Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 35

Malam itu, Amira menyeludupkan diri ke bilik tetamu. Dia memang sudah merancang sejak awal pagi selepas terjaga dalam pelukan Faizal untuk tidak lagi tidur sebilik dengan lelaki itu. Sudahlah Faizal langsung tidak mengungkapkan apa-apa tentang apa yang telah berlaku. Amira sendiri tidak pasti apa yang perlu diucapkan jika isu itu berbangkit. Yang pasti, dia tidak mahu perkara itu berulang. Ya, sehingga mereka benar-benar pasti ke mana arah hubungan itu. Atau setelah mereka berbincang sebaiknya. Perkara tak sengaja ini sebaiknya akan Amira cuba elakkan.

Kepada Faiza, Amira terangkan panjang lebar. Dia memang jarang berahsia daripada Faiza. Segalanya dia kongsikan. Dia juga memohon agar Faiza diamkan perkara itu dari pengetahuan kedua orang tuanya. Walaupun Puan Fatimah dan Encik Amir tahu dengan situasi hubungan Amira dan Faizal, Amira sebolehnya tidak mahu mendengar leteran dari mereka, terutama dari ibunya, Puan Fatimah.

Faiza pada mulanya terkejut dan kurang bersetuju. Tapi bila dipujuk dan dijelaskan Amira, Faiza akhirnya tidak membantah. Tapi dia tidak habis-habis bertanya tentang perancangan Amira, pandangannya terhadap Faizal dan cinta Amira. Faiza tertanya-tanya jika Amira langsung tidak mencintai Faizal. Amira hanya mampu berdiam. Pertanyaan demi pertanyaan dari Faiza tidak mampu diberikan jawapan. Segalanya masih dalam ketidakpastian. Dia perlukan masa. Faizal juga perlukan masa. Tidak pasti berapa lama.

Faizal bungkam saat Amira memaklumkan dia akan tidur dengan Faiza di bilik tetamu. Dia tidak sangka itu penyelesaian Amira. Faizal terpaksa mengaku dalam hati betapa dia kecewa. Esok pagi dia akan bertolak ke lapangan terbang untuk ke Kuala Terengganu. Niatnya, malam ini dapat menatap wajah Amira sepuasnya. Mahu rasanya menahan Amira. Tapi apa pula kata Amira. Faizal hanya diam saat Amira membuka pintu perlahan-lahan dan menutupnya kembali.

Bilik Amira terasa begitu sepi. Walau dia sudah tidak begitu banyak bercakap dengan Amira, pemergian Amira memberi kesan yang sangat berbeza. Faizal merasakan dia ditinggalkan terpencil sendiri. Ikutkan hati mahu memanggil Amira kembali. Tapi dia hanya kaku di atas katil.

Faizal mengeluh sendiri. Kalau dia mahu memiliki Amira, ya, benar-benar mahu memiliki gadis itu, dia tidak boleh berbolak-balik seperti ini. Sebagai lelaki dia mesti bertanggungjawab. Tak akan selamanya Amira terseksa menjadi isterinya, dibiarkan tanpa sebarang kepastian. Bukankah dia berjanji tidak akan melukakan hati wanita lagi? Sangkanya dia dan Amira akan dapat bersama tanpa rasa terluka dan terseksa. Tapi benar kata Amira ketika awal perkenalan dahulu, dia lelaki dan Amira perempuan, hakikat yang tidak dapat dinafikan. Hatinya masih seorang lelaki dan jiwa Amira masih seorang wanita.

Usia memang semakin mendewasakan Faizal. Dia bukan lagi bercinta dengan kekasih. Amira adalah isterinya yang sah. Tidak mungkin semudahnya mahu putus dengan Amira. Hubungan dengan Amira bukan soal antara dua insan sahaja. Keluarga Amira, kedua orang tuanya turut terlibat sama. Tambah lagi dia sama sekali tidak mahu berpisah dengan Amira saat ini. Hatinya, terus-terusan mengingati gadis itu. Cuma Faizal ragu-ragu. Sampai bila?

Keserabutan membawa Faizal terlena dalam kesepian yang sering saja menemani keseluruhan hidupnya selama ini. Namun, satu malam bersama Amira, rasanya dia tidak mahu malam yang sendirian lagi.

Previous: Bab 34
Next: Sinopsis

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.