Home Novel Cinta BUNGA ALBINO
BAB 29- KISAH PAGI

Dipisat-pisat mata. Kabur menerjah penglihatan. Bibirnya terasa kering. Malah pening kepala pun masih belum pulih. Bila diamati kedengaran nada suara nyaring wanita. Derap tapak melangkah laju, mematikan suara wanita itu.

Sufie cuba mengigati, seakan-akan dikenali pemilik suara itu. Tepat sangkaannya, sebaik pintu dikuak terpancul Afiena dengan senyuman mulus. Namun wajahnya merona merah, menampakkan jendela hati yang cuba ditutup.

“Fiena marah kat siapa tadi? Kalau tak salah memang Fiena depan pintu tu kan?”aju Sufie sambil digagahi badannya. Cuba bersandar.

Afiena melangkah. Dia melangkah setenang mungkin, malah  berlagak seperti biasa. Matanya mengerling pada bantal, dan sepantas itu tangannya mendorong tubuh Sufie agar tegak, itu pun setelah bantal dibetulkan kedudukan. Sufie sedikit selesa apabila tubuhnya dapat bersandar.

Kain selimut yang terjuntai di birai katil turut dicapai dan lilipat kemas. Wajah tekunnya sekali lagi diperhatikan Sufie. Kini dia serba-salah.

“Marahkan siapa?”terluah juga pertanyaan itu.

Sufie tenung wajah Afiena lagi, kali ini lebih bersungguh. Sungguhpun begitu adiknya masih membisu. Bahkan makin pantas dia berkemas.

“Afiena…” Sufie menarik tangan Afiena. Menahan dia dari terus bergerak. Lantas diulas lembut jemari adiknya. Seketika kemudian tubuh langsing itu didakap erat. Tanpa ditahan, dan buat kali pertama air mata Afiena gugur. Perkara yang paling memalukan dalam hidupnya. Tetapi dia juga manusia biasa yang punyai perasaan. Tambahan bila dingin tubuh kakak kesayangannya itu bersatu dengan tubuh hangatnya. Dingin tubuh Sufie seolah-olah dia baru disirami hujan.

“Kenapa ni? Susah hati Kak Long kalau Fiena terus-terusan membisu.”

Jari-jemari Sufie mengusap lembut belakang Afiena. Seperti biasa dia tetap tenang. Sungguhpun begitu gelodak jiwa hanya Allah yang tahu. Setelah sekian lama dia melihat wanita tegas di dalam diri Afiena, dan hari ini dia terpaksa melihat air mata adiknya. Dia penasaran. Bila dirasakan ketenangan menjelma, dia lepaskan pelukan Afiena. Kini wajah manis itu direnung lagi.

“Kenapa?”

“A-ada orang gila…”Dalih Afiena dalam sendu.

Sufie senyum. Bukan dia tidak tahu yang Afiena berdalih. Walaupun begitu diiyakan sahaja. Mungkin Afiena ada alasan tersendiri.

“Macam mana Fiena tahu kak long masuk wad?”

“Rozita call…”

“Demam biasa saja. Insay-ALLAH tak apa-apa.”

“Nak Fiena telefon mek dengan ayah?”

“Tak payahlah. Kak long dah besar. Dah pandai jaga diri.”

“Kenapa yang sampai boleh masuk hospital ni?”

“Kan dah kata. Demam.”

“Tapi doc kata sebab letih. Lagipun badan kak long sejuk sangat. Macam air batu.”

“Mungkin sebab ramai orang di kafe. Letih.”

“Atau sebab lain.”

Dengusan menghambur laju. Bukanlah dia mengeluh kerana merasakan betapa tidak adilnya TUHAN atau kecewa dengan ujian yang menerkam bak harimau, tetapi dirasakan nafasnya tersekat seketika. Dia tidak pasti adakah sindiran itu hanya tekaan Afiena atau adiknya itu sudah mengetahui sesuatu.

