Home Novel Cinta Dating Jumaat Malam
Bab 2

"Assalammualaikum, boleh saya jumpa dengan Encik Zaman?" kebetulan Amira lalu di Damansara dan terfikir untuk menghantar sendiri majalah yang sudah siap diterbitkan untuk diberikan kepada Zaman dan Faizal. Sudah menjadi rutinnya untuk menghantar sendiri majalah yang tersiar artikel berkaitan individu yang ditemuramahnya.

"Cik Amira?" Amira menoleh dan meihat Faizal berdiri di belakangnya. Amira tersenyum. Memang dia mahu berikan majalah tersebut kepada Faizal dan Zaman tetapi dia sebenarnya lebih senang bertemu Zaman daripada Faizal. Bagi Amira, Faizal kelihatan kurang mesra berbanding Zaman. Ketika sesi temuramah dahulu, Faizal hanya memberikan jawapan yang ringkas dan padat apabila ditanyakan soalan. Manakala Zaman akan memberikan penerangan dan kadang-kala bertanya soalan dan berjenaka juga.

"Encik Faizal, kebetulan saya lalu di sini, saya nak serahkan majalah yang kami terbitkan yang terdapat artikel tentang Encik Faizal dan Encik Zaman," Amira tersenyum sambil menyerahkan dua naskhah majalah tersebut kepada Faizal.

"Kebetulan, saya baru beli majalah ini," Faizal mengangkat naskhah majalah di tangannya. Amira terlopong memandang kerana majalah tersebut belum pun sampai seminggu dikeluarkan. Malah sebelum ini, dia sudah berpesan bahawa mereka akan diberi naskhah percuma bagi keluaran yang terdapat artikel tentang mereka. Amira tidak menyangka Faizal akan membeli majalah tersebut, apatah lagi secepat itu.

"Saya tak sangka Encik Faizal sudah beli majalah ini sebab saya ada bagitahu bukan tentang naskhah percuma yang akan diberikan?" Faizal tersenyum sambil menyambut juga dua naskhah majalah yang dihulur Amira.

"Tidak mengapa, saya akan beri pada Zaman. Cuma, boleh kita berbual sebentar?" Amira terpinga-pinga dengan pertanyaan yang tidak disangka itu dan tanpa sedar menganggukkan kepala.

"Maria, bawakan 2 kopi ke bilik saya. Silakan Cik Amira," Faizal melangkah ke arah biliknya dan membuka pintu menjemput Amira masuk.

Setelah mengambil tempat di set sofa di dalam bilik tersebut, Amira memerhatikan susun atur ruang bilik itu. Unik dengan beberapa model bangunan berbentuk seakan arca terletak seperti perhiasan. Rak buku di belakang set sofa yang mereka duduki kelihatan sarat dengan buku-berkaitan rekaan dan pembinaan.

"Saya nak serahkan ini kepada Cik Amira, rasanya Cik tercicir semasa sesi temuramah dahulu," Amira merenung kad di atas meja. Kad perkahwinan adiknya yang bakal berlangsung minggu hadapan. Perlahan dia menarik kad tersebut dan terseyum kepada Faizal.

"Saya tidak fikir ia penting dan seringkali terlupa untuk meminta nombor Cik Amira daripada Zaman untuk memulangkan semula kad ini,"

"Oh, tidak mengapa. Ini kad kenduri adik saya. Kalau Encik Faizal ada kelapangan, bolehlah hadir bulan hadapan," Amira menghulur kembali kad tersebut kepada Faizal. Teragak-agak Faizal menyambut kad tersebut.

"Ada apa-apa lagi yang Encik Faizal nak beritahu saya?" Amira memulakan pertanyaan bila dilihat Faizal masih menyepi dan pandangannya jatuh kepada kad yang diserahkan Amira.

"Tak, cuma saya nak tanya. Masa sesi temuramah tempoh hari, Cik Amira ada sebut berkaitan..." Amira memandang tidak sabar dan Faizal seakan tidak boleh meneruskan perbicaraannya.

"Berkaitan apa Encik Faizal?" Amira bertanya lagi. Faizal menarik nafas dalam dan pandangannya dilarikan dari bertentangan dengan Amira yang merenungnya penuh tanda-tanya.

"Saya nak tanya soalan yang agak peribadi, saya harap Cik Amira tidak salah faham. Saya cuma tertanya-tanya," Faizal mula menerangkan.

"Ok, tanyalah, saya akan cuba jawab kalau saya rasa boleh jawab," Amira tersenyum cuba meyakinkan. Dia merasakan lelaki di hadapannya ini seorang yang sangat berhati-hati dalam memulakan sesuatu.

