kenapa bawa bekal hari ni? Kalau awak mahu boleh ambil makanan di kafe, jadi tak perlulah bawa bekal.” Corrado merenung mangkuk tingkat yang kemas dalam dakapan Sufie.

“Saya bawakan untuk Tariq,” pendek dibalas Sufie.

Bak halilintar yang menjilat bumi, hati Corrado hancur mendengar ungkapan itu. Sudah beralihkah kasih Sufie kepada Tariq?. Corrado tertunduk lesu. Tiada perkataan yang terungkap saat itu. Suasana kembali sepi, mujurlah bunyi hon dan ngaungan kenderaan melalikan suasana. Sedar-sedar mereka sudah sampai ke hospital.

Corrado senyum biarpun itu hanyalah senyuman palsu. Melihat Sufie ditelan lif ibarat kegembiraan yang dikumpul selama ini turut ditelan pergi.

“Ah… Tariq sudah bertunang… aku yakin Sufie sekadar mengambil berat,” pujukan hati tidak mampu melegakan rasa cinta yang membara.

***

“Bangun!!!” Daniel menjerit bila mendapati Tariq tidur bersebelahan.

Tiada reaksi yang diberikan atau lebih tepat Tariq tidur mati. Semakin dikejut, semakin kejap rangkulannya. Daniel kaku seketika. Dia cuba mengigati kali terakhir dia dirangkul sebegitu. Dan ternyata ingatan indah itu tidak pernah wujud. Barulah dia menyedari yang selama ini dia kesepian. Air mata yang cuba ditahan tumpah, esakan kecil bersambung ke raungan hiba. Tersedu-sedu dia mengenangkan mama dan papanya.

Tariq bingkas bangun bila tangisan Daniel menghambur laju menerjah gegendang telinga. Dia yang masih mamai, memisat-misat mata seketika. Direnung Daniel bila warasnya pulih.

“Kenapa menangis? Pagi-pagi ni orang ceria bukanya meraung,” sindir Tariq bersulam resah.

“Pak ngahlah punya pasal… Dani kejut suruh bangun tak mahu bangun. Dani tak suka pengacau,” deras dan nyaring luahan Daniel. Memendam rasa.

“Bila pulak pak ngah kacau. Tumpang tidur pun tak boleh ke?”

“TAK BOLEH! Dani tak suka sebab pak ngah busuk. Air liur basi pak ngah meleleh,” bidas Daniel. Menyirap darah Tariq.

“Woiii, budak. Kau tu yang mengigau tengah-tengah malam. Macam orang hilang akal. Harap pak ngah kesian aje. Kalau tak silap-silap…”

Pintu terbuka. Sufie melangkah masuk. Tariq dan Daniel terkejut melihat Sufie yang kebasahan. Tanpa mempedulikan pandangan Tariq dan Daniel, Sufie berlabuh punggung dengan cermat di atas sofa. Badannya masih menggigil. Malah makin kuat bila angin luar menerjah masuk sekaligus memeluknya.

“Awak pergi taman air ke Sufie,” ketawa Tariq meledak.

Daniel mencemik, matanya memaku Tariq. “Inilah masalah orang terpelajar. Makin bijak, makin terserlah kebodohan mereka.”

Giliran Tariq pula mencemik. Dia membalas. “Inilah masalah orang tak terpelajar. Makin belajar, makin terserlah kebodohan mereka.”

Kedua-dua saling memandang, ada geram yang terluah melalui bola mata. Sufie masih diam.

“Kenapa kau ni macam orang tua hah? Tak padan dengan budak. Agak-agaknya lah, kau ni roh orang tua yang terperangkap dalam jasad budak tak.” Tariq gigit jari. Kepalanya mendongak memandang syiling.

“Dan mungkin pak ngah ni sebenarnay roh budak kecil yang terperangkap dalam jasad orang tua,” bidas Daniel.

“Memang patutlah papa kau tinggalkan kau,” lancar sekali ayat itu meluncur. Daniel kelu, wajahnya tertunduk. Tariq turut kelu bila dirasakan mulutnya lancang. Sufie hanya memerhati.

