Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 14- PENANTIAN (BAHAGIAN 1)

Sudah dua hari Sufie bergelar guru. Impian yang membenih sejak kecil kini sudah bercambah, dia tersenyum gembira. Jadualnya semakin padat kerana terpaksa berkejar ke Italian Pasticceria café sebaik tamat sesi pengajaran.

Dia begitu suka bekerja di kafe hebat itu. Ibarat rumah keduanya, tempat di mana dia dapat makan dan minum dengan percuma, malah Corrado juga akan membungkus makanan untuk dibawa pulang. Namun sebenarnya dalam gembira, dia sedikit terkilan bila upah harian yang diminta masih dipertimbangkan oleh Arturo.

“Mesti mek tengah risau fikirkan aku. Mana nak dicari duit dalam masa macam ni. Tak boleh jadi mesti jumpa chef minta dicepatkan, dah lama sangat.” Sufie resah.

“Jauh menggembara! Sampai Kutub Selatan atau dah ke Kutub Utara!” sindir Tariq, juga merupakan cikgu di SDH.

Sufie terkejut kecil, hampir terlepas buku dan permainan yang dipegang. Dia tertarik pada hidung Tariq.

“Hari ini jadi badut pula Tariq. Cantik hidung merah kau.” Sufie tersengih geli hati.

“ Ada juga yang tersengih macam kupang busuk akhirnya,” balas Tariq.

“Siapa? Siapa yang tersengih macam kupang busuk?”

“Engkau lah si kupang busuk.” Tariq ketawa geli hati.

“Budak lelaki yang duduk di bahagian ‘onkologi dan hematologi’ tu macam tiada perasaan. Habis skill lawak aku buat, tapi tetap buat muka bodoh. Aku pun naik pelik dengan budak sorang tu.” Tariq menyambung kata.

“Aik… Ada juga yang tak ketawa. Kau salah skill kut Tariq,” duga Sufie.

“Aku bercakap, budak tu buat bodoh. Buat lawak pun masih tak jalan. Entah apa yang direnung pun tak tahu. Setiap kali aku datang mengajar, mata dia tak lepas merenung ke luar tingkap. Bukan sikit dah pelik budak tu, dah tahap infiniti pelik.” Tariq medengus kesal.

“Jadi perancangan kau sekarang?” soal Sufie penuh minat. Masalah budak itu lebih menarik perhatiannya sekarang berbanding masalah diri sendiri.

“Hah… Itu yang aku nak dengar. Kita tukar pelajar. Engkau ajar budak itu. Bagaimana pendapat kau? soal Tariq gembira.

“Mana boleh main tukar-tukar sesuka hati. Mengamuk penyelia nanti,” tenang Sufie membantah.

“Itu kacang. Nanti, tahu lah aku nak goreng penyelia tu. Engkau setuju saja lah,” pujuk Tariq manja.

“Nanti aku fikir dulu. Jangan pula kau buat keputusan sendiri. Bagi aku dua tiga hari.”

“Kalau begitu kita pergi jumpa budak tu. Sekarang sudah pukul empat. Sekolah dah tamat.”

“Maaf Tariq! Aku masih kerja part time, kena cepat, nanti-nanti lah kita pergi jumpa budak yang kau cakapkan tu. Assalamualaikum.” Sufie bangun dan beredar.

Langkah gadis albino itu diamati. Tariq sedikit kesal dengan penangguhan yang diminta Sufie. Tapi rasa itu tidak lama bila mendengar seorang kanak-kanak perempuan menangis.

“Yes! Ada pelajar baru yang mahu dihiburkan.” Tariq bergegas ke ruangan bersebelahan yang dipisahkan oleh tirai kain.

***

Usai solat Asar, bila jarum jam berpadu menghampiri pukul lima petang Sufie bergegas ke Italia Pasticceria Café. Setiba sahaja bergegas pula dia menuju ke bilik Arturo. Diketuk cermat pintu. Satu suara garau kedengaran. “Masuk,” suara itu berkata. Diikuti bebelan dalam bahasa Itali yang tentunya tidak difahami Sufie.

Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, kelihatan wajah tegang Arturo.

Kasihan mek! Itulah keluhan hati Sufie sebaik sayu mula mengusap hati. Dia menghampiri, berdiri kaku. Serba salah hatinya kini.

“Mahu apa? Tak menyibuk sehari tak senang duduk agaknya,” teka Arturo.

