Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 31

"Saya tidur di atas katil ya. Penatlah semalaman dari Terengganu ke sini," Faizal sudah merebahkan tubuh di atas katil ketika Amira mengusung comforter ke dalam bilik. Usaha senyap-senyapnya menyeludup dari bilik tetamu.

Amira diam bila Faizal sudah pun memejamkan mata. Serba-salah bermain di dalam dada. Tidak kisah rasanya untuk tidur di bawah. Kasihan juga pada Faizal. Lelaki itu pasti kepenatan. Beberapa bekerja di kawasan pedalaman. Kemudian tergesa-gesa pula ke rumahnya, perlu lagi melayan ahli keluargannya. Lelaki seperti Faizal yang senang hidup sendirian perlu berdepan dengan kerenah ahli keluarganya dan terpaksa meninggalkan urusan kerja kerananya.

Amira yang sedang membentangkan comforter terhenti. Pandangannya berpaling kepada Faizal yang kaku di atas katil. Lega bila semalaman risaukan Faizal dan lelaki itu muncul dengan keadaan sihat walafiat. Tapi kenapa dia pulang subuh hari begitu? Mengapa tidak dibalas panggilannya yang bertalu-talu ditinggalkan? Amira ingin bertanya. Namun, dia tidak pasti adakah dia tidak melanggar batasan dengan berbuat demikian? Bukankah bagi Faizal perempuan itu merimaskan? Kalau banyak yang disoalnya, pasti Faizal akan merasakan dia merimaskan. Amira mengeluh sendiri. Kini, dia pula yang serba-salah untuk berdepan dengan lelaki itu. Sejauh mana Faizal dapat menerimanya? Sejauh mana Faizal mampu berkongsi dengannya?

"Kenapa awak menangis pagi tadi?" suara Faizal sedikit mengejutkan Amira. Terbang segala persoalan dalam fikiran. Amira berpaling. Lelaki itu masih tenang denga mata terpejam. Kenapa dia menangis? Apa yang boleh dijawab Amira? Takkan mahu dijawab, sebab awaklah Faizal! Kenapa awak pergi tanpa beritahu saya? Sudahlah mungkir janji, berkali-kali dihubungi tapi tidak dibalas! Amira membentak dalam hati. Lidahnya kelu dan pandangannya kaku terarah kepada Faizal di atas katil.

"Kenapa?" Faizal mengiring menghadap Amira. Amira masih membisu dan tertunduk. Faizal yang melihat tingkah Amira serba-salah jadinya. Amira marahkah? Mahu menangis lagikah gadis itu? Faizal bingkas bangun dan duduk di atas comforter menghadap Amira yang masih tunduk berdiam diri.

"Amira, kenapa ni? Awak marah saya ke? Awak nak tidur atas katil? Maaf, saya tidur bawah. Awak tidurlah dekat atas," Faizal sudah tidak keruan dengan kebisuan Amira. Amira kaget dengan bicara Faizal. Kenapa lelaki itu yang kelihatan resah? Dia mengangkat wajah bertentang mata dengan Faizal sejenak sebelum segera mengalih pandangan.

"Erm.. tak ada apa-apa. Awak tidur lah atas katil. Awak kan tak suka tidur atas lantai," Amira menjawab perlahan. Faizal terdiam dengan jawapan Amira. Memang dia tidak pernah tidur di lantai. Biar ke mana-mana pun dia akan pastikan ada katil untuk merehatkan tubuh.

"Semalam saya perasan panggilan awak dah lewat malam. Saya ingat nak call pagi-pagi. Tapi, saya rasa nak balik KL malam tadi juga. Saya tak sempat nak call bagitahu sebab sampai rumah pun waktu subuh lagi," Faizal menjelaskan tanpa menunggu lagi. Dia tahu, pasti itu yang bermain di fikiran Amira. Masakan gadis itu tidak apa-apa bila 15 kali menghubunginya tanpa jawapan. Faizal merenung wajah Amira. Hatinya terasa lapang dapat menatap wajah Amira dari dekat. Dia tidak boleh menafikan kerinduan yang muncul di hatinya. Walau dia bimbang untuk bercinta lagi, tapi, kehendak hati sukar untuk ditahan-tahan.

Amira hanya mengangguk mendengar jawapan Faizal. Dia mengerti. Dia cuma harap lain kali Faizal tidak lakukan dia sebegitu lagi. Biarkan dia menunggu dan tertanya-tanya sendiri. Biarkan dia resah dan bimbang menanti khabar dari Faizal. Amira menggetap bibir. Seakan ada tangisan yang mahu hadir. Dia mahu ungkapkan. Namun, berhakkah dia untuk menuntut Faizal memaklumkan urusannya kepada Amira? Hatinya terasa sakit sendiri.

"Hei.... Amira? Janganlah nangis," Faizal sedar mata Amira sudah memerah. Faizal cuba memandang tepat ke mata yang cuba dilarikan gadis. Amira tahu dia sudah tidak tahan lagi. Dia segera bangun untuk melarikan diri dari menangis sekali lagi di hadapan Faizal.

Belum sempat Amira melangkah, lengannya sudah ditarik Faizal. Amira jatuh perlahan dalam dakapan Faizal. Tindakan drastik itu membuatkan Faizal kaku sendiri. Saat berada dakapan Faizal, Amira tidak tahan lagi dan menangis semahunya. Faizal tidak pasti tindakan yang perlu di ambil. Ini kali pertama seorang wanita menangis dalam dakapannya. Bukan dia tidak pernah berdepan dengan wanita yang menangis. Malah berkali-kali kekasihnya dahulu menangis kerana sikapnya. Namun, dia tidak pernah melampaui batas seperti ini. Bila dia sedar dia hanya melukakan hati kekasihnya, dia memilih untuk berpisah. Dia tidak sanggup untuk melukakan hati wanita lagi. Baginya terlalu sukar untuk dia berubah kerana wanita.

Adakah Amira sudah mulai terluka kerananya? Faizal resah. Adakah dia patut melepaskan Amira? Faizal mula bersoal jawab dalam hati. Namun, tangisan Amira makin menjadi-jadi. Tanpa disedari Faizal mengemaskan pelukan. Membawa tubuh kecil Amira ke dadanya. Dalam hati dia berdoa semoga tangisan Amira segera reda.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.