Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 1- PILIHAN


“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…” (Al-Baqarah: 286)

Kaca mata fotokromik yang melurut ke pangkal hidung ditolak dengan jari manis. Hatinya belum puas malah makin meronta biar pun sudah berulang-ulang ayat itu dibaca. Ya, hampir setiap hari dibaca. Bagaikan ayat itu tersimpan sakti yang dapat melumpuhkan segala kekusutan hati.

Matanya yang bersinar cerlang bertukar redup bila teringatkan teguran mek kelmarin “ Tak mahu kahwin ke? Sampai bila nak membujang?

Pandangannya berkalih dari wajah buku yang sedang ditatap ke laman. Senyum kembali berombak dilekuk bibir bila liang-liuk dedaun kelapa menari sekaligus menjentik kata hati. “Insay Allah ada jodohku. Redha sajalah apa yang datang. Aku yakin Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”

Jemari runcing mula bergerak-gerak bersama bibirnya yang terkumat- kamit. Kerut kecil singgah pada dahi. Didarab, kali, tolak, tambah dan bahagi. Barulah dia sedari, rupa-rupanya sudah ramai kawan-kawannya yang sudah bersuami, sudah ada yang bercahaya mata. Malah ibunya juga sudah keberatan jika diasak pertanyaan bilakah dia akan berkahwin? Bilakah jodohnya akan tiba? Mungkin kerana itu dia sering dileteri.

“Kalaulah kau faham hati anakmu ini mek, pastilah sesaat pun tidak akan tergamak kau leteri aku.”

“Hanya gadis bodoh, menolak untuk berkahwin. Tapi jodoh bukan milikku. Bukan seorang, dua yang merisik, Semua balik bila lihat aku mek.”

Nafasnya tertahan seketika. Diusir resah yang tiba. Dia melantun kata agak kuat buat menenagkan diri. “ Macamlah mereka sempurna sangat. Padahal yang rasa sempurna itulah yang selalunya kacau-bilau.”

“Mereka tengok aku macam hantu, bukan macam insan yang layak dicintai mahupun disayangi. Sebabnya cuma satu, sebab yang tidak mampu aku ubah. Akukah yang bersalah?”

Bungkam hatinya terhenti bila teringatkan bisikan sinis di pasar beberapa hari sudah.

"Penyakit tulah, punca dia tak kahwin-kahwin. Bertuahlah dia kalau ada yang sanggup. Tapi ada ke yang sanggup?"Dan itulah yang sering didengari . Sudah basi dirinya dicaci, Namun dia tidak pernah mengeluh kerana dia pasti jodoh itu akan tiba. Ya! Dia begitu pasti.

Hatinya berdetik lagi, kali ini dengan semangat. “Bukan mereka yang tentukan jodoh. Kerja TUHAN, siapa tahu tup- tup dapat suami soleh.” Kembang hidung dia seketika. Mungkin seloroh itu mampu membuat hati seakan-akan berada di kayangan. Dia bahagia sedetik.

Dia tidak pernah meminta, jauh lagi berdoa untuk penyakit sebegitu. Tapi itulah namanya kuasa TUHAN tiada yang mampu menghalang. Bagi yang mengerti cubaan itu adalah yang terbaik buatnya.

Sungguhpun begitu, lumrah manusia suka mendarjatkan maruah insan, sehingga mereka lupa Raja segala insan tidak pernah mengukur maruah melalui, fizikal, harta dan kedudukan. Hati yang bertakwa, itulah nilai darjat insan.

“Gaaah…” Adiknya iaitu Afiena menerkam lalu menggeletek anak-anaknya. Pecah bederai ketawa mereka. Sufie menguntum senyum, namun, jauh dalam hati, dia juga berharap saat seperti itu akan tiba untuknya.

Matanya meliar ke atas sambil berfikir, “Sampai bilalah aku harus begitu, menanti dan terus menanti. Mungkin di syurga nanti agaknya? Yalah di sana nanti aku akan jadi cantik dan lawa. Ketika tu nanti peninglah kepala nak pilih jodoh.”

“Astagfiruwah… Apa yang aku larakan ni.” Wajahnya merona merah bila disedari khilaf sendiri.

