Home Novel Travelog BERMUKIM DI TANAH RATU
BERMUKIM DI TANAH RATU
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 14:11:30
53,368
Kategori: Novel
Genre: Travelog
Bab 22: Queensland and Brisbane Floods

laporan dari media masa hebat dan terkini berhubung banjir di wilayah Rockhampton, Bundaberg dan Gympie pada sekitar selepas sambutan Krismas 2010. Jarak wilayah-wilayah tersebut yang terletak di pendalaman (hinterland) di utara negeri Tanah Ratu (Queensland) beratus-ratus kilometer dari tempat kediaman kami, tidaklah menggusarkan. Hampir semua wilayah tersebut ditenggelami air (inundated).

Saiz Queensland yang berpuluh ganda Malaysia juga tidaklah menggusarkan kami, jika berdasarkan bahawa Queensland adalah "negeri gergasi" bagi benua Australia. Queensland adalah pengeluar arangbatu utama dunia, banjir menyebabkan kerugian kira-kira AUD2.4 billion (kira-kira RM7.2 bilion) bagi Industri arangbatu. Arangbatu banyak digunakan bagi industri janakuasa elektrik, kesan kenaikan harga dijangka akan dihadapi oleh negara-negara pengimport arangbatu dari Queensland, untuk janakuasa elektrik. hal ini mungkin memberi kesan kepada tariff elektrik pada sesetengah negara yang mengimport arangbatu untuk janakuasa elektrik.

Kami masih sempat mengunjungi Wilayah Sunsine Coast yang berdekatan dengan kawasan banjir pada hari Krismas, mengunjungi Noosa Heads (Tanjung Noosa) yang terletak 100 km lebih ke kawasan banjir. Mengunjungi pantai yang indah, bersih dan landai sambil berkelah. Wilayah Sunshinecoast di mana letaknya Rumah Crocodile Hunter (Australia Zoo) dan lain-lain tarikan akhirnya terkesan dengan banjir, empangan utamanya melimpah sehingga terpaksa dilepaskan ke Brisbane River.

Akhirnya menenggelamkan 75% Queensland dengan ditambah banjir dari hujan lebat dari Wilayah Towoomba dan Ipswich. Siapa sangka genap hari ke 8 dari bermulanya banjir yang menenggelamkan Bundaberg, Rockhampton dan Gympie. Kotaraya Brisbane yang canggih lengkap kemudahan turut ditenggelami air. Paras Brisbane River cepat meningkat dalam beberapa jam melepasi paras bahaya banjir besar pada tahun 1974. Banjir di bahagian utara membawa Inland Tsunami di Towoomba, manakala 1/3 Daerah Ipswich ditenggelami air.

Amaran melalui berita TV dikeluarkan dari masa ke semasa berhubung dengan kemungkinan berlakunya banjir yang dikatakan bakal meningkatkan lebh daripada 20% paras air Brisbane River. Manakala siaran berita TV kerap memaparkan 'inland tsunami' yang berlaku di wilayah Toowoomba, di mana kereta yang tiba-tiba dijalanraya dihanyutkan oleh arus deras yang melanda ekoran hujan lebat dan banjir.

Seorang ibu kelihatan hanya sempat berteriak dan melambai-lambai anak lelakinya yang berada di dalam kereta yang sedang dibawa arus deras, sementara itu beberapa kenderaan juga kelihatan dihanyutkan oleh air dan arus deras serentak dengan kereta yang mengandungi kanak-kanak lelaki dan dihanyutkan dibawa arus.

Selain daripada itu pesanan yang diterima melalui SMS dari Brisbane Times juga amat menggusarkan, ditambah lagi dengan kemaskini status rakan-rakan di suburb yang lain yang bimbang dengan keadaan cuaca di laman Facebook masing-masing. Hujan masih turun mencurah-curah. Langit 19 Januari 2011 di Tennyson kelihatan gelap dan suram. Jiran-jiran sudah mula sibuk memunggah barang-barang.

Lori-lori kelihatan di sana sini bahkan terdapat jiran-jiran yang telah mula bersedia dengan bot laju. Oleh kerana kawasan kediaman kami yang terletak di dalam suburb Tennyson berhampiran dengan Brisbane River, tidak hairanlah jika bot laju menjadi sebahagian keperluan bagi penduduk di sini.

Biasanya pada hujung minggu, jiran-jiran yang memilik bot akan keluar bercuti dengan menarik bot mereka dengan kenderaan masing-masing ke kawasan pantai dan sungai, sebagai aktiviti riadah dihujung minggu. Bunyi punggah memunggah dan lori yang berhenti tidak putus-putus. Hujan masih lebat. Kami sekeluarga bimbang begitu juga dengan saudara-mara ditanahair. Pada waktu tengahari 19 Januari, kami masih sempat ke pasaraya Woolworth yang terletak sejauh 15 km dari rumah kediaman untuk mendapatkan barang-barang keperluan dan makanan, yang dijangkakan akan sukar apabila banjir melanda.

