Home Novel Travelog BERMUKIM DI TANAH RATU
BERMUKIM DI TANAH RATU
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 14:11:30
53,343
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Kenangan Lalu

Selain daripada itu kenangan berendoi juga tetap utuh dalam ingatanku. Aku masih ingat lagi alangkah indahnya cerita yang terakam dalam dendangan berendoi Kedah seperti ‘Padi Malinja’, ‘Baja Subsidi’ dan ‘Rancangan Kelapa Sawit’, yang merakamkan usaha-usaha kerajaan sejak pada zaman “Kapal Layar” atau Perikatan hinggalah sekarang, bagi membantu petani. Aku dulunya menghabiskan masa pada waktu malam dengan belajar berzanji dan berendoi di kampungku.

Sejak kecil lagi aku suka melagukan sesuatu. Mengikut cerita daripada ibuku, aku selalu akan membacakan Surah Al-Fatehah, ketika diminta berbuat demikian ketika mengunjungi rumah Tok dan saudara-mara yang lain.

Berendoi ialah salah satu kesenian rakyat Kedah, sepertimana Perlis yang terkenal dengan Awang Batil, dan Kelantan dengan Dikir Barat. Berendoi dilagukan mengikut irama dan lagu tertentu secara beramai-ramai, biasanya di rumah kenduri, di atas balai kenduri atau pun di majlis kenduri mencukur kepala bayi. Indahnya irama berendoi Kedah, aku bangga. Biasanya senikatanya berunsur nasihat dan pengajaran agama.

Aku masih ingat betapa indahnya senikata berendoi. Ada yang disesuaikan dengan peredaran zaman tak kurang juga yang masih dikekalkan keasliannya seperti ‘Di kandung ibumu’ , ‘Ayuhai anak’ atau pun ‘Diperanakkan Nabi’.

Contoh berendoi yang disesuaikan dengan peredaran zaman adalah seperti ‘Proton Saga’ dan ‘Lebuhraya’. Proton Saga telah memperkenalkan kereta pertama buatan Malaysia, manakala lirik ‘Lebuhraya’ mengisahkan projek lebuhraya utara selatan (PLUS) yang bermula pada tahun-tahun 80an. Kebanyakkan irama berendoi dipengaruhi oleh irama Arab dan tidak kurang juga irama daripada lagu-lagu negara Thailand.

“Dengarlah Tuan kami cerita

Kisah lembaga lebuhlah raya

Kerajaan belanja berjuta-juta

Untuk kesenangan rakyat jelata

Untuk kesenangan rakyat jelata

Lebuhraya ada empatlah lorong

Di sebelah kanan untuk memotong

Kurang kona dan juga lencong

Sampailah di plaza mesti membayar tol

Membayar tol bukan sedikit

Janganlah lupa mengambil resit

Motor dan basikal tak kena duit

Disediakan juga lorong yang sempit

Selain daripada itu tidak kurang berendoi yang mengetengahkan usaha-usaha kerajaan membantu pesawah-pesawah dan peladang-peladang seperti ‘Baja Subsidi’, ‘Pak Tani’ , dan ‘Rancangan Kelapa Sawit’. Sepertimana yang dirakamkan dalam ‘Baja Subsidi’, yang diubahsuai oleh penyanyi lagu rakyat, Allahyarham Pak Ku Shadat seperti berikut:

Kerajaan sudah banci

Nak bagi baja subsidi

Dia hantar dengan lori

Kadang petang kadang pagi

Dia suruh bubuh padi

Setahun dua kali

Tambang lorilah kena bagi

Di pejabat MADA pakat pergi

Ada hutang dia tak bagi

Tapi kemudian bagi

Kerajaan dia nak tolong

Habis tinggi lapan setengah relung

Anak bendang dapat untung

Empat kampit satu relung

Masing-masing pakat tolong

Dah tak larat bini tolong

Dengan kereta sorong

Selain daripada itu terdapat lagu berendoi yang mengisahkan Rancangan Perairan Muda yang disebut MADA (Muda Agriculture Development Authority).

Tersebut kisah rancangan perairan Muda

Tanaman padi dua kali setahun

Untuk menambah pendapatan negara

Semua rakyat tabah dan tekun

Terdapat juga senikata berendoi yang berunsur jenaka atau lelucon yang bertindak sebagai satu kritikan sosial pada masyarakat seperti ‘Bujang Laki Mati’, yang mengisahkan seorang wanita yang kematian suami. Seorang yang kaya yang bergelar Pak Haji,sudah beristeri tiga,namun seperti tidak sabar menunggu wanita itu habis edah untuk dinikahi menjadi isteri ke-empatnya.

Jang Malijang Bujang Laki Mati

Apalah kisah bujang laki mati

Bujang laki empat bulan sepuluh hari

Belum cukup edah Pak Haji dok nanti

Bujanglah dok takut

orang nak bawa lari

Belum cukup edah

Laki lah baru mati

Pokok Halban besar

Tumbuh di tepi paya

Tengok serban besar

Percaya sungguh Pak Haji kaya

Pak Haji bini tiga

Tidur atas para

Dua lah lapar bubur

Seorang lapar laksa

Itulah sebahagian dendangan rakyat yang turut menjadi hiburan masyarakat di rumah-rumah kenduri. Persediaan majlis Walimatul Urus disiapkan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung. Daripada memotong bawang, memayang halia, mengupas ubi, menyiang nangka atau batang pisang, semuanya dilakukan dengan penuh semangat bergotong-royong.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.