Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 10

"Amira, terima kasih," Amira yang sedang mendongak ke langit memandang ke sisi. Faizal yang berdiri di sisi pangkin di hadapan rumah orang tua Faizal tersenyum merenung wajah tenang Amira. Amira kembali mendongak ke langit. Langit di desa memang berbeza dengan di kota. Bintang yang kelihatan, luar biasa bilangannya. Amira sukakan bintang. Sejak kecil lagi. Ya, perkahwinan ini sebenarnya banyak menghasilkan bahagia sebenarnya. Ibu bapa Faizal, keluarganya semua gembira dengan perkahwinan. Semuanya tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan mereka.

Sekarang ini juga dia bahagia menatap langit yang indah dihiasi kelipan bintang yang tidak mungkin dia peroleh jika di Kuala Lumpur. Setakat ini, semuanya membahagiakan walau perkahwinan tiba-tiba menimbulkan isu yang kelam-kabut dan menyesakkan fikirannya buat seketika. Bila diselesaikan satu persatu kekusutan, segalanya boleh diselesaikan. Terkenang wajah gembira ibu dan ayah Faizal yang menyambut mesra mereka bila tiba. Ayah Faizal juga beransur sihat. Jika perkahwinan ini benar-benar membahagiakan ramai pihak, mengapa dia memilih untuk berduka dan merunsingkan fikiran dengan pelbagai andaian. Amira mengukir senyuman.

Senyuman Amira ketika mendongakkan kepala menatap langit sangat indah. Senyuman yang Faizal rindukan bebarapa ketika. Adakah Amira sudah boleh menerima perkahwinan ini?

"Cantikkan langit?" Amira masih merenung langit. Faizal mengangguk sambil matanya menatap wajah Amira yang tersenyum berseri.

"Ya, sangat cantik," Faizal membalas perlahan. Amira menoleh ke arah Faizal di sisi. Pandangan Faizal masih melekap di wajahnya. Amira mengerutkan dahi.

"Kenapa?" soal Amira bila Faizal masih tetap merenunngnya. Faizal tersedar dan mengalihkan pandangan.

"Terima kasih sebab terima pinangan ibu, sanggup pulang ke sini dan layan ibu dan ayah saya dengan baik," Faizal meluahkan bicara. Amira tersenyum.

"Lagi?" Amira menjeling Faizal meminta ucapan penghargaan tidak berakhir lagi.

"Terima kasih sebab bersusah payah dalam seminggu uruskan urusan pendaftaran kita," Faizal menyambung perlahan.

"Lagi?" Amira masih tidak mahu mengalah.

"Erm, minta maaf sebab paksa awak kahwin dengan saya," suara Faizal makin perlahan.

"Itu je? Lagi?" Amira memandang Faizal di sisi dengan ekor mata. Faizal mula resah, apa lagi yang perlu diucapkannya.

"Erm, sebagai balasan, saya akan tunaikan semua permintaan awak," Faizal menambah, kali ini bicaranya yakin.

"Hmm, kalau macam tu, saya nak.... " Amira memandang ke hadapan sambil menutur bicara sebelum terputus tiba-tiba membuatkan Faizal berasa tidak sabar untuk mengetahui. Bimbang pula Amira meminta yang bukan-bukan. Walaupun dia sendiri tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan yang bukan-bukan. Amira menjeling Faizal sekilas. Barangkali dia akan mempermainkan Faizal sedikit.

"Saya nak anak," Amira bersuara tenang. Faizal terpempan seketika. Adakah dia silap dengar? Amira menoleh menatap wajah terkejut Faizal. Mata Faizal terkebil-kebil memandang Amira seakan tidak percaya. Sejenak itu, meletus tawa Amira.

Ketawa Amira yang paling dirinduinya. Apakah maksudnya? Amira mempermainkannya! Faizal merenung wajah Amira yang tertawa gembira. Perlahan dia menyentuh jemari Amira sebelum menggenggam telapak tangan Amira. Tawa Amira terhenti. Cuba menarik tangannya dari genggaman Faizal.

"Jom!" Faizal mula berdiri sambil menarik tangan Amira.

"Ha? Nak pergi mana?" Amira masih duduk sambil mencuba tangannya.

"Pergi buat anakla," Faizal bersuara serius. Raut wajahnya juga serius. Genggaman tangan Amira dikuatkan. Amira mengerutkan dahi.

"Saya main-main jelah, lepaslah," Amira mula memukul lengan Faizal meminta tangannya dilepaskan. Raut wajah Amira yang ketakutan itu mencuit hati Faizal. Akhirnya tawa Faizal meletus juga. Jemari Amira dilepaskan dan Faizal duduk kembali di atas pangkin di sisi Amira. Sambil meneruskan ketawa yang tersisa. Amira mencebikkan bibir sambil mengurut tanggannya yang mulai kemerahan akibat digenggam kuat oleh Faizal.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.