“Saya ada hajat. Mahu chef timbang cepat sikit berkenaan upah saya.” Sufie bernada tenang, namun hatinya berkocak bagai air dilempar batu besar.

“Baru kerja tiga hari dah nak tunjuk belang. Kerja tak seberapa, ada hati nak upah hari. Keluar sekarang saya banyak kerja!” tepik Arturo.

“Saya benar-benar berharap chef pertimbangkan semula. Saya perlukan duit sekarang,” tenang Sufie melantun kata.

“Kerja dua tempat masih tak cukup. Kamu nak buat apa duit banyak-banyak?”

“Saya baru bertugas. Kerja kerajaan lepas tiga bulan baru dapat gaji. Duit yang saya keluarkan dari Atm semua kena rompak tiga hari lepas. Mujur lah ada teksi yang sudi hantar saya ke Selayang.”

“Ada saya kisah!” sindir Arturo. “Hidup jangan manja sangat. Susah lah kalau dibiasakan dengan sikap manja. Tahu lah kamu itu golongan istimewa, tapi dunia ni kejam tak pernah belas pada yang lemah.”

“Chef kena faham situasi saya.”

“Telefon saja keluarga kamu. Suruh mereka bank in duit, habis cerita. Nanti apa pula kata krew lain kalau saya bayar upah kamu ikut hari.” Arturo mula berang.

“Telefon saya tertinggal di kampung. Duit saya satu sen pun dah tak ada.” Sufie berkata polos. Berharap yang Arturo akan menyimpan belas.

“Kesiannya! Nak menangis saya dengar. Kenapa tak beritahu awal.” Nada sedih bermain di bibir Arturo. Wajahnya pula melahirkan simpati. Inilah kali pertama Arturo mempamirkan wajah manusia. Hati Sufie berbunga lega.

“Jadi chef setuju nak bayar upah hari pada saya,” Ceria membalut hati Sufie. Terbayang kegembiraan ibunya. Tentu ayahnya juga akan bersuara suka. Sudah empat hari dia tidak dapat tidur memikirkan kerisauan yang ditanggung keluarga kerana tidak menghubungi mereka, sedangkan dia sudah berjanji akan menelefon sebaik sampai ke hospital Selayang. Tapi tentulah Mek Yah Lori Ikan sudah pulangkan telefon bimbitnya, dan kedua-dua orang tuanya akan faham kenapa dia lambat menelefon.

“Sudah tentu. Tapi hujung bulan lah, bukan hari-hari,” lemah Arturo menjawab. Nadanya sengaja dibuat-buat, sengaja mahu menyakitkan hati Sufie.

“Chef tak kasihankan saya?”

“Penipu! Kamu ingat saya akan tertipu dengan cerita bodoh tu?” Soal Arturo, kemudian ketawa mendadak.

“Saya tak tipu!” tenang Sufie membalas.

“Sudah! Pergi kerja sekarang. Jangan nak jual muka dekat saya.” Arturo memerhati dengan wajah berang.

“Tapi chef….”

“Dah, sudah lah. Pergi buat kerja.” Arturo bertegas. Dia bangun lalu menuju ke pintu dan membuka pintu buat Sufie, wajahnya makin masam mencuka. Sufie yang sudah masak dengan perangai lelaki dempak itu, tiada pilihan selain keluar sahaja dari bilik itu.

“Saya tak suka ada penipu di kafe ini. Last warning tahu!” Amaran keras Arturo.

Rozita yang sedang melayan pelanggan terkejut mendengar kata-kata Arturo. Bukan masalah untuk mendengar kata-kata itu, bila nada suara Arturo yang kuat mampu mengalihkan perhatian pelanggan berhampiran. Sebaik Sufie melangkah keluar, dengan sengaja Arturo menghempas kuat pintu. Berharap yang para pelanggan turut berkongsi rasa berangnya.

‘YaALLAH aku bertawakal kepadaMu. Tiada daya upaya melainkan dengan pertolonganMu,’ detik hati Sufie.

Rozita menghampiri setelah menghantar pesanan ke kaunter. Wajah gadis comel itu sedikit resah. Mungkin mereka tiada pertalian darah, namun itu bukan penghalang untuk satu keakraban dibina. Bukankah Islam itu bersaudara!

“Musang tu mengamuk pasal apa pula? Dia marahkan Kak Sufie lagi ke?” tanya Rozita geram.

“Hal kecil saja. Remeh-temeh, tak perlu nak cerita pun.” Sufie cuba berdalih.

