Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 20

Selepas solat subuh, Faizal tertidur semula. Malam tadi, dia terlena lebih lewat menyelesaikan kerja pejabat yang dibawa pulang dan masih terbengkalai. Bimbang cuti hujung minggu ini ada pula agenda mertuanya. Tidak sedap pula menolak dengan alasan kerja.

Bila terjaga jam sudah menunjukkan hampir 10 pagi. Faizal beristighfar perlahan. Memerhati ruang bilik itu, dia sedar dia masih di rumah mentuanya dan dia boleh terjaga lewat begitu. Apa pula kata mentuanya. Faizal segera menuju ke kamar mandi untuk membersihkan diri.

Faizal turun ke bawah, tapi suasana ruang tamu sunyi sahaja. Dia menjenguk ke luar. Kelihatan kereta kenari merah Amira masih di laman. Tapi kereta honda accord ayah mentuanya sudah tiada. Sudah keluarkah semua orang? Faizal bertanya dalam hati. Dia melangkah pula ke dapur. Terasa lapar sebenarnya bila bangun dari tidur. Teringat spagetti Amira. Masih disimpankah untuknya?

Faizal terpegun. Melihat Amira tanpa bertudung. Asyik sekali mengacau kuali, tidak sedar kehadiran Faizal di dapur. Rambutnya yang panjang di sanggul tinggi. Kelihatan lehernya yang jinjang dan putih melepak. Faizal diam memerhati. Amira sedang menggau spagetti. Sudah pukul 10 pagi, baru Amira hendak selesai memasak? Dia bertanya sendiri. Ke mana pula mentuanya pagi-pagi begini? Persoalan demi persoalan melanda fikiran namun pandangannya masih terpaku pada Amira. Masih dengan T-shirt lengan panjang dan seluar.

Amira berpuas hati. Lega juga bila dia mengetuk pintu Faizal pukul 7 pagi tadi, Faizal tidak menyahut dan dia membuka pintu melihat Faizal terlena dengan sejadah yang masih terbentang. Penat sangatke terus tidur lepas subuh sampai tak sempat lipat sejadah? Amira tertanya sendiri. Di atas meja solek, komputer riba terbuka dan beberapa kertas dan fail turut bersepah di situ. Barangkali tidur lewat menyiapkan kerja pejabat. Amira meneka sendiri.

Dia turun memaklumkan yang Faizal masih keletihan kepada ibu bapanya dan berkata dia akan masak lewat sedikit. Puan Fatimah membuat muka. Encik Amir hanya tersenyum. Tahu saja sikap anak perempuan sulungnya yang liat ke dapur. Lalu dia mengajak isterinya bersarapan di luar. Memang bila hujung minggu dia sering ke taman untuk bersenam ringan bersama Puan Fatimah dan mengambil sarapan di luar. Baginya, itulah masanya untuk diluangkan bersama isteri tersayang bila sudah seminggu sibuk bekerja. Amira tersengih. Dia faham benar rutin orang tuanya itu. Dia juga tidak berhasrat untuk berpencak di dapur seawal itu. Pagi-pagi begini dia lebih gemar menulis. Idea di awal pagi lebih segar dan tumpuan lebih baik.

Jam sembilan pagi, dia memeriksa lagi bilik Faizal. Masih kaku di atas katil. Masak dululah baru kejutkan Faizal. Dia memutus di dalam hati sambil turun menuju ke dapur. Ibu bapanya memang akan pulang agak lewat. Selalunya lepas bersarapan, mereka akan ke pasaraya membeli barang keperluan harian. Barangkali jam 11 atau kalau ibunya mahu membeli-beli barang-barang lain, hampir tengahhari juga baru tiba di rumah.

Mulanya, Amira menyarung juga tudung di kepala. Tapi bila mula memasak, terasa panas dan berpeluh pula. Lalu ditanggalkan tudung dan di sangkut pada penyidai di tepi bilik air di dapur. Kiranya Faizal pasti akan terus dibuai mimpi sehingga dia datang mengejutkan. Namun, saat dia berpaling, dia terkejut melihat Faizal tegak berdiri di belakangnya sambil merenung tajam.