“Bagus rawatan dekat hospital ni, kalau tidak tentu awak tak sesegar pagi ni,” lantun Sufie.

Tariq pegun seketika. “Alamak dia sindir aku. Matilah kalau dia tahu aku menipu,” gumam hatinya.

“Assalamualaikum Daniel. Bila masuk?” sapa Sufie.

Daniel masih menunduk, tidak dipedulikan pertanyaan itu.

“Tahu tak, cikgu gembira dapat bertemu Daniel. Lepas ni bolehlah kita berlajar sama-sama macam dulu.” Sufie memujuk. Dia melangkah merapati lalu berteleku di birai katil.

“Pergi… pergi… Dani tak perlukan sesiapa,” usir Daniel dengan wajah menunduk. Tariq membisu, mungkin merasa bersalah dengan apa yang telah diucapkan tadi.

Walaupun masih kedinginan, namun ketenangan dan kematangan jelas tergambar di wajah Sufie.

“Cikgu boleh pergi, asal saja Daniel setuju dengan syarat cikgu.”

“Apa syaratnya…” walaupun lemah nada suaranya, namun persetujuan Sufie mengembirakan.

“Kena makan bubur yang cikgu bawa. Maaflah kalau kurang sesuai. Bubur dah sejuk.” Sufie bingkas bangun mengambil magkuk tingkat di kaki sofa. Langkahnya lebih bagus kerana kesejukan semakin menyusut. Bila mangkuk tingkat dibuka, bau harum kanji membuak. Ada hirisan daun pasli dan taburan kuning telur masin yang dibentuk bola bersaiz kuaci. Menyentap selera Tariq yang lena.

“Kau memang baik Sufie. Wah… bestnya dapat makan bubur yang kau masak. Tak sangka kau pandai masak. Aku ingat kau pandai masak telur rebus dengan mee segera aje.”

“Aku tak pandai masak, semuanya sebab ilmu yang dipinjamkan ALLAH. Makanlah Tariq rezeki yang ada ni,” pelawa Sufie.

“Kau tak pelawa pun aku makan juga. Bukan kau tak kenal aku bab makan free memang aku suka,” makin meledak ketawa Tariq.

“Kenapa kau tak pernah cerita siapa kau sebenarnya. Kalau tak sebab kemalangan tu, sampai bila-bila pun aku tak tahu kau anak orang kaya.” Sufie tidak memandang Tariq, dia sedang menyenduk bubur ke dalam salah satu mangkuk tingkat yang kosong.

“Ada beza ke sebelum dan selepsa kau tahu siapa aku?” nada tegas mendadak menikam cuping Sufie.

Sufie berkalih, memandang. “Bunga raya dan mawar tetap tak sama walau kedua-duanya bunga dan cantik. Kau lebih pandai dalam hal ni Tariq,” lembut seperti selalu jawapan Sufie.

“Yang kaya orang tua aku. Bukan aku. Hidup seperti ini lebih bermakna. Hidup yang tidak dipandang sesiapa, cukuplah orang memandang aku kerana siapa aku dan bukan kerana siapa keluarga dan keturunanku,” nada lemah terluah.

“Kaya pada harta, pangkat dan nama, belum tentu kaya pada hati. Hati yang paling menderita ialah hati yang terkurung dalam sangkar emas. Dapat dilihat, cantik dilihat tapi tak mampu dipegang dan disentuh. Kasihan kan hidup macam tu.” Tariq merenung Daniel. Sufie faham maksud renungan itu.

“Emmm… harumnya bau bubur ni. Walaupun mulut Daniel tak mahu kunyah bubur semurah ni, tapi cikgu rasa perut Daniel memang terliur.”

Daniel masih menundukkan kepala. Terasa amat berat untuk didongak kepalanya bagai sebiji batu dihempap ke leher.

Sufie menyuakan sesudu bubur kepada Daniel. “ Kasihan perut tu. Tak baik kalau seksa perut sendiri. Kata nak suruh cikgu cepat pergi. Kalau tak makan makin lamalah cikgu kat sini.”

