Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 33

"Boleh awak tolong basuhkan baju saya? Saya tak pasti pula nak buat macam mana. Tak biasa, kalau rumah sendiri, saya boleh buat sesuka hati," setelah berkira-kira, Faizal meluahkan juga permasalahan dalam kepala. Dia perlu bertolak esok ke Terengganu. Sedangkan pakaiannya semua masih belum berbasuh. Dia juga tidak sempat untuk pulang ke rumahnya untuk mengambil pakaian bersih. Mahu hantar ke dobi, apa pula jika mentuanya nampak nanti. Dia juga sedar, Amira sewajarnya yang mengurus pakaiannya. Tapi, dia sendiri sedar, Amira seakan janggal dengan tugasan sebagai isteri. Dia juga sebenarnya tidak mahu Amira bersusah kerananya. Cuma, dia tidak jumpa cara lain lagi.

Amira memandang luggage Faizal yang telah terbuka dan dipenuhi baju yang sudah dipakai. Amira terpegun sebentar. Dia memang tidak terfikir langsung tentang pakaian Faizal. Baginya, bukankah Faizal lelaki yang berdikari dan tidak suka barangan peribadinya diganggu. Tambah lagi Amira tidak pernah menguruskan pakaian orang lain selain dari pakaiannya sendiri. Ibu bapanya memang sudah melatih dia dan dan adik-beradiknya untuk berdikari dan bertanggungjawab dalam menguruskan diri masing-masing. Puan Fatimah hanya menguruskan pakaian suaminya bila mereka sudah melangkah ke alam persekolahan. Semua kerja perlu dibuat sendiri kerana mereka tidak memiliki pembantu rumah. Puan Fatimah cuma memasak untuk sekeluarga dengan mengerah Amira dan Faiza turut membantu bersama. Along dan adik lelaki Amira pula akan diajar Encik Amir urusan kerja rumah seperti membersihkan halaman dan membaiki kerosakan jika ada.

"Bolehkah? Awak bagitahu mesin basuh saja pun tak apa. Tadi saya turun di dapur, tak jumpa mesin basuh. Atau, tak ada mesin basuh? Awak basuh baju guna tangan ke?" Faizal mula bimbang Amira tidak mahu membantu bila Amira masih membisu. Bimbang lagi bila memikirkan jika benar tidak ada mesin basuh di rumah itu. Tidak mungkin dia akan membasuh tangan pakaiannya. Tidak mungkin juga mahu menyuruh Amira membasuhkan. Mungkin dia perlu menghantar ke dobi jika masih sempat untuk di siapkan sebelum dia bertolak. Atau, jalan terakhir, pulang ke rumahnya mengambil pakaian bersih.

"Tak apa, saya boleh tolong. Ada je mesin basuh dekat laundry room. Tepi dapur. Awak tak perasan sebab pintu tu biasa tertutup," Amira mengukir senyuman menatap wajah serba-salah Faizal. Salah dia juga yang langsung tidak memikirkan keperluan suaminya. Bagaimana dia dapat memikirkan, ini kali pertama dia mempunyai suami. Kali pertama dia perlu memikirkan tentang urusan orang lain selain dirinya. Ya, memikirkan soal Faizal benar-benar perkara aneh dalam hidupnya. Amira mengeluh sendiri. Faizal masih tidak menunjukkan tanda mahu berbicara soal perancangan masa depan. Adakah dia yang patut memulakannya?

Amira mula memasukkan pakaian Faizal ke dalam bakul untuk dibawa turun. Agak kekok sebenarnya. Amira seakan rasa terpaksa untuk menguruskan sesuatu yang bukan miliknya. Wajahnya berkerut tanpa sengaja.

Faizal yang memerhati turut tidak senang. Dia sendiri tidak pernah membiarkan barang peribadinya diuruskan orang lain. Melihat kerutan di wajah Amira yang perlahan-lahan memasukkan pakaiannya ke dalam bakul menimbulkan rasa yang pelbagai di dalam hatinya. Amira juga tidak selesa menguruskan halnya. Ya, tentu saja gadis seperti Amira berasa tidak senang diminta menguruskan pakaian lelaki.

"Erm, biar saya buat la. Awak tunjukkan saja mesin basuh dan cara guna," Faizal menarik perlahan bakul dari tangan Amira. Amira dengan rela hati melepaskan. Faizal dengan pantas memasukkan semua pakaian ke dalam bakul. Amira terpegun saja memandang tingkah Faizal yang sekelip mata berdiri di hadapannya.

"Jom," Faizal tersenyum dengan bakul yang penuh di tangan. Amira cuma mengangguk. Hatinya dilanda serba-salah. Nampak sangatkah yang dia tidak ikhlas mahu membantu Faizal? Amira mengatur langkah menuruni tangga diikuti rapat oleh Faizal.

"Okey, kat sini rupanya mesin basuh," Faizal tersengih bila melihat mesin basuh di dalam bilik kecil itu. Amira cuma tersenyum tawar. Dia rasakan betapa teruknya dia sebagai isteri. Pakaian suami pun tak mampu diuruskannya. Amira menunjukkan cara penggunaan mesin basuh kepada Faizal.

Walaupun cuba berlagak tenang, jiwanya tidak tenteram. Dia sepatutunya melayan Faizal, kalaupun tidak sejatinya sebagai isteri sebenarnya, soal makan dan pakai Faizal yang singgah beberapa ketika di rumahnya patut diambil berat.

Amira menggetap bibir. Sukarnya mahu berlagak sebagai isteri. Dia sendiri tidak mengerti apa yang tersirat dalam hatinya. Rasanya, perkenalan dengan Faizal terlalu awal. Segalanya masih asing. Amira resah sendiri. Adakah dia berdosa kerana tidak mampu melaksanakan tugasnya sebagai isteri dengan baik? Faizal pasti terasa bila dia seakan tidak selesa dan ragu-ragu bila diminta unntuk membasuh pakaian lelaki itu. Amira cuba mengangkat wajah untuk menatap wajah Faizal.

Faizal hanya tersenyum sebelum memberi isyarat untuk keluar dari bilik basuhan itu setelah selesai menetapkan suis di mesin basuh sesuai dengan jenis basuhan yang dikehendaki. Amira masih terpaku. Barangkali Faizal tidak kisah. Faizal sendiri tidak menganggapnya sebagai isteri. Hati Amira sebak sendiri.

"Hey, Mira... awak nangis lagi ke?" rupanya Faizal berpatah balik bila Amira tidak kelihatan mengikutinya saat dia keluar dari bilik itu. Bila dilihatnya Amira yang sedang tertunduk, dia resah sendiri. Saat dia menyentuh wajah Amira dan mengangkatnya, mata yang berair itu buat dia tidak keruan.

"Erm, tak," Amira menafikan. Melarikan pandangan dan menolak jemari Faizal yang masih melekat di wajahnya. Segera dia keluar dari bilik itu menuju biliknya di tingkat atas. Faizal turut melangkah pantas mengekori Amira.

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.