Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 17

"Masuklah," Amira menunjukkan bilik tetamu. Dia sudah berbincang dengan Puan Fatimah dan Encik Amir. Dia tidak mungkin akan berkongsi bilik dengan Faizal. Walaupun Puan Fatimah tidak bersetuju, Encik Amir membenarkan. Amira perlukan masa. Anak perempuannya yang seorang ini tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki selain daripada ahli keluarganya. Faizal adalah lelaki pertama yang muncul dalam hidupnya, malah, dia sedar, Amira masih belum yakin untuk mencintai dan menerima Faizal sepenuhnya.

Faizal memerhati bilik yang berkeluasan sederhana itu. Lengkap dengan perabot asas untuk sebuah bilik tidur. Namun kelihatan kosong.

"Ni bilik tetamu, awak tidur la di sini. Saya tidur di bilik saya. Saya dah bincang dengan mak dan abah tentang ini. Saya tak mungkin boleh kongsi bilik dengan awak dan saya rasa awak pun lebih selesa begitu kan?" Amira bersuara tenang sambil memandan Faizal yang sudah pun melabuhkan punggung di atas katil.

"Okey, saya pun risau kalau kena tidur atas lantai kalau kongsi bilik dengan awak," memang itu pun yang Faizal fikirkan bila diminta bermalam di rumah Amira. Tidak menyangka Amira telah menyusun rancangan yang lebih baik. Faizal tersenyum memandang Amira. Setelah seminggu, Amira langsung tidak menghubungi. Dia tahu Amira marah bila dia hanya diam dan bersetuju dengan cadangan Encik Amir. Dia mahu menghubungi Amira berkali-kali namun, dia buntu untuk meluahkan kata-kata yang bagaimana. Petang itu sengaja dia datang awal setelah tamat kerja. Malah, dia sudah membawa beg pakaian sejak keluar awal pagi lagi. Entah mengapa dia mahu segera bertemu Amira. Adakah dia sudah mula merindui Amira?

"Awaklah rehatla dulu, bolehla nak mandi ke. Awak terus datang dari tempat kerja ke?" Amira bertanya bila melihat kemeja dan seluar slack yang masih tersarung di badan Faizal. Faizal mendepangkan tangan seraya menghempas tubuh ke atas katil. Penat. Dia memang mahu merehatkan diri setelah bertungkus lumus seharian. 2 mesyuarat di sebelah pagi dan semakan kepada hasil lakaran untuk projek yang perlu disiapkan sebelum berehat di hujung minggu. Malah masih belum selesai dan dia membawa salinan di dalam komputer ribanya untuk menyambung tugas di rumah. Namun, dia mahu segera bertemu Amira, maka dia bergegas ke rumah Amira. Tapi Amira masih belum pulang. Maka dia melayan pula ibu mertuanya, senang juga berbual dengan ibu mertuanya namun hakikatnya dia kepenatan. Faizal memejamkan mata. Amira mengerutkan dahi melihat tingkah Faizal. Penat sangatkah? Bila Faizal masih tidak juga berganjak. Amira membuat keputusan untuk keluar. Biarlah, mungkin dia terlalu penat. Selalunya pulang kerja boleh terus berehat di rumah, tapi hari ini perlu datang ke rumah Amira dan terpaksa pula melayan ibu Amira dahulu.

"Amira," belum sempat Amira menutup pintu suara Faizal membuatkannya kembali berpaling. Faizal bangkit. Menyeluruhi wajah Amira yang merenungnya penuh persoalan. Hati Faizal sedikit lega setelah menemui Amira. Seminggu ini terasa tidurnya seperti tak lena. Dia tahu, sedikit sebanyak dia meyukai Amira. Cuma dia masih tidak pasti untuk hidup berumah tangga. Jauh di sudut hati, Faizal bimbang Amira akan terluka seperti wanita-wanita yang pernah dia dekati sebelum ini. Jika sebelum ini, ketika hanya bercinta, mudah sahaja untuk memutuskan hubungan bila merasakan tidak sesuai. Tapi kini setelah bernikah, adakah nanti bila mereka berdepan satu perselisihan dan merasakan tidak serasi untuk bersama, adakah mereka boleh dengan mudahnya berpisah? Bercerai?

Amira mengerutkan dahi bila Faizal masih merenungnya tanpa sebarang suara. Apa sajalah yang lelaki itu fikirkan. Faizal walaupun mudah mesra, jarang meluahkan apa yang terbuku. Kalau ditanya barulah akan dikatakan. Lelaki itu terlalu banyak berfikir, hingga barangkali menyangka apa yang difikirkannya mampu ditelah orang lain. Amira mula mengerti sikap Faizal itu.

"Kenapa Faizal?" Amira merapatkan pintu dan melangkah menghampiri Faizal. Punggung dilabuhkan di sisi Faizal di atas katil. Ini kali pertama berada di dalam bilik berdua bersama Faizal. Walaupun masih ragu, Amira sedar, dia perlu berani untuk cuba menerima Faizal. Mungkin dia boleh membincangkan apa sebenarnya rancangan Faizal. Apakah Faizal sekadar mahukan perkahwinan ini untuk sementara atau Faizal mahu mencuba untuk hidup bahagia seperti orang lain. Entah mengapa, walau sebelum berkahwin dia merasakan perceraian bukanlah satu yang mustahil, setelah selamat diijabkabulkan, Amira sentiasa dilanda bimbang. Jika benar dia akan benar-benar bercerai. Oleh sebab itu dia sukar menerima Faizal. Bimbang terluka. Takut pada perpisahan.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.