Home Novel Travelog BERMUKIM DI TANAH RATU
BERMUKIM DI TANAH RATU
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 14:11:30
53,325
Kategori: Novel
Genre: Travelog
BAB 52 : MAMA, WALET IMAN HILANG

“Mama, Iman tertinggal walet Iman di atas kerusi di Indooropilly. Habislah nanti orang ambil,” Iman memberitahu ibunya.

“Macam mana boleh tinggal?”

“Iman lupa, masa bangun dari kerusi.”

Walet atau dompet duit milik Iman tertinggal di atas kerusi di ruang legar sebuah pasaraya di Indooropilly. Iman sedih atas kehilangan itu dan hanya disedari dompet tercicir setelah kami mula bergerak balik ke rumah. Jika berpatah-balik, dompet itu mungkin telah tiada di tempat ia ditinggalkan. Iman menangis kerana dompet yang disukainya itu tercicir di pasaraya. Tidak ada isi yang penting dalam dompet itu. Hanya gambar-gambar dan sedikit syiling Australia beserta kad-kad bergambar yang dihadiahkan oleh kawan-kawannya.

“Tak apalah nanti mama cari yang lain ganti.”

“Iman tak mau, Iman hendak yang itu juga.”

“Nak buat macam mana dah hilang. Mungkin, dah orang ambil.”

Pulang Iman dengan sedih kerana kehilangan dompetnya. Aku juga kasihan melihat keadaan Iman kerana walaupun harga itu tidak seberapa, tapi isi kandungan dan kegembiraan bersama dompetnya yang selalu dibawa ke sekolah sesuatu yang nostalgia. Bukan tidak boleh dicari ganti.

Keesokan hari kami kembali semula ke pasaraya tersebut yang terletak di Indooropilly. Tempat itu merupakan tempat tumpuan penduduk pada hujung minggu. Begitu juga dengan kami. Kompleks perniagaan yang tersergam di Moggil Road, Indooropilly itu terletak di pusat subbandar Indooropilly, sejauh lapan kilometer.

Sampai di tempat dompet itu ditinggalkan, kelihatan seorang pekerja pembersihan sedang mencuci lantai. Dia bekerja dengan tekun. Mereka adalah professional dan mendapat bayaran upah yang cukup tinggi, kira-kira sebanyak AUD900 seminggu. Aku cuba mengagak untuk bertanya pekerja itu tentang dompet yang ditinggalkan.

“Excuse me! I would like to know if you have seen any wallet around here. My daugher has left it, Yesterday afternoon.”

“Sure, I have one.”

“What colour is it?”

“Pink”

“Yes, Pinky wallet. Please follow me!” pekerja itu mengajak aku ke aras atas melalui eskalator yang berada di hadapan tempat dia bekerja. Aku dibawa ke sebuah pejabat yang sederhana besar. Mungkin pejabat operasi kerana sana-sini kelihatan perkakasan dan bahan-bahan untuk mencuci. Dia kemudiannya masuk ke dalam pejabat dan bercakap-cakap dengan seseorang dan kemudiannya keluar ke pintu pejabat.

“What was things in your daughter’s wallet?”

“Oh! They are photos and cards. Some coins as well.”

“OK. It is yours,” pekerja itu menyerahkan dompet berwaran merah jambu itu ke tanganku. Aku mengucapkan terima kasih. Dia tersenyum mungkin melihat aku mendapat apa yang dicari. Kemudian aku berlalu pergi mendapatkan Iman dan mamanya yang berada di tingkat bawah, dari arah pejabat pembersihan tadi.

Sungguh tidak menyangka bahawa dompet yang ditinggalkan di atas kerusi itu masih boleh diperolehi. Iman begitu teruja mendapatkan kembali dompet kesayangannya. Walaupun harganya tidak seberapa, namun mendapatkan kembali sesuatu yang telah hilang tentulah sesuatu yang amat baik bagi seseorang.

Hari demi hari Iman lebih berhati-hati. Peristiwa itu sungguh menjadi iktibar yang berguna kepadanya. Dia semakin berdisiplin.

Kisah kehilangan dompet itu dadalah secebis kisah bagaimana masyarakat di Brisbane begitu perihatin kepada barang-barang milik seseorang yang ditinggalkan. Kanak-kanak sekolah juga amat terdidik untuk mengembalikan barang yang hilang atau keciciran di kawasan sekolah. Banyak barang yang tercicir disimpan di pejabat sekolah oleh guru yang bertugas, apabila ada murid yang memungut dan mengembalikan kepada guru. Bukan hanya syiling, bahkan buku dan beg sekolah.

