Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 7- SANDIWARA (BAHAGIAN 2)


Afiena tersengih. Kejap-kejap dia tersengih lagi. Boleh dikatakan sudah beberapa jam dia tersengih. Sepas itu dia berlagu dengan kedua-dua anaknya.

“Kalau anda gembira tepuk tangan.” Serentak mereka bertepuk tangan.

“Kalau anda gembira hentak kaki.” Serentak pula mereka menghentak kaki.

“Kalau anda gembira, beginilah caranya.”

“Kalau anda gembira tepuk tangan, hentak kaki.” Kemudian ketawa bersama.

Semenjak Sufie berkahwin, inilah kali pertama dia gembira. Rasa macam impian emas menjadi kenyataan. Bukanlah kerana dia sudah berbaik dengan Rijal, namun ada sebab lain. Mahu sahaja dia mencatas daun keladi gergasi di halaman, lalu berlari di hadapan Rijal. Biar padan muka lelaki itu, biar malu kerana telah berperangai kebudak-budakkan.

“Sudah-sudahlah Fiena.” Sufie merenung lembut. “ Tak elok kita bergembira di atas musibah yang menimpa orang.” Dia faham benar kenapakah adiknya itu gembira. Kalau diikutkan logik akal, tentulah dia yang lebih gembira kerana telah dikhianati oleh Rijal, namun dia bukanlah orang yang suka berdendam. Mungkin kerana sudah dididik agar tidak kenal erti dendam dan benci.

“Amacam abang long, seronok main hujan? Mesti seronok sampai dicantas pokok keladi kesayangan mek. Balasan TUHAN agaknya. Akhir zaman ni, TUHAN bayar cash terus.”Afiena menyelar Rijal.

Rijal tidak mengendahkan sindiran Afiena. Dia sedang berbungkus erat dengan sehelai selimut kerana demam. Dia berbisik kecil, sendirian.

“Mungkin macam ni agaknya panas neraka. Rasa macam nak terkeluar biji mata aku.” Rijal mengeluh, kerana biji matanya terasa panas dan berdenyut. Matanya seperti digantung batu, hendak dibuka pun tidak berdaya. Bukan itu sahaja, malahan badannya turut sakit-sakit. Seperti tangan, kaki dan lehernya telah dipiuh kuat. Cahaya lampu seolah-olah nyalaan api yang semakin membakar tubuh, terasa seperti neraka dunia sedang mengazabnya.

Lebih memalukan, kulit putihnya merona kemerahan dengan hingus yang meluncur laju minta dilepaskan.

“Abang long, hujan dah turun. Angkat kain dijemuran.” Afiena ketawa lucu dan menyindir ketika menyedari hingus Rijal meleleh.

Rijal benar-benar tidak berdaya. Terbaring seperti bayi yang lemah. Bukanlah dia tidak pernah diusap demam, namun inilah pengalaman pertama dia menempuhi demam di desa. Serba- serbi kekurangan.

Di villa keluarganya, jika demam menjengah, seperti rajalah dia. Semuanya serba lengkap. Doktor keluarga, tilam empuk, gebar mewah, ubatan mahal dan bibik yang bersedia untuk berkhidmat. Pendek kata waktu sakit adalah umpama syurga dunia.

Rijal memandang kain tuala yang dipenuhi hingusnya. Sudah seperti peta negara yang tidak pernah dikenali bila dilihat. Dia mendengus kecil.

“Kalau dekat Villa, dah tentu berkotak-kotak tisu yang disedia. Setiap dua jam mesti doktor ambil bacaan suhu.”

“Itu Villa bandar. Ini pula Villa Desa, so...tak payah nak buat hidung tinggi. Nanti tak pasal-pasal Fiena bungkus dalam kotak. Esok comfirm sampai depan pintu Villa bandar.”

“Fiena.” Lembut Sufie merenung. “Adik kak long ni tak habis-habis usik abang long.”