“Ya ALLAH. Moga-moga, hari ni aku lebih tabah dari semalam. Ku mohon, jangan sampai aku membentak-bentak pilihanMU. Aku mahu tabah, seperti hari-hari kau tabahkan hatiku. Tiada daya upaya, melainkan dengan belas kasihMU.”

Gadis tersebut adalahSufie. Bersama jiwa terluka yang menjajah hati, sehinggakan adakala menyesakkan batin, dia masih lagi tersenyum melayari hari-hari dengan tabah. Baginya dengan berbuat begitu dia mampu menyelamatkan jiwa-jiwa yang menyayanginya dari merana. Adakah dia hipokrit? Tidak! dia senyum dengan penuh santun dan keikhlasan.

Angin yang tadinya berpuput lembut kini mulai mengasak, daun pintu mula berlaga dengan palang besi. Dentumannya menyentak lamunan Sufie. Angin tengkujuh mula menyinga, melempiaskan percikan hujan. Sufie bangun, berlarian anak dia mencapai daun jendela lalu ditutup rapat. Jubah gamisnya basah diludah hujan. Sungguhpun begitu Afiena tidak menghiraukan apa yang berlaku. Dia masih ralit bergurau- senda dengan anak-anaknya iaitu Akim dan Jemi.

“Lebat hujan ni…”Kerut terguris di dahi. Ada sesuatu yang mengusik jiwa Sufie.

Sebaik menutup kesemua jendela, Sufie bergegas ke dapur. Dia Menghampiri ibunya dengan langkah gusar. Wajahnya cuba menahan kerut. Tetapi bibirnya melantunkan kata tanpa disangka.

“Mek, jadi ke tidak rombongan meminang datang petang ni?” Sufie sentuh bahu ibunya dari belakang. Itupun dengan ragu-ragu.

“Terkejut aku. Budak ni... Mestilah jadi, dah janji pun. Kamu bila nak bersiap. Pergi salin baju jangan nak buat malu. Tukar jubah, pakai baju yang baru mek jahit.” Ibunya meninggikan suara. Wanita itu tidak suka diganggu bila dia sedang sibuk di dapur.

Sufie membesarkan mata lalu berseloroh dengan senyum paling manis, tapi hatinya TUHAN sahajalah yang tahu. “Rasanya pinangan ni pun tak akan menjadi. Bukan Sufie nak tolak jodoh. Tapi rasanya keputusan tetap sama. Sufie redha kalau jadi anak dara tua. Anak dara tua pun ok.”

“Jodoh tak terbang melayang. Kenalah usaha… Kamu suka jadi anak dara kertu seumur hidup. Mek dah tak sanggup kena olok-olok dengan saudara mara.” Ibunya semakin menyinga. Ditatap Sufie dengan mata membutang.

“Dah sepuluh pinangan, semua balik lepas tengok Sufie. Kadang-kadang naik malu bila kena tenung macam tu. Rasa macam anak patung. Tolak sajalah pinangan tu," rayu Sufie dengan nada keanak-anakan yang sengaja dibuat.

“Jangan nak mengada. Kamu tak malu dengan Afiena, anak dia dah dua. Kamu apa yang ada. Sebab kasihanlah mek beria-ia carikan jodoh. Mek dah tua, sebelum mati mek nak ada yang jaga kamu,” bantah ibunya tanpa memandang Sufie. Ibunya sedang mengacau gulai, sesekali di seka peluh pada dahi. Namun Sufie tahu perlahan-lahan perasaan tegas itu membulat menjadi simpati.

“Sufie ada mek. Ada ayah. Ada adik dan anak buah yang comel-comel. Itu pun dah lebih dari cukup… Batal sajalah pinangan petang nanti ya.”Sufie masih mengumpan.

Mek menjeling tajam sebelum kembali mengacau gulai. Suaranya tinggi. “Eh! Budak ni… Pergi siap cepat.”

“Mungkin sudah suratan, Sufie tak berjodoh.” Sufie melangkah setapak. Matanya selayu hati bila permintaan ditolak mek.