Dalam perjalan ke pasaraya berkenaan kami masih sempat singgah dan meletakkan kereta berdekatan Brisbane River dari arah Tennyson Playground, untuk melihat paras air. Selain kami, kelihatan ramai yang berpayung turut serta melihat paras air Brisbane River. Dalam perjalanan melalui Indooropilly Road, suasana kelamkabut turut kelihatan di suburb berdekatan.

Kawasan yang kami lalui semuanya sepanjang Brisbane River dan jarak sungai berkenaan dengan kawasan rumah amatlah dekat. Sesampainya di pasaraya Woolworth yang terletak di Suburb Corinda, kelihatan orang ramai sudah berpusu-pusu masuk dan mendapatkan bekalan keperluan. Masing-masing sibuk mencari dan mendapatkan keperluan seperti susu, roti dll.

Orang ramai beratur panjang untuk membayar, masing-masing sibuk menceritakan keadaan cuaca semasa. Ada yang berbual mengenai paras air dan kemungkinan banjir, termasuklah arahan berpindah. Sekembalinya kami di rumah kediaman, kami sekeluarga sibuk mengemas barang-barang dan meletakkan perkakas dan peralatan elektrik di tempat yang setinggi mungkin. Semua telah dikemaskan. Rakan-rakan yang tinggal di suburb yang lain turun menyarankan kami berpindah dengan segera, termasuk jiran sebelah rumah Mrs. Margaret turut berpesan supaya berpindah segera ke tempat selamat. Katanya banjir yang bakal melanda adalah jauh lebih buruk, daripada apa yang beliau alami sejak tahun 1974.

You have to move to other sub-bandar, we can not predict what will happen. The last floods in 1974 has reached this level,” kata Mrs. Margaret, jiran kami sambil menunjukkan paras air banjir yang telah dialami pada tahun 1974.

We really needs god help at this momment, we pray for safety from any disaster, you have a little baby,kata Mrs. Margaret.

Wanita Australia yang dilahirkan di England ini amat ramah, beliau dan suaminya selalu bertanya khabar keluarga kami sejak kami mula tinggal di Tennyson. Beliau adalah seorang yang aktif menjalankan kerja-kerja amal di gereja, begitu juga suaminya.

Bagaimanapun beliau menghormati kami sekeluarga, walaupun kami adalah muslim tunggal di Tennyson. Ini kerana ramai pelajar-pelajar Malaysia lebih tertumpu di Sub-bandar St. Lucia, Yeronga dan Fairfield. Sepanjang kami di sini, beliau tidak pernah menjalankan dakwah ugamanya.

Saudara zarizi yang tinggal di sub-bandar Oxley, turut mempelawa kami berpindah ke kediamannya yang terletak jauh dari Tennyson dan kemungkinan tidak menghadapi masalah banjir yang bakal melanda. Zarizi datang ke Brisbane menemani isterinya Mariam, yang mengikuti pengajian Ph.D di Universiti of Queensland. Mereka datang setelah sebulan kami berada di Brisbane dan tinggal berjauhan dari komuniti pelajar malaysia, seperti juga kami. Segalanya telah siap sedia, barang-barang telah dikemaskan di dalam rumah. Pada petang 19 Januari, kami berserah kepada Tuhan tentang apa yang bakal belaku. Ikhtiar telah dilakukan, doa dipanjatkan ke hadrat Allah supaya semuanya selamat dari bencana yang bakal menimpa.

Bacaan Surah Yaasin mengakhiri saat-saat akhir kami bersedia untuk bergerak meninggalkan rumah kediaman. Perasaan bimbang masih juga melanda kerana Brisbane River terletak di bahagian belakang rumah, ianya hanya dipisahkan dengan kawsan kediaman dan bonjolan memanjang bukit kecil sepanjang King Arthur Terrace.

Nama-nama jalan di Tennyson adalah mengambil nama epik Inggeris yang terkenal iaitu King Arthur, oleh itu nama watak dalam epik tersebut seperti Merlin, Camelot, Lancelot dll diabadikan pada nama jalan di Sub-bandar Tennyson. Watak-watak tersebut juga muncul dalam siri “Merlin' yang dimainkan di saluran 7 TV Australia, ketika itu. Pada jam 6.30 malam, kami mula bergerak ke Acacia Ridge.

Kelihatan jiran kami Mrs. Sharon dan Mr. Jepp masih menikmati makan malam dan tidak kelihatan akan berpindah. Perjalanan di teruskan melalui Corinda dan kelihatan suasana kelam-kabut sepanjang jalan. Akhirnya kami sampai dengan selamat ke rumah Zarizi, walaupun terpaksa melencong ke berbagai jalan untuk mengelak kawasan yang mula dinaiki air. Kami bermalam dengan selamatnya. Hujan masih terus mencurah, kaki langit tidak kelihatan, guruh dan kilat sering kedengaran.