"Awak, terkejut saya!" Amira menjerit kecil. Pandangan Faizal jatuh pula pada leher sebelah hadapan. Jelas di matanya lekuk tulang leher Amira. Matanya masih tidak berkelip memandang. Amira segera tersedar. Lantas dia menuju ke penyidai di tepi bilik air sambil menyarung tudungnya. Hatinya merungut sendiri. Bagaimana dia boleh cuai sebegitu. Percuma saja Faizal dapat melihat auratnya yang terjaga selama ini. Namun, separuh hatinya menjawab pula. Bukan berdosa pun, Faizal kan suaminya.

"Kenapa senyap je? Ingat awak tidur lagi," Amira bersuara selamba. Faizal tersenyum dengan telatah Amira yang kelam-kabut menyarung tudung. Tidak mahu memberi sebarang komen, dia menjenguk kuali yang berisi spagetti yang baru siap dimasak Amira. Nampak menyelerakan melihat spagetti berwarna putih dengan rencah makanan laut, udang dan sotong. Carbonara seafood ke? Macam spagetti goreng. Faizal mencari-cari nama masakan spagetti yang Amira sediakan.

"Awak masak spagetti apa ni?" terluah juga pertanyaan bila dia tertanya-tanya dalam hati. Amira yang sedang mengambil pinggan berpaling.

"Spagetti Amira," Amira tersenyum memandang Faizal. Resepinya sendiri. Amira memasak mengikut selera dan sesuka-hatinya. Spagetti dengan makanan laut adalah kegemarannya, rencahnya kadang-kadang dengan sos tomata bolognese yang ditumis dengan cili kering kisar atau kaang-kala di masak spagetti hanya dengan sos lada hitam. Tapi kali ini, kebetulan ada setin sos carbonara, maka dia masakkan saja sos carbonara dengan serbuk lada hitam bersama bawang putih yang telah ditumis terlebih dahulu.

"Nah, pegang jap saya sendukkan," dia memberi satu pinggan kosong kepada Faizal. Dia menyenduk dahulu ke dalam pinggannya sebelum menukar pinggan yang telah berisi spagetti dengan pinggan kosong di tangan Faizal. Melihat spagetti yang masih berasap itu, perut Faizal semakin berkeroncong pula.

"Tunggu kejap, belum siap lagi," Amira tersenyum. Dia menuju peti ais dan mengeluarkan 2 keping keju chesdale dan diletak setiap satu dalam setiap pinggan. Faizal hanya memerhati. Amira memasukkan satu pinggan ke dalam microwave, menekan masa 1 minit. Dia tersenyum.

"Saya baru terfikir idea ni bila tengok ada keju dalam peti ais tadi," Faizal hanya mengangguk. Perutnya sudah lapar. Banyakla pula idea Amira.

"Awak nak air apa?" Amira sudah beredar mengambil 2 mug. Faizal yang terpegun pada microwave tidak sabar menanti untuk masakan itu siap berpaling.

"Kopi ada? Saya siapkan kerja sampai lewat malam tadi. Kepala pun masih pening lagi. Mak, Abah ada tanya pasal saya tak tadi?" Faizal bertanya sambil mendekati Amira yang sedang memilih beberapa peket minuman 3 dan 1 yang ada. Amira menunjukkan 3 jenis kopi yang ada. Faizal memerhati satu-satu. Banyak pula pilihan. Faizal menunjuk salah satu. Amira menghulur mug yang telah dimasukkan serbuk kopi pilihan Faizal kepadanya.

"Air panas ada dekat hujung sana," Amira memberi petunjuk. Kena layan diri rupanya. Amira berlalu membuka microwave dan mengeluarkan pinggan berisi spagetti dengan berhati-hati. Lalu memasukkan pinggan yang kedua. Faizal yang sedang menuang air panas ke dalam mugnya memanjangkan leher melihat hasil spagetti Amira. Kelihatan keju chesdale mencair mengikut permukaan spagetti. Nampak unik pula.

"Ada sudu? nak kacau," Faizal bertanya. Amira yang sedang menuangkan susu segar dari peti ais berpaling.

"Carila kat tempat sudu tepi microwave tu," Amira hanya memberi arahan. Faizal memerhati. Ada laci kecil di sebelah microwave. Dibukanya dan diambil sudu kecil untuk mengacau kopinya. Dia memerhati Amira yang sudahpun membuka microwave yang telah siap untuk pinggan kedua. Ada senyuman terukir di bibir Amira.

