Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 24

Faizal memeriksa telefon bimbitnya setelah tiba di bilik hotel. Memang sepanjang di tapak pembinaan, dia tidak dapat dihubungi akibat rangkaian perhubungan telefon yang masih tidak ada di kawasan tersebut.

Melihatkan nama Amira yang menghubungi sebanyak 15 kali membuatkan Faizal mengerutkan wajah. Faizal memeriksa kalendar di telefon bimbitnya. Jumaat! Bagaimana dia boleh terlupa janji dengan Amira. Malah dia langsung terlupa untuk memberitahu Amira tentang pemergiannnya ke Pulau Perhentian tersebut. Dia memang tidak pernah memaklumkan segala gerak-gerinya kepada seseorang sebelum ini. Malah, Faizal tahu, sikapnya seperti itu yang membuatkan ramai kekasih hatinya marah dan merajuk dahulu. Amira, apakah perasaan Amira? Melihat panggilan sebanyak 15 kali yang tidak terjawab, Amira pasti marah. Mungkin juga Amira risau? Risau? Faizal senyum sendiri. Entah mengapa hatinya senang bila terkenang jika benar Amira risaukannya.

Faizal menggeleng sendiri. Bukan dia tidak pernah jatuh cinta. Memang indah sahaja pada permulaannya. Namun, dua hati yang berbeza tak akan selamanya setuju dan rela dalam semua perkara. Sampai masa, pasti ada saja yang tidak kena, pasti ada saja yang berbeza. Dan lelaki seperti dia tidak begitu mudah untuk beralah, menerima dan bertolak-ansur. Baginya itu hipokrit. Namun, dia sedar juga, sikapnya itu hanya melukakan hati kekasihnya. Faizal mengeluh.

Setelah mandi dan bersalin pakaian Faizal merebahkan tubuh di atas katil. Dia menjeling jam di dinding. Sudah hampir sebelas malam. Setelah selesai kerja di tapak pembinaan, dia menghabiskan masa pula berbincang dengan pekerja-pekerja dari syarikat kontraktor dan jurutera. Masih banyak yang perlu diputuskan berikutan projek ini masih di peringkat awal. Tambahan lagi, pada awalnya Zaman yang terbabit menguruskannya. Namun, bila mengenangkan sahabatnya itu yang baru menimang cahaya mata, dia setuju juga untuk mengambil alih projek itu. Zaman pula bertukar menyiapkan projek pembinaan di Kuala Lumpur yang diuruskannya.

Hingga dia terlupa, selain Zaman yang memiliki anak baru, dia juga punya isteri yang baru dikahwini. Ya, Zaman juga masih belum tahu soal Amira. Dia masih berkira-kira waktu yang sesuai untuk berterus-terang dengan Zaman. Pasti sahabat baiknya itu terkejut dengan berita tersebut. Amira. Faizal menghela nafas. Sewajarnya dia menghubungi Amira. Sudahlah dia tidak datang ke rumah Amira pada hujung minggu seperti yang dijanjikan. Lagi pula, dia mungkir janji untuk mengambil Amira dari pejabat petang tadi.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Faizal segera bangun mencapai peranti komunikasi tersebut. Nama Zaman tertera. Baru terfikir tentang sahabatnya itu. Faizal tersenyum sambil menekan skrin telefon untuk menerima panggilan.

"Seronok ke duduk pulau?" suara Zaman menerpa agak kuat. Faizal tahu, lelaki itu turut menghubunginya beberapa kali petang tadi.

"Assalammualaikum," Faizal bersuara tenang, dalam hati mahu menyindir Zaman yang tiba-tiba bertanya tanpa salam. Zaman ketawa.

"Waalaikumussalam, aku ada soalan cepu mas nak tanya kau ni," Zaman tidak mahu berbasa-basi lagi. Hatinya sudah tidak sabar mahu melepaskan persoalan yang sejak petang tadi bermain di fikiran. Faizal mengerutkan wajah. Apa sajalah yang mahu ditanyakan Zaman. Memang sahabatnya itu selalu menghubungi lewat malam begini. Selalunya mereka akan berbual soal kerja, tapi selalu juga soal peribadi dibangkitkan.

"Kau dengar tak Zal?" Zaman bertanya lagi bila Faizal hanya membisu.

"Hmm... apa benda kau nak tanya?" Faizal mula menguap. Seakan malas mahu melayan Zaman yang rasanya cuba mahu menyakatnya. Bukan dia tidak kenal Zaman yang suka mengusik.

"Ngantuk ke? Malam masih muda la... Malam ni aku tak tidur jaga baby. Jadi, boleh la aku borak dengan kau," Zaman ketawa lagi. Faizal mencebik. Zaman memang sangat gembira dengan kelahiran anak ketiganya. Perempuan. Masih belum diberi nama. Sedetik ada juga rasa cemburu kepada Zaman. Mereka sebaya, namun Zaman suddah beranak tiga dan dia? Sekurang-kurangnya dia sudah berkahwin. Faizal senyum sendiri. Bayangan Amira kembali memenuhi ruang mata.