Diperhatikan lagi tuala yang berada bersebelahan. Rijal mual tiba-tiba, seperti segala isi perutnya mahu melonjak keluar. Afiena yang melihat senyum puas lalu ketawa mendadak. Rijal tidak pedulikan itu semua. Dia benar-benar lemah dan tidak tahu apakah harus dilakukan. Sufie senyum, namun hatinya risau melihat keadaan Rijal.

“Saya masakan bubur kanji,bang. Makan panas-panas berselera sikit.” Sufie kemudian bergegas ke dapur. Afiena memcemik geram, kemudian ikut ke dapur. Jemi dan Akim pula berlari ke ruang tamu kedua rumah itu, untuk menonton television bersama yang lain. Bergegar lantai rumah apabila kedua-dua beradik itu berlari, menyebabkan kepala Rijal seakan terbelah dua. Dia memicit-micit kepala agar denyutan itu berkurangan.

Ruang tamu rumah itu terbahagi kepada dua. Satu adalah ruang tamu asal dan yang terbaharu adalah ruang tengah yang telah diubah suai merangkap ruang tamu kedua. Bukan calang-calang tukang yang diupah untuk mengubah suai ruang tengah itu, kerana hasilnya sesiapa yang melihat pasti terpegun dengan hasil seni dan kemahiran yang halus dan kemas. Malah ruang tamu kedua itu kini telah digunakan sebagai tempat berkumpulnya seisi keluarga.

Mungkin kerana itu, Rijal memilih untuk tinggal diam di ruang tamu asal bagi mengelak suasana bising. Malah mek dan Pak Awi juga tidak membantah. Mereka lebih suka jika Rijal dan Sufie dapat menghabiskan masa berdua-duaan, supaya mereka lebih saling berkasih sayang. Namun Afiena pula seakan tidak faham, diekori Sufie sepanjang masa seperti pengawal peribadi.

Di dapur, Afiena hanya memerhati Sufie bekerja. Ke hulu, ke hilir dia bergerak, memeningkan kepala Afiena yang memerhati.

“Baiknyalah kak long ni. Biarkan dia terbungkus seorang diri. Tak payahlah kak long terkejar-kejar sangat pasal hal dia.” Afiena mencebik, namun tidak sampai hati pula bila melihat kakaknya kepenatan. Demi itu diambil telur masin lalu dibasuh dan kemudian direbus.

“Terima kasih Fiena kerana risaukan kak long. Tolong jangan bermuka kelat dengan abang long lagi.” Sufie bernada merayu.

“Fiena tak pernah cakap pun benci dia. Depan abang long, Fiena buat biasa saja.”

“Fiena tahu tak? kelakuan lebih banyak memberitahu orang lain mengenai siapa kita berbanding dengan kata-kata yang kita ucapkan. Seulas senyuman pun boleh membawa beribu maksud.” Sufie berkata lalu mempelbagaikan gaya senyuman, mencuit hati Afiena. Dia tidak marahkan Afiena, jauh sekali membenci kerana dia faham benar kenapakah adiknya itu bersikap sedemikian.

Suasana sepi seketika, agak lama. Masing-masing sedang membuai rasa yang berserabut di dada. Mungkin kerana sepi itu dirasakan terlalu lama, Sufie akhirnya memecahkan kesepian dengan berkata.

“Bubur hampir masak. Zaman serba canggih, semua kerja dengan izin ALLAH jadi lancar dan cepat. Fiena belah telur masin. Kak long sediakan bubur dan air minum untuk abang long. Ya.”

Afiena tidak mengiyakan mahupun menidakkan perintah Sufie, namun tangannya pantas mematuhi arahan.

Setelah segalanya selesai, mereka mendapatkan Rijal. Ternyata lelaki itu masih dibungkus erat oleh selimut, sedang menggigil kesejukan. Tapi Sufie tahu yang sebenarnya badan Rijal panas dan perlu dijemah agar suhu badan turun. Rijal masih terbaring di atas sofa sendirian.

