Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 18- LUAHAN CINTA CORRADO

Sufie terjaga bila jam berbunyi.

“Dah pukul 4 pagi,” disanggul rambut panjangnya.

Sudah menjadi kemestian untuk dia bangun seawal itu. Bersolat sunat Tahajud dan Witir. Waktu yang paling digemari.

Cergas dia berjalan ke bilik air. Air dingin dijirus, sekaligus mengundang gigilan kecil. Selesai mandi, air dingin diraup untuk wudhuk. Hatinya berdetik.

“Terima kasih ya ALLAH. Kau masih izinkan aku untuk berjumpaMu. Hadiah terindah buat hamba sekerdilku.” Sufie meleretkan senyuman. Makin laju dia melangkah. Sudah tidak sabar menanggung rindu.

Usai solat dia memerhati kelendar di dinding. Terpana seketika, seakan tidak percaya.

“Dah hampir setahun rupanya aku mengajar. Pejam celik… pejam celik dah nak masuk tahun baru. Singkatnya hidup.”

Dia ke dapur kemudiannya menyediakan sarapan pagi. Dari minggu lepas teman serumahnya iaitu Salmi dan Tini mengidam hendak makan nasi goreng.

Radio diputar. Suara Tini kedengaran. Sufie senyum.

“Ya rakan pendengar sekalian…”

Sengaja diputar radio untuk melalikan suasana sunyi.

“Bau sedap! Sal teka ya. Nasi goreng.” Salmi muncul memeluk pinggang Sufie.

Salmi memang manja, umurnya pun masih muda. Paling mudah merajuk dan tersentuh hati. Tini pula lebih terbuka dan berdikari.

“Kak Sufie masak nasi goreng dengan jemput-jemput bilis hari ni. Sal boleh bawa pergi prep,” pantas sufie mengodek kuali.

“Bawa lebih boleh. Nak share dengan boyfriend,” jelir Sal. Terbongkar rahsia.

“Aik… Tak sukalah Kak Sufie dengar. Belajarlah dulu. Bila habis baru bercinta.” Sufie senyum, tapi kelat.

“Tapi Sal cintakan dia. Baik sangat dia Kak Sufie. Manja sama macam Sal,” Bibirnya didekatkan ke telinga Sufie.

“Malam esok Kak Sufie nak bincang sikit. Boleh bawa Kak Sufie jumpa dia bila free?” dahi Sufie berkerut, minta kepastian.

“Boleh Kak Sufie. Seronok sangat tau Kak Sufie. Ee… tak sabar nak bawa Kak Sufie jumpa dia,” terlarik senyuman gembira Salmi.

“Pergi mandi. Lepas tu siap solat Subuh,” lembut disuruh. Salmi menurut.

Suasana kembali sunyi, mujurlah suara Tini yang sedang ke udara menemani. Sesekali dia senyum mendengar kepetahan dan jenaka Tini. Tak keterlaluan jika dikatakan popularitinya melonjak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sufie melangkah sebaik matahari mula meyinar. Angin masih dingin, memaksanya menyarung baju panas.

Salmi keluar dengan muka ceria. “Kak Sufie oiii… hari sabtu pun nak kerja ke? Berhentilah kerja kat kafe tu. Naik kesian Sal tengok.”

“Duduk rumah pun bosan. Baik kerja. Bolehlah menabung lebih sikit.” Sufie menyarung kasut tumit rendah.

“Ke, ada buah hati kat situ. Mesti tergila-gilakan Corrado,” usik Salmi. Nadanya manja, mengundang tawa.

“Assalamualaikum. Jangan lupa kunci rumah bila nak keluar,” tidak menunggu jawapan, Sufie berlalu. Risau terlewat.

***

Macam biasa. Sudah hampir setahun, wajah Itali itu tetap setia menunggu di anjung café seperti hari-hari sebelumnya. Rasa terujanya memuncak bila wajah jernih seputih kapas itu dikesan. Dia melangkah laju.

“Awak tak payah kerja hari ini.” Corrado bernada tenang.