“Kenapa mengeluh?”pertanyaan itu dilempar geram. Dan hati Afiena geram dengan sikap Sufie yang sukar difahami. Kadangkala dia terfikir kenapakah hati kakaknya itu begitu lembut. Dan dia merasakan kelembutan itu adalah kelemahan utama seorang wanita. Padahal dia masih ingat pesan Sufie bahawa tiada apa yang lebih indah melainkan jika sesuatu itu dihiasi dengan kelembutan. Malah mati-mati Sufie mempertahankan yang keras tidak bererti kuat dan lembut tidak bererti lemah. Umpama batu keras yang dititisi air dingin. Akhirnya batu itu turut terlekuk oleh kelembutan titisan air.

“Bukan… Nafas tak sampai. Mungkin sebab dingin.”Sufie membalas.

“Dingin hati?”

Sekali lagi pertanyaan itu menyentak ketenangan Sufie. Dia berdeham kecil. Bahkan Afiena cukup jelas dengan maksud perbuatan kakaknya itu. Ya… selalunya itulah yang sering dilakukan bila dirasakan Afiena terlajak kata.

Afiena bangun tanpa menoleh wajah Sufie. Geramnya masih membara. Masih hangat. Dia melangkah ke arah pintu. Niatnya cuma satu, mahu tunjuk rajuk dan amarahnya biar padan muka Sufie.

“Ya ALLAH kenapalah baik sangat kakak aku ni. Sampai aku sendiri dah naik geram. Padan muka dia baik hati sangat.”

Hatinya cukup sebal pagi itu. Dihentak keras kasutnya. Dia nekad tidak akan mempedulikan Sufie lagi. Tapi bak kata pepatah, air dicincang tak akan putus. Belum sempat tombol pintu dipulas dia kembali melangkah merapati Sufie. Satu kucupan dilayangkan ke pipi putih Sufie. Agak lama bibirnya menempel di pipi pucat itu. Sufie pegun tanpa kata. Seusai kuncupan dilepaskan, dia meninggalkan bilik itu tanpa sepatah kata. Sufie hanya memerhati, kemudian tersenyum.

“Tak ubah macam mek. Selalu nak mengamuk bila risau. Ya ALLAH tenangkanlah hati adikku.”

“Ya Allah. Ujian semalam adalah hadiah terindah untukku. Tanda cintaMu. Sejujurnya aku tidak kuat untuk ujian itu. Tapi jika Kau masih mahu mencubaku, aku mohon perlindungan dan kekuatan agar aku tidak menyasar… Amin. Moga Kau makbulkan doaku.”

Angin dingin berhembus masuk, lantas menyisir rambutnya. Begitu juga suam mentari. Dia menuruni katil mendekati balkoni tepi. Matanya merayapi manusia-manusia yang bertebaran menjalankan aktiviti masing-masing. Rata-ratanya adalah gadis dan wanita yang berseragam putih. Dari aras dia berdiri dapat dilihat kepulan asap kecil keluar dari cerombong asap ‘Italia Pasticceria Café’. Sufie menarik sedalam-dalam nafas, seolah-olah kesegaran roti dan pizza yang dibakar mampu dihidu dari jauh. Wajah Rozita dan Corrado bersilih ganti menari di benaknya. Namun wajah itu terhapus dengan kemunculan wajah Rijal dan lelaki yang ditemuinya semalam. Dia beristigfar sejurus itu. Berharap hatinya cukup gah selepas ini.

***

Langit pagi yang membiru dirasakan tidak cukup cantik di matanya. Hatinya cukup sebal dengan insiden sebentar tadi. Seorang gadis mengamuk kepadanya. Gadis yang tidak diketahui asal-usul itu muncul entah dari mana. Mungkinkah gadis itu adalah ahli keluarga kepada gadis albino yang didukung semalam?

Belum sempat diterang kedudukan sebenar dia sudah dihalau. “ Puithhh…” Rijal meludah geram.

Sekejap dia berkalih ke kiri dan sekejap ke kanan. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dibalas perbuatan itu, sungguhpun begitu bukan tarafnya untuk berdebat dengan gadis gila.