Mek bercekak pinggang seketika, kemudian dia berpusing lalu terlantun suara penuh getar. Mungkin dia pilu. “Kamu TUHAN? Tahu nasib sendiri. Kena ingat, ALLAH tu baik. Tak akan diainaya hidup kamu. Usahalah selagi tak mati.”

Sufie menapak, mengatur langkah tanpa berpaling. Dia sudah tidak sanggup membantah, Pintu bilik dikuak, sepasang kurung putih tergantung megah di dada dinding. Keindahan kurung itu pastilah makin terserlah bila bergandingan dengan susuk tubuh yang sepadan. Dia kaku seketika bila melihat putihnya kurung itu adalah seputih kulit, rambut, bulu mata dan setiap inci tubuhnya. Jari-jemarinya mengusap lembut kurung, diperhalusi setiap jahitan dan dalam diam dia memperakui ketelitian jahitan mek.

“Satin putih… Cantik. Kena dengan air tangan mek”

Menyarung kurung putih. Aduh! Dirasakan perkara itu amat berat untuk dilakukan. Apakah bakal tunangnya itu nanti hatinya seputih satin putih? Kurung putih dipakai juga demi menjaga hati seorang ibu. Kini imej seorang gadis berkurung putih terungkap dibalik cermin. Baginya keindahan baju kurung itu mati bila dipakainya. Dia pelik mengapakah warna putih menjadi pilihan mek. Lalu persoalan itu diaju dan mek menjawab dengan tenang bahawa warna itu merupakan warna kesucian, sesuci para jemaah haji. Mek berharap yg segalanya akan berjalan lancar nanti.

‘Ada ke cinta untuk aku? Cinta sejati yang dikejar semua gadis.’ Pertanyaan itu singgah lagi. Sudah acap kali pertanyaan itu mempersendakan dia, memamah setiap inci keanggunan. Ditatap lagi dirinya, kali ini dengan lebih teliti malah ditundukkan sedikit kepala agar wajahnya kelihatan lebih jelas .Seputih salju. Sufie disahkan albino jenis Oculocutaneous Albinism. Menurut doktor mutasi telah berlaku pada gen kromosom 11 miliknya, punca dia kehilangan pigmen.

Di halaman hujan lebat tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Rambut panjang Sufie terbuai-buai ditiup angin yang masuk menerusi lubang layar. Sesekali guruh menjerit marah. Bilik tidurnya didakap suram, kerana sinar mentari hilang dilitup awan hitam. Dia masih tercatuk di hadapan cermin memerhati diri, dan pastilah sesiapa yang melihatnya ketika itu akan ketakutan. Bayangkan bilik yang suram dan kelam dengan gadis seputih salju dalam kurung putih sedang berdiri kaku, hanya rambutnya sahaja yang terbuai oleh angin. Silap gaya ada yang pengsan.

Puas memerhati diri sendiri Sufie berpaling merenung hujan. Cuba mencari kekuatan yang hilang, berharap masih tersisa kekuatan dan semangat itu. Dia benar-benar berharap yang dia mampu melangkah dengan tenang dan penuh keanggunan pada acara merisik petang nanti. Dia mahu dilihat selayaknya tanpa cemuhan.

“Tok… Tok…”Pintu bilik diketuk perlahan, tanpa izin. Jemi muncul bersama botol susu yang tergigit kemas di celah gigi. Anak buahnya itu melangkah perlahan dan terhenti serta-merta bila pandangan mereka bertaut.

“Jemi sayang... mari dekat mak long.” Sufie bernada lembut. senyum nipis lalu mendepakan tangan, mahu memeluk.

Biji mata Jemi terbeliak sekaligus terlepas botol susu dari celah giginya. Lutut kecilnya menggigil dengan peluh yang membenih pada wajah. Satu teriakkan nyaring pecah sekaligus menyentak dada Sufie menyebabkan dia terduduk.

“HHH…Hantu… Hantu!”Wajah Jemi mulai membiru dengan air mata yang menghambur laju.

Sufie masih terduduk, dirasakan kakinya begitu lemah. Dia bersandar pada katil. Dalam payah dia cuba bertenang sambil berkata. “Ni mak long… jangan takut sayang. Ni mak long. Mari mak long dukung,” mata Sufie berkaca. Resah pinangan belum surut, kini bertambah resah dengan sikap Jemi. Boleh dikatakan semangatnya hilang seratus-peratus.

