Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 16

Kereta Faizal sudah terdampar di halaman. Amira baru pulang dari kerja. Hari ini Jumaat. Faizal akan bermalam di sini buat kali pertama. Awal sungguh sampai! Amira berbicara dalam hati. Separuh hatinya masih tidak berpuas hati.

Terdengar suara gelak ketawa dari dapur. Amira melangkah perlahan. Kelihatan Faizal bergelak ketwa dengan Puan Fatimah yang sedang mengacau kuali. Amira berdehem agak kuat. Seraya memalingkan wajah Faizal dan Puan Fatimah ke arahnya. Amira tersenyum kecil.

"Awalnya awak sampai?" pandangan Amira jatuh kepada Faizal yang tersengih. Masih tersisa keceriaan dari perbualan bersama Puan Fatimah.

"Faizal nak belajar masak, dia kata dah banyak kali dia cuba masak tapi selalu tak menjadi. Mak kata tak payah susah-susah nak beajar. Amira kan ada, sebut je nak apa, semua Amira boleh masakkan," Amira mengerutkan wajah mendengar bicara Puan Fatimah yang masih menghadap kuali. Sebelum beralih pula ke arah Faizal yang tersenyum lebar sambil mengenyitkan mata.

"Mira naik dulu la," Amira malas mahu melayan. Masak? Memang dia mahir sebab Puan Fatimah sudah mengajaknya membantu di dapur sejak kecil lagi. Tapi memasak bukanlah kegemarannya, dia hanya menolong Puan Fatimah sekali-sekala sahaja jika ada tetamu yang datang dan perlu memasak dalam kuantiti yang banyak. Hari-hari biasa hanya Puan Fatimah yang memasak, dia cuma membantu mengemas pinggan dan mangkuk sahaja. Amira sedar, mahu tidak mahu kalau sudah berkahwin, tidak lagi tinggal bersama ibu dan bapanya, perlu juga dia rajin ke dapur, menyiapkan juadah untuk suami dan anak-anak, namun, dia tidak lagi memikirkan itu semua. Dia masih terlalu sibuk menguruskan kerjayanya.

"Mira, tunjuk Faizal bilik sekali. Faizal tak naik lagi, balik kerja terus tengok mak kat dapur," Puan Fatimah memberi arahan. Nadanya lembut tapi Amira tahu arahan yang tidak boleh dibantah. Amira memandang Faizal sambil memberi isyarat mengikutnya.

"Saya naik dululah mak," Faizal meminta izin. Puan Fatimah memandang Faizal sambil tersenyum. Menantunya itu kalau dilihat dari segi mata kasar tak ada cacat celanya, kacak, bergaya malah arkitek dan usahawan yang berjaya. Barangkali kerana terlalu sibuk dengan kerjaya, Faizal tidak sempat mencari jodoh. Barangkali juga memang sudah ditakdirkan Faizal jodoh Amira. Puan Fatimah berdoa semoga anak dan menantunya itu bahagia.

Walaupun dia masih baru mengenali Faizal, dia merasa senang dengan Faizal. Anak muda yang sopan dan menghormati orang tua. Faizal juga tidak banyak bicara, malah patuh juga. Teringat bila dia menghubungi Faizal bertanya soal bila mahu mengambil Amira tinggal bersama. Faizal segera meminta maaf dan berjanji akan menghubungi Amira. Malam itu juga dia datang ke rumah walaupun cuba memberi alasan untuk tidak tinggal bersama, Puan Fatimah merasakan Faizal sentiasa mahu cuba untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami. Cuma Amira masih tidak biasa dan keberatan untuk terlalu cepat menerima. Puan Fatimah juga tahu Amira memang tidak ramai kawan lelaki, jadi, memang Amira perlukan lebih masa untuk mengenali dan menerima Faizal.

Tidak seperti Faiza, adik Amira yang setelah tamat sekolah saja membawa pulang teman lelaki untuk diperkenalkan dengan keluarga dan meminta untuk berkahwin. Namun Encik Amir hanya membenarkan Faiza untuk bertunang, setelah tamat pengajian di peringkat diploma, baru dibenarkan Faiza untuk berkahwin. Ketika Faiza berkahwin, ada juga Puan Fatimah bertanyakan Amira kalau sudah mempunyai calon. Namun, anak gadisnya yang sedang melanjutkan pengajian ketika itu terlalu fokus belajar dan seringkali mengelak pertanyaan tentang perkahwinan. Encik Amir juga tidak begitu menggalakkan Amira untuk berkahwin awal, dia senang bila perhatian Amira lebih tertumpu pada pelajaran. Sebaliknya Puan Fatimah dilanda sedikit bimbang sebab Faiza melangkah bendul.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.