Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 10- HARGA SEKEPING SURAT

Suasana sepi, menambah duka hatinya. Afiena merenung ke hadapan. Penuh tumpuan. Sesekali lopak air yang dilanggarnya menambah sakit kepala Rijal. Dia menggigit bibir. Entah apa yang bermain di benaknya, Rijal tidak tahu. Cuma diperhatikan wajah Afiena, lebih masam daripada cuka. Muncung sahaja sudah boleh disimpul-simpul. Entah-entah sama panjang dengan belalai gajah jika dibiarkan.

Kereta itu masih merempuh lopak-lopak air, kalau boleh semua lopak air mahu dilanggar, biar pecah kepala Rijal. Bukan dia tidak tahu perbuatan Rijal yang telah mengoyak surat titipan Sufie, dan itu membuak-buakkan amarahnya.

“Sakit ke, abang long? Naik kasihan pulak Fiena tengok. Tapi abang long tak payah risau, sebab Fiena pakar bab pecut-memecut.” Nada kejam bergema. ‘Vroom….’ Makin laju kereta dipecut. Rijal bertambah pening, sakit kepala semakin memuncak.

“Arrg! Perlahan sikit Fiena.” Rijal bernada lemah. Afiena senyum sinis. Makin gila dia menekan pedal minyak, makin mengaung kereta itu. Terumbang-ambing kereta dipandu. Afiena sudah dirasuk kebencian, sehingga tidak mempedulikan hujan lebat. Terlambung-lambung Rijal di dalam kereta. Kejap, dia memegang tali pinggang keledar.

Sekilas Afiena menjeling Rijal. Dalam sesaat diratah lumat wajah lelaki berdosa itu. Dia kembali menggigit bibir, senyum benci kemudiannya. Wajah Rijal yang pucat kebiruan dangan badan lemah itu masih belum mampu menceriakan Afiena.

“Jangan ajar aku jadi setan. Kalau aku jadi setan, aku lagi jahat deripada setan. Kiamatlah dunia. Rasakan.” Afiena melirih perlahan. Sekali lagi pedal minyak ditekan kuat.

“Warrg!” Bau masam memenuhi ruangan kereta. Segala macam sisa yang sudah lumat diluahkan. Muntah Rijal melekat pada cermin, memercik pada baju mereka berdua. Dia benar-benar lemah. Namun masih tidak diendahkan Afiena, tetap juga dipecut kereta itu.

Hatinya sudah dimamah syaitan, begitulah perumpamaan buat Afiena.

“Kau yang paksa aku jadi jahat. Kau yang paksa aku buat semua ni,” detik hati Afiena.

Seekor lembu melintas. Afiena menjerit nyaring, kereta dibrek mengejut. Berpusing-pusing kereta itu lalu melanggar timbunan tanah di pinggir jalan. Kepala Afiena terhantuk pada stereng, dunia kabur, akhirnya gelap.

“Fiena… Fiena….” Suara lembut itu merisik, suara yang dirindui. Air matanya mengalir laju. Sufie berdiri di hadapan, melarik senyum manis seperti selalu.

“ Kak Long tak mati. Kak long masih hidup. Fiena rindu. Fiena takut kak long pergi.” Pertama kali dalam hidup, dia menangisi sesuatu. Ternyata kekerasan hatinya lebur juga.

“Semua akan pergi, bila saatnya saja kita tak tahu, tapi kita tetap akan bertemu. InsyaALLAH dalam keadaan yang lebih baik.” Sufie mengusap ubun-ubun Afiena.

“Lelaki jahat tu ceraikan kak long. Fiena dah baca dalam surat yang dia koyakkan tu. Tergamak dia ceraikan masa malam pertama. Tak boleh dimaafkan perbuatan dia.” Nafas turun-naik, Afiena berusaha menahan sebak bertindih amarah.

Wajah Sufie berubah, namun wajah tenang itu masih mampu mengukir senyum.

“Jangan berani berdendam. Dendam hanya akan menyebabkan derita yang lebih dasyat. Nanti, elok-elok redha jadi keluh-kesah pula. Hidup kita tak lama. Jangan dibazirkan dengan benci dan dendam. Masih banyak manusia baik yang tengah menunggu untuk dijadikan kawan, pasangan dan sahabat. Jika ada jodoh, InsyaALLAH kak long kahwin lagi.”