“Makan bang, lepas tu makan ubat.”

Rijal masih diam. Bukan kerana marah atau sedih, tetapi kepalanya semakin berdenyut dan tenaganya seakan disedut keluar. Dia terpinga-pinga mendengar percakapan Sufie.

“Kak long panggil tu. Mengada-ngada pulak. Banyak ragam kalah orang bunting sulung.” Afiena membidas, seraya meletak kasar pinggan berisi telur masin.

“Bangun bang, makan. Sejuk tak sedap pulak. Makin tak berselera nanti.” Sufie menyuakan mangkuk bubur kapada Rijal.

“Saya tak larat. Saya tak selera nak makan. Saya sakit. Belum pernah saya demam seteruk ini, rasa macam dalam neraka.” Rijal mengeluh lemah dan seperti cacing kepanasan, membuatkan Afiena meluat. Tetapi dalam masa yang sama dia gembira kerana baginya TUHAN telah membalas kejahatan Rijal.

“Sabar! Allah uji, sebab sayangkan abang. Bangunlah saya suapkan. Mesti jamah, buat alas perut sebelum makan ubat.”Sufie berkata lembut, seperti memujuk anak kecil. Pujukan Sufie menjadi. Rijal bangun sejurus itu.

Tanpa menunggu lama, Sufie menyuakan sesudu bubur ke mulut Rijal. Namun hanya sedikit yang di telan. Mungkin kerana bubur itu terlalu panas, bahkan mulutnya juga terasa pahit, jika diikutkan mahu sahaja diludah bubur itu, tetapi demi menjaga hati Sufie dan mengelakkan mulut puaka Afiena terpaksalah dia menelan juga. Bubur itu terasa hambar dan tidak menyelerakan langsung. Ah! Kalaulah ketika itu dia di Villa tentulah seleranya akan berbangkit sedikit dengan masakan mewah yang berhias indah. Jauh panggang dari api jika hendak dibandingkan dengan bubur yang sedang di kunyahnya sekarang.

“Mengada-ngada. Macam budak kecil nak kena bersuap. Kalau baik oklah jugak, ini….” Kata-kata Afiena terputus, bila dipintas Sufie.

“Ingat lagi masa kita di sekolah, masa sambutan Maulidur Rasul. Kisah Baginda dengan pengemis tua Yahudi yang buta.” Sufie berpaling memandang Afiena yang sedang meratah telur masin.

“Muhammad itu gila, Muhammad itu pembohong, Muhammad itu Tukang sihir!” Afiena menjerit kecil, melakonkan kembali sketsa yang telah dipersembahkan ketika itu. Dia diam seketika, ada sebak yang mencuit hatinya.

“Last sekali, Rasulullah S.A.W wafat. Lepas tu, Abu Bakar a.s menggantikan tugas Rasulullah S.A.W untuk menyuap makanan kat pengemis tua tu.” Afiena senyum kepada Sufie. Senyum paksa yang diukir untuk mengelak hatinya daripada ditebak.

“Yang paling menyentuh hati, bila si pengemis yahudi yang buta itu tahu bahawa Abu Bakar bukanlah orang yang menyuap makanan padanya selama itu. Dia tahu sebab Rasulullah S.A.W akan mengunyah makanan sebelum disuap, malah dengan begitu lembut dan cermat Baginda menyuap pengemis itu, berbeza dengan Abu Bakar.”Sufie menerangkan dengan penuh teruja. Dia tidak menyedari sepasang mata Rijal sedang asyik merenung wajah lembutnya.

“Itu saja ke ceritanya. Kalau tak silap akhir sekali, pengemis yahudi buta tu masuk islam. Tapi saya lupa lah kenapa dia peluk islam,” lemah suara Rijal, terketar-ketar kerana demam. Matanya yang putih bersih itu juga telah berona kamerah-merahan. Bibir pula menampakkan garis halus kerana kekeringan.

