Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 13

Faizal memandu memasuki kawasan sebuah apartmen. Amira mengerutkan dahi. Ingin bertanya, namun, melihat wajah serius Faizal dan sikap Faizal yang hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan membuatkan Amira ragu-ragu untuk bertanya.

"Awak nak ke mana?" Amira bersuara juga bila kereta sudah memasuki ruang tempat letak kereta apartment tersebut. Faizal menoleh sejenak ke arah Amira.

"Hmm?" Faizal masih memikirkan apa yang perlu disediakan di dalam apartmen 4 biliknya. Amira perlu diberi bilik sendiri. Tidak mungkin Amira setuju untuk untuk berkongsi bilik. Kalau Amira setuju sekalipun, dia sendiri tidak boleh menerima. Ruang bilik tidur dirasakan terlalu peribadi untuk dikongsikan. Perlukah untuk berpindah ke rumah yang lebih besar. Barangkali Amira lebih selesa. Apartmennya tidaklah terlalu kecil namun, bila tinggal berdua, mungkin mereka perlu lebih ruangan.

"Awak nak ke mana? Bukan kita nak pergi makan ke?" Amira terus menyoal bila Faizal hanya berdiam. Faizal memarking kereta sambil memandang Amira.

"Bukan kita nak pergi tengok rumah saya?" Faizal menjawab tenang. Amira membeliakkan mata. Bila masa pula? Dia tak dengar pun Faizal bercakap soal itu.

"Mak awak telefon saya tengahhari tadi tanya bila kita nak tinggal bersama. Bukan mak awak dah bagitahu awak ke?" Faizal memandang Amira hairan dengan riak terperanjat Amira. Amira pantas menggeleng.

"Mana ada! Awak pun, bagitahu lah dulu kalau nak buat apa-apa pun," Amira mengerutkan dahi tidak puas hati. Faizal tertawa kecil.

"La... saya ingatkan awak yang mengadu pada mak awak sebab saya tak bawa pindah rumah baru lagi. Awak tak tahu ke? Tak ada cakap dengan mak awak?" Faizal menambah usikan bila melihat wajah masam Amira. Amira menjeling. Teringat perbualan dengan Puan Fatimah semalam.

"Mak ada tanya. Tapi saya kata nak duduk rumah mak ayah dulu," Amira menjawab lambat-lambat. Faizal merenung Amira.

"Kalau mak awak setuju, mesti dia tak hubungi saya dan suruh bawa anak perempuan dia ni keluar dari rumah tu," Faizal bersuara tegas. Dia sedar, biar apa pun, Amira kini isterinya dan menjadi tanggungjawabnya. Kalau dia biarkan Amira terus tinggal di rumah keluarga mentuanya, pasti mentuanya akan beranggapan yang bukan-bukan. Amira menjeling Faizal dan memuncungkan mulut. Masih tidak puas hati.

"Dah la, turun dulu. Awak tengok rumah, esok boleh bawa barang dari rumah awak dan beli barang-barang lain yang perlu. Kalau awak masih tak puas hati, kita beli rumah baru. Atau awak nak saya reka rumah khas untuk awak?" Faizal bersuara memerli. Amira menjeling dan tidak berganjak.

"Memanglah awak kahwin dengan arkitek, tapi janganlah cerewet sangat pasal rumah," Faizal terus berbicara. Amira mengerut dahi, bila masa dia cerewet. Dia cuma mahu tinggal bersama ibu bapanya. Dia tidak mahu tinggal bersama Faizal!

"Cepat!" Faizal sudah membuka pintu di sebelahnya, menunggu Amira untuk melangkah keluar. Amira menghembus nafas berat.

"Awak, tak boleh ke saya tinggal dekat rumah mak ayah saya je?" Amira berdiri di sisi kereta tidak berganjak. Faizal menarik nafas merenung wajah masam Amira.

"Apa yang awak risaukan, kita duduk bilik asing-asing. Saya tak akan ganggu hidup awak, awak boleh hidup macam biasa. Kitaa hidup macam biasa," Faizal meyakinkan. Amira masih membatu. Jujurnya, Faizal sendiri tidak pasti bagaimana keadaannya selepas hidup bersama. Dia tidak pernah berkongsi rumah dengan sesiapa kecuali ibu bapanya. Ketika belajar di Amerika Syarikat juga, dia tinggal di hostel dengan bilik yang tidak berkongsi. Namun, dia sedar, kehidupanya sudah berubah dan mahu tidak mahu dia perlu menerima perubahan ini. Dia perlu belajar menerima Amira. Walau, Amira masih tidak mahu menerima Faizal dalam hidupnya.

"Kita tengok rumah dulu ye? Lepas tengok, baru awak fikir lagi," kali ini nada Faizal seperti memujuk. Faizal berbicara dalam hati, kini dia perlu memujuk dan berlembut dengan Amira. Ya, Amira bukan lagi kawan dan teman biasa. Amira adalah isterinya. Biarpun dia tidak gemar bersikap seperti itu, dia perlu juga memaksa diri. Bukankah dia juga yang memaksa Amira untuk mengahwininya.

"Saya tengok je, tapi saya tak janji untuk setuju pindah," Amira mengalah namun masih tidak menerima keputusan untuk berpindah. Mana mungkin untuk dia tinggal bersama lelaki yang baru dikenali sebulan lebih itu. Biarpun lelaki itu telah sah menjadi suaminya. Faizal tersenyum dan mengangguk.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.