“Tapi dia gila! Maruah kak long dibuat main, dan kak long masih boleh melayan dia sebaik tu. Fiena tak faham. Betul-betul tak faham dengan perangai kak long. Jangan-jangan kak long memang ada hati dengan jantan tu.” Afiena geram dengan tindakan Sufie.

“Tak akan jatuh walau sehelai rambut tanpa izin ALLAH. Fiena kena faham tu” Sufie mencium pipi Afiena.

“Jadi salah ALLAHlah semua yang berlaku?” Afiena menyindir.

“Sifat cinta itu mahal, suci dan tinggi tarafnya. Sangat sempurna. Kalau tak sempurna tentulah cinta tu cacat. Itulah sifat sebenar cinta. Begitulah sifat cinta ALLAH. Tidak akan sekali-kali diainaya hambaNya.”

“Lagi pun, kak long tak perlukan cinta semurah itu daripada seorang lelaki. Bercerai itu pahit, tapi jika itu yang harus dipilh…” Wajah Sufie layu serta-merta.

Belum habis Sufie berkata, Afiena mencantas pantas.

“Bukan harus dipilih, tapi terpaksa dipilih. Kak long tak diberi hak langsung untuk memilih. Lelaki tu ainaya kak long. Tak hargai langsung, kebaikan orang.”

“Jangan terlampau berharap kebaikan dibalas kebaikan. Hukum dunia tak selalu bergerak seperti yang kita mahu. Cukuplah ALLAH yang membalas segala kabaikan yang kita lakukan, bukan berharap manusia yang membalas.” Sufie memicit-micit lengan Afiena.

“Betul! Tapi dia kenalah tahu adap… Kenalah hormat perasaan orang lain.” Afiena masih tidak berpuas hati.

“Fiena suka makan coklat, bukan? Sedangkan kak long tak suka, sebab manis.” Sufie masih senyum.

“Jadi?” Afiena terpinga.

“Kesimpulannya, jika Fiena makan selori coklat sekalipun. Kak long tak akan kisah, sebab tak pernah berharap kat coklat tu. Begitu juga bila Fiena berharap hanya balasan ALLAH, Segala pandangan dan balasan manusia pada Fiena sudah tiada makna lagi. Baik atau buruk balasan manusia Fiena tetap gembira.”

“Tapi Fiena geram lah!”

“Jadi belajar-belajarlah sabar, sebab sabar tiada titik noktah.” Kepala Afiena dirangkul lembut, dicium-cium kepala dan ubun-ubun adiknya. Dia akhirnya berbisik.

“Serahkan surat tu pada abang long. Surat itu amanah kak long. Sekarang surat tu ada pada Fiena. Jadilah pemegang amanah yang amanah.” Afiena bungkam, tidak disangka Sufie tahu mengenainya.

Seorang doktor datang, entah kenapa doktor itu menggoncang kuat tubuhnya.

“Apa doktor buat ni? Sakitlah! Lepaskan saya… Lepaskan saya. Kak long tolong Fiena.”

Sufie menghilang sejurus itu. Dalam rontaan itu, Afiena masih cuba mencari kelibat Sufie, namun hanpa. Malah semakin kuat pula tubuhnya digoncang. Suasana yang tadinya putih, semakin berbalam dan bertukar hitam. Semakin lama suara doktor itu bertukar lemah dan bergetar.

“Fiena… Fiena. Bangun” Badan itu digoncang sekeras mungkin oleh Rijal dengan tenaga yang berbaki. Kepalanya berdarah kerana terhantuk pada cermin. Mujurlah Afiena sempat membrek kereta. Jika tidak sudah tentu nyawanya melayang.

Afiena masih digoncang. Namanya masih diseru berulang-ulang. Getir hati Rijal makin bertambah.

“Ya ALLAH. Aku mohon ampun. Jangan Kau tambah rasa berdosaku. Jangan ada yang mati lagi kerana kejahatanku. Ya ALLAH. Aku mengaku, aku selalu ainaya orang lain. Dadaku dah cukup sendat dengan rasa berdosa. Tolonglah aku kali ini. Aku mohon… aku mohon dengan sangat-sangat.” Rijal gumam sendirian. Dia benar-benar berharap yang Afiena akan bangun.

Terasa yang TUHAN benar-benar mendengar permintaannya. Dia berasa diampuni. Sekilas dia teringat pesanan Sufie di malam keramat. Malam kejahilan. Malam dia menceraikan gadis suci itu.

