Home Novel Travelog BERMUKIM DI TANAH RATU
BERMUKIM DI TANAH RATU
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 14:11:30
53,365
Kategori: Novel
Genre: Travelog
BAB 7: BERMULA SATU PENCARIAN

Tugasku ketika itu melibatkan penyeliaan sekumpulan pembantu perangkawan (sementara) bagi mengedarkan borang-borang soalselidik dari satu sekyen ke satu sekyen yang lain. Ini bertujuan untuk pengiraan data bagi maksud migrasi penduduk, jenis indutri, data kelompok, tangkapan data ke dalam sistem komputer.

Ketika itu aku tinggal di Taman Bersatu, Kuala Kedah bersama seorang Perangkawan, yang sekarang ini ialah seorang Pengarah Bahagian Petujuk Ekonomi di Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau merupakan Ketua Pusat pemprosesan banci, seorang boss yang sportingbernama Encik Latiff Talib. Kami sering menghabiskan masa bersama-sama dengan mengikut aktiviti penduduk di Taman Bersatu. Jika musim udang galak melompat, kami bersama-sama turun ke sungai di sekitar Kuala Kedah, menahan pukat udang. Bagaimanapun aktiviti waktu petang merupakan memeriksa pukat yang dipasang di taliair. Ikan puyu dan sepat kerapkali menjadi hidangan makan malam kami.

Encik Latib yang juga seorang anak kampung dari Tangkak, Johor juga amat menggemari menjala ikan. Aku turut serta walaupun tidak arif tentang menjala ikan kerana kehidupanku merupakan berasaskan ruang lingkup hutan dan bukit serta gunung. Abang Saad yang bertugas dengan FELDA amat gemar mengajak kami menjala ikan di batas ban sekitar bendang di Kuala Kedah.

Apabila genap dua tahun bertugas di Jabatan Perangkaan Malaysia, Cawangan Alor Setar itu, aku meninggalkan Jabatan Perangkaan dengan seribu kenangan yang kekal hingga sekarang kerana di sini aku cukup terdedah dengan amalan sebenar statistik, walaupun ketika di UM bidang pengkususan yang telah diambil merupakan statistik. Selain itu aku turut mendapat pengalaman tentang hal-ehwal pentadbiran di sektor awam dan mahir beberapa applikasi komputer berkaitan tugas. Aku mendalami program SAS, Dbase dan Lotus serta Wordstar di pusat ini.

Ketika itu juga aku turut mendapat tawaran untuk menghadiri temuduga di Kuala Lumpur bagi jawatan penguasa kastam Gred W3. Aku ke Bangunan Peransang Segemal, Jalan Kampung Atap, Kuala Lumpur untuk menghadapi panel temuduga pada tahun 1992. Tiga orang panel telah menemuduga aku, seorang dari Jabatan Kastam dan seorang dari JPA. Berbagai-bagai soalan ditanya berkaitan tugas di jabatan kastam. Salah seorang panel yang aku masih ingat ialah Tuan Zanzabir, yang ketika itu baru pulang dari Brussels. Nama Tuan Zanzabir diabadikan pada sebuah mess di JKDM kedah bagi mengenang jasanya sebagai Pengarah Kastam Negeri kedah yang memberi idea untuk pembangunan sebuah motel untuk penginapan pegawai dan orang awam di belakang pejabat Kastam di Alor Setar. Sehingga kini motel tersebut masih beroperasi dan tersedia untuk disewa oleh orang awam dan pegawai jabatan.

Setelah tamat tugas di Jabatan Perangkaan, aku mendapat pekerjaan sambilan di sebuah kedai runcit disamping membuat tuisyen secara sambilan di sekolah langkasuka. Dengan bantuan Major Hashim aku menghadiri temuduga kor perkhidmatan bagi pengambilan pegawai kadet skim graduan di Kem bukit China, Kelantan. Dari Alor Setar aku berlepas menaiki keretapi dengan waran kerajaan dan kemudiannya diangkut menaiki trak ke kem berkenaan untuk menjalani ujian saringan sebelum ditawarkan menjadi Pegawai ATM.

Walaupun ketika di UM, ramai kawan menganggotai Palapes, aku tidak menyertainya.

Aku hanya mendaftarkan diri tetapi tidak hadir ketika sessi pengambilan. Seuatu yang tidak pernah aku impikan selama ini, walaupun aku meminatinya kerana keadaan fiikalku bercermin mata, jadi minatku ku pendam begitu saja. Dalam ujian pengambilan ini berbagai-bagai peringkat saringan diadakan. Ketika ini semua calon telah didedahkan dengan aktiviti lasak seperti melompat turun dari trak dengan membawa pinggan ke dewan makan, berpakaian kemas ketika makan, pakaian lengkap ketika senaman dan bergerak dengan cepat.

Seorang Sarjan yang mengawasi kami selalunya akan melakukan ‘mental torture’ ketika bercakap. Katanya “Buat apa nak masuk tentera, kalau lembab begini?” Dia juga memperlekehkan para calon yang bakal menghadapi proses saringan bagi pemilihan pegawai kadet.

“Lembik begini nak masuk tentera. Lebih baik balik kampung tanam jagung.” Belum lagi diambilkira ketika dimarahi Sarjan garang ketika sessi senaman atau PT Pagi yang dilakukan disekitar kem.

“Lari lari kita lari

“Kita lari angkat kaki

“Jangan kita malas lagi

“Kita maju terus lagi”

Itulah antara nyanyian ketika melakukan PT Pagi. Kami dilatih selama tiga hari seolah-olah seorang tentera. Kami juga belajar berkawad di sekitar kem dan lain-lain aktiviti yang memerlukan gerakan yang cepat.

Sesuatu yang tidak pernah diimpikan selama ini. Sesekali tidak. Namun kerana tuntutan untuk mencuba nasib, tempoh latihan tiga hari telah dapat dilalui dengan jayanya walaupun cabaran mematuhi disiplin amatlah ketat.

Bagaimanapun, ramai juga yang telah terpedaya dengan ‘mental torture’ Sarjan itu. Beberapa orang calon menangis dan ada yang memohon untuk balik awal sebelum pemilihan.

Tempoh ujian mengambil masa selama seminggu. Bagaimanapun, selepas tiga hari aku mendapat waran perjalanan dan diarahkan balik kerana gagal ujian fizikal terutamanya ujian penglihatan kerana aku bercermin mata dengan kuasanya agak tinggi. Aku tidak kecewa kerana aku sedar mungkin ada hikmah di sebalik kegagalan dalam pemilihan pegawai kadet Skim Graduan itu. Bahkan, aku tidak menaruh harapan yang tinggi untuk dipilih, aku hanya mencuba nasib.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.