Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 30

"Dah ada cadangan untuk bulan madu?" Amira terkesima dengan persoalan Faiza yang ditutur mahu mengenakannya.

"Erm... kami tak fikir lagi. Sekarang lebih fikirkan soal kenduri dulu. Lepas tu baru fikir tentang yang lain-lain," Faizal tenang memberi jawapan sambil menjeling wajah Amira yang nyata kurang senang. Sejak Amira pulang, mereka masih belum sempat untuk bersendirian. Entah mengapa, Faizal mahu berdua bersama Amira. Namun, di sudut hatinya, dia sendiri tidak pasti apa yang mau dibicarakan kepada Amira. Bila berbual bersama ahli keluarga yang lain, rasanya lebih selesa. Dan Amira masih di depan mata. Faizal cuba menahan senyum. Hatinya berbunga ria.

"Yalah, tapi tarikh kenduri yang kita bincang tu dah bagitahu keluarga Faizal? Sibuk-sibuk juga, tapi urusan ini penting juga. Dah selesai semua kan mudah. Amira pun boleh pindah rumah Faizal," Puan Fatimah menyampuk dengan ingatan. Amira mengerutkan wajah lagi. Faizal hanya tersengih mengangguk. Nada Puan Fatimah seakan tidak sabar menghalau anak perempuannya itu untuk tinggal berdikari bersama suami.

"Dah, Faizal dah beritahu beberapa hari lepas. Ibu setuju saja. Kata ibu, Amira sebut saja nak majlis yang macam mana, dia akan sediakan," Faizal menjawab sambil menjeling Amira. Teringat perbualan telefon dengan ibunya sebelum dia bertolak ke Pulau Perhentian.

"Ibu pun asyik suruh saya bawa Amira lagi ke Kedah," Faizal menyambung terkenang pesanan ibunya yang tidak henti-henti memintanya pulang lagi ke Kedah bersama Amira. Amira memandang Faizal. Bibirnya bergerak seakan mahu menutur sesuatu, namun, tidak terungkap. Pandangannya hanya kaku ke arah lelaki itu.

"Eloklah tu, sebelum kenduri pulanglah dulu ke Kedah. Bantu persediaan apa yang perlu. Kamu pun tak ada adik-beradik lain yang menolong," Encik Amir pula mengucap cadangan. Faizal diam dan mengangguk perlahan. Bukan dia tidak mahu pulang ke kampung, cuma, keadaan kerjanya saat ini agak sibuk. Tambah pula Zaman yang baru menimang cahaya mata dan mengambil cuti beberapa hari. Isnin ini dia perlu kembali ke Pulau Perhentian. Hasratnya untuk tinggal di sana sehingga ahad terbatal bila hatinya tidak sabar mahu bertemu Amira. Maka segala tugasan ditunda ke minggu hadapan. Dia menjeling lagi Amira. Jarang-jarang dia menunda urusan kerja kerana perkara peribadi. Amira kini sudah jadi isu peribadiyang penting dalam hidupnya.

"Amira ambillah cuti, balik ke Kedah lama sedikit," Puan Fatimah pula menggesa cadangan. Amira diam. Pandangannya jatuh kepada Faizal yang turut memandangnya.

"Erm... sebenarnya, Amira memang nak balik Kedah. Tapi, saya yang sibuk sebenarnya. Sekarang tengah banyak projek. Kebetulan, rakan kongsi saya baru dapat anak. Jadi, kerja dia pun saya kena cover sementara ni," Faizal pantas memberi alasan. Amira pula terpegun mendengar. Tidak pernah isu pulang ke Kedah timbul antara mereka.

Puan Fatimah dan Encik Amir saling berpandangan. Sejak Faizal muncul subuh tadi, mereka sudah dapat rasakan yang lelaki itu benar-benar serius untuk memulakan hidup dengan Amira. Namun, mereka masih tidak pasti dengan Amira. Semalam, bila ditanya kenapa Faizal tidak pulang, Amira cuma menjawab ke Pulau Perhentian atas urusan kerja. Langsung tidak ada sebarang reaksi yang berbeza. Amira masih sama.

Puan Fatimah merenung Fairuz yang sudah lena di tengah ruang tamu. Pandangannya jatuh kepada Amira yang hanya diam mendengar perbualan Faiza dan Encik Amir pula. Alangkah bagusnya jika Amira turut memiliki anak seperti Faiza. Kerisauan yang melanda hatinya akan reda. Entah mengapa dia resah dengan umur Amira yang semakin meningkat. Walau dia cuba yakinkan soal rezeki anak ini semua kerja Tuhan, namun, sebagai manusia, ikhtiar itu juga perlu. Puan Fatimah mengeluh sendiri. Dalam hati dia tidak putus-putus berdoa agar Amira dapat menerima Faizal dan menjalani kehidupan sebagai suami isteri seperti orang lain.

Bila Faizal menyebut soal Zaman dan anak barunya, Amira sayu sendiri. Teringat perbualannya bersama Puan Fatimah beberapa hari lalu. Ya, dia juga mahukan anak. Adakah dia patut berbincang soal itu dengan Faizal? Apa pula kata Faizal nanti? Apa yang lebih penting, adakah dia benar-benar sudah bersedia untuk menerima Faizal? Lantas dia terkenang tangisannya subuh tadi dan kehadiran Faizal yang tiba-tiba. Segan pula dengan sikapnya seperti itu. Apakah anggapan Faizal bila melihatnya seperti itu? Dia sendiri keliru. Apakah yang ada di dalam hatinya?

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.