Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 29

Faizal turun untuk makan tengah hari. Puan Fatimah, selepas sarapan sibuk bertanya tentang makanan kegemarannya. Mahu masak juadah istimewa katanya, tapi tidak pasti apa yang sesuai dengan selera Faizal.

Di meja makan, Encik Amir sudah menunggu. Puan Fatimah menatang jug air limau berais yang nampak begitu menyegarkan. Hidangan di meja makan kelihatan begitu menyelerakan. Namun, selera Faizal sudah terbang entah ke mana. Kalau ikutkan hati dia tidak mahu menjamu selera tengah hari itu. Amira masih tidak muncul. Jam sudah pukul satu tenghah hari.

"Duduklah Faizal, Amira dah tengah jalan tadi. Dia pulang lewat sedikit. Awal semester, ada mesyuarat penyelarasan katanya," Encik Amir menerangkan bila wajah Faizal seakan tidak bermaya. Puan Fatimah tersenyum. Entah mengapa dia senang bila Faizal kelihatan begitu resah dengan ketiadaan Amira. Mungkin harapannya untuk Amira dan Faizal segera hidup sebagai suami isteri seperti pasangan yang baru berkahwin lain akan segera tercapai.

Bicara Encik Amir tidak dapat memadamkan rasa yang menggebu dalam hati Faizal. Namun, dia ukirkan juga senyuman dan mengambil tempat di kiri ayah mentuanya. Sepanjang pagi dia berkira-kira mahu menghubungi Amira. Tetapi dia tahankan hati. Hakikatnya, dia tidak pasti apa yang wajar diucapkan bila berdepan Amira. Namun, dia masih mahu menemui gadis itu. Menatap wajahnya saja sudah cukup. Wajah tangis Amira subuh tadi terbayang-bayang dalam ingatan. Apakah yang begitu menyedihkan gadis itu?

"Assalammualaikum," serentak semua berpaling. Faiza tersengih mengendong si kecil Fairuz menuju ke meja makan. Faizal yang seakan baru merasakan mentari mula menyinar, disapa mendung kembali bila adik Amira, Faiza yang tiba. Amira masih tidak kelihatan.

Puan Fatimah menyambut Fairuz dengan senyuman lebar. Memang dia rindu dengan cucunya itu. Bila Faiza mengkhabarkan suaminya, Azlan akan ada tugasan luar selama beberapa hari dan akan bermalam di rumahnya, Puan Fatimah saangat gembira. Faizal ada. Faiza dan Fairuz juga ada. Meriahlah rumahnya hujung minggu itu. Maka pelbagai juadah disediakan tengah hari ini.

"Kak Mira tak sampai lagi? Tadi dia bagitahu Ija dah dekat dah," Faiza bertanya bila kelibat Amira masih tidak kelihatan.

"Mak suruh dia singgah pasaraya kejap. Beli barang sedikit. Mak nak buat kuih, tak cukup bahan pula. Makanlah dulu. Faizal, makan dulu," Puan Fatimah seakan menggesa. Encik Amir sudahpun menyenduk lauk-pauk. Faizal masih teragak-agak menerima pinggan yang telah diisi nasi oleh Faiza. Amira. Kenapa lewat sangat untuk sampai?

"Tolong Mira angkat barang lagi dari kereta," Amira tiba-tiba muncul dengan menjinjit beberapa bungkusan di tangan. Ini bukan sedikit. Faizal teringat kata-kata Puan Fatimah. Agak terpegun dengan kehadiran Amira yang segera berlalu ke dapur meletakkan barang-barang.

"Biar saya ambilkan barang tu," Faizal menawarkan diri bila Amira muncul semula dari dapur. Hati Faizal sedah berbunga riang menatap wajah Amira.

"Tak payah, angkat barang kemudian. Amira, makan dulu. Faizal ni, selagi kamu tak ada. Tak berusik nasinya," Puan Fatimah segera menyampuk. Faizal yang baru mahu bangun tidak jadi berdiri. Faiza hanya tersengih sambil mengangkat kening sambil memandang ke arah kakaknya. Amira turut kelu dengan bicara ibunya. Dipandang pinggan Faizal yang masih tidak terusik sedang yang lain sudah mula menjamu selera. Malah, Puan Fatimah ralit menyuap Fairuz makan. Amira segera menyenduk nasi ke pingganya dan mengambil tempat di sisi Faizal.

"Awak nak lauk apa?" Amira bertanya bila Faizal masih berdiam dan memerhatikannya.

"Erm, nak ikan tu," Faizal teragak-agak menjawab. Amira berlagak selamba menyendukkan lauk untuk Faizal walau dia sedar ada enam pasang mata yang sedang memerhatikan mereka berdua saat ini.

Walaupun agak canggung, mereka sekeluarga makan dengan begitu berselera. Suasana tambah ceria dengan keletah si manja Fairuz. Amira dan Faiza juga tidak berhenti bertukar cerita tentang pelbagai perkara. Sambil disampuk oleh kedua orang tua mereka. Faizal hanya mendengar. Kadang-kala tersenyum dengan suasana yang agak asing baginya. Ya, dia anak tunggal yang jarang-jarang berada di tengah kemeriahan keluarga yang ramai anggotanya. Keceriaan inikah yang diinginkan ke dua orang tuanya di kampung yang begitu menggesanya membina keluarga?

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.