Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 11

"Jadi bila Mira cadang nak pindah ke rumah Faizal?" Puan Fatimah tiba-tiba bertanya. Setelah pulang dari Kedah, sudah seminggu berlalu. Amira sudah mula bekerja seperti biasa dan urusan pendaftaran perkahwinan mereka juga telah selesai. Tinggal kenduri sahaja dalam perancangan. Masih belum ada keputusan kerana Faizal dan Amira masing-masing sibuk dengan tugasan kerja. Cuti kecemasan yang diambil minggu lalu menyebabkan kerja-kerja Amira semakin menimbun. Faizal juga begitu.

Pertanyaan Puan Fatimah agak mengejutkan Amira, Amira memang tidak pernah terfikirkan semua itu. Amira diam. Memikirkan apa yang perlu dijawab. Faizal tidak pernah bertanya soal itu. Jujurnya, Amira lebih selesa tinggal di rumah ibu bapanya. Namun, adakah ibu bapanya akan benarkan?

"Amira dengan Faizal ada bincangkan?" Puan Fatimah bertanya lagi bila Amira masih berdiam. Amira mengalih pandangan kepada ibunya sebentar sebelum kembali membasuh pinggan.

"Kalau Mira tinggal dekat sini je tak boleh ke?" Amira bersuara perlahan. Namun masih jelas kedengaran di telingan Puan Fatimah. Wajahnya berkerut mendengar jawapan Amira. Hatinya terdetik. Seperti ada yang tak kena.

"Tak boleh ke mak? Kalau Mira tinggal sini je?" Amira kini menghadap Puan Fatimah dan meluahkan kata-kata dengan lebih yakin.

"Kenapa? Mira ada masalah ke dengan Faizal?" Puan Fatimah menyoal ingin tahu. Sejak mereka bernikah, belum penah lagi Amira dan Faizal bermalam bersama. Cuma ketika pulang ke Kedah sahaja. Itupun Puan Fatimah maklum mereka tidak tidur sebilik. Kata Amira, selagi urusan pendaftaran nikah dengan pejabat agama tak selesai, kurang sesuai untuk tinggal bersama. Tapi bila selesai, Amira dan Faizal masing-masing berdiam diri dan sibuk dengan urusan masing-masing. Sejak menghantar Amira pulang dari Kedah, ahad lalu. Faizal sudah tidak menunjukkan diri ke rumah itu. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Adakah mereka masih tidak boleh terima perkahwinan yang berlaku secara tiba-tiba ini?

"Sebab, kami baru sangat kenal. Mira tak biasa lagi la. Sementara ni Mira rasa lebih baik Mira tinggal sini dulu. Faizal pun tak ada cakap apa-apa pasal pindah rumah. Dia pun tengah sibuk. Sebab kahwin tiba-tiba, Faizal mungkin tak sempat nak sedia dan fikir pasal rumah ni," Amira cuba memberi penjelasan. Itulah kebenarannya. Tidak ada yang perlu disembunyikan. Memang hakikatnya mereka masih terlalu awal dalam perkenalan dan perkahwinan yang berlaku tiba-tiba ini pasti memerlukan masa untuk mereka fikirkan langkah bagaimana yang perlu diambil selepas ini

Puan Fatimah dia mendengar bicara Amira. Memang ada benarnya. Namun, Amira dan Faizal bukan muda lagi untuk berfikir lama-lama dalam mendirikan keluarga. Alang-alang sudah selesai menikah, mereka perlu fikirkan soal memperoleh anak pula. Faizal sudah berusia 35 tahun, Amira pula lagi 2 tahun menginjak usia 30 tahun. Apa lagi yang nak difikirkan panjang lebar. Kahwin dan hidup berumah-tangga saja seperti orang lain. Namun, Puan Fatimah tidak meluahkannya. Hanya mengangguk dan berlalu. Amira, walaupun nampak lembut, tapi hatinya keras, bukan mudah untuk menukar keputusan yang telah dibuatnya. Barangkali perlu diselesaikan di pihak Faizal. Faizal pun satu, sudah lupakah yang Amira itu isterinya, dibiarkan saja tinggal di rumah ibu bapa tanpa bertanya khabar berita.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.