“Han... hantu... ibu ada hantu dalam bilik mak long. Ibu... Ibu... Tolong adik. Adik takut.”Jemi berlari keluar mendapatkan Afiena. Bunyi tangisan Jemi masih jelas didengari oleh Sufie, dan dia tahu yang anak buahnya itu benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku.

“Apanya? Kenapa menangis? Siapa kacau anak ibu ni?” Afiena melangkah keluar dari pintu bilik tidur dengan tergesa-gesa. Walaupun Afiena garang tetapi dia memiliki hati seorang ibu.

“Waaa... a... ada hantu,” kuat Jemi melalak macam orang disampuk.

“Hantu apanya siang-siang macam ni? Mana ada hantu.” Afiena mendukung Jemi. Dia batuk bila lehernya dipeluk kejap.

“Ada… Ada dalam bilik mak long. Rambut dia panjang warna putih. Han... hantu tu, nak makan adik,” makin kuat dia meraung.Sesekali dia meronta. Jantung Afiena disadap keras.

Kali ini tangisan Jemi sudah tidak merisaukan Afiena lagi. Ada sesuatu yang lebih dirisaukan. “Kasihan kak long, mesti dia tengah sedih.”

“Abang! Oh, abang. Mari sini kejap.” Afiena melaung deras. Kamarul keluar sejurus itu.”

“ Ada apa darling? Kenapa anak kita menangis?”soal Kamarul dengan nada mengusik.

“Pegang Jemi sekejap. Fiena nak tengok kak long.” Fiena separuh berbisik.

“Laaa... Bawalah sekali budak tu.”Kamarul bernada malas.

“Jemi terkejut tengok kak long! Disangka hantu”terang Afiena pantas sebaik dukungan dibetulkan. Jemi masih meronta mahu dipeluk lebih kejap. Giliran Kamarul pula terkejut setelah mengetahui perkara sebenar.

“Mesti kak long tengah sedih. Fiena nak pergi tengok sekejap.” Afiena berbisik lagi.

“Aduh! Pergilah. Rasa bersalahlah pulak. Awak pergi minta maaf. Pujuklah sampai reda sedih kak long. Jemi saya jaga.” Kamarul memaut Jemi yang masih meronta, didukung Jemi ke beranda. Afiena berjalan pantas.

Di dalam bilik Sufie masih terduduk, memikirkan ketakutan Jemi. Tidak disangka kanak-kanak juga takutkannya, apatah lagi wakil merisik petang nanti. Apakah perkara yang sama bakal berlaku? Derap tapak melangkah gopoh kedengaran, dia pasti itu adalah Afiena yang sedang kerisauan memikirkannya.Cepat-cepat disanggul rambut yang terurai panjang, nanti ketika adiknya itu masuk dia mahu kelihatan setenang mungkin.

Cermin itu dihampiri lagi. Wajah muramnya ditenung seketika. Dia cuba senyum namun ditentang hati sebaik gambaran reaksi yang bakal dihadapinya pada petang nanti berlegar, seolah-olah cermin sedang menayangkan penghinaan yang bakal dirasai ketika rombongan merisik tiba. Sufie makin pilu. Pastilah nanti mata rombongan itu terbutang, dengan bibir menjuih panjang. Ditambah dengan kata-kata benci berlapik simpati, seolah-olah ia bakal membebankan sesiapa sahaja yang hadir dalam hidupnya. Sungguh kejam manusia bilamana kekurangan dipandang musibah.

“Ya ALLAH. Kasih sungguh ENGKAU kepadaku sehinggakan aku diuji sebegini. Jika ini yang terbaik untukku , aku terima. Cuma aku mohon tabahkanlah hatiku. Jangan sampai aku menjauhiMU,” adu Sufie. Diseka setitis dua air jernih yang menuruni pinggiran pipi.