“Islam tu bersaudara. Percayakan saya sebagai saudara, boleh?” umpan Rozita. Bukanlah dia hendak menyibuk. Tapi Sufie benar-benar sudah dianggap sebagai kakak sendiri.

“Nantilah lepas waktu kerja. Tak baik curi masa kerja.” Sufie keberatan.

“Tak apa. Bukan selalu,” cantas Rozita. Hatinya tidak sabar mahu tahu punca Sufie dijerit oleh Arturo.

“Masa kerja tu amanah, dan amanah itu wajib ditunaikan. Tak mahulah Kak Sufie lihat kita berdua khianati amanah. Nanti ALLAH marah.” Sufie kembali senyum, dipicit lembut hidung Rozita. Gadis itu ketawa kecil.

“Baiklah ustazah.”

“Amin… Masin mulut Rozita, jadi ustazah sungguh Kak Sufie nanti,” balas Sufie, dia kemudian senyum.

***

Azan berkumandang, sayu hati Sufie mendengar. Dia terpana seketika.

“Dik, nak ambil order ke, tidak?” soal seorang wanita Cina.

“Maaf puan! Boleh saya senyap sekejap, menghormati azan,” lembut dan sopan Sufie meminta.

“Ok.” Wanita Cina itu senyum. Dia kembali membelek-belek senarai makanan dan minuman.

Corrado keluar ke anjung akhirnya. Udara segar dihirup panjang , terasa paru-parunya kembali bersih. Seharian di dapur amat meletihkan. Terkejar-kejar menyiapkan pesanan adalah perkara wajib untuknya. Dia menggeliat, membetulkan urat-urat yang hampir kejang. Kemudian dipusing-pusing badan ke kiri dan kanan. Ah! Hatinya berdetik kecil bila terpandang Sufie berdiri kaku.

“Rozita ke mari.” Corrado melaung.

Rozita bergerak pantas, sepantas jantungnya yang berdegup. Saat yang paling ditunggu-tunggu adalah bila namanya disebut oleh Corrado. Terasa hati sedang mencair dan lututnya bergetar laju. Senyuman paling menawan dihadiahkan kepada Corrado saat dia sampai.

“Ya… Corrado.” Rozita menundukkan wajah. Jika diikutkan hati mahu ditenung wajah Corrado sepuas-puas hati, biar sampai bermimpi di malam hari, namun sifat kegadisan masih menebal. Ibarat semalu yang kuncup, begitulah keberaniannya kuncup bila melihat Corrado.

“Awak pergi ganti Sufie, dah azan mesti dia resah kalau lambat solat. Nanti bila dia habis solat suruh jumpa saya kat meja sana.”

“Saya pun nak solat juga!” pintas Rozita.

“Kalau awak pun rehat, siapa yang nak ambil order. Mengamuk chef nanti, sanggup awak tengok saya kena marah sebab awak. Selepas Sufie solat, giliran awak pula,” dalih Corrado.

“Sikit-sikit Kak Sufie. Pilih kasih betul… Jangan-jangan dah jatuh hati.”

“Kalau ya, kenapa? Cemburu ke?” usik Corrado.

Rozita terjerat. Wajah dia merona merah. Bahasa badannya gelisah. ‘Matilah kalau dia tahu aku suka kat dia,’ getus Rozita.

Sementara itu Corrado ketawa geli hati. Baginya itu bukanlah perkara luar biasa kerana rata-rata gadis yang melihat akan jatuh hati kepadanya.

“Dah lah, malas nak dilayan. Makin dijawab makin mengada-ngada pula.” Rozita menarik nafas lega. ‘Lepas juga aku, kalau tak berasap kepala otak nak menjawab,’ getus Rozita.

Rozita menghampiri Sufie. Dia lantas menepuk kecil bahu gadis albino itu. Namun tidak diendahkan Sufie. Dia sedang melayan wanita Cina itu.

“Itu saja. Cepat sikit, saya mahu lawat anak,” pinta wanita Cina itu ramah.

“InsyaALLAH. Saya lakukan yang terbaik.” Sufie senyum mesra. Dia kemudian berpaling, melihat wajah mencuka Rozita.

“Ada lori cuka terbalik agaknya!” sindir Sufie. Diramas-ramas tangan Rozita seketika. “Jom kita hantar pesanan pelanggan. Sambil tu bolehlah luah apa yang patut diluah.” Sufie mula menghayun langkah.