Kawasan kejiranan kelihatan sibuk dengan punggah-memunggah, bunyi lori dan lain-lain kenderaan serta penduduk yang siap sedia berkemas untuk berpindah kelihatan pada waktu pagi 20 Januari. Kami keluar ke jalanraya berhampiran, kelihatan banjir telah mula melanda Sub-bandar ini. Beberapa buah kereta kelihatan mula ditenggelami air hampir paras bumbung di sebuah stesen minyak.

Kawasan jalanraya seolah-olah seperti sungai dan bersambung dipenuhi banjir yang mula bergerak deras dan paras air kelihatan begitu cepat meningkat dan menenggelamkan beberapa kenderaan. Ketika itu kawasan rumah zarizi masih lagi selamat, bagaimanapun jalan-jalan di sekitarnya mula dipenuhi air. Kami mengambil keputusan untuk bergerak keluar dari Acacia Ridge sebelum jalan-jalan tidak dapat dihubungi kerana banjir.

Kami perlu keluar segera sebelum banjir besar melanda. Rakan-rakan yang tinggal di Sub-bandar lain turut menghubungi dan bertanya khabar dan ada yang turut menawarkan rumah mereka sebagai tempat berteduh. Pada petang itu kami melepasi Acacia Ridge dan mencari perlindungan di Eight Miles Plain yang terletak berpuluh km dari tempat banjir.

Kawasan ini tidak ditenggelami banjir walaupun lebih 80% dari Queensland tenggelam.Syukur masih ada tempat selamat. Penduduk kawasan ini nampaknya tidak mengambil kisah tentang apa yang berlaku di CBD Brisbane ketika itu. Di sini kami menumpang rumah saudara Yusof. Yusof juga dikenali sebagai Yusof Singapore kerana berasal dari Singapura. Beliau telah bermastautin di Brisbane, kirakira 7 tahun dan akhirnya mendapat taraf permastautin tetap (PR) Australia.

Beliau tinggal bersama isteri dan 3 orang anak perempuan. Kmai dapat melupakan sebentar apa yang berlaku sepanjang dua hari lalu. Di sini kami tinggal selama 3 hari 2 malam. Ketika itu TV sentiasa melaporkan keadaan banjir, ada laporan mengenai Indooropilly etc. Sub-bandar tempat kami tinggal tenggelam dan begitu juga dengan Corinda.

Kami lihat Tennyson telah tenggelam begitu juga susana kejiranan di Corinda, Indooroopilly etc, semuanya hampir di paras bumbung. kelihatan sebuah kapal layar hancur tersangkut di jambatan yang merentangi Indooropilly River, begitu juga dengan Brisbane. semuanya hampir lumpuh dengan banjir yang datang bersama selut kehitaman. Pada hari kedua di rumah yusof singapore, kami cuba kembali ke rumah kediaman yang ditinggalkan kerana berita TV melaporkan bahawa air telah mulai surut di Sub-bandar tertentu.

Sepanjang perjalanan di dapati kawasan yang dilanda banjir yang mulai surut kelihatan seperti kolam tasik yang luas. Kenderaan bersesaksesak membawa bantuan dan peralatan. Kami sampai di Tennyson tetapi tidak boleh masuk kerana air masih melimpah dan menenggelamkan rumah. Sungguh dahsyat banjir yang melanda.

Dari berita dilaporkan beberapa rumah rakan rakan di Fairfield telah ditenggelami air hingga hampir tenggelam, pasaraya Fairfield Garden juga hampir tenggelam di mana penanda aras jalan juga hampir tenggelam. 6 bulan diambil bagi memulihkan Fgarden. 27 buah jeti Feri rosak dan QUT lumpuh di Margaret St kerana kerosakan janakuasa. Kami melewati kawasan belakang rumah melalui King Arthur Terrace dan melompat pagar melalui rumah Mr. Eric. Kawsan hadapan rumah tenggelam begitu juga jiranjiran semuanya tenggelam.

Di Camelot St, kami selamat air hanya mencecah lantai. Rumah seperti rumah Malaysia yang berkedudukan 3 kaki dari tanah terselamat kerana, banjir tidak melanda dengan teruk disebabkan adanya jalan berbukit di King Arthur Terrace. Setibanya kami di bahagian belakang rumah alangkah gembiranya kami kerana tiada sebarang tanda-tanda air di kws, belakang rumah. Lalu dengan mudah melalui backyard masuk melalui pintu belakang.

Bersyukur. Apablia masuk ke dalam rumah, kelihatan mellalui jendela rumah2 jiran masih tenggelam dan ada yang masih berkayak di Vivian St. dan Camelot St. Sebahagian air masih berada di bahagian hadapan rumah oleh kerana bhgi belakang yang menghala ke King Arthur Terrace agak tinggi dan bahagian hadapan rumah yang menghala ke Camelot St agak landai, hanya sebahgaian sahaja kawsan rumah ditenggelami air. Kelihatan jiran sibuk dan mula membersihkan rumah.