Bukan hanya si sekolah. Masyarakat juga amat perihatin dengan barangan milik orang lain. Jiran kami Mr. Paul pernah meninggalkan sebakul buah mangga di depan pagar rumah dengan menuliskan sebuah nota di dalamnya. Namun, mangga di dalam bakul itu masih sempat kami nikmati setelah seharian berada di luar rumah. Mungkin Mr. Paul telah meninggalkannya pada awal pagi, sebelum beliau dan keluarganya keluar rumah di hujung minggu. Sesuatu yang pelik bukan?

“A boy given to me, yesterday,” Aku masih teringat kata-kata pekerja pembersih ketika menyerahkan dompet yang tercicir kepadaku bahawa seorang budak lelaki menjumpai dompet tersebut dan menyerahkan kepadanya. Budak lelaki tersebut mungkin masih bersekolah dan tentunya masih bersekolah rendah. Tapi, begitu amanah.
-------------------------------------------------------------------------------

Mendapatkan kembali dompet anak yang tercicir di pasaraya boleh dikatakan suatu perkara yang kecil. Ada lagi yang lebih besar iaitu memperolehi kembali barang yang amat berharga, yang disedari tiada setelah beberapa hari ia hilang. Ini mungkin bukan kebetulan. Ia merupakan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Kisah bermula setelah berbulan-bulan sejak kehilangan dompet milik Iman di pasaraya Indooropilly. Iris Yasmeen, anak bongsu kami kelahiran bumi Tanah Ratu seorang yang agak lasak. Kami pakaikan seutas gelang tangan yang agak berat. Gelang tangan emas seberat 8 gram menghiasai tangan kiri Iris yang agak berisi, walaupun berumur hanya tiga bulan.

Gelang emas itu yang dipakaikan pada Iris juga tercicir dalam sebuah pasaraya yang sibuk. Bagaimanapun, ia diperolehi kembali sebab keperihatinan seorang “nanny” yang menjumpainya dan menyerahkannya kepada seorang pekerja pasaraya.

“Gelang tangan Iris terjatuh di mana?” isteriku bertanya kepadaku setelah melihat Iris tidak lagi memakai gelang itu.

“Kali terakhir di mana nampak Iris pakai?”

“Mungkin di Coles, Corinda,” balas isteriku merujuk kepada sebuah pasaraya yang biasa kami kunjungi dan terletak di subbandar Corinda. Bagaimanapun, kali terakhir kami ke sana, pada dua hari selepas menyedari keciciran gelang tangan emas yang dipakaikan Iris itu.

“Kita tidak pasti di mana gelang tu jatuh.Mungkin boleh cuba tanya.”

“harap-harap ada orang jumpa.”

“Insya-Allah

Kami terus mengunjungi pasaraya tersebut yang terletak kira-kira 8 kilometer dari rumah. Sesampai di sana aku terus bertanyakan kepada pegawai yang bertugas di kaunter perkhidmatan pelanggan.

I have lost something in this supermarket, last two days. Could you please help me?”

“Yes, sure.”

What is that?

A gold bracelet for my baby.”

“Let me check first,” kata Sharon dengan mesra. Dia perlu memeriksa sesuatu melalui sebuah buku laporan. Kemudian Sharon membawa aku ke sebuah pejabat yang terletak di tingkat satu, dan menyuruh aku tunggu di luar sementara dia masuk ke pejabat untuk membuat semakan.

Kemudian, Sharon keluar.

I believe, your bracelet with us. However, we need to verify it is truly yours,” Sharon keudiannya memintaku untuk menjelaskan bentuk dan warna gelang emas itu untuk tujuan verifikasi.

It is a gold bracelet. About 8 grams gold there. It is for baby and has an oval shape,” seboleh-bolehnya aku cuba menjelaskan tentang bentuk dan warna gelang tersebut.

Yes, it is yours, Sorry we need to verify because anybody can claim that. But you are true. You can describe it definitely. It must be very special for you. This bracelet was given by Nanny. She found it on the floor in the  veggeis section,” Sharon berpuashati dengan jawapanku.

Sharon kemudiannya menyerahkan gelang emas tersebut ke tanganku dan meminta aku menandatangani satu borang pemulangan barang hilang. Maklumat penerima iaitu aku direkodkan melalui kad ID pelajar.

It is for our records,” Sharon memaklumkan kepadaku. Aku mengucapkan terima kasih dan berlalu pergi dengan perasaan puas dan amat bersyukur kerana gelang tangan emas milik Iris itu diperolehi semula.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.