“Kasih sayangNya maha luas, abang yang sedang bersangka buruk denganNya, masih tidak ditarik nafas. Masih diberi rezeki. Saya redha jika perceraian ini pilihan abang, Cuma tolonglah berhenti mempersoalkan ALLAH. SAYANG-NYA TIDAK BERTEPI. Sayangilah Dia selagi sempat.”

Hatinya dipagut sebak. Afiena membuka mata sedikit demi sedikit, badannya juga bertindak balas.

“Alhamdullilah. Terima kasih YaALLAH.” Pertama kali dirasakan yang ayat itu terbit seiklas-iklasnya, dari dasar hati.

“Apa yang berlaku? Mana kak long? Bukankah Fiena kat hospital tadi?” Afiena keliru, kepalanya pening dan berdenyut. Benjol membengkak di kiri dahi. “Aduh! Sakitnya.” Dia berdengking kecil bila tersentuh bengkak itu.

“Kita masih dalam kereta. Fiena ok, tak? Nak abang long drive? Rijal menggagahi diri, walaupun wanita itu membenci, namun kerana kasih Sufie rasa benci pada Afiena hilang, malah kasihan pula yang timbul. Wanita itu terpaksa berpisah dengan kakaknya iaitu satu-satu saudara kandung yang dia ada. Semuanya kerana dia.

“Fiena ok… Tapi kalau nak memandu tak boleh.” Afiena menggangkat kepala. “Auw!” Tangan Fiena terseliuh, dia menjerit kecil. “ Kita tunggu ayah dan abang Kamarul lalu, boleh tumpang nanti.” Bergetar suara Afiena menahan sakit.


“Tak boleh! Kita kena balik sekarang, tak boleh tangguh-tangguh. Biar abang long drive.” Pintu kereta dibuka, belum sempat dia melangkah Afiena bersuara.

“Tak payah! Kita tunggu saja kat sini. Abang long bukan boleh pandu pun. Nanti tak pasal-pasal lain yang jadi.”

“Risau juga Fiena dekat abang long. Ingat dah benci.” Rijal jadi terhibur sedikit, dirasakan yang selama ini dia telah tersalah anggap mengenai Afiena.

“Tolong sikit. Fiena risau kat kereta ni, bukan abang long. Kalau setakat abang long, Fiena tak heran langsung.” Suara Afiena marah-marah. Meluatnya datang berganda.

“Hati orang, abang long tak boleh paksa-paksa. Nak buat macam mana, kalau orang dah meluat.” Layu nada Rijal.

“Baguslah kalau dah sedarkan diri. Tak payah nak tunjuk baik. Berlakon punyalah class. Kalau bertanding, mesti menang artis paling hipokrit.” Afiena mendengus.

“Dah lah. Abang long tak mahu bertekak. Suka atau tak, abang long akan drive. Kita balik sekarang jugak.

“Kenapa yang beria-ia sangat. Tak sabar-sabar nak balik kemas kain baju. Dah rindu sangat kat buah hati di kl. Malang kak long dapat suami macam abang long.” Makin menyinga Afiena.

Bila nama Sufie disebut, Rijal bungkam seketika.

“Kita balik sekarang juga.” Pantas pintu kereta dibuka. Rijal keluar, menghayun langkah lemah. Ya, langkahnya lemah, malah jika ada yang melihat dia ketika itu pastilah akan menitiskan air mata, kerana melihat kondisi tubuhnya itu. Afiena tiada pilihan selain menurut. Itupun sambil memberontak.

Makin menggigil bila mereka berdua disirami hujan, namun Rijal sudah nekad. Walau terpaksa merangkak sekalipun, surat Sufie harus diselamatkan dan dibaca.

Bukan sesuatu yang mudah untuk dia memandu dengan tubuh yang lemah dan kaki yang sakit. Adakala dia menjerit bila kesakitan menyerang. Dalam payah, dia masih memberi tumpuan. Berharap yang perjalanan itu dimudahkan. Sudah beberapa kali kereta itu hampir terbabas, mujurlah TUHAN masih merahmati.

Afiena memutarkan siaran radio, buat melalikan suasana yang tegang.