Alangkah baiknya hati Mr. Mrs Allen yang telah membersihkan kawasan tepi rumah sebelum kami tiba, kelihatan tiada sebarang selut. Mr & Mrs Allen kelihatan tabah walaupun 3 buah rumah anaknya ditenggelami banjir di paras bumbung di sub-bandar Corinda dan Chelmer. Fendi Ameen setelah selesai mengambil apa yang patut kami terus beredar meninggalkan kws. rumah berjalan kaki kira2 10 km ke tempat kereta ditinggalkan berhampiran Tennyson Golf Club.

Perjalanan diteruskan, melewati Fairfiled Road menghala ke Brisbane Market dan Indooropilly yang masih ditenggelami air, sebagaian dari kawasan hanya kelihatan bumbung rumah sahaja. begitu juga dengan kawsan Tennis Queensland yang menjadi laluan pantas dari Tennyson ke fairfield Road juga masih ditenggelami air. Jalan ke Brisbane Market terputus, kenderaan bersesak-sesak dan ramai yang terpaksa meredah pembahagi jalan untuk keluar dari kawsan yang ditenggelami air.

Kelihatan rumah yang dihuni oleh pendatang dari Afrika di Palomar Rd dan Mollabin Crest juga kelihatan tenggelam dan hanya menampakkan bumbung rumah. Kami meneruskan perjalanan melalui Mooroka dan seterusnay kembali ke rumah saudara Yusof Singapore. Keesokan harinya kami sekeluarga kembali ke Tennyson setelah yakin bahawa air telah surut. dari laporan berita TV, dilaporkan bahawa paras air telah mula surat di kawasan-kawasan yang teruk dilanda banjir pada hari ke tiga. Ketika sampai kws banjir di sepanjnag perjalanan ke rumah kediaman di Tennyson seumpama medan perang.

Di sana-sini terdapat kawalan tentera yang lengkap bersenjata dan kelengkapan kenderaan. Tentera buat pertama kali kelihatan di segenap ceruk rantau Brisbane CBD mengawal keselamatan penduduk, pekerja sukarela bantuan dan pergerakan orang-orang di kawasan bencana. Sebelumnya tentera Australia hanya kelihatan ketika sambutan ANZAC Day yang biasanya akan membuat perarakan dan kawad kehormatan di sekitar Brisbane City terutamanya ANZAC square.

Benar air telah surut apabila kami melewati Palomar Road dan akhirnya melepasi The Brisbane Golf Club melalui King Arthur Terrace, Vivian St dan akhirnya ke Camelot St. Di sana-sini beratus-ratus pekerja bantuan sukarela telah mula bergerak dan melakukan kerja pembersihan di rumah-rumah kediaman yang dilanda bencana. Mereka dikatakan datang dari seluruh Australia, ada yang mewakili badan-badan amal, syarikat swasta dan ada yang datang secara persendirian. Akhbar melaporkan berpuluh beribu pekerja bantuan telah mendaftar untuk memberi bantuan sukarela kepada penduduk yang ditimpa bencana.

Pada 16 Januari 2011, ABC News melaporkan bahawa "Queues of willing volunteers stretched for more than a kilometre at assembly points across Brisbane today", bagi melakukan kerjakerja proses pemulihan akibat banjir (floods recovering process).

Manakala berita yang disiarkan melalui Courier News pada 15 Januari pula melaporkan "By early this morning, 7000 volunteers had flowed in to Brisbane City Council's four volunteer centres to head to some of the worst hit centres. By this afternoon, the number of volunteers was around 11,500".

Betapa teruknya bencana yang menimpa Brisbane terjawab apabila Community Queensland pada siaran beritanya pada 13 Januari 2011, memetik kata-kata Datuk Bandar Brisbane bahawa

"Make no mistake, Brisbane is experiencing its greatest natural crisis in over a hundred years. Unlike the flood in 1974, the existence of the Wivenhoe Dam has helped absorb the vast majority of the floodwaters. If not for Wivenhoe we would have faced flooding the likes of which we cannot comprehend. As I write this the flood is peaking at around 4.2 meters. At 4am this morning, the peak measured 4.46 metres. Although it was less than the 1974 flood, almost 12,000 residential properties and 2,500 commercial properties were flooded. The damage bill is enormous and tomorrow Brisbane will begin the massive clean-up operation and we need your support. The Brisbane sub-bandars worst impacted by the flooding include: Brisbane City, St Lucia, West End, Rocklea, Graceville, Chelmer, Oxley, Fairfield, Toowong, South Brisbane, New Farm, Yeronga, Milton, Sherwood, Jindalee, Tennyson, Auchenflower, Sinnamon Park, Archerfield, Windsor, Taringa, Westlake, Fig Tree Pocket, Indooroopilly, Newstead, Sumner, Bulimba, Corinda, Coopers Plains, Albion, Norman Park, Paddington, Kenmore, East Brisbane, Coorparoo, Bellbowrie, Yeerongpilly, Riverhills, Woolloongabba, Seventeen Mile Rocks, Hawthorne, Darra, Moorooka, Bowen Hills, Pinkenba, Middle Park, Balmoral, Kangaroo Point, Mount Ommaney, Hamilton, Acacia Ridge, Highgate Hill, Willawong, Anstead, Jamboree Heights, Fortitude Valley, Salisbury, Hemmant, Greenslopes, Wacol, Chapel Hill, Herston, Brookfield, Pinjarra Hills, Karana Downs, Durack and Pullenvale."