Afiena melangkah perlahan setelah agak lama kakinya terhenti di kaki pintu. Kalau ditanya apakah perasaannya ketika itu, dia pasti menjawab yang dia benar-benar pilu. Melihat kakak kesayangan kaku di depan cermin dengan wajah pudar tanpa senyum. Itu adalah penyiksaan untuknya. Namun sifatnya keras, tiada wajah duka mampu muncul. Dengan cermat dipeluk Sufie dari arah belakang. Menyentakkan kakaknya. Cepat-cepat Sufie melarik senyum. Afiena tahu Sufie serba-salah, risau kesedihan hati diketahui. Agak lama pelukan itu dikuatkan lagi, terasa kerampingan badan Sufie.

“Kak long marahkan Jemi ya. Fiena mintak maaf. Nanti Fiena pukul budak tu. Makin besar makin nakal pula budak tu.” Tutur Afiena selamba.

“Jangan! Dia baru umur enam tahun. Fiena kena ajar dia dengan kelembutan dan kasih sayang. Itu pesan Rassul kita. Kak long ok.” Sufie senyum. Nadanya lembut seperti selalu.

Afiena melepaskan pelukan dan berdiri bersebelahan Sufie. Dipusing badan ke kiri dan ke kanan persis seorang model kemudian dia memerhati wajah mereka yang muncul pada cermin.“Kak long cantik sebenarnya, macam minah saleh. Fiena nak dandankan boleh? Mesti cantik. Petang nanti .Kalau tak angau mesti gila bakal tunang kak long tu. Apa tunggu lagi.”

Tangan Sufie ditarik Afiena menuju ke katil. Ligat mata Afiena memerhati dan dia senyum bila tudung yang bakal dipakai Sufie ditemui. Dia teruja dapat memakaikan tudung untuk Sufie.

“Kak Long nak tanya sesuatu. Sudah lama kak long pendam. Tapi hari ni kak long dah tak mampu nak pendam lagi. Jawab dengan jujur, ya.”Lembut Sufie meminta. “Fiena malu tak, ada kakak macam kak long.”

Afiena tarik nafas, dia agak tersentak dengan pertanyaan itu. Namun dia pilih untuk ketawa. “ALLAH pun tak pandang rupa, siapalah Fiena nak buat macam tu. Pelik-peliklah soalan kak long ni.”

“Maknanya kalau kak long selekeh pun Fiena masih suka.”

“Islam sukakan kebersihan, kak long pun tahu. Saja nak uji Fiena, ya.” Afiena merangkul lalu menggeletek. Pecah berderai suasana bilik bila kedua-duanya ketawa.

Ketawa mereka dipintas oleh bunyi hon di perkarangan rumah. Afiena gembira manakala Sufie terkasima seketika. Lekas-lekas mereka bangun menghampiri jendela, memerhati dari balik langsir dengan debar menendang dada. Suara Pak Awi melaung salam dari kaki tangga kedengaran, ayah mereka kini berlarian anak memayungi tetamu. Ada gelak tawa dan usik mengusik yang bertebaran membuatkan Afiena makin bahagia. Dia pasti kali ini Sufie bakal bersuami.

“ Fiena yakin dengan kecantikan dan keindahan budi, hari ni mesti kak long akan berkahwin. Akhirnya Allah hantarkan juga seseorang untuk kak long.”

Di bawah suasana masih riuh. Berulang- alik Pak Awi menjemput dan menghantar tetamu ke kaki tangga. Mencerlang riang mata Afiena bila melihat hantaran yang beraneka ragam dengan warna sedondon. Paling gah gubahan merak jantan daripada sejadah, seakan menyatakan ‘Aku akan menawan kakakmu.’

“Wah BMW! Bersuamikan orang kaya rupanya.”

“Layak ke, kak long dengan lelaki macam tu?”

Afiena tenung Sufie agak lama, kemudian berkata.

“Mungkin kereta ayah dia. Silap hari bulan anak dia kerja peon.” Nada Afiena yang selamba dengan mimik muka nakal mencair tawa.

Sufie benar-benar bersyukur mempunyai adik sebaik Afiena. Dia seorang adik yang begitu mentaati dan menyayangi, walaupun dia seorang wanita yang cantik, namun tidak pernah sekali pun dia malu untuk mengakui Sufie adalah kakaknya.

