Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 27- HARI AHAD

Datin Abda merenung awan putih dari balik kaca pesawat. Hatinya berkabut bila andaian-andaian yang pelbagai merayap masuk ke benak.

“Huhh…” Dengusan resah dilepaskan. Kemudian pandangannya merayap ke wajah anaknya.

Rijal senyum sinis dan bagi Datin Abda senyuman itu adalah ejekan yang mempermaikan darjatnya sebagai seorang ibu.

“Perli nampak!”tikam Datin Abda dengan muncung yang dipanjangkan.

Makin lebar Rijal senyum. Bebola matanya melata pada wajah mamanya. “ Tak ada apa yang nak diperlikan… Seingat Rijal mama bukan jenis yang emosi. Kecuali kalau hati mama resah. Ada yang hendak dikongsikan ke?”

“Aikk.. Bila masa pulak Rijal jadi tukang tilik ni? Siap boleh tahu orang resah ke tidak. Wanita besi macam mama ni, manalah ada masalah.”

“Berahsia ke mama?”aju Rijal selepas tersengih.

“Malaslah mama nak melayan kamu ni. Makin dilayan makin melalut pula.”

Badannya disandar selepas kerusi direndahkan sedikit, kemudian majalah yang terselit dicapai lalu ditatap sambil lewa. Dia sendiri tidak tahu kenapa majalah itu dibelek, mungkin kerana mahu berselindung daripada Rijal. Dia agak tergamam bila isi hatinya dapat ditebak Rijal dan sekaligus menyentap marahnya.

Rijal kembali menekan-nekan huruf pada muka telefonnya. Sesekali dia ketawa kecil, menambah meluat mamanya. Sikap mamanya itu sedikitpun tidak diendahkannya.

***

Corrado tersengih sendirian. Adakala dia ketawa kecil sekaligus meruapkan cemburu Rozita. Semenjak dipanah asmara, dia sudah seperti mata-mata. Setiap derap kaki Corrado dituruti dan diperhati. Pantang ada yang canggung mulalah cemburunya menyubur.

“Mesti tengah mengorat perempuan. Inilah orang lelaki, pantang ada rupa mulalah nak jadi keladi… Geram..Geram, aku.”Rozita meramas-ramas kuntuman bunga ros.

“Assalamualaikum…” Sufie menepuk lembut bahu Rozita.

“Waalaikummussalam…” Rozita terkejut dengan tepukan yang tidak disangka.

“Emmm… Ada masalah? Bunga dicipta Allah untuk dinikmati, bukan dimatikan. Tengok… Kasihan bunga yang begitu cantik dimusnahkan.”Sufie mencapai ros di dalam genggaman Rozita.

“Menyampah… Menyampah. Agaknya memang orang lelaki ni diciptakan untuk menyakitkan hati orang perempuan agaknya. HUH!”

“Segugus anggur tidak semuanya sama saiz. Orang lelaki pun begitu. Tidak semua teruk,”pangkah Sufie sabil senyum.

Rozita diam melihat senyuman itu dan sesungguhnya Sufie memang terkenal dengan kemurahan senyuman. Senyuman yang mampu mendamaikan mata yang menatap.

“Memang lelaki jahat. Memang semua lelaki yang pernah wujud dan akan wujud dalam dunia ni jahat.”

“Dan jangan lupa Rasul kita juga lelaki…”Sufie ketawa, “Allah Maha Adil. Tak mungkin ada yang mampu menandingi keadilanNya. Abaikan bisikan nafsu tu. Sebenarnya siapa yang Rozita marahkan sangat tu?”

“Tu…” Juih mulut Rozita. Pandangan Sufie menurut muncung Rozita dan dia senyum kemudiannya.

“Kenapa pula dengan Corrado,”kerutan terlukis di dahi Sufie.

“Cuba Kak Sufie tengok betul-betul. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Kalau macam tu punya gaya, tak lain tak bukan tengah mengayat anak daralah tu.”