“Pelik sungguh dunia ni… Ada jugak perempuan segila tu. Tak tahu hujung pangkal, alih-alih serang aku. Nasib kaulah perempuan. Kalau lelaki aku belasah aje tadi. ARRGG.”

Rijal menjerit, melempiaskan amarah yang membukit.

“Assalamualaikum. Geram nampak.” Zikrey tepuk bahu Rijal. Renungan tajamnya berubah lembut ketika mengesan kelat wajah abangnya.

“Maunya abang tak geram. Entah perempuan gila mana tah tadi. Tak pasal-pasal halau abang.”

“Halau, kenapa pula?”tanya Zikrey dengan kerut didahi. Dia merubah kedudukan. Minatnya bercambah dengan permasalahan abangnya.

“Manalah abang tahu! Dia halau masa abang nak pergi melawat kawan dekat wad wanita. Ah… Biarlah. Tak payah dibahas lagi.”

“Aikk… Sejak bila abang ada special girl?”

“Baru jumpa semalam. Entah apa kena dengan perempuan tu pun tak tahu. Firstly bila dia tengok abang, macam nampak hantu. Butang mata dia, macam tak percaya yang abang ni manusia.”

Zikrey ketawa mendadak. Hatinya tercuit mendengarkan luahan Rijal. Pertama kali abangnya dihalau wanita, nampak sangatlah yang minyak uratnya sudah menyusut.

“Yang kau gelak sakan ni kenapa? Kelakar? Berani kau ketawakan abang ya…”Rijal menyambar lengan Zikrey lalu dipulas pantas.

“Arrrg…” Jerit Zikrey kuat. Mengundang perhatian dari orang sekeliling.

“Abang baru pulas sikit, kau dah terjerit-jerit. Nah extra,”makin kuat dipulas. Kini Rijal pula yang ketawa.

“Lepaslah. Nanti tak pasal-pasal orang ingat kita bergaduh. Aduhh…”

“Yelah… Gurau sikit pun tak boleh, macam tak biasa,”tokok Rijal setelah tangan Zikrey dilepaskan.

Zikrey bangun seketika, melurutkan lengannya. Bila dirasakan sudah lega daripada kesakitan, dia kembali duduk. Rijal sengih kecil melihat kelakuan adiknya itu.

“Manjanya si doktor sorang ni. Baru pulas sikit dah macam nak patah tangan gayanya.”Rijal kembali mengirai tawa. Hatinya sedikit lega setelah mengusik Zikrey.

“Sikit! Ni bukan dah nak patah, dah nak tercabut.”

“Ok. Abang minta maaf. Saja nak lepas geram dekat perempuan gila tu.”Rijal sengih lagi. Tangannya disatukan lantas diletakkan ke hidung. Tanda meminta maaf.

“Perempuan mana pulak?”aju Zikrey dengan kerut seribu.

“Nak cakap pun tak kena, sebab tak pernah jumpa. Tapi, pendek kata memang perempuan tu gila… Ising. Abang dah tolong adik dia pun dah kira bagus.”

“Abang tolong adik dia! Pelik bunyinya… Aikk… Ada apa-apa ke ni?”

“Adik dia pengsan masa dekat hotel semalam. Abang kau nilah yang dukung adik dia bagai nak rak. Siap berlari berkejar dalam hujan nak bawak dia ke hospital.”

“Berlari dalam hujan?”

“Berlari ke keretalah. Takkanlah abang nak angkat, lepas tu berlari ke hospital pula. Adik dia tu berat mengalahkan anak kuda tahu. Uhhh… Silap gaya angkat boleh putus nafas,” luah Rijal setelah dia ketawa kuat. Dia benar-benar geli hati.

“Mesti cantik adik perempuan tu. Kalau tak, abang tak angkat punyalah kan?”

“Cantik kau kata. Adoi kalau dah seberat anak kuda, muka dia mestilah macam mak kuda.”Rijal ketawa lagi.