“Kenapa?” pelik mengusik hati.

“Kita pergi periksa mata awak. Saya rasa awak perlu buat cermin mata,” matanya merayu dan layu. Wajah risau seorang lelaki.

“Saya dah adalah cermin mata. Cuma jarang pakai,” tangan Sufie menyeluk beg, cermin mata dengan bingkai biru dikeluarkan lalu dipakai.

Corrado mendengus. Digeleng kepala, dipicit dahi yang tak pening dan senyum pendek. “Mulai saat ini, saya tak benarkan awak berkerja tanpa cermin mata. Awak tetap cantik walau dengan cermin mata.”

“Terima kasih sahabat.” Sufie senyum. Jantung Corrado disentap hebat. Senyuman itu sungguh bisa. Buktinya dia masih mendabakan cinta Sufie. Namun mulutnya terkunci.

“Aku yakin dia akan sedar betapa aku cintakan dia.”

***

“Mulai hari ini kamu kerja di dapur. Saya tak mahu kamu berperang dengan Miera.” Corrado kenyit mata. Sebaris gigi putih tersusun terlihat.

“Apa kata chef? Saya tak suka kamu bergaduh sebab saya.”

“Chef sudah tahu. Lepas waktu operasi kafe saya ajar kamu buat pizza. Pukul dua belas kena sedia.”

“Pukul dua belas?” aju Sufie.

“Sabtu. Kita operasi sekerat hari. Pukul dua belas closing.”

Sufie berlalu. Langkahnya diamati. Rozita senyum penuh makna.

“Orang lelaki kena berani. Kalau kecut orang tak panggil lelaki.” Rozita tepuk bahu Corrado. “Puk…” Kuat berbunyi. Corrado tersentak. Hampir terlibas mangkuk berhampiran.

“Apa yang lelaki? Mengarut sajalah.”

“Kak Sufie tu sempurna. Walaupun dia albino. Tapi wajah dia tak kalah dengan gadis-gadis lain. Ada sesuatu yang dia ada dan tak ramai gadis lain ada.”

“Apa bendanya.” Corrado teruja. Matanya terbuka luas.

“Akhlak dan agama. Tak ramai yang sesabar dan selembut dia. Tapi bila berkaitan agama, ketegasan dia muncul.” Rozita angkat kening. Corrado malu. “Lambat terlepas… jangan gigit jari sudahlah.” Rozita tepuk lagi bahu Corrado, kemudian berlalu bila kelibat pelanggan masuk.

“Aku mesti luahkan. Tapi macam mana?” Corrado bermulut muncung. Segan dan malu bercampur.

***

Matahari tegak memancar. Kerusi-kerusi di anjung dilipat dan disandar pada meja. Payung-payung putih dikuncup satu persatu. Rozita menyeka peluh. Panas membahang tak seperti biasa. Dari pagi sudah beberapa ketulan ais dikunyah.

“Jadi tak tunggu Kak Sufie?”

“Jadi. Tapi saya duduk kat ruang utama. Nak kena sental dan polish rak pameran. Kalau tak mahu kiamat dunia dengan bebelan musang pendek tu.” Rozita ketawa mengekeh. Geli hati bila terbayang wajah Arturo.

“Baik-baik Rozita. Silap hari bulan dapat kekasih bongsai.” Sufie menarik pipi montel Rozita. Sebulan dua ini, berat Rozita naik mendadak.

“Bongsai pun bongsailah Kak Sufie oii… janji hensem macam Corrado,” dijungkit pinggang Sufie. Sufie ketawa riang.

Corrado berwajah ceria, namun serba-salah. “Jom kita mulakan sekarang. Sufie mari ke dapur.”

“Saya ajak Rozita sekali?” pinta Sufie. Tidak selesa.

“Kak Sufie pergilah. Dapur dengan ruang utama kan bersambung. Saya boleh nampak jelas kalau si Corrado ni nak buat perkara tak elok.” Rozita sengih. Corrado tambah kalut.

“Oklah… “ Sufie mengatur langkah.