Sufie mengecilkan mata, cuba mengamati lagi, namun dengan penglihatan yang semakin bermasalah perkara itu adalah sukar, malah cermin mata juga sudah kurang membantu.

“Jangan serkap jarang tau,” usik Sufie. Dia mencapai pasu di atas meja lalu menyalin air.

“Orang lelaki bukan susah hendak baca… Geram… Geram.” Rozita mendengus marah kemudian berlalu. Panggilan Sufie tidak diendah.

Sufie meneruskan kerja. Kisah cemburu Rozita tidak begitu menarik minatnya. Malah sukar untuk dia menerima tuduhan yang dilemparkan Rozita, kerana dia kenal benar dengan sifat Corrado. Alunan melodi klasik Itali yang dipasang membuai-buai perasaan yang mendengar sehinggakan sapaan Corrado tidak disedarinya.

“Zaman penuh revolusi di Eropah.”Corrado berkata selepas melabuhkan punggung di atas kerusi, sekaligus menarik perhatian Sufie.

Di antara tahun 1500 dan 1600. Ketika eraRenaissance musik klasik yang sedang kita nikmati ini dicipta.Camerata de' Bardi… Ah! Mereka memang hebat dan berbakat.”

Mata bulat berwarna hijau laut itu menikam tepat ke wajah Sufie, mencarik ketenangan gadis albino itu. Dia cepat-cepat beralih ke meja lain untuk menukar air di dalam pasu. Apabila selesai sekali lagi pandangannya merayap kepada Corrado dan ternyata mata bulat itu masih memaku dirinya. Dia cuak.

“Ada sesuatu yang boleh saya tolong. Renungan awak macam nak minta pertolongan.”

“Tolong jadi kekasih saya,”getar mengalir dalam nada Corrado. Wajah lelaki Itali itu merona merah dengan wajah yang sedikit ditundukkan.

“Aikkk… Tiba-tiba tukar topik, nak berlatih jual minyak urat ke, Encik Corrado? Tadi tu awak mengurat siapa?”aju Sufie dengan nada mengusik.

“Saya mengurat?? Saya salah dengar agaknya!”

“Tadi saya lihat awak senyum manis masa main masej dekat anjung…”

Corrado ketawa dengan kuat dan kerana ketawa itu jugalah dia hampir terjatuh dari kerusi. Hampir sahaja Sufie memeluk kerana bimbang dia akan tersungkur. Namun niat dibatalkan bila Corrado berjaya menyeimbangkan badan.

Hati Corrado berbunga bila pandangan mereka bertaut, malah makin bertaut bila melihat tindak balas Sufie ketika dia hampir terjatuh.

“Tterima Kasih…”

“Saya tak tolong apa-apa pun…”

Suasana sepi sejurus itu. Mereka hilang patah kata. Masing- masing bermain rasa. Bagi Sufie tindakannya tadi amat memalukan. Bayangkan kalau dia benar-benar memeluk Corrado. Aduh! Tidak sanggup dibayangkan olehnya.

Corrado pula merasa cinta yang disemai mula bercambah. Baginya tindak balas Sufie adalah petanda yang hati gadis itu mulai mencair. Dia jadi malu tiba-tiba.

“Ekk… Tadi tu kawan baik saya dari USA. Dia akan tiba hari ini. Saya ketawa bila diusik dia. Ah! Kawan saya itu lelaki. Jadi tidak timbul isu saya mengurat gadis.”

Sufie tidak mengendahkan penerangan Corrado. Malunya masih tersisa. Dia mencapai penyapu lalu melaju dia beredar.

“Sufie… Sufie. Tunggu dahulu, saya masih belum habis bercakap. Betul saya tidak mengurat gadis lain. Ke mana kamu hendak pergi? Soalan saya masih belum kamu jawab.”

Wajah hampa Corrado mengekori langkah Sufie.

