Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 36

Setiap malam Faizal menghubungi dari Pulau Perhentian. Janjinya mahu memaklumkan pada Amira tentang apa yang dilakukannya.Tapi bagi Amira, aneh sekali menerima panggilan dari Faizal saban malam. Namun, hatinya tenang dan terselit bahagia tanpa di duga.

Puan Fatimah pula berkali-kali membangkitkan soal anak. Amira hanya diam. Bukan dia tidak memikirkannya, dia selalu memikirkan. Dia tahu, dia perlu berbincang dengan Faizal. Amira mahukan anak. Memang itu satu kenyataan tanpa keraguan. Tapi, apakah yang difikirkan Faizal? Adakah sama seperti yang ada dalam hati Amira? Bila memikirkan itu semua, Amira hanya mampu mengeluh sendiri.

Bila Faizal menelefon, Faizal yang lebih banyak bicara bercerita tentang apa yang dilakukan sepanjang hari. Kadang-kala Amira turut berkongsi, cuma apa sebenarnya yang bermain dalam fikiran tidak mampu diungkapkan. Seringkali setelah tamat berbual Amira menghela nafas panjang. Sampai bila dia mahu menahan hati dengan Faizal. Teragak-agak untuk meluahkan apa yang tersimpan dalam dada.

Hujung minggu bila Faizal pulang ke Kuala Lumpur, mereka sibuk berbincang soal majlis perkahwinan yang bakal berlangsung. Tempahan katering, khemah, goodie bags, pakaian, pelamin dan lain-lain perkara. Paling penting kad undangan. Nasib baru melangsungkan majlis kenduri adiknya, senarai tetamu di sebelah keluarganya sudah tersedia cuma ditambah teman-temannya sahaja. Manakala majlis di sebelah pihak Faizal lebih rumit. Itu kenduri pertama yang akan diadakan, untung saja tarikhnya lebih lewat.

Puan Jamilah, ibu Faizal turut menghubungi Amira, bertanya tentang persiapan majlis perkahwinan dan bila mahu pulang ke Kedah. Amira sebenarnya tidak ada masalah untuk pulang ke Kedah. Namun, Faizal nampaknya terlalu sibuk untuk meluangkan masa. Malah hujung minggu itu Faizal hanya dapat bermalam satu malam sahaja di rumah Amira apabila tiba subuh sabtu dan perlu bertolak kembali ke Terengganu ahad paginya. Katanya, Ahad hari bekerja di Terengganu dan petang itu dia terpaksa menghadiri mesyuarat di sana.

Amira diam saja. Faiza menemaninya ke butik pengantin ahad itu. Memang dia bercadang mahu pergi bersama Faizal, tapi tidak manyangka Faizal hanya sehari di Kuala Lumpur. Hendak mengajak Faizal ke butik pada hari sabtu, rasa tidak wajar bila Faizal kelihatan begitu kepenatan. Lelaki itu terlena sehingga tengah hari.

Lalu Amira putuskan untuk pergi dahulu dengan Faiza, barangkali minggu depan Faizal akan lebih punya masa. Walau Amira masih ragu-ragu bila Faizal memaklumkan projek di Pulau Perhentian itu sedang dalam peringkat yang kritikal dan memerlukan dia untuk berada di sana dalam tempoh beberapa minggu ini. Kata Faizal, jika sudah stabil, dia boleh memantau dari Kuala Lumpur dan turun sekali-sekala sahaja ke sana.

Amira sebolehnya tidak mahu merungut dengan kekangan masa yang dialami Faizal. Tetapi Faiza pula yang mengomel kurang senang terhadap abang iparnya itu. Jauh di sudut hati Faiza bimbang Faizal sebenarnya langsung tidak menghargai dan menerima Amira sebagai isteri. Sudahlah hubungan mereka masih penuh dengan ketidakpastiaan.

Komen-komen Faiza hanya didiamkan Amira. Bukan dia tidak terasa seperti dia pula yang sendirian beria-ia menyiapkan untuk majlis itu dan Faizal seperti buat tidak kisah. Sedangkan hakikatnya Faizal yang sungguh-sungguh memintanya untuk berkahwin dalam keaadaan tergesa-gesa. Tapi, apa yang boleh dia lakukan. Faizal sibuk bekerja, bukan dia buat perkara yang salah. Faizal juga meluangkan masa untuk menghubunginya. Bagi Amira itu sudah petanda baik dalam hubungan mereka.

"Apa kata kita pilih baju yang paling mahal? Biar Abang Faizal kena bayar," Faiza mengucapkan tidak puas hati saat mereka berkunjung ke butik.

Amira hanya tersenyum mendengar kata-kata Faiza. Dia ralit melihat pakaian-pakaian pengantin yang pelbagai warna dan rekaan yang dipamerkan di butik tersebut. Ini kali pertama ke butik pengantin. Ketika Faiza kahwin dahulu, dia tidak sempat menemani Faiza kerana sibuk dengan kuliah dan tugasan akademik. Faiza juga lebih senang bersama dua sahabat baiknya, Zarita dan Sabrina. Amira teringat dua gadis itu yang turut menamatkan zaman bujang mereka tidak lama selepas Faiza berkahwin.

"Macam mana Ija boleh begitu mudah jatuh cinta?" soalan itu terpacul dari bibir Amira. Pandangannya masih jatuh pada kebaya satin hijau dengan butiran manik dan organza yang menghiasi. Faiza merenung dalam kakanya. Amira dan dialog jatuh cinta? Ini sesuatu yang luar biasa! Faiza cuba menahan senyum.

"Maksud Kak Mira?" Faiza sengaja menduga. Sejauh mana topik ini akan dibicarakan Amira. Amira berpaling sambil tersenyum. Dia tahu apa yang difikirkan Faiza. Jatuh cinta memang tidak pernah muncul dalam diari hidup Amira. Dan Faiza adalah insan yang paling memahaminya.

Kadang-kala bila mendengar kisah cinta Faiza ketika di bangku sekolah, Amira sering dilanda keanehan. Percintaan nampak begitu mudah di mata Faiza dan adiknya itu mengambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki yang dicintai ketika masih di bangku sekolah. Untungnya, Faiza bahagia dengan keputusan itu hingga ke hari ini. Tapi benarkah Faiza benar-benar bahagia?

"Cinta adalah fitrah wahai kakak kesayanganku. Tak ada yang aneh dan pelik di sini. Bukankah Tuhan ciptakan manusia itu berpasangan? Persoalan semudah itu. Apa yang sukar sangat untuk pensyarah seperti Kak Mira untuk faham," Faiza seakan memberi kuliah singkat tentang cinta yang menghasilkan senyuman di bibir Amira. Cinta. Persoalan universal yang meliputi sempadan ruang dan masa. Tapi ia masih aneh dalam hidup Amira.

"Entahlah, akak rasa pelik. Untuk terima seseorang yang asing menjadi sebahagian dalam hidup kita," Amira membalas mudah. Faiza tersenyum.

"Ija boleh tolong," Faiza merenung Amira dalam. Amira membalas pandangan Faiza tidak mengerti.

"Tolong?" Amira meminta penjelasan. Faiza tersenyum penuh misteri.

"Tolong akak untuk bercinta," Faiza mengenyitkan matanya sambil senyuman. Amira mengerutkan wajah untuk memahami maksud Faiza.

Previous: Sinopsis
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.