Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 37

Seharian di tapak pembinaan dan mesyuarat yang bersambung-sambung dengan pelbagai keputusan yang masih tergantung membuatkan Faizal sedikit tertekan. Walau sudah beberapa tahun lamanya bergelumang dalam bidang itu dan sungguh dia sangat mencintai kerjayanya, dia tidak dapat mengelak untuk merasakan yang dia perlukan rehat dan mahukan kerjanya segera selesai. Tapi, Faizal tahu selepas projek ini, dia akan segera berpindah dan sibuk dengan projek lain pula. Dan dia kadang-kala lupa bagaimana untuk berhenti dan berehat.

Namun, bila dipenghujung hari dan membuat panggilan kepada Amira, dia seakan mendapat masa rehat yang paling bermakna. Seakan segala tenaga yang sudah diperah seharian diisi semula perlahan-lahan dengan suara lembut dan tawa riang Amira di hujung talian. Faizal tahu dia benar-benar sudah jatuh cinta dengan gadis itu. Dia tidak tahu selama mana dia akan bertahan. Dalam hati dia berfikir untuk segera berhenti agar ini semua tidak terlajak lebih jauh. Namun, separuh hatinya meminta dia berdepan dengan perasaan itu sebagai seorang lelaki. Tidak ada salahnya untuk jatuh cinta apatah lagi wanita itu adalah isterinya.

Oleh sebab itu, Faizal terus menerus berdepan dilema. Tamat saja panggilan bersama Amira, fikirannya melayang jauh memikirkan segala macam kemungkinan. Kadang-kala wajah tangisan Amira menghantui mimpinya. Dia resah. Bagaimana jika Amira terluka kerananya. Amira menangis dan menangis kerananya. Gadis itu tidak pernah merasa sebuah percintaan. Jika percintaan kali pertama dengan lelaki yang telah pun menjadi suaminya dan melukainya terus-menerus. Faizal buntu.

Jadual Faizal terlalu padat sebenarnya. Dia tidak fikir dia akan dapat pulang ke Kuala Lumpur minggu seterusnya. Jadi hujung minggu ini dia pulang juga walaupun hanya satu malam. Dia tidak mahu memberitahu Amira. Dia tidak pasti mengapa. Dia tidak mahu Amira kecewa. Walau Amira akan kecewa juga bila dia terpaksa balik keesokan harinya. Dia juga tidak pasti adakah Amira akan benar-benar kecewa. Dia mahu melihat sendiri kekecewaan yang terpamer di wajah Amira bila dia ucapkan tentang itu. Tapi Faizal sekali lagi buntu. Amira hanya membisu. Gadis itu juga sempat tersenyum dan berkata,

'Kalau awak sangat sibuk, awak tak perlulah balik setiap hujung minggu. Saya akan bagitahu mak dan abah. Jangan risau ok?' kata-kata itu, bicara Amira yang tenang itu mengecewakannya. Faizal tidak mahu melukakan Amira tapi dalam masa yang sama dia berharap ada secebis hati Amira untuknya.

Faizal pulang ke Pulau Perhentian dengan jiwa yang bergolak seribu satu perasaan. Dan kerunsingan itu cuba diketepikan kerana perhatian perlu diberikan kepada urusan kerjanya. Dalam hati Faizal mengutuk diri sendiri betapa mudahnya untuk dia jatuh cinta dengan Amira. Walaupun dia sedar mencintai seorang wanita bukanlah perkara mudah. Faizal memang menyebut wanita satu makhluk yang merimaskan dan melemaskannya. Tapi, Faizal jarang menyebut bahawa jatuh cinta dengan wanita hakikatnya lebih melemaskan dan merimaskan seluruh jiwa raganya.

Panggilan dari Puan Jamilah lebih menambah tekanan. Selain urusan jiwa dan perasaan, urusan persiapan majlis perkahwinan turut membebani fikiran. Walaupun Puan Jamilah akan menguruskan keseluruhan persiapan di pihaknya dengan bantuan saudara-maranya di kampung, namun dia tidaklah mahu dilihat lepas tangan sahaja. Lebih-lebih lagi dalam persiapan majlis di sebelah Amira.

Faizal mengeluh buat kesekian kalinya. Berada di Pulau Perhentian dengan segala keserabutan yang membebani fikiran, lautan yang luas terbentang masih tidak dapat memberi ketenangan kepada jiwa Faizal.

'Alangkah baik jika Amira juga ada di sini,' Faizal terdiam dalam fikiran. Amira juga yang difikirkan. Faizal menggeleng sendiri. Kegilaan apakah yang melanda dirinya saat ini?

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.