“Astaghfirullah… Ya Allah, ampuni aku. Ampuni khilafku,”rayu Sufie hiba. Setitis air jernih menitis. Dia benar-benar malu bila dirasakan Tuhan melihat kelakuannya sebentar tadi.

***

Rozita menyuap bruschetta dengan lahap. Dia benar-benar kelaparan. Manakan tidak sejak dari pagi dia bekerja tanpa rehat, semuanya kerana kekurangan krew. Tambahan pula hari ini hari minggu. Dari bilik persalinan kedengaran Arturo memekik dan mengarah. Macam biasalah pasti Sufie akan menjadi salah satu mangsa kegemarannya. Darah Rozita mendidih. Cukup pantang baginya jika sesiapa membuli Sufie dan makin mendidih bila melihat bruschetta yang berbaki dua.

“Boleh Kak Sufie rehat sekali.”

Wajah Sufie terpancul dari balik loker baju. Macam biasa senyuman manis menghiasi wajahnya. Sufie berlabuh bersebelahan Rozita. Namun dipisahkan oleh pingan berisi bruschetta.

Bruschetta hanyalah kepingan roti panggang yang dimasak dengan bawang putih dan direnjis minyak zaitun. Garam dan merica.

Keju parut dan tomato yang dipotong dadu kelihatan meriah memenuhi permukaan bruschetta, sekaligus mengundang selera Sufie.

“Emmm… Sedapnya. Share sekeping dengan Kak Sufie,”pinta Sufie dengan wajah keanak-anakkan yang sengaja dibuat.

“Ambiklah semua. Putus selera nak makan. Kedekut punya chef. Dah tahu yang badan kita ni punya comel, masih nak dicatu makan.”Rozita menolak pinggan berisi bruschetta lembut.

“Jeng… jeng. Spegeti Bolgonies. Emmm… Baunya saja dah semerbak. Kalau masuk ke mulut, macam manalah rasanya.” Sufie mengambil pingan yang di letak berhampiran.

Garfu ditangan dibenam pada spegeti kemudian dipusing lembut. Bila sudah padat, garfu itu diangkat lalu disuakan kepada Rozita.

“Kak Sufie masak sendiri tahu. Tapi sikit sajalah. Dah kena catu dengan chef.”

“Memang dasar kedekut. Memang nak kena si musang pendek ni,”

“Alhamdulillah,”ucapan lembut terbit dari bibir Sufie.

“Krisis makanan macam ni pun masih boleh redha ke Kak Sufie. Silap hari bulan boleh kebuluran kita berdua,” luah Rozita geram.

Sufie ketawa melihat gelagat Rozita. Namun tiba-tiba dia tunduk merenung lantai.

“Kak Sufie malu,” nada sayu bergema. Kakinya menguis-nguis lantai tanpa tujuan.

“Malu?? Kenapa tiba-tiba malu? Saya tak fahamlah Kak Sufie. Malu pasal apa? Kepada siapa?”aju Rozita bertalu. Dia menjadi cuak dengan ungkapan itu, makin cuak bila melihat kelakuan Sufie.

“Malu dekat Allah. Kak Sufie malu bila teringat firman Allah dalam surah Al- Saba. Kak Sufie masih ingat Al – Saba: 13,” masih sayu nada Sufie, sekaligus menarik minat Rozita.

“Kongsilah dengan saya. Mana tahu kita sama-sama mendapat kebaikan.”Rozita merapati Sufie. Pingan berisi bruschetta dan spegeti bolgonies dialih. Bahu Sufie digoncang lembut bila permintaannya tidak diendah.

Bila tenang kembali bersarang. Sufie kembali berkalih pandang kepada Rozita. Wajah comel itu dirayapi dengan pandangan lembut yang mendebarkan, seolah-olah ada rahsia besar yang bakal diluahkan.

“ Dan sedikit sekali hamba-hanba-Ku yang bersyukur. Al-Saba: 13”mata Sufie mengalirkan titik-titik jernih bak mutiara putih. Jernih dan menyentuh perasaan Rozita.