“Corrado usik saya. Geram…”

“Dia suka agaknya. Syukur kalau dia dapat jadi saudara baru.” Sufie meraup wajah.

“Memang suka, tapi bukan kat saya. Pada Kak Sufie,” tersentak Sufie. Wajah Rijal muncul mengejut. Bila dikenang Rijal, kata-kata Rozita tidak lebih daripada gurauan biasa.

“Issh… Tak baik serkap jarang. Nanti jatuh fitnah pula.” Sufie menasihati.

“Orang lelaki. Saya petik jari dah tahu apa yang mereka fikir. Bukan susah sangat nak baca hati orang lelaki.” Rozita senyum bangga. Terasa dirinya pakar.

“Itu saja?”

“Dia suruh Kak Sufie rehat. Bolehlah sembahyang Magrib awal waktu. Lepas solat dia suruh jumpa kat meja luar. Nak bercinta dengan Kak Sufie lah tu.” Rozita ketawa mengusik.

Sufie hanya senyum dan berlalu. Dia bersyukur kepada ALLAH kerana dijemput menemuiNya pada awal waktu. ‘Amin,’ bisik hatinya.

“Boy tolong siapkan pesanan ni cepat sikit, ya. Pelanggan tu nak cepat melawat anak dia,” pinta Sufie ramah. Kemudian dia berlalu, tidak perlu menunggu kata persetujuan daripada Boy kerana dia seorang pekerja yang rajin.

Ketenangan datang mengusap, terasa segar batinnya bila memuji cinta, mengakui kehebatan ALLAH. Sufie larut dalam solat yang ditunaikan. Baginya solat itu adalah waktu yang dinanti-nanti, ibarat kekasih yang tidak sabar menunggu buah hati. Rindu yang menyapa setiap saat itu tertunai juga. Usai solat dia ke dapur, mengambil makanan dan bergerak ke meja luar. Seperti diduga lelaki bermata hijau laut itu tersenyum sebaik melihat Sufie.

“Kopi tanpa gula.” Sufie meletakkan secawan kopi panas di hadapan Corrado, membuatkan lelaki itu senyum.

“Masih ingat kopi kegemaran saya. Awak begitu memahami saya Sufie,” luah Corrado serius.

“Hanya kopi, tak lebih pun,” balas Sufie segan. “Boleh awak telan kopi pekat sepahit tu?” soal Sufie. Niatnya Cuma berbasi-basi, mahu menjangka emosi Corrado.

“Pahit… Pahit, akhirnya nikmat juga. Siapa sangka kopi sepahit ni dapat memberi nikmat pada lelaki sekacak saya.” Corrado berwajah nakal. “Begitu lah kehidupan. Pahit… Pahit, akhirnya bahagia juga. Jadi jangan menyerah pada hidup. Mesti terus berjuang.” Corrado menghela nafas.

“Awak panggil sebab nak cerita pasal kopi saja ke?” soal Sufie.

Corrado menyeluk poket baju double breastednya, lalu mengeluarkan satu sampul surat. Sampul surat putih itu disuakan kepada Sufie.

“Gaji awak untuk tiga hari. Ada beberapa keping syiling, boleh lah awak telefon keluarga selepas ini,”

“Chef dah berubah fikiran. Alhamdullilah, syukur. Terima kasih Corrado.” Sufie gembira bukan kepalang. Resah hatinya bakal surut setelah menelefon keluarga.

“Apa tunggu lagi pergilah telefon, atau awak nak guna telefon saya?,” soal Corrado bersahaja.

“Tak perlu. Saya nak ke bangunan hospital sekejap. Di sana ada telefon awam.” Sufie berkata setenang yang boleh. Corrado angkat kening tanda mengizinkan.

***

Mek sedang sibuk di dapur. Begitu juga beberapa wanita lain, tidak dilupa Afiena yang begitu tekun menggelap pinggan. Kenduri Tahlil Sufie akan diadakan selepas Insyak. Wajah Afiena dan mek murung seperti ayam berak kapur. Berat sekali hati mereka berdua untuk melepaskan pemergian Sufie.

“Sabar mek!” pujuk jirannya.

‘Ayat sama belaka. Dari yang muda sampailah yang tua, ayatnya sabar. Kalau tak sabar dah lama aku pitam,’ getus mek.