Daniel terpujuk dengan kata-kata itu. Dia mendongak kepala laju lalu memerhati bubur nasi yang disediakan Sufie.

“Bubur nasi aje,” menjuih bibir dia. “Saya tak makan masakan orang miskin,” angkuh terbit bersama lirikan mata yang tajam.

Tariq memincing sebelah mata, terjungkit keningnya. “Amboi… amboi… budak ni. Orang dah bagi tu makan saja lah. Budak ni bukannya apa Sufie. Makin hari, makin naik lemak dia.”

“Sufie ketawa melihat reaksi Tariq. “Kau ni pun satu, dengan budak pun nak buat kira.”

“Dia ni bukan budak, tapi orang tua. Kau tengok cara dia bercakap, tu belum lagi dia mengarah. Sebijik macam orang tua semput,” tingkah Tariq geram.

Sufie tenung Tariq seketika sebelum pandangan itu berlabuh pada Daniel. “Cikgu suapkan ya…” lembut nada Sufie. Matanya tersenyum selari dengan gurisan bibirnya.

Daniel terkebil-kebil tidak percaya. Tariq terkejut melihat anggukan setuju Daniel.

Suapan pertama disambut Daniel dengan perasaan malu-malu dan teragak-agak. Berat mulutnya untuk terbuka, malah dirasakan seakan seluruh tenaga diperlukan untuk dia membuka mulut. Malah perasaan malu makin ketara bila wajahnya direnung Sufie.

“Daniel makan lebih sikit ya. Biar cepat besar.” Sufie meletakkan hidung Daniel di antara dua jarinya, lalu dikepit lembut, membuah senyuman kanak-kanak itu. Tariq turut senyum, atau lebih tepat dia terkesan dengan kejadian itu. Dirasakan itulah pemandangan terindah pernah disaksikan.

“Makin naik lemak orang tua ni nanti. Kau manjakanlah dia banyak- banyak,” usik Tariq.

Daniel tidak mengendahkan usikan itu, seleranya mekar bagai dibaja-baja. Dan itulah bubur terenak pernah dijamah, mengalahkan hidangan hotel lima bintang. Sufie jadi terhibur melihat kesungguhan Daniel.

“Macam tulah makan… baru cepat besar.”

“Tak sedap pun bubur ni. Biasa-biasa saja. Tak masin tak tawar,” rungut Daniel. Sufie ketawa lucu. Hatinya terusik dengan rungutan Daniel. Manakala Tariq geram.

“Kau ni tak pandai bersyukur. Melantak sampai kering bubur tu, baru nak kata tak sedap. Biadap betul mulut,” hambur Tariq geram. Sufie hanya senyum melihat pergaduhan yang dirasakan adalah kemesraan yang cuba disembunyikan.

“Daniel nak tahu salah satu akhlak Rassul kita ialah bila baginda tak suka sesuatu makanan baginda akan tinggalkan tanpa mengutuk,” lembut Sufie menyiram nasihat.

Kemudian sekali lagi hidung Daniel dikepit lembut. Dia ketawa lucu melihat lirikan mata tajam kanak-kanak itu. “Baginda tak pernah kutuk dan hina rezeki daripada ALLAH. Apa kata mulai saat ni, Daniel pun ikut cara baginda.”

“Kau cakap dengan dia samalah macam kau curah air atas minyak. Tetap tak akan bercampur. Budak tu kepala dia saja dah sama keras dengan tembok batu,” sindir Tariq tajam.

“Kenapa pak ngah suka sakitkan hati Dani. Benci sangat ke kat Dani?” aju Daniel. Tersentap Tariq dengan soalan itu. Melihat mata berkaca Daniel seperti melihat masa silam kanak-kanak itu.

“Aduh… terlepas cakap lagi,” dengus Tariq kecil. Sufie menyedari gelodak emosi Tariq, namun sengaja berpura-pura tidak menyedari.