“Nanti lepas lunch saya ke wad wanita, tolong tengok adik perempuan tu. Siapalah tahu abang berjodoh dengan kakak dia.”

Perbualan mereka tamat. Zikrey berlalu pergi kerana dia sudah berjanji mahu ke dewan bedah, bertemu Doktor Murni. Dia senyum bila teringat Doktor Murni yang sedikit kasar. Bukan calang-calang yang mahu berkerja dengan gadis sekasar itu.

Bahu kiri Zikrey ditepuk kuat, menyebabkan dia berdengking, maklumlah sebentar tadi lengan kirinya telah dipulas.

Rileks Doc. Aku tepuk baru sikit, kau dah menjerit macam serigala tengok bulan la pulak.”

Zikrey hanya bisu. Malas hendak melayan. Dia mengatur langkah lebih perlahan memandangkan Murni sudah ada di sebelahnya. Sedang mereka berjalan sekali lagi Murni menarik kasar lengan kirinya, mengarah agar dia membelok, dan sekali lagi Zikrey berdengking.

“Kasarlah kau ni Murni. Kau nak cabut tangan aku ke?”aju Zikrey dengan suara mendalam, menahan marah.

“Sorry Doc. Aku lapar. Kita sarapan katItalia Pasticceria Café’ dulu.”

Zikrey berwajah selamba tanpa respon dia terus melangkah. Namun langkahnya cepat-cepat dihalang Doktor Murni dengan lengan yang didepakan.

“Aku belanja… Please!

Zikrey melihat jam tangannya. Masih sempat kalau mereka sekadar bersarapan roti, kek atau secawan kopi. Dia senyum kelat kepada Murni. Kemudian pandangannya ditala pada kafé. Bau roti segar yang dibawa angin mengundang laparnya. Kali ini senyuman kelatnya berubah menjadi  manis. Sekaligus menyebabkan Murni melompat.

“Yes!!! Berjaya.”

“Apa yang kau terlompat-lompat ni?”

“Berjaya makan pagi dengan kaulah. Siapa tak kenal Doc Zikrey, manusia yang mahukan kesempurnaan dalam semua benda. Emmm…”Murni meletakkan jari di bibir seketika. “Mungkin sebab tu kot, kau tak ada awek sampai sekarang. Tapi jangan risau aku ada. Bila-bila masa aku boleh jadi awek kau. Amacam setuju.”Murni kenyit mata sebaik habis berkata. Zikrey hanya memandang kosong.

“Aku nak cari yang solehah. Yang lembut macam perempuan. Yang lepas dibuat isteri dan ibu untuk anak-anak aku.”

“Akulah calon tu. Aku anak tok imam. Aku lembut apa… Kasar sikit aje.”

“Sikit ke banyak?”

“Aku dah kata sikit. Kau jangan lebih-lebih. Dah jom makan. Nanti tak pasal-pasal aku telan kau.” Murni melajukan langkah. Baginya panggilan roti-roti lebih menarik minat berbanding dengan ketampanan Zikrey. Sebenarnya dia memang suka mengusik Zikrey. Mungkin kerana sikap Zikrey yang tenang dan tidak mudah melatah, jauh sekali meninggikan suara. Jauh di sudut hati dia berharap pasangannya kelak setenang Zikrey.

Sebaik melepasi anjung café, mata Murni semakin bersinar. “Banyaknya pastri dengan roti pagi ni.”

“Peh… Penuh orang kat ruang tengah ni. Sempat tak kita beli roti.”

“Jangan risau. Yang datang ni bukannya apa. Nak ngorat Corrado.”

“Kira kau ni datang nak mengorat juga ke?”

“Taklah… Aku kan dah ada kau. Tak bestlah curang-curang Doc.”

Belum sempat Zikrey membalas Murni sudah hilang di celah gadis-gadis. Mujurlah suaranya cukup kuat untuk didengari. Kini Zikrey pula terpaksa berasak-asak dan sebaik melepasi para gadis kelihatan Murni sedang leka memilih pastri dan roti. Kalau dihitung sudah lebih enam jenis yang dipilih, semuanya bersaiz sederhana besar. Akhir sekali dia memesan dua cawan mocca panas.