Malah jika ditempat awam atau bersama kawan-kawan, jika dilihat Sufie seakan malu, dialah orang pertama yang akan bertindak menyatakan betapa dia bangga dan menyayangi Sufie. Bukan itu sahaja akan diceritakan juga kelebihan dan kebaikannya.

Pintu bilik dikuak laju. Terpinga Afiena dan Sufie bila melihat wajah menyinga mek. “ Ketawa sampai ke tanah. Nak kahwin ke tidak. Belum apa-apa dah nak buat perangai.”

Mereka menelan liur, saling berpandangan dan kembali ketawa, tetapi lebih perlahan berbanding tadi. Mereka tahu mek wanita garang dan tegas, tetapi mereka tahu wanita itulah yang paling penyayang.

“ Gelak lagi,” mencerlang mata mek. “Afiena! Kamu ke dapur senduk nasi dengan lauk. Sufie bila mek suruh, baru keluar. Hal pinangan biar orang lelaki uruskan. Mek nak ke bangsal bawah pokok, jangan ada yang mengacau.”Mek berkata lancar macam mandor estet memberi arahan. Tanpa menunggu gopoh dia berlalu. Afiena angkat bahu, tanda tidak tahu kenapa mek melarang. Dia juga berlalu meninggalkan Sufie.

Terjingkit-jingkit kaki Sufie merapati tingkap setelah pintu bilik dikunci. Dia mendekati tingkap paling hujung, kerana bangsal yang dimaksudkan oleh mek berada berhampiran. Serba- salah dirasakan kerana melanggar kehendak mek, namun perasaan itu dikalahkan oleh sifat ingin tahunya yang mengunung.

Mata Sufie meliar dari balik langsir, seketika kemudian mek berjalan laju, menatang sebuah dulang berisi sepiring kuih dan dua cawan kopi. Sufie telan liur, risau jika tertangkap oleh mek. Seorang wanita dengan lilitan mafla biru duduk bersimpuh di bangsal. Gincu merah yang dipakai menjadikan bibir wanita itu kelihatan mugil ditambah senyuman sinis yang dilempar sebaik dia melihat mek tergopoh-gapah.

“Abda! Betul Rijal nak beristerikan Sufie?” tanya mek gopoh. Matanya merenung Datin Abda.

“Dushhhh…” Dada Sufie ditendang jantung, dirasakan wajahnya membiru. Nafasnya terhenti. Apakah mek sendiri sangsi dengan risikan ini?” Dia tetap bertenang menunggu butir bicara lain.

“Kau sahabat aku. Kau tahu macam mana harga anak-anak buat aku, terutama Sufie. Bila dia sedih, akulah yang paling sedih.”Mek kerling ke arah tingkap bilik tidurku bila gerak hati mengatakan ada yang memerhati. Ditenung agak lama sebelum dia pasti itu hanyalah mainan perasaan.

“Betul ke, Rijal nak memperisterikan Sufie? Fikir betul-betul. Aku tak mahu Rijal kecewa dan Sufie merana.”Mek mendesak.

“Semua beres. Janganlah kau risau mek. Sebab setujulah aku masuk meminang. Kau risau tak bertempatlah.” Datin Abda bernada suka, mugkin geli hati dengan sikap gopoh mek.

“Kau tak tipu aku Abda? Betul kau tak tipu aku? Rijal sudah tahu kekurangan Sufie?” Mek butangkan mata, minta kepastian lagi. Kali ini lebih bersungguh-sungguh. Datin Abda angguk mengiyakan lalu hati mek berbunga syukur.

“Rijal tak kisahlah, lagi pun dia duda anak satu.”Datin Abda mencemik bibir setelah bosan dengan pertanyaan mek. Renungan mek tidak dihiraukan kerana dia sibuk mengunyah kuih.

Sufie kembali terjingkit-jingkit ke birai katil. Hatinya sudah puas, apa yang disangsikan terjawab juga. Sebaik punggungnya menghenyek tilam hatinya mula bersuara.