“Kak Sufie malu sebab saya ungkit pasal rezeki ke? Bukan niat saya nak mengungkit… Tak tahulah kenapa dengan saya ni. Percaya tak yang kadang-kadang saya sendiri tak faham dengan perangai saya.”Rozita merangkul bahu Sufie lalu melentokkan kepala di bahu itu.

“Bukan sebab Rozita. Cuma kadang-kadang Kak Sufie jadi malu dengan diri sendir. Kata-kata Allah seakan-akan menyindir kejahilan Kak Sufie. Kak Sufie malu bila memikirkan apa yang telah Kak Sufie lakukan atas setiap nikmatNya. Nikmat mata, telinga, kaki, tangan. Pendek kata kalau air laut mampu Kak Sufie jadikan dakwat pun, pasti belum cukup untuk menulis segala nikmatNya.”

Sufie menguntum senyum, namun di mata Rozita senyuman itu hambar. Sungguhpun begitu dia mengerti yang sesiapa sahaja, malahan dia sekalipun akan cuba untuk senyum agar resah tidak terjejak.

“Maaf jika Kak Sufie menjengkelkan Rozita.”

Rozita meratah wajah itu seketika. Ada kekaguman yang terbit dari jiwa yang paling ikhlas. Ya, dia benar-benar mengagumi gadis albino di hadapannya kini. Malah dirasakan yang hatinya sudah benar-benar ikhlas menyayangi Sufie. Tangan Sufie dicapai dan dicium lama. Malu rasanya untuk dia mengangkat wajah, risau jika air mata yang tumpah dilihat. Adalah mustahil gadis yang paling ceria menitiskan air mata. Dia mahu menjadi gadis yang paling ceria, paling ‘cool’ menghadapi kerenah dunia. Barulah ‘rock.’

Dan hari ini prinsip itu lebur dengan nasihat yang dicurahkan Sufie. Oh, atau mungkin lebih tepat luahan hati Sufie yang begitu mencintai Allah sehinggakan sedih jika dirinya termasuk orang-orang yang tidak bersyukur.

Tangan putih Sufie mengusap-usap rambut Rozita. Perasaan bersalah menerjah keluar. Apakah kata-katanya sebentar tadi setajam lembing yang merejam? Apakah Rozita berasa dihina?

“Maaf jika Kata-kata Kak Sufie menghiris hati. Kak Sufie hanya meluahkan rasa hati.”

“Kak Sufie tak salah. Saya yang salah. Saya yang patut malu pada diri sendiri. Saya nak ceritakan sesuatu boleh? Nak luah rasa hati.”Rozita masih mencium tangan Sufie. Amat payah untuk dilepaskan genggaman tangan dan amat payah untuk diangkat wajah.

“Boleh! Mari letakkan kepala atas peha Kak Sufie ni.”Sufie menepuk pehanya selepas menarik tangannya yang digenggam Rozita.

“Saya benci kalau orang lain melebihi saya. Contohnya kalau pekerja lain gajinya lebih tinggi atau dinaikkan gaji melebihi saya. Saya selalu risau kalau makanan yang saya suka terpaksa dikongsi dengan orang. Saya selalu fikir yang saya kena bergantung pada diri sendiri untuk makan dan hidup. Kalau nak cerita, tak tercerita. Tapiii… Hari ini.”

Rozita bangkit dari baringan lantas menatap mata biru Sufie.

“Hari ini kenapa?”aju Sufie dengan kerutan di dahi.

“Petama kali saya sedari, yang selama ini saya bertindak bodoh. Saya bodoh dalam menyakini Allah. Bayangkan betapa bodohnya saya sehingga meragukan kasih sayang Allah. Selama ini saya selalu merungut tentang rezeki. Saya takut yang suatu hari saya akan mati kebuluran. Tapi lihatlah sampai sekarang saya masih hidup, masih mampu makan sampai badan dah terlebih comel.”Rozita ketawa kuat. Dirasakan inilah kali pertama hatinya benar-benar tenang.