“Dah siap ke belum?” tanya Kamarul. “Saya nak ke surau dulu, nanti siapkan yang mana patut. Jangan lambat, jemaah sampai lepas solat Insyak.” Kamarul berkata lembut. Dia kemudian beredar untuk ke surau. Usai solat Magrib Pak Awi tidak pulang ke rumah, sudah kebiasaan untuk dia tetap diam sehingga usai solat Insyak.

Kesibukkan melekakan mek seketika, sehingga tidak disedari telefon sedang menyanyi merdu. Minta dijawab panggilan. Sudah dua tiga kali, namun tetap tidak diangkat panggilan itu.

“Mek. Telefon berbunyi tu,” luah Afiena. Dihampiri dan dicuit ibunya. Perbualan kedua-dua beranak itu menarik perhatian kaum wanita di dapur.

“Angkat lah mek. Mana tahu panggilan penting,” luah Bidah.

“Siapalah yang nak telefon! Anak dah tak ada. Sahabat pun dah pergi. Mana ada lagi yang nak menelefon.” Mek menjawab lemah, selemah semangatnya. Impian untuk menghabiskan hari tua dengan anak dan cucu, lebur. Terutama bila mengenangkan Sufie yang baru sahaja mengecapai kebahagiaan.

“Sayang… “ lemah mek bersuara.

“Apa yang sayangnya mek?” soal Afiena pantas.

“Baru dapat suami dah kena berpisah. Suami yang baik pula. Mek harap-harap dapat main dengan anak kak long kamu tapi hampa.” Mek meluahkan rasa. Matanya bergenang.

“Tak baik persoalkan kehendak ALLAH. Apa yang ALLAH pilih, itu lah yang terbaik buat kita. Kalau kak long boleh yakin dengan kasih sayangNya, kenapa tidak kita.” Afiena memujuk Ibunya. Dia turut bergenang air mata.

Telefon menyanyi lagi. Kali ini Afiena mengarahkan Akim untuk menjawab panggilan kerana dia juga sudah tidak teruja lagi dengan nyanyian panggilan itu. Hanya menurut, Akim berjalan laju ke bilik dan menekan punat berwarna hijau, kemudian meletakkan telefon ke telinga.

“Assalamualaikum… Kenapa baru angkat?”

Lutut akim terketar-ketar. Peluh membenih pada dahinya. Suara itu telah menyihir.

“Assalamualaikum. Mek dengar tak suara Sufie?” soal Sufie risau.

“Mak long ke ni?” tanya Akim gagap. Ketakutan mengusap jantungnya sedikit-demi sedikit. Terbayang langsuir putih yang diceritakan Pak Samad. ‘Mak long dah jadi langsuir ke?’ detik hatinya.

“Akim ke? Tak balik KL lagi,” soal Sufie gembira. “Panggil mek. Kata mak long nak cakap.” Sufie mengarah.

‘Mesti langsuir mak long nak ambil mek,’ hati Akim gumam. Dia makin ketakutan. Dimatikan telefon serta-merta dan berlari ke dapur. Sampai sahaja dipeluk Afiena erat. Cuba dilepaskan rangkulan itu oleh Afiena tetapi makin kejap pula Akim memeluk.

“Siapa telefon tadi?” soal Afiena.

“Hantu!” jawab Akim.

“Hantu mana pulak ni. Hantu mana wujud, yang ada jin dengan syaitan sahaja.” Afiena menjawab. Dia beranggapan itu hanyalah gurauan Akim.

“Mak long dah jadi langsuir…. “ Akim bersuara deras, seisi dapur terkejut. Air mata mek jatuh lagi. Tidak disangka Akim tergamak menggelar Sufie langsuir. Sudah lah jenazahnya tidak ditemui, kini namanya pula diburukkan.

“Akim cakap betul-betul! Siapa yang telefon.” Afiena bernada tinggi. Serba salah kini.

“Akim dah kata, kan. Hantu mak long telefon. Hantu tu nak cakap dengan mek. Akim tutup telefon sebab takut mek kena ambil, nanti ibu sedih.” Akim menjawab jujur.

Afiena mengamati wajah Akim, benarlah anaknya itu sedang ketakutan.

‘Mungkinkah kak long masih hidup. Kalau ya, siapa yang selamatkan dia? Kenapa mesti hari keempat baru dia telefon? Atau mungkin roh kak long tak tenang angkara Rijal? Itu tak mungkin, kak long orang baik-baik,” detik hati Afiena bertalu-talu.

“Ya Allah permudahkanlah untukku. Biar semuanya terang lagi jelas,” luah Afiena.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.