Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 1

"Maaf saya terlewat," Amira tergesa-gesa duduk. Dia lewat lagi untuk sesi temuramah bagi ruangan personaliti muda untuk majalah Muslim. Majalah yang memuatkan isu-isu berkaitan profesional Islam di Malaysia. Setelah 3 tahun bertugas sebagai pembantu editor, akhirnya Amira diberi kepercayaan untuk mengendalikan sendiri salah satu ruangan penting di dalam majalah tersebut. Bagi mendapatkan bahan untuk dimuatkan dalam ruangan tersebut, dia perlu menemuramah individu-individu yang berjaya dalam profesyen masing-masing walaupun masih di usia muda. Namun, setelah enam bulan mengendalikan ruangan tersebut, dia berdepan masalah yag sama. Terlewat tiba untuk sesi temuramah.

Zaman tersenyum apabila melihat Amira tergopoh-gapah memasang tripod untuk video kamera bagi merakamkan sesi temuramah tersebut. Walaupun mereka menerbitkan majalah, setiap temuramah yang dijalankan akan dirakamkam kerana hasil rakaman yang telah diedit akan dimuat naik ke laman sesawang syarikat. Penerbitan majalah itu juga sedang mula mengorak langkah untuk meneroka penerbitan berbentuk digital pula tidak lama lagi.

"Cik boleh ambil masa, teman saya sedang jawab panggilan," Zaman bersuara sambil memuncungkan bibir ke arah lelaki yang sedang memegang telefon pintar di telinganya sambil mengadap ke tingkap. Amira tersenyum melihat lelaki itu dan menoleh semula ke arah Zaman sambil tersenyum lega.

"Terima kasih. Saya Amira. Encik Faizal?" Amira mula memperkenalkan diri sambil tangannya ligat membetulkan kedudukan kamera video yang dipasang.

"Saya Zaman. Itu Faizal," sekali lagi pandangan mereka terhala kepada lelaki yang masih dengan perbualan di telefonnya itu. Amira menganngguk dan tersenyum. Terus membetulkan kedudukan kamera agar rakaman yang bakal dihasilkan memuaskan.

"Nampak sangat sibuk, maaf jika sesi temuramah ini mengganggu jadual kerja kalian," Amira menoleh seketika ke lelaki di tingkap itu sebelum memandang semula ke arah Zaman. Zaman tertawa kecil.

"Oh, tidak mengapa, itu bukan soal kerja," Zaman mula berbicara santai sambil bersandar di sofa. Amira cuma tersenyum, kameranya sudah sedia, perakam suara juga sudah terletak di atas meja. Buku dan pena dipangku atas riba.

"Jadi, Cik atau Puan?" Zaman pula berlagak sebagai wartawan dengan memulakan pertanyaan. Amira terdiam sejenak sebelum tersenyum dan menjawab tenang.

"Cik. Encik Zaman pula?" Amira kira mungkin dia boleh mula mengurangkan ketegangan sesi temuramah dengan mula bertukar soal jawab.

"Saya masih Encik. Ada 3 kosong lagi," Zaman ketawa lagi. Amira tersenyum dan mengangguk. Zaman nampak mesra dan senang berbicara.

"Tapi rakan kongsi saya tu, ada 4 kosong," Zaman senyum memandang Faizal yang masih di telefon.

"Oh, Encik Zaman dah ada anak?" Amira mula mahu menghidupkan sesi temuramah.

"Ada sepasang kembar. 5 tahun. Saya kahwin ketika usia 30 tahun, dan fikir sudah sangat lewat. Tapi, Faizal sudah 35 tahun masih tidak mahu berkahwin. Itu, pasti ibunya sedang bertanya perkara yang serupa tentang bila lagi mahu ditunjukkan menantu dan menimang cucu," Zaman memandang terus ke arah Faizal. Masih ralit di telefon. Amira menoleh ke arah Faizal.

'35 tahun. Memang sudah sepatutnya berkahwin. Apakah sebab lelaki ini terus membujang? terlalu sibuk dengan kerjaya mungkin. Tetapi rakan kongsinya ini ada saja masa untuk mendirikan rumah tangga dan mendapatkan anak. Barangkali dia juga seperti aku, tidak percaya pada perkahwinan,' Amira berbicara sendiri.

"Cik Amira, kenapa masih belum berkahwin?" pertanyaan Zaman menghentikan lamunan Amira.

"Saya tidak percaya dengan perkahwinan," Faizal yang sudah berdiri di sisi mereka terpegun dengan kata-kata Amira.

"Oh, nampaknya Encik Faizal sudah selesai menjawab panggilan, kita boleh mulakan sesi temuramah kita," Amira terus menukar bicara bila sedar dia sudah terlepas kata-kata.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.