“Rupanya di dunia masih ada kemungkinan kabahagian. Semuanya kerana belas ALLAH.” Sufie senyum, senyuman terindah yang belum pernah diukir bibirnya. Kudup bunga hatinya mula mekar. Dia tidak menyangka masih ada lelaki yang mahu mengahwininya. Bersama wudhuk yang tersisa dia sujud syukur berteman titis air mata. Dia bersyukur penantiannya selama ini bakal bernoktah.

Bunyi derap kaki diikuti pinggan berlaga dengan sudu, menandakan acara makan sudah bermula, kedengaran suara-suara yang memuji keenakan air tangan mek. Sufie masih di sejadah memuji anugerah indah daripada ALLAH. Anugerah yang tidak pernah dijangka. Anugerah impian setiap gadis sepertinya. Kalau boleh, mahu dihebahkan seluruh dunia betapa gembira dia saat itu.

Hujan lebat bertukar renyai. Kemudian ucapan perpisan kedengaran, disusuli bunyi hon. Pak Awi dan mek melambai-lambai pada kereta yang sedang meninggalkan perkarangan rumah dengan wajah berseri-seri.

Sufie masih berteleku di atas sejadah ketika pintu bilik diketuk. Bingkas dia bangun lalu membuka pintu. Sejujurnya dia terkejut sebaik pintu bilik dibuka. Melihat gusar yang terlukis di wajah Afiena mengundang hairan. Pastilah ada sesuatu yang sedang difikir, jarang benar dia berwajah begitu..

Seperti biasa, tanpa jemputan adiknya itu melaju masuk lalu menghempas badan ke dada tilam. Direnung lelangit bumbung. Dia masih membisu memikirkan sesuatu. Namun amat payah untuk dia lafaskan rasa hati. Makin payah bila melihat cahaya pada wajah Sufie. Diketap-ketap bibir nipisnya yang segar.

“Ceria nampaknya kak long ni.”Afiena berkata sebaik matanya memaku bibir Sufie.

Sufie jadi malu apabila Afiena menyedari apa yang berlaku. Dia ikut berbaring bersebelahan Afiena sambil jemarinya meramas lembut tangan adiknya.

Afiena berkalih badan. “ Kak long gembira?”Ditatap senyuman Sufie.

“Bukan saja gembira malah bersyukur, dengan izinNya...” Sufie senyap seketika.

“Insya-ALLAH kak long akan jadi isteri dan ibu macam Fiena. Bila lihat Fiena belai dan peluk Jemi dan Akim, kak long jadi sayu. Tapi sekarang mungkin tak lagi.” Sufie bercerita riang, tidak pernah Afiena lihat dia seriang itu. Membuatkan mulutnya semakin kelu.

“Fiena pelik. Ada sesuatu?”

Fiena hanya senyum. Digeleng kepala.

“Adik kakak tipu. Macamlah kak long baru kenal Fiena. Ceritalah… ceritalah,” usik Sufie manja.

“Kak long betul-betul nak kahwin dengan lelaki tu?” mendadak Afiena bertanya.

“Kenapa? Ada benda yang patut kak long tahu?” tanya Sufie lembut. Pincing matanya menjentik ketenangan hati.

“Bukan, Cuma Fiena rasa pelik. Tapi mungkin tu, cuma perasaan saja.” Fiena menjawab pantas, tidak sanggup dia melihat kesedihan di wajah Sufie setelah begitu lama dia berduka.

“PELIK!” Sufie terkejut. Dia mengiring. Diramas jemari runcing Afiena, kali ini lebih kuat.

“Cuma perasaan saja. Bukan boleh pakai pun. Tak payahlah kak long risau.” Afiena beralasan, risau jika kegembiraan Sufie menghilang.

“Macam-macamlah Fiena ni. Cemas kak long tadi… Tak apalah, yang penting kak long kena mula bersiap supaya bila kahwin nanti boleh jadi isteri yang baik.”Sufie senyum meleret sebelum dia bangun untuk mendapatkan mek. Dia mahu peluk dan cium mek, mahu mengucapkan terima kasih kerana tidak berputus asa mendapatkan jodoh untuknya.

“Huh… Moga-moga telahan aku meleset, Ya Allah,” resah makin kuat menjilat perasaan. Afiena berbaring berteman renungan yang makin dalam. Ada sesuatu tentang pertunangan itu yang merungsingkannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.