"Jom," Amira menghulur satu pinggan kepadanya setelah diletak garpu. Dia menyambut dan mengekor Amira ke hadapan. Sangkanya Amira akan berhenti di meja makan di ruang tengah. Tapi Amira terus ke hadapan meletakkan pinggan spagetti dan mug di atas meja kopi di hadapan televisyen. Amira mencapai alat kawalan dan televisyen di pasang. Faizal ragu-ragu mengambil tempat di sofa yang menghadap televisyen. Mug diletakkan perlahan di atas meja kopi di sebelah mug Amira.

Amira mengambil tempat di sebelah Faizal. Tangannya masih menekan-nekan punat alat kawalan jauh. Masih tidak ada rancangan yang menarik perhatiannya. Akhirnya, setelah beberapa kali menukar siaran, dia berhenti pada rancangan kartun. Faizal hanya memerhati sambil menyuap perlahan spagetti di mulut. Pagi sabtu begini, memang kebanyakan siaran hanya menyiarkan rancangan untuk kanak-kanak.

Sedap. Faizal menyuap tidak berhenti. Tidak sampai 10 minit, pinggannya sudah licin. Terasa mahu menambah tapi segan pula mahu bertanya kepada Amira bila dilihat pinggan Amira masih ada separuh lagi. Pandangan Amira masih tertancap di kaca televisyen.

Dia meletakkan pinggan kosongnya di atas meja kopi. Bunyi pinggan berlaga dengan kaca di permukaan meja menarik perhatian Amira ke arah Faizal.

"Dah habis? Nak lagi?" Amira menyua pinggannya. Faizal kaget. Memang mahu lagi, tapi Amira mahu memberi yang sedang dimakannya ke?

"Saya tak larat la pula, awak habiskan boleh?" Amira memandang Faizal meminta simpati. Dia sebenarnya terlupa yang dia tidaklah begitu gemarkan keju. Dia cepat muak bila makan keju. Sudahlah spagetti diletak sos carbonara yang memang bahannya dari keju, dia cairkan pula keju chesdale. Namun, hakikatnya, dia memang begitu, jika dia memasak, dia tidak begitu selera untuk makan hasil masakannya walaupun orang lain mengatakannya sedap. Dia sendiri tidak pasti mengapa. Barangkali itu antara sebab Amira jarangjarang mahu memasak.

Faizal diam sejenak dengan permintaan Amira. Tidak pernah dia makan dari bekas orang lain. Dia ragu-ragu mahu menunaikan permintaan Amira. Tapi, dia masih lapar, dan spagetti di pinggan Amira hanya disentuh separuh, separuh lagi masih elok tidak disentuh. Takkan mahu mengambil yang baru dari dalam kuali dan biarkan spagetti dalam pinggan Amira terbuang. Membazir pula rasanya.

"Saya bagi awak yang saya belum sentuh ni," Amira sudahpun memindahkan sebahagian spagetti ke pinggannya di atas meja. Dia masih terdiam memerhati. Kemudian dia tersenyum sendiri. Adakah ini petanda untuk mereka mula rapat? Berkongsi makan?

Faizal mengangkat pinggannya yang telah diisi spagetti oleh Amira. Dia menyuap perlahan. Sama saja rasanya. Lagipun apa salahnya berkongsi dengan isteri. Boleh mengeratkan lagi kasih sayang. Faizal tersengih sendiri. Pandangan Amira kembali tertumpu kepada kaca televisyen. Namun, dia terfikir kembali. Apa yang dia telah lakukan? Berkongsi makanan dengan Faizal? Dia memang selalu begitu, tidak habis makan dan selalu menyuruh orang berhampirannya menghabiskan. Selalunya ibunya yang jadi mangsa, atau Faiza, adik perempuannya. Tapi sejak Faiza berkahwin, Puan Fatimahlah yang selalu menghabiskan makanannya. Selalu dia dileteri kerana ambil terlalu banyak dan makan sedikit saja. Nak buat macam mana, masa ambil tu rasa sedap dan nak makan banyak. Tapi bila dah mula makan, cepat pula rasa kenyang. Kini Faizal pula yang jadi mangsanya.

Ketika dia bertanya tadi, dia sedar Faizal sendiri kaget. Dia sendiri tidak percaya dengan tindakannya yang selamba memasukkan spagetti dari pinggannya ke pinggan Faizal. Tapi, Faizal nampak ok je. Malah dia makin berselera pula makan. Amira menjeling Faizal yang sudah bersila di sofa sambil menyuapkan spagetti.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.