Juugo Ya O Tsukisama Hitori Bochi

Sakura Fubuki No Hanakageni

Tooi Osata No Oneesama

Watashiwa Hitori Ni Narimashita

Di bawahnya Sinar bulan Terang Purnama

Air mataku menitis bagaikan embun

Melihat dikau berangkat Tinggalkan semua

Ke alam yang baru begitulah Jalan hidup mu

Lagu Hanakage berkumandang, lagu kegemaran Rijal ketika melanjutkan pelajaran di Negara Edo dahulu. Lagu yang begitu difahami itu mengisahkan perpisan seorang wanita kerana perkahwinan, namun berbeza dengan situasi sekarang. Lagu itu seperti menceritakan kisah hidupnya pula.

Hampir-hampir terlelap mata, bila Pening menyerang kuat. Mata berpinar, akal menyasar. Dingin meratah hebat jasad. Rijal batuk beberapa kali. Wajahnya benar-benar pucat.

“Berhenti! Kita tunggu ayah dan Abang Kamarul.” Afiena kembali menggulang.

Dia membiarkan sahaja bila Rijal membisu. Ingatannya kembali menayang mimpi tadi, atau mungkin lebih tepat ilusi sewaktu dia separuh sedar.

Hatinya terhibur bila mendengar suara Sufie dan kembali berduka setelah mengetahui ia hanyalah mimpi, namun setiap butir kata itu masih terpahat kukuh dalam benak.

Setelah bersusah payah. Mereka sampai juga. Senyum kecil terpancul dari garis bibir kedua-dua mereka. Rijal memberhentikan kereta di tengah kawasan lapang rumah, bukan di bawah rumah seperti biasa Dirasakan yang kereta itu bergerak terlalu perlahan, maka dia memutuskan untuk berlari. Afiena menyoroti langkah Rijal yang tidak tentu arah. Kemudian dia berhenti, memerhati dari jauh.

Rijal merendahkan badan dan terbongkok-bongkok di bawah lantai beranda. Bersama wajah kelat, dia mengais-ngais sampah yang dihanyutkan air. Dia mencari-cari sesuatu, dan Afiena tahu apa yang dicarinya. Namun Afiena kaku, tidak disangka lelaki itu berkeras untuk pulang hanya kerana sekeping surat. Di antara benci dan kasihan, hatinya berperang hebat. Benci dengan apa yang telah dilakukan kepada kakaknya, dan kasihan melihat kesungguhan Rijal.

“Fiena apa yang kamu buat dalam hujan tu?” Ibunya melaung dari muka pintu. Wanita tua itu turun bersama sekaki payung, berlari mendapatkan Afiena. Wanita itu risau jika dia akan kehilangan anak untuk kedua kali pula. Dipimpin tangan Afiena, namun anaknya itu tetap membatu.

“Kenapa tercegat lagi? Hujan tengah lebat. Demam nanti. Jangan kamu tambah susah hati mek. Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku.”

Mata Afiena masih kejab memaku pergerakan Rijal, diperhati setiap perbuatan lelaki itu. Hati kecilnya membenih kasihan. “Mungkin dia tak sejahat aku sangka. Mungkin dia dah berubah. Mungkin betul kata kak long, dia lelaki baik.”

Sesuatu sedang bergerak di bawah rumah, menarik perhatian mek. Terkejut dia, bila melihat Rijal sedang tekun menguis-nguis mencari sesuatu. Dia ikut kelu, seribu satu persoalan bermain dibenak. Agak lama terbongkok-bongkok, Rijal keluar dari bawah rumah. Dia berlari lemah terhincut-hincut, mengikut arah aliran air. Sudah beberapa kali dia tersembam kerana kesakitan kakinya menjalar ke saraf, namun tetap digagahi bangun. Dan dia terus berlari lemah mengikut aliran air, berharap apa yang dicari ditemui. Debaran hati berganda.

Mungkin kerana semangat, dia masih bertahan. Jika tidak sudah tentu dia pengsan kerana demam dan dingin hujan. Sesekali guruh menjerit, kilat memancar. Tetap tidak dipedulikan.

Afiena melangkah laju, menyebabkan ibunya terkebil-kebil. Dia merapati Rijal, disuakan kepingan kertas putih yang telah dicantum dengan pita pelekat.

“Ini yang abang long cari. Fiena kutip masa kena hanyut air. Simpanlah kalau mahu.”

Rijal berkalih pandangan, didongak wajahnya. Dicapai surat itu, ditatapi. Air matanya mengalir deras. Sekali lagi dia mengucapkan syukur.

Afiena berlalu, kali ini dia pula yang memimpin ibunya. Seakan faham ibunya hanya menurut. Rijal kedinginan dalam hujan, namun surat itu sudah cukup untuk memanaskan jasadnya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.