Bekalan elektrik terputus selama hampir seminggu. Semua keperluan memasak menggunakan dapur yang biasa digunakan untuk berkemah, yang boleh memuatkan gas memasak di dalam tabung kecil. Rumah-rumah kediaman di Brisbane biasanya menggunakan dapur elektrik atau gas. Gas disalurkan secara terus oleh pihak pembekal seperti Origin Energy yang menyalurkan gas kepada lebih 3 juta pengguna turut terjejas akibat bencana yang melanda. Kami bergelap selama hampir 11 hari dengan ditemani cahaya lilin. Suasana sekitar kejiranan juga gelap, seolah-olah kembali ke zaman tanpa bekalan elektrik. Untuk memasak kami menggunakan sejenis dapur yang dikuasakan dengan gas butane, yang biasa digunakan untuk perkemahan pengakap.

Sebuah pusat penempatan banjir dibuka dengan serta-merta di Yeronga State School. Semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit dan ugama bersama-sama menyiapkan pusat penempatan dan bantuan. Bantuan dari berbagai pihak mula tiba di pusat itu. Segala jenis makanan dan peralatan, pakaian, mainan bayi dan keperluan rumah ditempatkan di situ untuk mangsa banjir. Mangsa banjir perlu pergi ke pusat itu dan boleh mengambil apa sahaja barang keperluanyang ada yang diletakkan dalamsatu kawasan tanpa dikawal dengan ketat.

Makanan ruji masyarakat Australia seperti susu, cheese dan roti termasuk roti untuk kebab yang disukai oleh orang-orang Afghanistan dan Afrika juga tersedia. Barang-barang keperluan harian, barangan bayi juga turut tersedia.

Makanan ruji masyarakat Australia seperti susu, cheese dan roti termasuk roti untuk kebab yang disukai oleh orang-orang Afghanistan dan Afrika juga tersedia. Barang-barang keperluan harian, barangan bayi juga turut tersedia.

You need more,” sapa seorang petugas di tempat penyediaan bantuan dan keperluan itu kepadaku. Dia melihat aku hanya mengambil sebungkus roti yang tersedia serta sebotol susu segar. Roti dan susu segar disediakan oleh syarikat pengeluar susu dan roti yang biasanya menyediakannya untuk pasaran di pasaraya-pasaraya utama seluruh Brisbane dan Australia. Sana-sini kelihatan lori-lori pengangkut susu dan roti dipakir dan ada pekerja-pekerja yang sedang mengagihkan bekalan di pusat itu. Mangsa-mangsa banjir juga hanya mengambil untuk bekalan setakat yang perlu. Mereka cukup berdisiplin.

I only need more milk. These for my neighbour. They have suffered more than me,” aku memaklumkan kepada petugas untuk mendapatkan lebih bekalan susu segar. Susu itu kemudiannya kaan diberikan kepada Mrs. Margaret dan Mr. Allen. Mereka tidak datang ke pusat bantuan kerana dua buah rumah anak mereka ditenggelami banjir di Corinda. Tiada apa-apa yang boleh diselamatkan lagi.

“These for you, “kataku menghulurkan beberapa botol susu segar dan bungkusan roti kepada Mrs. Margaret. Dia sekeluarga kelihatan bersedih, anak-anak cucunya juga kelihatan diam. Tiada suasana riang di situ.

Tidak berhenti-henti Mrs. Magaret mengucapkan terima kasih atas sedikit bekalan makanan yang aku bawa kepada mereka. Begitu juga dengan keluarganya. Pun begitu dia tetap menawarkan kepadaku susu dan roti, dia meminta aku mengambilnya. Aku menolaknya dan berkata “You need more than me, we only need rice. Milk and bread is for you.”

Susu dan roti bukanlah makanan ruji bagi kita orang Asia, berbeza dengan masyarakat Inggeris yang menjadi ruji yang wajib bagi mereka. Kita lebih memerlukan beras dan nasi. Tambahan pula anak kelahiran Kedah, Negeri Jelapang Padi.Tiada bekalan beras disediakan di pusat bantuan. Bagaimanapun nasib baik bekalan beras di rumahku masih mencukupi untuk dua-tiga minggu lagi. Ini kerana sebelum banjir melanda kami telah pun membeli bekalan dan lain-lain keperluan termasuk beras. Hanya orang Asia seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia sahaja akan membeli beras yang dijual dalam karung seberat 10 kilogram.

