Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 34

Faizal diam di sisi Amira yang turut diam. Faizal sebenarnya tidak suka dengan suasana seperti ini. Berdepan dengan perempuan yang menangis seakan menagih perhatian. Tanpa sedar, keluhan perlahan yang terhembus di bibir Faizal dapat dikesan Amira. Amira berpaling. Faizal sudah rimaskah dengannya?

Faizal segera mengukir senyuman bila dilihat pandangan mata Amira seakan memanah matanya. Amira seakan dapat meneka apa terlintas di hatinya. Dia tidak mahu buang masa memujuk Amira. Apa sajalah yang menyedihkan hati gadis itu? Sukar sangatkah untuk diluahkan? Membiarkannya terus tertanya-tanya sendiri.

"Boleh saya tanya awak sesuatu?" Amira mengatur kata-kata setelah hatinya sedikit tenteram. Faizal sekadar mengangguk dengan senyuman.

"Masa awak minta saya kahwin dengan awak dulu, awak ada sebut, apa pun permintaan saya, awak akan tunaikan bukan?" Amira mengingatkan janji Faizal itu. Dia tidak pasti janji itu disebut hanya sekadar mahu melepaskan diri atau lelaki itu benar-benar bermaksud demikian. Amira sebolehnya tidak mahu mengungkit tentang janji itu yang baginya diucap sekadar angin yang lalu. Malah, bukanlah kerana janji itu, Amira setuju dengan perkahwinan mereka. Namun, Amira perlu mencari umpan yang sesuai untuk menagih sesuatu daripada Faizal. Dia terpaksa menggunakan janji yang diungkap sendiri oleh Faizal.

Faizal diam. Dia ingat janji itu. Dan dia bukanlah lelaki yang akan memungkiri janji. Cuma menatap wajah serius Amira saat itu buat Faizal tertanya-tanya apakah permintaan yang Amira mahukan. Faizal bimbang juga jika Amira meminta yang bukan-bukan. Faizal juga tidak pasti maksud permintaan yang bukan-bukan itu.

"Awak, dengar tak saya cakap ni?" Amira melayangkan tapak tangan di depan Faizal bila melihat lelaki itu seperti termenung jauh sahaja. Faizal yang rimas dilayan seperti itu tidak sengaja menangkap tangan Amira membuatkan mereka saling terkedu. Segera tangan itu dilepaskan.

"Ehem, cakaplah apa yang awak nak," Faizal cuba berlagak selamba. Dalam hati dia kesal sendiri. Semakin lama, semakin banyak yang tidak sengaja dia lakukan. Kalau ketika bercinta dahulu, dia memang sangat hati-hati bila berdepan wanita. Walaupun dia bukanlah golongan alim dan wara', dia juga tahu hukum dan dia bukanlah lelaki yang suka mengambil kesempatan. Walaupun dia selalu merasakan wanita adalah merimaskan, dia seorang yang sangat menghormati wanita. Tetapi dengan Amira lain pula jadinya. Mungkinkah kerana sudah bernikah dan segalanya halal, dia selalu terlupa yang hakikatnya dia masih tidak memberi sebarang jaminan sejauh dan setakat mana perhubungan itu. Dia tidak mahu melukakan Amira. Dia sendiri tidak mahu terluka juga.

Amira menelan air liur. Dia ragu-ragu untuk berbicara. Bagaimana mahu diucapkan. Dia bimbang Faizal akan menganggapnya mahu mengongkong. Lebih parah, Faizal akan menuduhnya jatuh cinta. Amira sendiri tidak pasti apakah yang melanda hatinya. Namun, lelaki itu sedikit demi sedikit mulai mengisi ruang jiwanya. Walau dia masih belum bersedia untuk menerima Faizal seratus peratus. Malah, dia yakin Faizal juga tidak akan menerimanya. Amira mengeluh sendiri. Dia tahu perkahwinan bukanlah perkara mudah, namun, dia tidak menyangka ia begitu membebankan perasaannya.

"Erm.. boleh tak lain kali awak maklum pada saya bila awak nak pergi mana-mana?" Amira bersuara juga. Tidak sanggup memandang wajah Faizal. Faizal mengerutkan wajahnya sejenak sebelum perlahan-lahan mengukirkan senyuman.

"Saya bukan nak kongkong awak atau nak ambil tahu pasal urusan awak. Cuma, kalau mak dengan abah tanya tidaklah saya macam orang yang tak tahu apa-apa," Amira cuba memberi alasan. Pandangan terarah kepada Faizal. Senyuman di bibir Faizal menghentikan bicaranya. Amira diam sejenak menanti jawapan balas dari Faizal. Setujukah Faizal? Adakah Faizal akan menganggapnya cuba menjaga tepi kain lelaki itu?

Faizal menarik nafas panjang. Pandangannya dialih ke arah buku-buku yang tersusun di atas rak di hadapan mereka.

"Ok. Itu saja?" setelah Amira diam beberapa ketika Faizal menjawab. Itu sajakah? Mungkin adalagi cuma tidak terluah oleh Amira. Kalau setakat memaklumkan Amira tentang pemergiannya bukanlah perkara sukar. Dia juga sering memaklumkan ibunya jika dia ada tugasan luar kawasan. Walaupun jarang pulang ke kampung, Faizal selalu berhubung dengan kedua orang tuanya. Walaupun dia tidak begitu gemar untuk menambah lagi tempat laporan yang perlu diberikan, namun, permintaan Amira sebenarnya wajar. Memang sudah sepatutnya Amira sebagai isteri tahu di mana suaminya. Amira kini bukan sekadar teman, sahabat dan kekasih. Dia adalah isteri yang juga keluarganya. Walau dia sendiri sukar memahami sejauh mana perhubungan antara mereka dapat berjalan.

Amira diam dengan jawapan Faizal. Semudah itukah Faizal setuju? Amira cuma mengangguk. Ya, setakat ini, itu sahaja permintaannya. Dia cuma tidak mahu lagi resah menanti Faizal. Faizal tersenyum. Adakah perkara ini yang mengganggu perasaan gadis ini sejak dia pulang dari Terengganu subuh semalam? Faizal merenung wajah Amira yang nampak lebih tenang. Tiba-tiba kerinduan menyapa perasaan. Esok dia perlu ke Pulau Perhentian lagi. Kalau pun tidak ke Pulau Perhentian, dia perlu pulang ke rumah. Perlu tunggu seminggu lagi untuk bertemu Amira pada Jumaat minggu hadapan.

Faizal tersenyum dalam hati dan membiarkan kesunyian membelenggu antara mereka. Dia tidak pasti bagaimana mahu lakukan dengan Amira. Mahu mengajak berpindah ke rumahnya, Amira pasti tidak akan setuju. Dia sendiri tidak pasti untuk tinggal bersama seseorang yang asing. Namun, tidaklah teruk sangat tinggal bersama Amira. Malah semalam dia boleh tertidur di atas lantai sambil memeluk Amira. Dia tersenyum sambil menjeling Amira yang masih membisu. Bagaimana pula malam ini? Faizal tertanya-tanya sendiri.

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.