Sufie senyum seketika lalu menjawab. “ Kerana pengemis tu tersentuh hati. Walaupun dia menghina dan mencaci Baginda setiap hari. Malah ketika Baginda menyuap, dia masih mengeji. Tapi Baginda tetap melayani dan menyuapnya dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Dan itulah titik tolak pengemis itu memeluk islam.”

“Kak long juga berharap dapat mencontohi sikap Baginda. Menyayangi sesiapa sahaja tanpa sebarang syarat dan yang utama kerana Dia.” Mata Sufie beransur berkaca kerana terharu dengan akhlak Rasulullah S.A.W.

“Tapi zaman sekarang lain kak long. Orang baik selalu kena tindas.”Afiena menjeling Rijal.

“Tapi janji Allah tak pernah berubah. Setiap kesabaran berbuah manis akhirnya. Setiap kebaikan mendapat ganjaran daripadaNya dan yang paling penting apa yang kita semai, itulah yang bakal kita tuai. Sudah sunatullah begitu. Mungkin orang yang kita tolong itu mengkhianati, namun jangan berhenti berbuat kebaikan kerana Insay-Allah dengan cara lain pula kebaikan kita akan dibalas.”

“Kalau macam tu, awak kunyahkanlah bubur nasi ni untuk saya pula.” Ternyata bila tiba bab mengusik Sufie dia kembali ceria, walaupun tidak segalak biasa.

“Ah! Mengada-ngada, tak padan dengan sakit. Nak kena kunyah pulak dah.” Afiena menjeling. “Dah, tak payah dilayan sangat, nanti kak long yang letih.”

“Kata nak mencontohi Rassul. Kalau benda senang pun tak boleh yang besar lagilah. Jangan jadi macam tin kosong, bunyi sahaja lebih, buat tidak.” Rijal membalas.

Sufie diam seketika sebelum senyum. “Tak mengapalah. Lagi pun bubur ni masih panas, kena pula abang demam teruk.”Lirih Sufie berkata.

Rijal terkedu. Kaku macam patung. Tidak disangka. Asalnya hendak mengusik, tapi tidak disangka gadis itu sanggup. Makin kelu apabila kelembutan dan ketenangan Sufie seakan mengasak jiwanya.

Sufie mengemam bubur yang panas seketika dan meluahkan kembali lalu disua kepada Rijal. Seperti dipukau Rijal menelan bubur itu tanpa sebarang sungutan. Afiena kegelian lalu berlalu pergi, seolah-olah Rijal sedang menelan muntah.

Rijal mengenggam tangan, lalu menumbuk sofa. Wajahnya memandang lantai dan dia bersuara payah. Amat payah, malah air jernih menitis membasahi lantai. Hatinya sedang bergetar laju kerana kebaikan Sufie. Dia tidak keruan, tidak faham apakah yang dirasa saat itu.

“Pernah awak tengok lelaki menangis? Mesti awak ketawa geli hati tengok saya macam ni. Hanya lelaki dayus yang menangis. Ketawalah kalau mahu. Ketawalah sebab saya lelaki dayus.”

“Siapa lelaki dayus tu? Air mata adalah tanda kasih TUHAN pada hambaNya. Bahasa pertama setiap bayi. Bersyukurlah abang masih mampu menangis. Masih mengigati bahasa fitrah sewaktu abang dilahirkan. Di luar sana beribu yang sudah kering air mata, sekering hati mereka. Tidak lagi mampu menangis.” Sufie memujuk lembut.

“Tapi menangis itu tanda lelaki dayus, lembik dan tak guna.” Rijal masih mempertahankan pendapatnya. "Sukalah awak sekarang, sebab sakit hati awak dah terbalas. Tak payah pura-pura kasihankan saya.” Rijal membentak.