“Meja stainlestain berkilat bila disimbah cahaya lampu. Di bahagian tepi tersusun mangkuk-mangkuk berisi bahan.

Corrado tabur tepung di atas meja. Tekun, tidak dipedulikan Sufie. Di tumbuk kecil adunan doh.

“Kena buang udara yang terperangkap.” Dia kembali berkerja.

“Apa yang saya nak kena belajar?”

“Hari ini kita buat pizza. Ambil kertas depan awak tu. Sukat ikut resepi yang tercatat,” tidak dipandang Sufie. Rasa nak pecah dada bila jantung menendang laju.

Agak mudah dia membaca dengan kaca mata fotokromik barunya itu. Dia ke kabinet, mengeluarkan sukatan. Dia ralit dan teruja. Masing-masing hanyut.

‘Tak boleh jadi. Sampai bila nak macam ini. Tak salah kalau ditolak, sekurang-kurangnya aku tak perlu berteka-teki,’ paksa hatinya.

“Dah ada buah hati?” gagap Corrado menyoal.

Sufie senyum. Tapi kelat. Wajah Rijal muncul lagi. Dia beristigfar seketika.

“Bila nak kahwin?” aju Corrado. Kali ini agak tenang.

“Belum ada jodoh,” wajah Sufie berkerut. Tidak selesa dengan soalan itu.

“Nak kahwin tak?” tenangnya menghilang. Dia kembali gagap. Tangannya pantas mencanai doh.

“Mungkin kalau ada lelaki albino yang sudi saya kahwinlah.” Sufie bercanda.

Corrado tarik muka. Hampa mendengar jawapan Sufie.

“Kenapa aku nak sensitif sangat. Dia bergurau saja.” Corrado pujuk hati. Lama-lama ketenangan kembali. Dia senyum.

Semangkuk tepung dicurah ke atas kepala. Sufie berkerut pelik, namun masih memerhati. Digenggam lagi tepung, dilumur ke wajah, kaki, tangan dan tempat yang dirasakan perlu. Dia sengih macam kerang busuk. Sufie kelu.

“Kalau macam ini bagaimana? Boleh dikira lelaki albino tak?” aju Corrado. Ditahan perasaan gugup. Jawapan Sufie harus ditagih. Dia berdebar melihat wajah serius Sufie. Mungkinkah dia rasa dipermainkan.

Senyuman terlarik pada wajah berkerut Sufie. “Lawaklah awak ni Corrado. Pandai mengusik. Kalau awak albino, saya pasti awaklah jejaka albino paling hensem di muka bumi ni. Terima kasih sahabat.”

“Sahabat!” mata Corrado mengecil. Hatinya menolak perkataan itu.

“Itulah perkataan paling sesuai untuk orang sebaik awak. Terima kasih kerana menceriakan hari saya. Tak sangka sanggup awak lumur badan, semata-mata nak hiburkan saya.”

Corrado kelu. Patah katanya mati tiba-tiba.

“TUHAN… kau tahu hatiku. Bisikan rasa cintaku kepadanya.” Corrado mengeluh. Rozita memerhati.

“Kasihan Corrado. Mencintai dalam diam amat menyeksakan. Aku faham perasaanmu itu Corrado.”

Suasana di dapur kembali ceria bila Rozita turut menyertai. Kalau sebut pasal Rozita, satu kafe tahu yang dia memang kaki menyakat dan mengusik.

“Kak Sufie bancuh air kejap. Untuk Corrado, kopi tanpa gula dan Rozita, kapucino.” Sufie menjatuhkan senyuman pada wajah Corrado lalu berkalih ke Rozita.

Seperti dipanah, pantas Corrado perpegang pada birai meja. Hatinya terseksa tiap kali melihat senyuman dan sikap ramah Sufie. Rozita menyedari reaksi itu. Dia jadi kelu.

“Kamu percaya cinta sejatu wujud?” aju Corrado bila Sufie kembali.

Ditatang dulang berisi tiga cawan. Diletak cermat, dihulur cawan kepada Corrado dan Rozita.

“Alhamdullilah… saya percaya, malah yakin.”

