Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 32

Pagi itu Faizal mengikut Encik Amir bersenam di taman. Sejak Faiza tiba bersama Fairuz, Puan Fatimah tidak berengggang dengan cucu kesayangannya itu. Faizal juga sengaja mahu meninggalkan rumah dan mengelak dari bertemu Amira. Tidak sangka dia boleh tidur dengan Amira dalam pelukan di atas lantai yang hanya beralaskan comforter.

Faizal cuba memadamkan ingatan yang berlaku malam tadi. Mujur tidak ada apa-apa yang berlaku. Jika tidak, pasti Amira menuduhnya mengambil kesempatan dari kesedihan yang dihadapi gadis itu. Namun, tangisan Amira masih menjadi tanda-tanya. Sebab dia kah? Atau ada sebab lain? Jika dia bertanya lagi, bimbang Amira menangis lagi. Faizal mengeluh sendiri.

Setelah beberapa lama mengenali Encik Amir, Faizal semakin selesa untuk bersembang pelbagai perkara dengan ayah mentuanya. Topik yang paling digemari pastinya berkaitan pembinaan, bidang di mana kedua-duanya terlibat. Faizal tidak kekok lagi bercerita kepada Encik Amir tentang pandangannya berkaitan perniagaannya dan firma binaannya. Malah, Faizal merasakan banyak ilmu yang dapat ditimba daripada ayah mentuanya yang lebih lama bergelumang dalam bidang tersebut.

Amira juga lega bila Faizal menghilang selepas solat subuh. Bila Puan Fatimah memberitahu Faizal pergi bersenam dengan Encik Amir, Amira hanya diamkan saja. Dia tidak menyangka akan tidur dalam pelukan Faizal. Kali pertama sejak menginjak dewasa berada dalam pelukan seorang lelaki. Masa kecil-kecil dahulu, adalah ayahnya memeluknya, tapi bila sudah masuk sekolah menengah, batas sentuhan dengan ayahnya sekadar bersalaman sahaja. Faiza sahaja yang lebih manja dan sering memeluk Encik Amir.

Amira menghela nafas panjang. Dia tidak tahu bagaimana mahu berbicara dengan Faizal hala tuju hubungan mereka. Dia memang mudah menangis. Tapi, bila sudah semakin dewasa, dia sudah jarang-jarang menangis, tidak sseperti zaman kanak-kanaknya. Walaupun Faiza nampak lebih manja, tapi Amira lebih mudah menangis. Tapi, dia sudah buang tabiat cengengnya itu lama dulu. Tapi, kerana Faizal, tangisannya seperti tidak dapat ditahan.

"Nanti Ija tolong ya untuk persiapan kenduri Kak Mira," bicara Faiza mematikan lamunan Amira. Cadangan tarikh kendurinya akan berlangsung sebulan lagi. Baru sahaja selesai kenduri adik bongsunya, kini, mereka sekeluarga akan sibuk lagi dengan persiapan kendurinya pula. Puan Fatimah mahu buat besar-besaran sebab Amira adalah anaknya yang terakhir mendirikan rumah tangga. Amira dapat rasakan Puan Jamilah juga mempunyai pendapat yang sama kerana Faizal adalah satu-satunya anak mereka. Amira mengeluh perlahan. Dia sebenarnya tidaklah begitu kisah tentang urusan majlis perkahwinannya. Buat yang ringkas saja sudah memadai. Dia tidak pernah terfikir tentang majlis perkahwinan yang mewah dan bertema yang bukan-bukan.

"Kak Mira, dengar tak Ija cakap ni? Kita tempah baju dekat Butik Karmila. Kawan Ija yang baru kahwin tu guna khidmat butik tu, memang cantik pakaian yang disediakan," Faiza cuba meraih perhatian Amira yang seakan tenggelam dalam khayalan.

"Erm.. ok je. Cuma jangan yang mahal sangat, takut terlebih bajet pula," Amira membalas acuh tak acuh. Faiza bukan boleh dikira sangat. Adik perempuannya itu kalau bab membeli-belah pakaian, kasut dan aksesori wanita memang nombor satu, nasiblah suaminya seorang jurutera di syarikat multi-nasional dan bergaji besar. Bolehlah memenuhi kehendak Faiza yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa setelah berkahwin. Faiza yang berkahwin sebaik sahaja tamat pengajian itu memang tidak pernah bekerja, namun, Faiza tidaklah keterlaluan dalam berbelanja, anak perempuan kedua Encik Amir dan Puan Fatimah itu sebenarnya bijak dan berhemah dalam mengatur hidup sehariannya. Malah, dia juga sudah bercadang untuk menyambung pengajian apabila anaknya agak besar untuk mula ditinggalkan di rumah asuhan.

Cuma kehidupan Amira memang berbeza berbanding Faiza. Amira lebih gemar membelanjakan wangnya untuk membeli buku berbanding barangan lain. Puan Fatimah juga sering menegur buku yang dibeli Amira yang terlampau banyak memenuhi ruang bilik tidurnya. Amira yang memang tidak punya teman lelaki, memilih untuk menjadi wanita yang bekerjaya. Sebelum menjawat jawatan tetap dengan Majalah Muslim, Amira telah berkerja sementara di beberapa buah syarikat lain. Kini, selain menjadi editor, Amira turut mengajar separuh masa setelah tamat pengajiaannya di peringkat sarjana yang diambilnya secara separuh masa setahun yang lalu.

Amira masih punya banyak impian selain membina keluarga. Bukan dia tidak teringin, fitrah untuk berkahwin itu memang sentiasa ada. Cuma dia tidaklah terlalu memikirkan soal itu sehingga Faizal muncul dalam hidupnya. Ketika ini Amira sepatutnya sedang sibuk menulis, dia mahu menghasilkan buku pertamanya. Memang impiannya mahu menjadi seorang penulis sejak kecil lagi, namun, dia sendiri tidak mengerti mengapa sehingga hari ini dia masih gagal merealisasikan impiannya itu. Namun, jadual menulisnya jadi tidak menentu dengan masalah yang hadir bersama pernikahan tiba-tibanya itu.

Dia perlu berbincang dengan Faizal hala tuju hubungan mereka. Amira berbicara sendiri. Dia tidak boleh selamanya meneka-neka apa yang ada di dalam hati Faizal serta memendam segala rasa yang membuku di dalam hatinya. Amira mengeluh. Sejak berkahwin, rasanya dia tidak bebas untuk meluah bicara seperti janjitemu yang berlangsung selama mereka belum ada sebarang ikatan. Dia teringat perbualan kali pertama bersama Faizal di pejabatnya. Mereka berbicara tanpa ragu meluah apa yang terlintas di fikiran. Amira tersenyum mengenangkan detik itu. Detik ketika Faizal melamarnya buat kali pertama.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.