“Bukankah ketika bermunajat juga kita menangis kerana menyesali dosa-dosa dan mengigati kasih sayang ALLAH. Itulah tanda kita telah mengalahkan ego, mengakui sesilapan dan bersyukur atas nikmatNya. Tapi janganlah menangis macam budak umur lima tahun, haru-biru dunia” Sufie menyiram nasihat, kemudian mengusik, cuba menceriakan suasana.

“Awak persendakan saya, ke?”

“Benar saya geram dengan tindakan abang. Tapi bukan sifat saya untuk berdendam dan membenci. Anggaplah kita tak berjodoh. Tak guna memaksa, kalau akhirnya kita berdua yang sengsara.” Lembut nada suara Sufie, makin menyiksa Rijal. Air mata diseka.

‘Dush’ jantung Rijal disadap penyesalan. Tidak disangka gadis itu istimewa seperti diceritakan mamanya. Sesaat kemudian akalnya kembali merasuk. ‘ Berlakon sajalah. Mana ada orang sebaik tu zaman ni.’ Dia sedikit lega.

“Betul awak tak benci saya?”

“Ya... Jangan risau lah, tentu ada jodoh saya nanti.”

“Kalau tiada? Berapa tahun lagi awak nak menanti.” Rijal tenung tepat wajah Sufie.

Sufie senyum tenang. “InsyaALLAH ada. Jika tak di dunia, mungkin di sana.”

Afiena masih belum muncul, membuatkan perasaan Sufie kacau. Dia tidak pernah, dan tidak gemar berdua-duaan dengan bukan muhrim. Bila diyakini yang Afiena tidak akan muncul, dia kemudian bangun untuk memanggil Afiena. Baru sahaja dia bangun Rijal kembali menyoal. Dan soalan itu membuatkan jantungnya berdegup kencang.

“Betul ke apa yang awak kata di dapur siang tadi?” Rijal memandang dengan pandangan sayu.

“Berkenaan apa. Saya mungkin dah lupa.”

“Awak kata saya lelaki baik?”

“Oh! Itu.” Sufie mati patah kata. Sedikit cemas.

“Awak orang pertama yang ikhlas mengatakan saya lelaki baik. Ramai yang kata saya jahat, nakal, suka mainkan perasaan orang. Tapi awak berbeza.”

“Mungkin abang salah dengar.” Sufie berdalih.

“ Tolong jawab dengan ikhlas! Awak yakin saya lelaki baik.” Rijal memaku mata Sufie dan dengan pantas Sufie mengalihkan wajah. Baginya tidak manis dia berpandangan dengan lelaki yang bukan suaminya. Lututnya sudah mulai menggigil dan jantung makin kencang berdegup. Seperti saluran darah semakin laju dilalui, seakan salur darah itu semakin berkembang dan bila-bila masa sahaja akan meletup.

“Sekadar lakonan. Saya berpura-pura sebagai isteri abang, jadi kenalah saya pertahankan abang.”Sufie menjawab seringkas mungkin.

“Mungkin itu satu pembohongan, tapi saya tetap anggap ia sebagai kata-kata ikhlas daripada awak. Saya benar-benar maksudkannya. Terima kasih kerana mempercayai saya.” Lelaki itu kembali memandang lantai, hatinya benar-benar sebak dan kacau, seolah-olah Sufie telah menyihirnya. Pertama kali dalam hidup, dia tidak mampu memandang seorang gadis. Selalunya renungan jantannya akan mematahkan hati setiap gadis, namun saat ini, renungan itu tunduk kepada seorang gadis.

Sufie berlalu pergi meninggalkan Rijal. Bahkan dia juga sudah tidak sanggup menghadapi Rijal, maka terpaksalah dia meminta bantuan Kamarul untuk menemani Rijal. Namun apakah yang harus dikatakan untuk pertolongan itu. Dan jantungnya bertambah kencang berdegup sehingga dia sendiri mendengarnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.