Masyarakat Inggeris hanya membeli beras dari jenis beras perang atau “Brown Rice” dalam paket-paket 500 gram dan 1 kilogram. Stok beras dari jenis “long grain rice” di pasaraya akan habis diborong oleh masyarakat Asia, khususnya dari negara-negara ASEAN. Jika kita membawa sekarung beras seberat 10 kilogram dan bertemu dengan orang Vietnam yang membawa sekarung atau dua karung beras yang sama , itu adalah perkara biasa. Lain pula jika bertemu dengan masyarakat Inggeris, mereka akan tersenyum dan kadang-kadang kanak-kanak Inggeris akan hairan dan berkata “Why you take a lot. It is not good for you?” Itu adalah lumrah kehidupan, bak kata pepatah “Lain padang lain belalangnya”.

Kemudian apabila bekalan elektrik pulih, terpancar di siaran TV pagi petang dan berkali-kali bahawa pentadbiran Queensland di bawah Anna Bligh bersetuju untuk memberi bantuan kewangan kepada semua mangsa banjir tidak mengira samada warganegara Australia atau tidak. Bantuan itu dikenali sebagai “hardship allowance” kerana ketiadaan bekalan elektrik dan penderitaan akibat banjir. Syukur dengan keluargaku seramai enam orang, sebanyak AUD850 telah diberikan oleh kerajaan Queenslandmelalui pusat bantuan di Yeronga State School.

Bantuan disalurkan dengan pembuktian melalui passport dan alamat tempat tinggal. Passport mengesahkan bahawa mangsa adalah pendatang yang sah melalui undang-undang dan alamat tempat tinggal semasa banjir melanda. Pihak urusetia yang mengendalikan bantuan kewangan telah disediakan peta berskala yang menunjukkan lokasi kawasan liputan banjir, oleh Brisbane City Council. Peta itu amat teliti menunjukkan kawasan bencana. Bagi mangsa yang tinggal di luar kawasan liputan banjir mereka tidak layak diberikan bantuan bantuan kewangan tersebut.

Hari-hari berikutnya aku turut membantu jiran-jiran sekitar membersih dan mengangkut barang-barang yang telah rosak dan ditenggelami banjir. Semua barang-baran yang rosak akan dikumpulkan dan seterusnya akan diangkut oleh lori-lori sampah Brisbane City Council. Aku tidak dapat bersama-sama membantu rakan-rakan senegara yang ditenggelami banjir di Fairfield kerana satu-satunya kenderaan yang ada mengalami kerosakan. Kereta yang agak lama mengalami masalah pada bateri, baterinya sudah luput hayat dan perlu diganti. Ketika itu agak sukar untuk mendapatkan bekalan bateri baru kerana kedai-kedai alatganti masih belum dibuka, semuanya di lokasi yang ditenggelami banjir.

Kami hanya mendapat maklumat mengenai rakan-rakan melalui telefon. Rumah saudara Zam di Fairfield ditenggelami air hampir paras bumbung. Ramai rakan-rakan senegara membantu saudara Zam untuk memindahkan barangan yang rosak. Petugas-petugas sukarela juga turut sama-sama membantu. Selepas bencana banjir saudara Zam sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah yang lain di Yeronga kerana rumah sewanya mengelami kerosakan yang agak teruk. Urusan berpindah juga kemudiannya dibantu oleh rakan-rakan senegara termasuk ahli-ahli PPMQ.

Sebuah bilik gerakan banjir juga telah dibuka di Hawken Drive, St. Lucia, berdekatan kampus UQ. Bilik gerakan itu diketuai oleh saudara Zul Rahim, seorang pelajar Ph.D. dari USM, Kubang Kerian. Beliau telah menggerakkan pusat bantuan di situ dengan membentuk sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh AJK PPMQ bagi mengenalpasti keperluan dan penyaluran bantuan segera kepada mangsa banjir dari kalangan warganegara Malaysia, selepas banjir surut. Gerakan yang dilakukan amat cepat dan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir. Bantuan daripada pejabat HCM Sydney masih belum tiba. Bagaimanapun bantuan kewangan kepada mangsa banjir cepat disalurkan oleh pihak HCM Malaysia di Sydney. Ramai mangsa telah diberi bantuan kewangan mengikut saiz keluarga dan tahap kerosakan.

Aku hanya mendapat panggilan telefon melalui penasihat latihan JPA di Sydney bertanyakan tentang bencana banjir. Begitu juga rakan-rakan yang lain. Dua hari selepas daripada tarikh kejadian banjir beberapa akhbar Malaysia di tanahair melaporkan keadaan pelajar-pelajar Malaysia yang menderita akibat banjir, tekanan perasaaan, kehilangan harta benda dan dokumen-dokumen pengenalan,tambahan pula bantuan khusus dari HCM Sydney masih belum tiba.