Bibir cawan didekatkan ke hidung. Dihidu dengan mata terpejam lalu dihirup sedeguk.

“M-mm… Masih sama aroma dan kepekatannya. Kamu memang memahami Sufie,” tidak dipandang wajah albino itu. Hatinya kembali terjentik.

Rozita bersandar pada kabinet. Mata bundarnya menjadi redup tiba-tiba. Kapucino dihirup terasa hambar. Sehambar hatinya. Dia senyum kepada Sufie.

“Cinta tu pelik kan? Cukup berhantu. Menghantui malam-malam yang sepi.,” dengus kedengaran agak kuat, “Mencintai dan dicintai. Tak ubah macam mangsa dan pemangsa. Pasti ada yang terkorban.” Rozita ketawa tiba-tiba.

“Bagi saya cinta macam minum kopi. Pahit… tapi masih diteguk dan digemari kerana ia mencergaskan hari-hari yang dilalui. “ Corrado menyampuk.

“Cinta dalam diam. Tak ubah macam manusia dengan bayang-bayang. Zahirnya terlihat bersama, tapi terpisah. Tipulah kalau manusia boleh sehati dengan bayang-bayang. Bila matahari tenggelam, bayang pun hilang. Tinggallah manusia keseorangan,” sindir Rozita. Lemah nadanya. Corrado pula yang mendengus kali ini. Madah Rozita ada benarnya.

“Aik… berfalsafah nampak kamu dua orang ni. Kak Sufie nak join boleh?” pinta Sufie manja. Terpana Corrado. Pertama kali dilihat Sufie sebegitu menggoda.

“Apa madah Kak Sufie pasal cinta.”

Sufie senyum. Wajah Rijal sewaktu makan beradap singgah. Ah! Wajah itu senyum ikhlas kepadanya.

“Cinta adalah perjuangan.

Perjuangan membentuk dua hati menjadi satu.

Perjuangan mencintai kekurangan

Perjuangan menyemai benih-benih ke Syurga.

Bila bercerita pasal cinta.

Hatiku jadi kelu. Tercari-cari patah kata untuk menyatakan cinta.

Dan aku dapati tiada yang benar-benar tepat untuku nyatakan perihal cinta.

Cinta datang dengan keindahan, dan perginya tidak terjangka.

Malu rasanya bila cinta menyapa dibiar berlalu tanpa disapa,” wajah Sufie merona merah. Sedikit demi sedikit wajah Rijal berlalu.

Corrado hanyut mendengarkan puisi Sufie. Rozita juga akui puisi itu tajam hingga menikam rasa.

“Wah… Kak Sufie pandai berpuisi rupa-rupanya. Tengok. Terlopong Corrado. Baik-baik nanti, tak pasal-pasal minum kopi liur awak Corrado,” usik Rozita. Dia kembali tegak, tidak lagi bersandar.

“Sufie!” lantang suara Corrado. Matanya memaku Sufie.

“Terkejut saya. Apa halnya?” rasa gusar singgah, malah rasa itu turut singgah ke hati Rozita.

Tenungan tajam itu bertukar lembut. Seulas senyuman menguntum. Malah suara lantang itu bertukar romantis.

“Saya nak lamar awak menjadi kekasih…”

Sufie masih tenang. Rozita menjadi resah. Kalut meramas-ramas hati.

“Awak bergurau ke? Sudah lah mari kita sambung kerja.” Selamba Sufie berkata.

“Kamu tak percaya? Saya serius.” Corrado menapak mendekati. Sufie berundur. Rozita bertambah resah.

“Saya tak suka awak bergurau macam tu. Saya sahabat awak. Sampai bila-bila kita tetap sahabat,” senyum tawar Sufie lemparkan, “ Ya ALLAH. Aku bertawakal kepadaMu. Jangan persahabatan ini hancur hanya kerana rasa yang terkeliru. Dia berhak mendapat cinta yang lebih agung, iaitu cintaMu. Berikan dia hidayah ya ALLAH,” bisik Sufie perlahan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.