Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 23

Amira menjeling jam di dinding. Sudah menunjukkan angka 5. Dia memandang pula telefon bimbit. Masih tidak berbunyi. Faizal sudah berjanji untuk mengambilnya di pejabat petang ini. Adakah lelaki itu sudah terlupa?

Amira merenung telefon bimbitnya, hatinya ragu-ragu untuk menghubungi Faizal. Ikutkan hati, mahu saja dia pulang sendiri, namun mengenangkan janji Faizal, Amira kira dia wajar menanti. Lambat-lambat Amira mencari nombor telefon Faizal di dalam telefon bimbitnya. Hubungi sajalah, bukannya dia buat salah pun.

Wajah Amira mula berkerut masam. Bukan sekali. Berkali-kali Faizal dihubungi. Namun, panggilannya tidak bersambut. Jarum pendek jam sudah melepasi angka 6. Amira mula berbuat andaian. Adakah Faizal sudah melarikan diri? Tapi mahu lari ke mana lelaki itu? Atau sesuatu yang buruk berlaku? Amira resah. Siapakah yang wajar dihubungi?

Akhirnya, Amira ambil keputusan untuk pulang seperti biasa. Mungkin Faizal sudah menanti di rumah. Mungkin lelaki itu memang sudah terlupa akan janjinya. Amira tidak pasti apakah yang sedang melanda hatinya. Marah kerana Faizal mungkir janji? Bimbang kerana Faizal tidak dapat dihubungi? Resah memikirkan jika ada sesuatu buruk yang berlaku? Amira mula berfikir lebih jauh. Jika berlaku apa-apa kepada Faizal, bagaimana dengannya? Adakah dia akan bergelar balu?

Sepanjang di dalam tren, Amira tidak lepas memikirkan tentang Faizal. Memang dia jarang berhubung dengan Faizal, malah sepanjang seminggu berlalu, Faizal pun tidak menghubunginya. Sangkanya, apa yang telah dirancang akan berjalan sepertinya. Benarlah, manusia hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan. Memang ada terdetik marah di hatinya namun, sebahagian besar hatinya bimbangkan Faizal. Tanpa Amira sedari, hatinya menitip doa buat suaminya. Dia lebih rela Faizal terlupa kerana terlalu sibuk bekerja dari sesuatu buruk yang berlaku yang menyebabkan lelaki itu gagal menepati janjinya.

Tiba-tiba Amira teringat sesuatu, Zaman! Rakan kongsi Faizal. Dia tidak pasti lelaki itu tahu atau tidak tentang hubungannya dengan Faizal. Namun, mungkin Zaman boleh memberi jawapan kepada persoalan yang melanda fikirannya saat ini berkenaan Faizal.

Amira terus mencari nombor telefon Zaman. Dia masih ingat menyimpan nombor itu ketika membuat janji temu untuk sesi temuramah dahulu.

"Hello," suara Zaman kedengaran menyambut.

"Hello, Assalammualaikum Encik Zaman. Saya Amira, ingat lagi? Yang menemuramah dahulu. Dari Majalah Pro-Muslim" Amira pantas membalas dan memperkenalkan diri.

"Ye, Cik Amira. Ada apa ye?" Zaman menjawab. Hati lelaki itu tertanya-tanya kenapa gadis itu tiba-tiba menghubunginya.

"Maaf mengganggu, boleh saya tanya tentang Encik Faizal?" Amira bertanya-tanya hati-hati. Hatinya ragu-ragu untuk meneka adakah Zaman sudah tahu tentang dia dan Faizal.

"Faizal? Kenapa ya?" Zaman bertanya lagi. Ingatannya terbang kepada gadis kecil molek yang ditemuinya beberapa bulan yang lalu.

"Boleh saya tahu dia ada dekat mana sekarang?" Amira tidak pasti adakah soalan itu sesuai. Namun, itu saja yang terlintas dalam fikirannya.

"Saya cuba hubungi dia, tapi tak dapat," Amira menambah lagi bila Zaman hanya diam tidak bersuara.

"Encik Zaman...." Amira cuba memastikan Zaman masih di talian bila suasan masih sunyi di sebelah sana.

"Oh, Maaf Cik Amira, sebenarnya isteri saya baru lahirkan anak. Anak ke tiga. Saya ada bagitahu dulukan, saya ada 2 anak kembar," Zaman kembali bersuara dengan kedengan ketawa halus di hujung bicara. Amira tersenyum, anak. Pasti lelaki itu dan pasangannya sangat bahagia. Dan dia? Amira diam. Faizal, suami terpaksanya itu hilang tak dapat dihubungi. Hendak bicara soal anak?

"Hello, Cik Amira?" Zaman pula bersuara memastikannya masih kekal di talian.

"Ya, saya. Boleh saya tahu kalau Encik Zaman tahu dekat mana Encik Faizal sekarang?" Amira mengulang pertanyaannya.

"Erm, Faizal di Pulau Perhentian, dia ke sana dari rabu lepas. Patut saya yang kena pergi, tapi, sebab isteri saya dah nak melahirkan masa tu, jadi dia ganti saya ke sana. Kenapa ya Cik Amira tanya?" Zaman menerangkan. Amira terdiam. Pulau Perhentian? Dan Faizal langsung tidak memberitahunya apa-apa. Amira mengetap bibir. Geram. Pada dirinya yang tidak menghubungi lelaki itu untuk ambil tahu dan pada lelaki itu yang langsung tidak kisah untuk memaklumkan kepaddanya.

"Tak.. saya cuba hubungi dia, tapi tak dapat," Amira bersuara perlahan. Zaman mengerutkan kening. Kenapa Amira berhubung dengan Faizal? Adakah sesuatu berlaku kepada mereka? Ingi ditanya pada Amira, namun hati kecilnya berkata, lebih baik dapatkan penjelasan daripada Faizal.

"Oh, tempat tu agak pedalaman, memang tak ada line. Minggu lepas saya pergi pun saya hadapi masalah yang sama. Isteri saya risau, dah la tengah sarat waktu. Pasal tu kali ni saya minta tolong Faizal yang pergi," Zaman menerangkan lagi. Amira menarik nafas lega. Tak ada line. Bukanlah ada perkara buruk yang berlaku.

"Oh, macam tu. Terima kasih ye Encik Zaman, kalau dapat hubungi Faizal, boleh bagitahu saya telefon. Minta dia hubungi saya balik. Ada hal yang perlu saya sampaikan," Amira menamatkan panggilan bila Zaman mengucapkan salam. Amira lega Zaman tidak bertanya panjang tentang hubungannya dengan Faizal. Lebih lega lagi bila mendapat tahu Faizal tidak apa-apa. Cuma berada di kawasan pedalaman yang tidak dapat dihubungi. Apa yang pasti, Faizal lupa lagi. Ya, lelaki itu, suaminya itu sudah lupa yang dia, isterinya, seorang perempuan sedang menunggu dan menanti janji.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.