“Saya juga selalu pejam mata bila Arturo marahkan saya mahu sembahyang. Alih-alih benda tu dah jadi biasa.”

“JANGAN! Solat itu tiang agama. Tak boleh berkompromi tanpa sebab yang dibenarkan.”Sufie terkejut dan wajah itu kelihatan melucukan sehingga mengundang tawa Rozita.

“Sebab saya takut kehilangan kerja. Takut nanti mati kebuluran. Kali pertama saya lihat Arturo marahkan Kak Sufie saya yakin yang itulah kali terakhir Kak Sufie akan bekerja di sini. Tapi lihatlah sampai sekarang Kak Sufie masih lagi bekerja.”

“Insay-Allah. Dia akan jaga hamba-hambaNya,”balas Sufie.

“Kalau kena pecat juga?”

“Maka itulah yang terbaik untuk kita. Insay-Allah akan dilorongkan yang lebih baik di masa hadapan. Cuma satu… Lepas ni jaga solat.”Sufie kenyit mata.

“Baik bos…”usik Rozita, dan sekali lagi tawa terlerai.

Usai makan mereka menyambung tugas masing-masing.

***

“Kamu sediakan panino. Gunakan roti Jenis rosetta. CEPAT! Hari ini ramai sangat yang pesan panino.”Arah Corrado tanpa memandang. Lelaki itu benar-benar sibuk mencanai doh pizza. Begitu cekap dan pantas pergerakkannya.

“Toping apa nak guna?”aju Sufie sambil memotong rosetta secara horizontal.

Corrado berhenti seketika. Riak kurang senang tergambar, mungkin sedang mempertimbangkan toping yang sesuai. Sesaat dua dia senyum.

“Porchetta, tomato, salad butter head dan sedikit kejuemmenthal. Jangan lupa sepotong dua hirisan zaitun jeruk.”

Niat Sufie mahu melanjutkan pertanyaan terbantut bila melihat pintu Kafe dibuka dan dua buah keluarga meluru masuk. Sinaran mata mereka membayangkan betapa mereka sedang kelaparan. Seorang kanak-kanak dalam lingkungan sepuluh tahun, berbaju petak dengan seluar paras lutut berlari kea rah rak pameran tat. Dia menjerit dan terlompat kecil.

“Mak… Mak… Cepat. Nilah tat coklat berkacang hazel yang Mirul suka tu.”

Seorang wanita tua dengan tudung labuh dengan jubah hitan melangkah laju dengan senyuman yang tak lekang. Dari belakang dia diekori seorang kanak-kanak perempuan yang turut teruja. Betapa indah perhubungan yang terjalin. Sufie mengucap syukur di atas kebahagiaan keluarga itu.

Arturo masuk, kali ini wajahnya manis. Semanis gula kabung yang tidak berapa hendak manis. Dia berjalan membidang dada dengan misai lentiknya yang terbuai-buai. Bagi menampakkan lagi kegembiraannya, dia berlagu kecil. Lagu kebangsaan Itali yang begitu diagung-agunkan.

“Sufie sayang, tolong siapkan pesanan dari pelanggan. Boleh?”

“Saya sedang siapkan panino chef. Pesanan untuk panino bertambah melebihi yang kafe jangka,”luah Sufie. Dan sememangnya Arturo juga tahu berkenaan itu. Sungguhpun begitu dia tetap mahu mengenakan gadis albino itu. Niatnya hanya satu mahu Sufie berhenti kerja.

Non mi interessa”‘Saya tak peduli’. Di kafe ini segala arahan saya tidak boleh dipersoalkan, melainkan dituruti tanpa bantahan. FAHAM!”tepik Arturo dengan jari yang digerak ke kiri dan ke kanan.

“Kamil tolong ambil alih kerja Kak Sufie,”pinta Sufie lembut.

Belum sempat Kamil meniyakan jawapan, Arturo sudah memangkas.

