Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 28

"Sudah bangun Faizal?" Encik Amir menegur bila Faizal meninjau-ninjau ruang bawah.

"A.. abah, sudah. Maaflah, saya tertidur lepas subuh," Faizal hanya tersengih kepada Encik Amir. Encik Amir hanya tersenyum dan menarik Faizal duduk di kerusi di halaman luar rumah.

"Tak apa, Amira beritahu Faizal ke Pulau Perhentian. Kita sarapan dulu," Encik Amir menunjukkan juadah yang terhidang. Faizal cuma mengangguk sambil tersenyum. Dia maih tidak tahu topik perbualan yang sesuai untuk diajukan bila bersama Encik Amir. Jika bersama Puan Fatimah, wanita itu lebih banyak bicara hingga dia sendiri hanya mampu mendengar tanpa menyampuk sebarang kata-kata. Namun, bila berdepan dengan ayah mentuanya yang agak kurang bicara, dia buntu seketika.

"Amira masih belum beritahu kamu yang abah kontraktor binaan?" pertanyaan Encik Amir memecah kesunyiaan yang melanda antara mereka beberapa ketika. Faizal berhenti menyuap. Wajah Encik Amir ditatap sejenak sebelum menggeleng perlahan. Amira memang tidak bercerita. Puan Fatimah seorang guru juga hanya diketahui bila ibu mentuanya sendiri bercerita. Bila difikirkan balik, Amira tidak banyak bercerita soal keluarganya. Sejujurnya, perkenalan antara mereka yang terlalu singkat tidak memberi mereka ruang untuk mengenali lebih mendalam antara satu sama lain.

"Kebetulan kita berada di bidang yang sama, bolehlah kita bercerita tentang perkara yang sama berkaitan kerja," Encik Amir tersenyum. Faizal turut tersenyum. Lelaki separuh usia itu seakan-akan mengerti apa yang bermain di fikiran Faizal.

"Sebenarnya, abah dulu belajar seni bina juga. Cuma bila beberapa tahun kerja di architect firm, rasa jiwa tak sesuai pula. Selepas itu ada kawan ajak jadi rakan kongsi untuk buat kontraktor, tak sangka pula kena dengan jiwa sehingga sekarang," Encik Amir memulakan cerita yang membuat Faizal teruja. Tidak sangka ayah mentuanya juga seorang arkitek juga. Sama sepertinya. Cuma jalan yang dipilih Encik Amir sedikit berbeza, namun, mereka masih di bidang yang sama.

"Saya tak sangka pula abah arkitek juga. Amira pernah cerita dia memang sukakan seni reka bangunan, malah dia berangan nak minta saya rekakan rumah khusus untuknya satu hari nanti," Faizal teringat perbualan mereka pada janjitemu kali pertama. Bila dia bercerita tentang minatnya pada rekaan bangunan dan memilih kerjaya sebagai arkitek, Amira lebih-lebih teruja. Gadis itu lantas bercerita ciri-ciri rumah idamannya dan bertanya jika Faizal mampu menjadikannya satu kenyataan. Faizal ketika itu hanya ketawa. Amira. Faizal tersenyum sendiri mengiangatkan gadis itu yang tersenyum riang.

"Teringatkan Amira?" Encik Amir bertanya tiba-tiba bila melihat Faizal seakan berkhayal sendiri sambil tersenyum tiba-tiba setelah menyebut tentang Amira. Faizal segera tersedar, sebelum tertunduk sendiri. Bagaimana fikirannya boleh terbang memikirkan Amira di depan ayah mentuanya sendiri.

"Tak apa, abah faham. Abah pun pernah rasa hidup muda. Masa awal-awal kahwin ni memang perasaannya lain macam sedikit," Encik Amir ketawa sambil menepuk-nepuk bahu Faizal. Faizal hanya tersengih.

"Kenapa abah berhenti jadi arkitek?" Faizal cuba mengalih topik perbincangan sebelum dia lebih malu ditangkap asyik teringtkan isteri.

"Abah pun tak pasti, cuma biasalah, kerja arkitek dengan orang, kerjanya teruk, cuti pun tak banyak. Rekaan nak diterima pihak atasan kadang-kala kena buat pembetuan berkali-kali sebelum boleh diterima. Masa tu abah baru kahwin, masa dengan keluarga sangat terhad bila kerja dengan orang, lebih-lebih lagi bidang arkitek ini, kamu fahamlah kan. Jadi bila ada kawan ajak buka perniagaan sendiri, abah cubalah. Kerja kontraktor ni lebih mudah, sebab kita cuma sediakan keperluan ikut apa yang dah disediakan jurutera dan arkitek," Encik Amir menerangkan panjang lebar. Faizal mengangguk. Teringat ketika mula-mula bekerja, memang mencabar. Dalam sebulan, boleh dikira hari yang dia dapat pulang berehat di rumah. Kebanyakan masa habis di studio syarikat dan tapak pembinaan. Tapi, ketika itu dia masih tidak ada tanggungan dan keluarga untuk difikirkan. Keseluruhan masa dan tumpuan hanya kepada kerjaya. Namun, bila sudah ada firma sendiri, dia mulai dapat menyusun masa dengan lebih baik dengan adanya lebih ramai pekerja di bawahnya. Itupun, dia masih begitu sibuk dengan pelbagai projek yang diuruskannya sendiri.

"Erm... Amira ke mana abah?" Faizal bertanya tiba-tiba. Memang dari awal lagi dia mencari Amira. Namun, bila Encik Amir mengajak sarapan dan berbual, dia tahankan hasrat hati. Namun, entah bagaimana, terpacul juga pertanyaan itu di bibirnya.

"Oh, Amira, dia tak beritahu Faizal? Hari ini dia pergi mengajar. Setiap sabtu pagi dia ada kelas di Open University. Part-time lecturer," Encik Amir menjawab. Faizal mengerutkan wajah. Itu memang satu maklumat baru. Dia tidak tahu selain editor majalah, Amira juga pensyarah separuh masa.

"Kebetulan masa kamu berkahwin, tengah cuti. Sekarang dia sudah mula balik mengajar," Encik Amir menyambung lagi. Faizal hanya mengangguk. Pukul berapa pula dia akan pulang? Faizal memandang jam di pergelangan tangan. Berapa lama lagi dia perlu menunggu untuk bertemu Amira? Adakah dia patut mencari Amira di universiti tersebut. Tetapi di mana pula universiti tersebut. Kalau universiti awam, mungkin agak mudah untuk di cari. Tapi, universiti swasta seperti itu. Faizal mengeluh dalam hati.

"Biasa dalam pukul sebelas Amira balikla. Dia kelas 8 hingga 10. Amira memang selalu akan balik rumah terus bila habis kerja. Masa dia keluar dengan kamu dulu saja yang abah rasa pelik sebab tak pernah-pernah dia balik lambat macam tu," sekai lagi Encik Amir seperti dapat meneka hati Faizal. Faizal hanya tersengih bila ayah mentuanya mengungkit lagi kisah lama. Faizal menjeling jam di tangan. Sudah lebih sepuluh. Kelas Amira sudah habis. Tak lama lagi gadis itu akan pulang. Ah, entah mengapa hatinya rasa tidak sabar!

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.