Ketika berpusing dia menggoyang-goyang plastik dipegang sebaik matanya jatuh pada wajah Zikrey.

“Ada kenduri ke.… Tak baik membazir. Itukan amalan syaitan,”tegur Zikrey.

“Tak baik berburuk sangka ustaz. Nanti tak pasal-pasal pahala kena curi. Dah jom ikut aku.”

“Tak makan di sini saja. Masih banyak tempat kosong.”

“Ada tempat lagi menarik… Jom.”

Ketika mereka melepasi anjung, seseorang menjeritkan nama Zikrey. Sebaik berpaling kelihatan Rozita berjalan laju dengan wajah resah. Gadis montel itu kelihatan tidak cukup tidur, buktinya matanya kelihatam lebam. Murni mencuit Zikrey kemudian dia ketawa mengusik.

“Awek datang tu doc… Tak sangka pandai jugak kucing makan ikan.”

Mangkuk tingkat disuakan kepada Zikrey sebaik mereka berhadapan. “Doc tolong beri pada Kak Sufie.”

Zikrey menyambut tanpa bertanya kerana itu bukanlah perkara aneh memandangkan Sufie bekerja di situ dan Rozita adalah kawan karibnya.

“Sufie… oooo… Jadi itulah kekasih doc ya?”usik Murni.

“Bukan! Doktor Murni jangan salah faham. Sebenarnya Kak Sufie mengajar di SDH. Semalam dia dimasukkan ke dalam wad. Doktor kata sebab terlalu letih." pintas Rozita.

“Ya saya tahu ada pesakit yang dimasukkan semalam kerana keletihan. Tak sangka pulak itu Sufie. Menurut saya dia stabil.”

“Peh… skemanya.”Murni menyiku Zikrey, kemudian ketawa. Walaupun begitu tiada sebarang reaksi daripada Zikrey.

“Mungkin petang saya akan melawat. Pagi tak sempat. Sibuk.”

“Tak perlu rasanya. Sepatutnya dia sudah boleh keluar sebelum tengah hari.”

“Tak apalah kalau begitu. Oh ya… Sampaikan ucapan terima kasih kepada abang doc ya.”

Terbutang mata Zikrey sebaik Rozita menutur kata. Sesuatu yang cuba dielakkannya selama ini sudahpun berlaku. Namun dia sendiri tidak pasti adakah apa yang cuba diselindungi itu benar-benar sudah terjadi.

“Kenapa? Bila kamu berjumpa dengan abang saya?”

Murni berkerut dahi. Dapat dihidu perubahan Zikrey. Malah dia juga ikut cuak, tidak disangka lelaki setenang Zikrey boleh tergugat hanya kerana seorang gadis ingin menitipkan ucapan terima kasih kepada abangnya. Adakah sebenarnya Zikrey mencintai gadis yang sedang bediri di hadapannya? Dan mungkinkah kerana itu Zikrey tidak pernah mengunjungi ‘Italia PasticceriaCafé’ ? Adakah selama ini dia malu bila terpaksa berhadapan dengan gadis bernama Rozita? Murni memerhati Rozita dan dia mengakui yang Rozita comel dengan tubuh gempalnya itu.

Malah sifat Rozita yang sedikit manja itu menguatkan lagi tanggapan Murni yang Rozita memenuhi sebahagian cirri gadis pilihan Zikrey. Memenuhi sebahagian personifikasi sudah cukup bagus, maklumlah mana hendak dicari yang betul-betul sempurna. Mana ada manusia yang sempurna. Sebaik tangkulannya berpadu, sekali lagi dia menyiku Zikrey.

Zikrey masih tidak menghiraukan sikuan itu. Jawapan daripada Rozita masih ditagih. Terjungkit kening Murni bila sikuannya tidak dihiraukan Zikrey. Arggg!!! Zikrey berdengkin lagi apabila Murni menarik lengan kirinya. Murni pula senyum sumbing, malah sengaja ditarik Zikrey sedikit ke tepi. Dia mengarahkan Zikrey menunduk memandangkan dia rendah.