“Tak perlu... Kamu akan siapkan kedua-dua kerja ini,”

Sengih Arturo sudah cukup menunjukkan betapa lelaki pendek itu berpuas hati dapat mengenakan Sufie. Sungguhpun begitu Sufie tetap tenang dan sikap itu sedikit sebanyak menyebalkan Arturo.

“Pesanan apa? Berapa? Pukul berapa delivery ?”soal Sufie seringkas mungkin. Bila melihat jarum jam yang semakin menghampiri angka lima.

“Uhhh...”Nada menghina dengan muka menjengkelkan Arturo pamerkan. Tangannya meramas-ramas apron yang tersarung di leher.

“Tak sangka saya ada pekerja sebagus kamu. Kamu perlu siapkan lima ratus tempahan panna cotta sebelum pukul lapan malam. Hati-hati pelanggan ini sangat penting. Saya tak mahu ada sebarang kesalahan.”

“Tiga jam, untuk lima ratus panna cotta. Saya perlukan bantuan beberapa orang krew,”pinta Sufie.

Arturo sengih dan memetik-metik tangan. Dia berpusing-pusing gembira.

“Itu bukan masalah saya. Rasanya semua krew sibuk. Kamu tentu boleh uruskan seorang diri... Bye... bye... tata.”Arturo melangkah laju dengan senyuman paling memualkan. Sebenarnya senyuman dan Arturo adalah gabungan yang pelik atau lebih tepat ibarat air dan minyak yang tidak mungkin akan bercampur.

“Mahu saya bantu? Rasanya lebih baik berdua dari seorang.” Corrado menyapa setelah agak lama memerhati. Dia geram melihat Sufie diperlakukan begitu. Walaupun begitu dia tidak mahu mencelah, bimbang jika ayahnya mengesyaki sesuatu.

Sufie senyum, lantas memanjatkan kesyukuran atas pertolongan Allah.

“Kamu uruskan panino. Hal panna cotta biar saya yang uruskan. Kita mula sekarang.”

Nada dering bergema di dapur, semua mata memandang.

“Tak silent mode . Kalau chef dengar, masak awak kena,”tegur Sufie separuh berbisik.

“Oppp... lupa.”Pendek dibalas Corrado. Cepat-cepat telefon ditukar kepada mode senyap.

Panggilan yang masuk tidak dijawab sebaliknya dimatikan, namun selepas itu sekeping pesanan dihantar kepada nombor yang tertera. Sufie memerhati tanpa minat. Sudah beberapa kali Rozita, Nancy dan Mohana keluar masuk ke dapur menghatar dan mengambil pesanan. Sesekali Nancy yang cerewet dan pemarah menekan loceng pesanan berulang kali bila hidangan lambat. Sufie tidak marah kerana dia tahu kerenah pelanggan pelbagai.

“Panino! Mana oder untuk lima set panino. Berapa jam lagi mahu tunggu.”Nancy memekik geram.

Nancy merupakan penyelia di ‘ Italian Pasticceria cafe’ . Dia seorang yang cerewet dan mementingkan kesempurnaan di dalam setiap tugasan yang diberi. Orangnya rendah dengan kulit mulus oriental. Matanya sepet seperti kebanyakan wanita cina. Bagi krew, dia tidak ubah seperti sesumpah yang mampu bertukar warna. Ini kerana personalitinya cukup tegas sewaktu bekerja, namun apabila tamat waktu bekerja dia seorang yang ceria dan peramah.

“Siap Madam,”laung Sufie. Pinggan dicapai dan dia menyusun panino bersama kentang goreng.

“Kerja mahu laju, mahu cepat.”Bebel Nancy ketika tangannya pantas mencapai pinggan berisi panino.

“Baik Madam,” pantas dijawab Sufie.

Dia kembali bergerak ke arah kabinet untuk menyediakan bahan panna cotta memandangkan Corrado masih sibuk membalas masej secara curi-curi. Ketika dia cuba mencapai susu, kotak yang paling hadapan jatuh sekaligus menarik perhatian Corrado. Dia lalu menghmpiri Sufie.