"Cuba kau teka siapa call aku petang tadi?" Zaman bertanya. Kali ini suaranya seakan serius. Hilang langsung bunyi ketawanya sebentar lagi. Faizal diam. Manalah dia tahu. Hatinya berbicara sendiri.

"Nak main teka-teka apa pula malam-malam buta ni?" Faizal seakan tidak berminat.

"Kau ni, tak thrill la. Tu pasal perempuan semua lari. Kadang-kadang kau kenala pandai sikit bab-bab megayat ni," Zaman bersuara lagi. Faizal hanya diam. Malas mahu membalas. Memanglah perempuan lari. Tapi, dia sendiri tak minat nak simpan perempuan lama-lama. Tapi, kalau Amira lari macam mana? Faizal menggeleng. Amira lagi! Dia ni memang dah angau ke apa?

"Amira," Zaman bersuara. Faizal terdiam. Zaman sebut Amira?

"Ingat tak Cik Amira yang kecil molek yang interview kita dulu? Dia call aku," Faizal tersentak dengan bicara Zaman. Jantungnya berdegup laju tiba-tiba. Amira telefon Zaman? Faizal menyentuh dadanya. Degupan itu seakan mahu meletupkan dadanya. Dia rasa... cemburu?

"Hei, kau kenapa? Dah ngantuk sangat ke?" suara Zaman sedikit keras.

"Hmm... kenapa dia call?" Faizal bertanya serius. Sedayanya dia tidak mahu Zaman mengesan perubahan dalam hatinya.

"Kau agak kenapa?" pertanyaan Zaman seakan menghilangkan sabar di hati Faizal. Kalau sahabatnya itu di depan mata, mahu melayang penumbuk sebiji. Namun, Zaman hanya ketawa selepas memberikan pertanyaan itu.

"Manalah aku tahu," Faizal menjawab setenang mungkin. Kenapa agaknya Amira menghubungi Zaman? Amira memang ada nombor Zaman. Semasa menetapkan masa temuramah dulu pun Amira lebih banyak berhubung dengan Zaman. Faizal tahu, saat itu, dia merasa cemburu dengan Zaman yang mengenali Amira lebih awal walaupun hubungan itu sebatas tugasan kerja Amira. Tapi, Amira tak pernah lagi hubungi Zaman selepas itu. Jika Amira tiba-tiba menghubungi Zaman...

Faizal menjarakkan telefon dari telinganya. Dia merenung telefon itu. 15 panggilan tidak berjawab dari Amira. Faizal ssenyum sendiri. Amira telefon Zaman. Hanya ada satu sebab saja gadis yang tidak reti berkawan dengan lelaki itu tiba-tiba menghuubungi lelaki tanpa sebab. Ya, kerana ada sebab! Dan sebanya...

"Kenapa? Dia tanya pasal aku ke?" Faizal terus bersuara sebelum sempat Zaman menjawab.

"Hoho... kau memang ada hubungan dengan dia ke?" Zaman masih ketawa. Dalam diam-diam sahabatnya itu memadu kasih rupanya.

"Apa dia tanya kau?" Faizal bertanya tanpa mengendahkan pertanyaan Zaman.

"Dia tanya kau ada dekat mana? Dia call kau tak dapat-dapat" Zaman menjawab. Dia tahu Faizal tidak akan menjawab persoalannya itu yang dia seakan yakin jawapannya.

"Apa kau jawab?" Faizal bertanya. Bibirnya menguntum senyum. Amira mencarinya sampai sanggup menghubungi Zaman.

"Aku jawabla kau dekat kawasan pedalaman, tak ada line," Zaman berterus-terang, pertanyaan Amira tidak lah pelik. Cuma, gadis itu yang menghubungi dan bertanya seperti itu. Terasa pelik juga.

"Jadi, kau dah call dia balik ke? Cara dia tanya macam banyak kali juga la dia call kau tak dapat? Berapa missed call kau dapat dari dia?" Zaman bertanya tenang.

"Lima belas..." Faizal tersedar dia sudah terlepas cakap.

"Lima belas? kenapa banyak sangat? Kau dah buat apa pada dia?" Zaman agak terkejut. Tiba-tiba dia ragu sejenak. Mungkin Faizal bukan bercinta dengan Amira. Macam nak kutip hutang pula dengarnya kalau call berkali-kali seperti itu.

"Tak ada apalah, nanti aku balik KL la cerita. Aku dah ngantukla. Aku tidur dulu," Faizal terus mematikan panggilan membiarkan Zaman terus dihurung pertanyaan.

Faizal meletakkan telefon bimbitnya di meja sisi. Dia merenung syiling biliknya. Amira. Dia tersenyum sendiri. Entah kenapa dia rasa mahu terbang sekarang juga menemui gadis itu.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.