Selepas beberapa hari tersiarnya berita di akhbar Malaysia, tersebar berita pihak HCM Sydney akan datang memberi bantuan. Bilik gerakan di St. Lucia diminta bersiap-sedia seadanya kerana rombongan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia beserta penasihat-penasihat pendidikan serta pegawai-pegawai kedutaan akan datang dan membawa bantuan.

Kami mangsa-mangsa banjir dan petugas gerakan menunggu dengan sabar rombongan yang dijanjikan. Akhirnya berita tersebar bahawa PM Dato’ Seri Najib sudah berada di Melbourne dan dijangka membuat lawatan ke Brisbane, sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, berita yang sah adalah sepasukan Putera 1 Malaysia yang dipimpin oleh Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim, Ketua Putera 1Malaysia akan turut sama dengan misi bantuan. Pada 24 Januari 2011, Pegawai-pegawai kedutaan dari HCM Sydney datang berserta Kumpulan Putera 1Malaysia.

Kedatangan pegawai-pegawai dari HCM Sydney termasuk penasihat-penasihat pendidikan amatlah dialu-alukan. Banyak masalah pelajar dapat diatasi melalui nasihat dan rundingan. Penasihat-penasihat pelajar dari KPT, MARA dan hampir semua penaja turut hadir. Pelajar boleh berbincang mengenai berbagai perkara termasuklah masalah gangguan pelajaran dan keperluan lanjutan tempoh pengajian yang terjejas, bantuan-bantuan yang perlu dan seumpamanya. Aku sendiri berbincang dengan penasihat pendidikan dari Kementerian Pendidikan iaitu Ustaz Mohd Sabri berhubung lanjutan tempoh pengajian kerana pejabat pasca siswazah yang terletak di Margaret Street ditutup sehingga empat bulan. Begitu juga dengan lain-lain masalah yang dihadapi oleh pelajar, mereka juga turut mengemukakan masalah yang hampir sama.

Penasihat-penasihat pelajar juga turut mengadakan siri pertemuan dengan pelajar-pelajar dan pihak university berhubung masalah yang dihadapi akibat banjir. Petemuan-pertemuan yang diatur dengan bantuan PPMQ amatlah bermanafaat kepada pelajar-pelajar yang terjejas teruk akibat banjir.

Pada hari yang dijanjikan itu bilik gerakan dan bangunan serta kawasan sekitarnya dipenuhi oleh pelajar-pelajar Malaysia yang terjejas akibat banjir. Suasana semakin sibuk dengan kedatangan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia serta pegawai-pegawai dari HCM Sydney, serta pasukan Putera 1Malaysia. Bangunan yang menempatkan bilik gerakan seolah-olah rumah kenduri, dengan penyediaan juadah, longgokan kotak-kotak misi bantuan yang dilekatkan bendera Malaysia serta potret Dato’ seri Najib. Petugas-petugas Putera 1Malaysia membahagikan baju T warna putih berlogo putera 1Malaysia untuk dipakai oleh pengunjung yang datang. Ramai yang sibuk memakai baju T itu, seolah-olahnya semua adalah ahli pasukan Putera 1Malaysia.

Sebahagian daripada pasukan Putera memasang “banner” yang memaparkan kehadiran Putera di bangunan dan kawasan itu. Majlis dimulai dengan penerangan ringkas mengenai bilik gerakan dan tahap masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang terjejas teruk akibat bencana banjir. Taklimat tersebut disampaikan oleh saudara Zul Rahim dan Megat, dan turut dihadiri oleh beberapa pegawai UQ. Imam Masjid Buranda turut hadir memberikan sokongan dengan menawarkan hostel di masjid bagi pelajar-pelajar yang kehilangan tempat tinggal.

Selepas taklimat ringkas, majlis diteruskan dengan ucapan saudara Zul Rahim, Dato’ Aziz Rahim dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Dato’ Salman yang berasal dari kampung Utan Aji, Perlis.

Kapal dagang Muatan sarat

Bawa penuh kayu meranti

Datang kami membawa hajat

Untuk membantu saudara saudari

Itulah antara baitbait pantun yang dibacakan melalui ucapan Ketua Putera 1Malaysia, yang diketuai oleh Yg. Bhg. Dato' Abdul Aziz Rahim. Seramai 67 orang anggota datang atas misi bantuan kemanusian kepada para pelajar malaysia di Queensland, khasnya Brisbane. Dari ucapan aluan Dato' Aziz, misi kali ini berbeza kerana bantuan disalurkan ke negara maju, sebelumnya kumpulan ini telah sampai di Gaza, palestin dan Jepun.

Inilah kali pertama di dunia pertama, yang sebelumnya hasrat Malaysia menyalur bantuan tidak direstui oleh Pesuruhjaya tinggi Australia di Kula Lumpur. Pendirian Australia adalah jelas kerana sebagai negara maju mereka telah menolak bantuan yang ditawarkan oleh Singapura dan Indonesia.

