Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 15

Encik Amir mengangguk mendengarkan penjelasan Faizal dan Amira. Bersungguh benar pasangan muda itu meyakinkannya. Puan Fatimah mengerutkan wajah. Ada benarnya alasan mereka, namun, dia masih mahu Amira dan Faizal tinggal bersama. Dia mahu Amira bahagia dan kalau boleh secepat mungkin menimang cahaya mata. Dia tahu betapa Amira sukakan kanak-kanak. Dia juga bimbang jika mereka bertangguh lagi dan usia Amira yang bertambah, dia bimbang jika Amira menghadapi komplikasi pula bila mengandung agak lewat. Entah mengapa dia berfikir begitu. Barangkali mengenangkan yang dia juga agak lewat mengandung walaupun berkahwin pada usia yang muda. Setelah lima tahun berumah tangga, barulah Puan Fatimah hamil anak pertama. Dia bimbang jika Amira juga begitu. Malah, adik perempuan Amira yang telah pun berkahwin ketika berusia 20 tahun, turut hamil setelah 5 tahun berkahwin. Cucunya yang kedua yang baru berusia setahun lebih. Abang sulung Amira yang berkahwin setelah adik perempuan Amira 3 tahun lalu pula, tak sampai setahun, menantunya sudah mengandung. Puan Fatimah bimbang jika benar perlu menunggu 5 tahun selepas berkahwin barulah anaknya itu mendapat anak, Amira sudah berusia lebih 30 tahun. Jika dilewat-lewatkan lagi, entah bila pula Amira akan mengandung.

"Mak bukan apa, kamu berdua bukannya muda lagi, Faizal pun dah 30 lebih usia, bila lagi kamu nak dapat anak kalau asyik mengelak macam ni. Memangla kamu berdua masih baru nak kenal, tapi soal nak anak ni bukan boleh tunggu, usia dah makin lanjut. Amira pun bukan muda lagi," Puan Fatimah meluahkan juga. Wajah Amira memerah mendengar soal anak dibangkitkan. Faizal turut tergamam. Anak? Memang ibu bapanya turut inginkan perkara yang sama, namun, sehingga ke saat ini dia masih tidak terfikir kke arah itu. Dia masih tidak yakin menggalas tugas sebagai bapa. Malah, sebagai suami pun dia ragu, apatahlagi sebagai bapa. Encik Amir berdehem tiba-tiba. Sedar luahan hati isterinya menimbulkan rasa kurang senang di hati Amira dan Faizal. Dia sedar pasangan itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain. Dia juga tidak mahu terlalu memaksa, Amira walaupun nampak lembut, hatinya keras. Bimbang jika keterlaluan memaksa, Amira akan buat keputusan sendiri tanpa mahu berbincang lagi dengan mereka.

"Erm, mungkin buat sementara ni Faizal boleh bermalam di sini sekali-sekala," Encik Amir tiba-tiba mencadangkan. Amira membeliakkan mata. Dia menggeleng tidak setuju. Faizal hanya terdiam. Tidak pasti reaksi yang bagaimana perlu diberikan.

"Hujung minggu depan Faizal bermalam la di sini, boleh bincang sekali tentang persediaan kenduri nanti," Encik Amir memutuskan bila melihat Faizal dan Amira seperti hilang kata-kata. Encik Amir bangkit menuju ke bilik bacaannya. Tidak mahu berbincang lebih panjang. Rasanya keputusan itu memuaskan hati Puan Fatimah dan sesuai dengan keadaan Amira dan Faizal.

"Mak setuju, kalau Faizal tinggal terus dekat sini pun tak apa. Boleh Amira jaga makan pakai semua. Dah kahwin ni, ada tanggungjawab masing-masing. Bukan boleh hidup macam orang bujang," Puan Fatimah sudah tersenyum senang. Faizal membalas dengan senyuman terpaksa. Amira masih memasamkan muka.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.