Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 38

Minggu ini Faizal tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur. Kali pertama sejak bernikah, atau kali pertama sejak mereka bersetuju untuk berjanji temu setiap Jumaat malam, dia tidak akan dapat menatap wajah Amira di hujung minggu. Faizal tidak sedar, walaupun perkahwinan ini satu keterpaksaan, dia sebenarnya telah mengisi hujung minggunya dengan agenda berlabel Amira. Walau kadang-kala kesibukan membuatnya terlupa, namun, nama Amira seakan berusaha menerobos hati dan perasaannya pada setiap peluang yang ada.

Hari ini setelah selesai melawat tapak projek di sebelah pagi. Faizal ada masa lapang sehingga majlis pelancaran projek pembinaan hotel itu yang akan diadakan pada sebelah malam. Faizal merenung jam, ada 10 jam lagi sebelum majlis malam ini berlangsung. Kalau dia bergegas mengambil feri, kemudian teksi ke lapangan terbang. Barangkali dia boleh bertemu Amira dalam masa kurang 5 jam dan dengan baki 5 jam kemudiannya, dia bolleh bergegas kembali ke pulau ini.

Faizal tersenyum sendiri. Sejauh itu dia berangan untuk menatap wajah gadis itu. Teringat kali pertama memandang Amira dan mendengar ucapan 'saya tidak percaya dengan perkahwinan' yang terucap dari bibir gadis itu. Sejak itu, rasanya Amira tidak pernah meninggalkan fikirannya. Adakah sebenarnya dia sudahpun jatuh cinta saat itu?

Pertemuan di pejabat Faizal dengan 'lamaran' yang diajukan. Amira, gadis yang mengaku pertama kali berkawan rapat dengan seorang lelaki. Dan lelaki itu adalah dia. Faizal tidak mampu untuk berhenti tersenyum mengenangkan setiap bicara yang mereka bualkan. Tiga janji temu sebelum dia 'memaksa' Amira menerima pinangannya pula.

Faizal tahu betapa dia rindukan gadis itu. Faizal juga tahu sejauh mana dia telah jatuh cinta dengan gadis itu. Namun, Faizal bukan budak remaja yang baru mengenal istilah cinta. Cinta memang indah di awalnya namun tidak selamanya akan kekal indah dan bermakna. Faizal mula mengira tempoh perkenalan mereka. 3 minggu bertemu janji, minggu meminang dan bernikah, minggu ke Kedah, minggu dia membawa Amira ke rumahnya, minggu pertama kali bermalam di rumah Amira, minggu dia pulang tergesa-gesa dari Terengganu, minggu satu malam sahaja di rumah Amira dan minggu ini. Ini sudah masuk minggu ke sepuluh. Sepatutnya dia mengadakan satu sambutan! Faizal ketawa sendiri. Ah, dia sendirian di pulau yang begitu indah! Kalaulah Amira ada sekarang ini!

Sudah hampir 3 bulan. Tidak tahu selama mana dia akan merasakan seperti ini. Merindui Amira. Cinta akan pudar ditelan masa. Jika sungguh itu terjadi, gadis itu pasti kecewa. Amira yang baru pertama kali mengenal cinta akan terluka. Tapi, cintakah Amira kepadanya? Faizal merenung lautan. Soalan yang dia perlukan jawapan. Namun, jika dia menerima jawapan seperti yang dia mahukan, sanggupkah dia untuk bertanggungjawab?

"Abang, berminat nak cuba snorkelling?" suara seorang lelaki mengejutkan Faizal. Dia berpaling. Seorang remaja lelaki berdiri di sisinya sambil menunjukkan poster yang terlekat gambar-gambar indah alam di bawah laut. Ada tulisan besar yang tertulis 'Snorkelling Package' dan di bawahnya dengan tulisan yang lebih kecil, 'Single - RM 300' dan 'Double - RM 500'. Mata Faizal terhenti pada perkataan 'Double', kalaulah Amira ada.

"Abang," suara remaja lelaki itu sekali lagi mengejutkan Faizal. Faizal tersenyum sendiri. Amira muncul di mana-mana. Dia memandang remaja lelaki itu yang mengerutkan kening dengan riak aneh di wajah Faizal.

"Maaf, tak berminat," Faizal mengukir senyuman cuba menolak dengan baik. Berenang di dalam lautan bukanlah kegemarannya. Mungkin jika dengan Amira dia akan mempertimbangkan. Jika Amira mahu. Remaja itu berlalu pergi. Faizal membiarkan bayu laut menghembus lembut dan membiarkan fikirannya terus-menerus memikirkan Amira.

"Hai," sekali lagi Faizal berpaling. Kali ini Faizal hanya mampu terpaku. Bermimpikah dia?

Previous: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.