“Pssst… Kau minat kat budak montel tu ke? Asal tak cakap awal-awak, boleh aku tolong ayat.”

“Tak adalah. Jangan cakap yang pelik-pelik, nanti jadi fitnah,”lembut dibalas Zikrey.

“Cakap ajelah. Aku kan awek kau jugak. Aku ok aje kalau bermadu.”Murni ketawa. Dia gembira dapat mengusik Zikrey.

“Kau tarik aku hanya sebab nak cakap benda-benda ni. Kau tu doktor biar nampak bijak sikit. Ini tidak, macam kanak-kanak ribena.”

“Kau sebut ribena. Baru aku ingat nak tapau ribena suam. Aku masuk dulu kau sambunglah borak. Chow.”

“Eh… Nak buat apa lagi ribena, kan dah beli mocca tadi.”

“Adalah…” Murni melangkah meninggalkan Rozita dan Zikrey, itu pun setelah dia mengenyit mata.

Rozita menghayun langkah menghampiri Zikrey setelah dia yakin yang doktor muda itu sudah menyelesaikan perbincangannya bersama Doktor Murni.

“Jangan lupa ya doc. Pesan pada Kak Sufie , macam mana sekalipun kena jamah makanan tu. Corrado yang masak.”Rozita bersuara mendatar, ada kecewa yang menjelma.

“Sebelum awak pergi saya nak tanya. Tadi awak kata abang saya yang tolong Sufie. Betul ke? Bukan ke semalam Corrado yang hantarkan Sufie ke hospital?”

“Kami bertiga yang hantar Kak Sufie ke hospital. Tapi yang betul-betul membantu Encik Rijal. Kalau doc tengok dia semalam masa dukung Kak Sufie, dah macam orang hilang anak.”

Zikrey merenung tajam Rozita, berharap yang gadis itu hanya bercanda. Makin ditenung makin menunduk wajah Rozita. Bahkan gadis itu sedikit resah. Berdirinya sudah seperti terpijak semalu.

“Maaf… Kalau awak kurang senang dengan renungan saya. Cuma saya kurang faham bila awak kata abang saya macam orang hilang anak.”

“M-maksud saya… Dalam hujan lebat semalam dia berlari ke parkir kereta. Bayangkan dia berlari sambil dukung Kak Sufie. Macam… Macam…” Rozita kembali menunduk.

“Macam apa? Apa yang dia lakukan dekat Sufie?”desak Zikrey. Hatinya kini berdebar kencang. Matanya kembali membutang. Tanpa sedar digoncang bahu Rozita. Dia benar-benar sudah tidak sedar dengan apa yang dilakukan. Murni yang baru sampai, melopong tidak percaya.

“Macam dah lama kenal… Saya teka saja. Doc janganlah marah. Saya hanya teka.”Rozita mengecilkan badan. Terasa sengal badannya digoncang kuat oleh Zikrey.

Murni yang terlopong kembali tersedar, bahkan dia berlari mendapatkan Zikrey. Tanpa salam, sekali lagi bahu kiri Zikrey dikarate sekaligus menyebabkan cengkaman lelaki itu terlepas.

“Aduh!! Sakit.”Zikrey mengosok bahunya.

“Baru sedar rupanya. Goncang anak orang, macam goncang anak patung. Susah… Susah kalau orang dah angau ni,”tingkah Murni selepas tersengih.

“Mana ada aku bercinta dengan dia. Kau dah salah faham ni.”

“Yek… Boleh caya ke… Oklah aku percaya. Dah kita blah. Nanti nak masuk dewan bedah pula.”Murni mula melangkah.

“Maaf… Saya tak sedar tadi.” Zikrey pula menghayun langkah setelah dicapai mangkuk tingkat yang diamanahkan kepadanya.

“Aku mesti buat sesuatu. Atau lebih banyak jiwa yang bakal terkorban.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.