“Biar saya uruskan panna cotta. Balik ke stesen, siapkan panino.”Corrado menunduk mengutip kotak susu yang jatuh.

Sedar yang dia bukanlah orang yang begitu mahir dengan resepi panna cotta, dia menurut tanpa membantah. Tambahan dengan penglihatan yang bermasalah tentulah sukar untuk dia bergerak pantas menyiapkan tempahan dalam waktu yang ditetapkan.

Corrado kembali mendekati. Dia baru selesai membalas sekeping pesanan lagi.

“Kawan saya sampai lapangan hari ini. Kami berjanji mahu bertemu malam ini. Kamu tolong saya boleh?”aju Corrado . Belum sempat Sufie menjawab dia membongkok mengambil magkuk dari laci bawah.

“Insay-Allah. Boleh saya tahu tolong apa?”

“Errr...”Corrado ragu-ragu. Dia jadi malu dan berdebar.

“Tolong apa? Saya perlu tahu baru boleh buat keputusan.”Sufie masih tekun menghiris buah zaitun, sehingga tidak menyedari renungan Corrado.

“Ttemankan saya malam ini. Jumpa kawan saya. Boleh?”agap Corrado meminta.

Sufie berpaling seketika dengan kening yang berkerut. Corrado faham tanda kerutan itu, maka cepat-cepat dia berkata. Berharap yang Sufie tidak marah.

“Kita ajak Rozita bersama. Jangan risau kawan saya itu datang dengan mamanya. Kita pergi jumpa sekejap saja, lepas makan saya hantarkan kamu berdua balik. Setahu saya kamu berdua datang kerja dengan bas. Tolong saya kali ini, ya,”rayu Corrado bersungguh, namun nadanya separuh berbisik. Dia risau jika ada krew dapur yang terdengar dan perkara itu akan diketahui ayahnya.

“Kenapa mesti saya dan Rozita? Bukan orang lain? Kenapa tidak di kafe saja?”soal Sufie dengan wajah penuh curiga. Dia berasa kurang selesa dengan permintaan Corrado itu. Hatinya berdetak, seakan ada sesuatu yang bakal berlaku. Dia beristigfar sejurus itu bila merasakan dia telah bersangka buruk terhadap Corrado.

“Kamu pun tahu saya pendiam. Bukan mudah saya hendak rapat dengan seseorang. Hanya kamu dan Rozita saja yang rapat dengan saya. Di sini kurang selesa. Kamu tahulah sebabnya bukan... Saya betul-betul mahu sahabat baik saya mengenali kamu.”

“Kenapa mahu sahabat awak kenal saya? Pelik... Ada apa sebenarnya Corrado?”aju Sufie. Nampaknya curiga yang semakin menyurut kembali melimpah. Dia jadi risau tiba-tiba.

“Kerana kamu istimewa.”Corrado memalingkan kepala. Dia jadi malu dengan ungkapan yang dirasakan cukup berhantu itu.

“Ya. Saya istimewa sebab saya albino,”jawab Sufie mendatar, ada kesal yang bersarang.

“Bbukan itu maksud saya.”Corrado cuba membetulkan keadaan.

“Tak apa, saya tak marah. Saya teman awak malam ini. Anggaplah saya balas jasa awak sebab bantu saya siapkan tempahan.”

Tanpa kata Corrado kembali ke stesen dan mula bekerja. Dia menyesali kerana tersalah guna ayat. Namun dia senyum kembali.

‘Malam ini aku mahu Rijal dan mamanya jadi saksi lafaz cinta aku kepada Sufie. Dan malam ini Sufie akan tahu yang dia benar-benar istimewa untuk aku.’ Corrado bermonolog sendirian. Tanpa disedari Sufie terpandang kemilau senyumannya.

“Apa yang dia tengah fikirkan?”soal Sufie sendirian dan persoalan itu menemaninya sepanjang hari.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.