Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 18

Faizal tersenyum. Berpaling merenung Amira di sisi. Wajah bujur sirih Amira dengan mata bulatnya, hidungnya, bibirnya... Faizal terhenti. Ini kali pertama dia benar-benar memandang wajah Amira. Cantik. Amira tidak memakai sebarang solekan. Tambahan lagi setelah baru pulang dari kerja, wajah Amira kelihatan sedikit berminyak. Dia baru tersedar, selama dia mengenali Amira, Amira tidak pernah begitu ambil kisah dengan penampilan. Keluar selepas tamat waktu bekerja, Amira hanya menyarung baju kurung dan tudung yang dipin dua di hadapan dengan kerongsang berbentuk bunga kecil. Tanpa tambahan aksesori dan stail. Malah, Amira pernah selamba tidur di lobi hotel ketika menunggunya. Faizal tersenyum sendiri.

"Apa yang awak tersenyum-senyum ni?" Amira bertanya kasar bila Faizal masih diam dan hanya tersenyum memandangnya. Ketika dia mula mahu bangkit, terasa pergelangan tangannya digenggam. Jantung Amira berdegup tidak menentu, perlahan dia berpaling. Faizal mendongak sambil tersenyum sebelum melepaskan genggaman di tangan Amira.

"Awak masih marahkan saya?" Faizal bertanya. Pandangannya tidak lagi ke arah Amira. Amira masih berdiri. Marah? Bila pula dia marahkan Faizal? Amira berfikir lama.

"Awak tak marahkan saya?" kali ini dia merenung Amira bila gadis itu membisu. Amira menggeleng. Dia masih tidak pasti kenapa Faizal bertanya begitu. Adakah Faizal sangka dia marahkan Faizal? Faizal tersenyum.

"Ini yang saya risau bila saya ada kekasih, saya tidak pasti apa yang ada dalam hatinya. Saya sangka dia marahkan saya, tapi tidak rupanya. Bila saya tidak sangka dia tidak marahkan saya, rupa-rupanya dia marahkan saya," Faizal mengeluh sendiri. Sedangkan hatinya sendiri dia sukar untuk mengerti. Bagaimana mahu mengerti hati seorang wanita. Antara sebab dia mengelak untuk bercinta dan memiliki kekasih hati. Tapi dengan Amira, perhubungan yang bagaimana sewajarnya dia jalankan?

Amira tersenyum. Faizal dan fobianya dengan perempuan. Bila difikir balik, Faizal bukan benci atau tidak suka pada perempuan. Tapi lelaki itu hanya bingung dengan sensitiviti kaum hawa. Bukan Faizal sahaja, Amira yakin semua kaum Adam menghadapi isu yang sama. Namun, Faizal untuk mengelak dari mendepaninya. Amira kembali melabuhkan punggung di atas katil.

"Awak ada buat salah ke sampai buat saya marah?" Amira menduga atau sebenarnya lebih mahu mengusik jejaka itu. Faizal merenung Amira sambil mengerutkan dahi.

"Sebab saya setuju dengan cadangan ayah awak untuk bermalam di sini. Saya sangka awak marahkan saya. Awak tak marah?" Faizal menjelaskan. Amira menahan senyuman, wajahnya cuba diseriuskan. Dia tahu Faizal tak bersalah, apa sajalah yang Faizal boleh katakan di hadapan mentua. Cuma dia tidak berpuas hati dengan semua yang berlaku. Mungkin Faizal turut bersalah kerana menyebabkan ini semua berlaku, namun, Amira sudah boleh menerima hakikat yang berlaku. Cuma untuk benar-benar menerima, dia masih memerlukan masa. Mungkin juga keyakinan daripada Faizal sendiri.

"Jadi apa rancangan awak?" Amira bertanya serius sengaja mahu membiarkan Faizal merasakan dia masih marah. Faizal menghela nafas. Wajah Amira direnungnya. Melihat baju kurung yang masih tersarung di tubuh Amira, Faizal mula terfikir.

"Awak naik bas tadi?" Faizal bertanya. Pandangannya masih jatuh pada baju kurung yang dipakai Amira setiap kali kerja. Ya, Amira memang selalu dalam baju kurung, tidak pernah dia melihat Amira dengan pakaian lain selain baju kurung. Malah, ketika bermalam di rumah keluarganya di Kedah, Amira hanya memakai baju kurung. Faizal tertanya-tanya, adakah Amira akan berbaju kurung juga di dalam rumahnya sendiri?

"Biasalah, saya malas nak memandu. Lagipun tak ada tugas luar," Amira menjawab tenang.

"Minggu depan, jumaat lepas kerja, saya ambil awak dulu di pejabat sebelum datang ke sini," Faizal tiba-tiba memutuskan. Rancangan? Hanya itu yang terlintas di fikiran. Bagaimana dia boleh terlupa Amira menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja? Hanya kerana terlalu mahu bertemu Amira secepat mungkin, dia terus memandu ke rumah Amira. Faizal tersenyum sendiri. Minggu depan, itu rencananya.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.