Home Novel Travelog BERMUKIM DI TANAH RATU
BERMUKIM DI TANAH RATU
Dr Fendi Ameen
18/9/2013 14:11:30
53,345
Kategori: Novel
Genre: Travelog
BAB 49 : DEWAN MALAYSIA DAN PADANG SALJI DI GUNUNG KOSCIUSKO

Secara kebetulan pula rakan kami Suhaimi yang tinggal di puncak Alam, Selangor menelefon dan dia sekeluarga datang menziarahi kami di Brisbane, sambil melawat Gold Coast, Sydney dan sekitarnya.

“Kami nak ke Brisbane seminggu dua,” Suhaimi rakanku di Malaysia memaklumkan melalui email. Aku kemudiannya menelefon beliau bagi kepastian.

“Kalau boleh adjust bulan Jun sebab masa itu winter baru bermula,” aku mengharapkan Suhaimi dan keluarga dapat datang pada bulan Jun.

Seterusnya kami bersetuju untuk ke padang salji yang terletak di Banjaran Kosciousko di negeri New South wales (NSW). Kami merancang untuk mengembara ke padang salji di Trebo atau Snowies setelah mendaftar kelahiran anak kami, Iris di pejabat kedutaan di Canberra.

Aku dan Suhaimi bertolak dari rumah dengan menaiki Virgin Blue, perkhidmatan penerbangan Australia seperti Air Asia yang menyediakan perkhidmatan penerbangan Australia. Dari LT Gold Coast kami berlepas ke Sydney. Di Sydney kami menyewa kereta supaya lebih mudah bergerak di sana. Sewaan kereta itu telah dibuat lebih awal sebelum kedatangan kami ke Sydney melalui dalam talian Internet.

Kami menyewa bilik di Malaysia Hall atau Dewan Malaysia yang diuruskan oleh kedutaan Malaysia di Sydney. Untuk menyewa tempahan awal melalui Internet perlu dilakukan, sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu sebelum ketibaan. Permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang dan menghantar pemohonan melalui email. Kemudian pihak Malaysia Hall akan memaklumkan tentang status permohonan. Selain dari Sydney, Dewan Malaysia juga terdapat di bandar-bandar besar yang lain seperti di Melbourne, Perth dan Canberra, kecuali Brisbane. Tinggal di Dewan Malaysia selain daripada sewanya yang murah dan berpatutan, juga memudahkan untuk bergerak ke destinasi utama di kotaraya Sydney seperti Sydney Opera House, Sydney Harbour dan Sydney Aquarium.

Sebelum bergerak ke Canbera, kami menikmati keindahan kotaraya Sydney selama dua malam. Sempat bagi kami mengunjungi Sydney Opera House dan Sydney Aquarium serta Sydney Habour. Sydney Opera House ialah sebuah bangunan terbaik bagi senibina moden (masterpiece of late architecture) yang menjadi daya tarikan dan perhatian dunia.

Rekabentuknya yang unik diinspirasikan oleh seorang arkitek kelahiran Jerman bernama Jorn Utzon. Sejarah rekabentuk dan pembinaan bangunan tersebut bermula apabila kerajaan New South Wales menganjurkan suatu pertandingan rekabentuk bangunan pada tahun 1956. Pertandingan ini dijalankan secara terbuka bagi menjemput arkitek-arkitek terbaik du dunia dengan hanya menetapkan spesifikasi bagi merekabentuk sebuah dewan opera dan sebuah dewan konsert simponi, tanpa menetapkan kos yang terlibat. Juri bebas telah dilantik mengadili pertandingan ini dan akhirnya memilih rekaan Jorn Utzon yang begitu unik berkonsepkan kulit kerang. Pembinaannya menimbulkan kontroversi apabila mengambil masa yang lama. Bagi menyiapkan struktur shell tersebut mengambilmasa kira-kira lapan tahun dan membentuk dan mengemaskannya dengan jubin seramik mengambil masa kira-kira tiga tahun. Sekarang, bangunan ini menjadi tempat persembahan teater yang terbaik di dunia dan menjadi simbol kebangsaan Sydney dan Australia.

Ketika sampai di bangunan yang terletak di Tanjung Bennelong (Bennelong Point) di lokasi Pelabuhan Sydney (Sydney Harbour), kami amat teruja dengan rekabentuk dan keindahannya. Bangunan ini dihubungkan melalui Sydney Habour Bridge ke pusat perniagaan kotaraya Sydney serta Taman Botanikal Sydney (Royal Botanical Sydney), yang terletak di Farm Coves. Aku juga pernah mendapatkan fakta-fakta mengenai bangunan ini ketika menyediakan sebuah esei bagi persediaan menduduki ujian IELTS, sebelum datang ke Australia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.