“Kau tak mahu makan Tariq? Aku masak khas untuk kau. Jamahlah sikit, buat alas perut.”

“Tak ada seleralah aku nak telan. Kau tak payah susah-susah, sekejap lagi sampailah sarapan,” acuh saja dijawab. Sebenarnya dia rungsing memikirkan kesedihan Daniel. Namun rungsing bertukar geram apabila Daniel kembali bersuara.

“Orang mari jauh-jauh bawa makanan, bukan nak hargai. Sampai hati pula tolak mentah-mentah. Kalau tak mahu pun tolaklah elok-elok.”

“Memang mulut orang tua kau ni. Tak padan dengan umur.” Tarik capai bantal lalu dibaling tepat ke wajah Daniel.

“Tariq!!!” jerit Sufie nyaring.

Terpaku Tariq dengan jeritan itu. Lebih terpaku bila melihat Daniel rebah macam mayat. Berkali-kali tubuh kecil itu digoncang lembut oleh Sufie, namun masih kaku.

“Kau tunggu Daniel. Aku nak panggilkan doktor.” Sufie kalut dan itulah kali pertama Tariq melihat ketenangan melayang daripada Sufie.

“Tak payah! Aku yang pergi panggil. Kau jagakan Daniel,” arah Tariq tegas.

“Tapi kau masih sakit…” cantas Sufie. Kerutan tergaris di dahi tanda dia was-was.

“Dia anak saudara aku. Sampai mati dia akan tetap jadi anak saudara aku. Sudah tugas aku lindungi dia.” Tariq melangkah laju. Sufie senyum, ada sesuatu yang baru disedari.

Sufie usap ubun-ubun Daniel dengan lembut. Dicium dahi kanak-kanak itu beberapa kali kemudian dia berkalih punggung dan melabuh di birai katil.

“Tak letih ke? Sudah-sudahlah berlakon Daniel. Pak ngah kamu dah pergi.” Sufie memandang sepi ke muka pintu.

Perlahan-lahan Daniel bangkit lalu mengesot merapati. Dia menjatuhkan kaki di birai katil kemudian menghayun-hayun kaki.

“Macam mana cikgu tahu Dani pura-pura pengsan?”

“Dengan izin ALLAH… perangai Daniel ni sama macam cikgu Tariq.”

“Mana ada sama… “ bentak Daniel. Makin laju kakinya dihayun.

“Samalah… pandai berlakon.”

“Bila masa Daniel berlakon. Orang tua suka sangat buat kesimpulan yang bukan-bukan, macamlah tahu semua benda.” Daniel tidak mahu mengalah.

“Daniel pura-pura pengsan dan Cikgu Tariq pura-pura bencikan Daniel… Hah, kan sama tu.” Sufie mengenyit mata.

“Mana ada dia sayang. Dari dulu lagi dia bencikan Dani.”

“Daniel dengar sendirikan apa yang Cikgu Tariq cakap tadi. Walaupun dia macam budak-budak tapi sebenarnya dia matang dan penyayang, Cuma dia jenis yang tak pandai meluahkan rasa. Daniel sebenarnya masih beruntung diberikan pak cik sebaik Cikgu Tariq dan Doc Zikrey.” Sufie merangkul Daniel, didakap erat. Daniel merelakan tanpa membantah.

“Tapi, Daniel mahu papa dengan mama,” rajuk Daniel.

“Kadang-kadang apa yang kita perlukan bukanlah apa yang kita inginkan, tetapi adalah rasa syukur yang menukarkan musibah dan anugerah kepada nikmat.”

Makin erat dipeluk, makin sebak Daniel. “Agaknya macam nilah rasanya dipeluk mama.”

Sufie tenang dan membiarkan Daniel membisik rasa, lagu pilu hatinya bermadah pujangga. Tariq muncul termegah-megah, diekori Zikrey.Demi melihat Daniel, Tariq melarik senyum mengucap syukur, mengundang ketenangan buat Zikrey. Kini dia benar-benar pasti yang Tariq tidak pernah membenci anak buahnya itu.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.