Mangsa-mangsa banjir kemudiannya mendapat kotak-kotak berisi bekalan makanan seperti beras, sardine, biskut, susu tepung, rempah-ratus dan sebagainya yang diedarkan oleh pasukan Putera. Ini termasuk juga bantuan beberapa helai kain selimut yang diedarkan. Mangsa-mangsa yang kehilangan barangan dan rumah sewa ditenggelami banjir diberikan bantuan kewangan serta sebuah netbook bagi setiap satu keluarga. Sungguh terasa amat terharu kerana sepanjang hidup di Malaysia, majority tidak pernah merasai suasana bencana banjir yang dahsyat, apatah lagi menerima bantuan bekalan makanan dan keperluan melalui kotak-kotak bekalan itu.

Pada malamnya pula diadakan majlis suaikenal di antara pelajar-pelajar Malaysia di Queensland dengan ahli-ahli Putera. Majlis berjalan lancar dengan suasana harmoni. Seperti biasa juadah makan malam disediakan oleh pelajar-pelajar secara gotong-royong.

Sesungguhnya, bencana banjir hanya datang sekejap tetapi kesan bencana tersebut amatlah berpanjangan. Beberapa pasaraya telah ditutup, perkhidmatan feri City Cat terjejas teruk, perpustakaan awam turut ditutup. Beberapa suburb yang tersedia pasaraya seperti mati kerana tidak dapat beroperasi. Suatu tempoh yang lama diperlukan untuk kembali pulih. Fairfield yang menjadi tempat kami membeli-belah mengambil masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya dengan pembukaan semula pasaraya Coles dan sebagainya di Fairfield Garden. Begitu juga keadaannya dengan suburb-suburb yang terjejas teruk seperti Corinda. Beberapa minggu university ditutup dan pensyarah-pensyarah hanya meneruskan tugas di rumah.

Kawasan kejiranan semakin hari semakin lengang kerana ramai yang berpindah ke suburb yang lain, terutamanya kawasan yang kurang terjejas. Jiran-jiran berpindah, suasana waktu malam kelihatan sunyi di sana-sini. Di kawasan kediaman kami di Camelot Street hanya beberapa buah rumah sahaja didiami oleh penduduk yang terdiri daripada tuan punya rumah. Kebanyakkan rumah yang disewa kelihatan berantakan akibat bencana banjir, lengang ditinggalkan. Beberapa minggu kemudian kawasan kejiranan dan suburb sekitarnya kembali sibuk dengan kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak teruk.

Aku terpaksa memohon perlanjutan tempoh selama enam bulan dengan biasiswa dengan alasan terjejas akibat banjir. Kesan banjir mengurangkan tumpuan terhadap pelajaran kerana kampus ditutup selama tiga bulan dan tidak dapat menjalankan perbincangan dengan penyelia penyelidikan. Seorang pelajar Ph.D. amat perlu berbincang dengan penyelia mengenai kemajuan penyelidikan dan masalah yang dihadapi.

Ketika itu aku sedang menyiapkan tesis pengajian di bahagian analisa data dan mencari penemuan-penemuan berkaitan penyelidikan yang dijalankan. Kebanyakkan perisian berlesen yang digunakan hanya dipasang pada computer di pejabat pasca-ijazah, fakulti di bangunan Margaret Street yang tenggelam.

“You need at least six month to finish your thesis,” Richi Nayak mencadangkan kepadaku.

“Please draft you letter! I will strongly support you.”

Atas nasihat Richi aku kemudiannya memohon perlanjutan tempoh pengajian selama enam bulan sehingga Ogos 2011 bagi menyiapkan tesisku. Semasa kedatangan penasihat pendidikan dari Sydney, aku telah berbincang dan mendapat nasihat daripada Ustaz Mohd Sabri. Beliau turut membantu untuk menyampaikan masalahku kepada Penasihat Latihan JPA di Sydney bagi tujuan sokongan permohonan perlanjutan tempoh. Permohonan itu kemudiannya dimajukan dengan sokongan untuk kelulusan perlanjutan tempoh pengajian selama enam bulan, oleh Ketua pengarah Perkhidmatan Awam.

Akhirnya, aku telah diberi kelulusan perlanjutan tempoh HLP dengan biasiswa. Kerajaan Malaysia bersetuju membiayai segala perbelanjaan pengajian termasuk elaun sara hidup, sepertimana kelulusan peringkat awal, cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa. Ini adalah rahmat dari kejadian bencana banjir, kerana tanpa alasan yang kukuh tidak semudah pihak JPA memberikan kelulusan perlanjutan tempoh pengajian dengan biasiswa. Kami sekeluarga amat bersyukur.

Selepas mendapat kelulusan aku meneruskan pengajian seperti biasa hinggalah dapat menghadapi panel pemeriksa di Final Seminar, dan seterusnya melengkapkan tesis pengajian bagi tujuan pemeriksaan oleh pemeriksa luar yang dilantik oleh fakulti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.