Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 26

Amira terjaga, matanya memandang ke jendela. Masih gelap. Pantas disambar telefon bimbit di meja sisi. Sudah jam enam pagi. Dan tiada panggilan mahupun mesej dari Faizal. Amira resah lagi. Amira masih pening kerana kurang tidur. Rasanya semalam dia tertidur jam 3 atau 4 pagi. Ah, semuanya kerana Faizal! Ke mana sahaja Pulau Perhentian itu sehingga begitu sukar untuk menelefonnya. Amira tidak pernah tiba ke sana. Namun, Amira yakin masih ada kawasan yang boleh menggunakan telefon bimbit di pulau peranginan yang popular di pantai timur itu.

Amira bangkit perlahan. Dia perlu solat subuh. Berdoa dan menenangkan perasaan. Sewajarnya dia habiskan malam tadi dengan qiammullail dan berdoa agar Allah sentiasa menjaga Faizal. Ini dia resah dan memikirkan yang bukan-bukan tentang Faizal. Amira menggeleng sendiri. Sedar dengan kelalaiannya yang terlalu mengikut perasaan.

Usai solat Amira membaca al-Quran supaya dapat menenangkan perasaan. Dalam hatinya sentiasa berdoa agar Faizal selamat. Serasanya selepas ini dia perlu meletakkan syarat unutk Faizal sentiasa memaklumkan kepadanya jika ada tugasan luar seperti ini. Dia tidak sanggup rasanya untuk menunggu dan resah begini.

Namun, mahukah Faizal memenuhinya? Lelaki itu bukankah rimas dan lemas dikongkong wanita. Amira resah memikirkan. Dia bukanlah mahu masuk campur dalam urusan Faizal, malah selagi Faizal tidak melakukan sesuatu di luar batas syariat, Amira tidak kisah dan boleh menerimanya. Tetapi, hatinya? Kebimbangan dan keresahan ini perlu dirungkai. Amira mengetap bibir. Entah mengapa dia seakan mahu menangis.

Dia tersedu sambil terus membaca al-Quran. Sungguh dia rindu dan bimbangkan keselamatan lelaki itu. Terlalu. Adakah ini maksud Faizal? Beza antara teman biasa dan kekasih. Adakah rasanya yang begitu memberat dalam hati ini kerana dia mula mengasihi lelaki itu? Ya, Faizal adalah suaminya, tidak salah untuk dia mengasihi lelaki itu! Amira menangis lagi.

"Amira?" Bunyi pintu dibuka memalingkan wajah Amira. Amira terpempan. Tangisannya masih belum reda. Malah semakin menjadi-jadi pula.

"Amira? Kenapa ni?" Faizal mendekati. Wajah Amira yang kemerahan dan lencun dengan air mata ditatapnya sayu. Amira menangis kerana diakah?

Amira menggeleng. Cuba meredakan tangisan. Al-Quran ditutup perlahan sebelum meletakkan di rak. Dia berpaling memandang Faizal yang masih kaku berdiri. Faizal kah? Dia tidak bermimpi bukan? Amira merenung lelaki itu ragu-ragu.

"Erm... maaf, saya baru sampai. Saya nak solat subuh dulu, abah suruh naik atas terus. Mula ingat nak ke bilik tetamu. Tapi, saya nak jumpa awak dulu... walau sekejap...," Faizal cuba menjelaskan. Dia masih keliru melihat wajah Amira yang sembab kerana tangisan. Amira yang tangisannya mula reda kembali menangis. Dia juga mahu bertemu Faizal walaupun sekejap.

"Amira..." Faizal mula serba-salah melihat tangisan Amira yang kembali semula. Amira sekali lagi cuba menahan tangisan.

"Awak pergilah solat dulu, itu bilik air," Amira bersuara tersekat-sekat antara sendu tangisannya. Faizal mengangguk sambil teragak-agak memasuki bilik air.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.