"Cik Amira sebut yang Cik Amira tidak percaya pada perkahwinan, apa maksudnya?" kali ini Faizal memandang tepat ke arah Amira. Amira terdiam cuba mengingati butir bicaranya ketika sesi temuramah yang lalu.

"Oh, ya, saya ada sebut tentang itu. Kenapa Encik Faizal tanya?" Amira mula teringat tetapi dia tertanya-tanya pula kenapa lelaki di hadapannya ini bertanyakan soal itu. Faizal diam sejenak sebelum kembali membuka mulut.

"Sebab saya juga tidak percaya dengan perkahwinan," Amira melopong sebentar sebelum ketawa besar. Faizal memandang Amira hairan.

"Maaf, cuma saya terfikirkan awak turut hadapi masalah yang sama seperti saya bila Encik Zaman sebut yang awak masih tidak berkahwin walaupun sudah berusia 35 tahun," Amira cuba menahan ketawa dan tersenyum lebar. Faizal menatap wajah riang Amira, hatinya berdetik seketika sebelum mengerutkan dahi. Dia masih tidak mengerti maksud Amira.

"Ya, saya memang tak percayakan perkahwinan, tapi..." pandangan Amira jatuh pada kad kenduri kahwin adiknya di tangan Faizal. Faizal turut memandang kad yang sama.

"Bila adik bongsu saya nak kahwin dan semua adik beradik saya sudah miliki keluarga masing-masing, saya terfikir juga nak kahwin," Amira tersenyum pahit dan menghela nafas.

"Saya sukakan kanak-kanak jadi saya terfikir juga nak kahwin dan memiliki anak sendiri dan kemudian bercerai," Amira memandang Faizal dan tersenyum. Cuma dia mula tersedar, dia telah meluahkan sesuatu yang sangat peribadi dihadapan seorang lelaki yang tidak begitu dikenali.

"Maaf, cuma, kenapa Encik Faizal tanya?" Amira memandang Faizal penuh tanda tanya.

"Erm.. saya cuma terfikir kalau matlamat kita sama, kita boleh bekerjasama," Faizal seakan berbicara penuh hati-hati. Amira cuba memahami dan dia masih tidak jelas dengan maksud Faizal.

"Maksud saya, kalau kita punya pandangan yang serupa berkaitan perkahwinan mungkin kita boleh saling bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang kita masing-masing hadapi," Faizal cuba menerangkan. Amira masih mengerutkan keningya.

"Sebenarnya ibu bapa saya sudah tua dan mereka sangat teringinkan menantu. Saya anak tunggal. Jadi cuma sayalah satu-satunya harapan mereka. Cuma saya tidak percaya pada perkahwinan dan saya tak fikir saya boleh hidup dengan perempuan. Saya pernah bercinta sebelum ini, tapi semua tak bertahan lama dan bagi saya perempuan sangat melemaskan dan merimaskan.." Faizal terhenti dan seakan tersedar dia menatap Amira.

"Maaf, kalau saya sakitkan hati Cik Amira dengan kenyataan saya. Saya bukan benci perempuan cuma saya tak fikir saya boleh berkahwin dan hidup bersama dengan perempuan," Faizal cuma menambah penjelasan. Tetapi Amira seakan cuma memahami maksud Faizal.

"Encik Faizal, tak suka perempuan, maksudnya Encik Faizal suka lelaki?" Amira mengeluarkan kenyataan yang difahami dari bicara Faizal. Wajah Faizal pucat dengan telahan Amira.

"Bukan, bukan itu maksud saya," Faizal segera menjelaskan. Amira tersenyum dan seakan mengerti dengan makud Faizal kini.

"Saya rasa saya faham, Encik Faizal tak suka perempuan, tak suka juga pada lelaki. Encik Faizal suka hidup sendiri?" Amira membuat telahan sambil tersenyum. Dia kira telahannya kini tepat. Faizal diam sejenak. Itukah yang cuba dia sampaikan?

"Erm, ya, betul. Selama ini saya selesa hidup sendirian. Saya anak tunggal. Saya memang tidak selesa bila ada orang lain yang masuk campur dalam urusan hidup saya," Faizal akhirnya mengiyakan. Amira tersenyum.

"Jadi?" Amira mula tertanya-tanya apa isu awal yang membawa perbualan mereka itu.

"Erm, jadi saya terfikir kalau kita boleh saling membantu," Faizal masih ragu-ragu untuk berterus-terang. Amira cuba mangangak cuma dia sendiri ragu-ragu jika benar itu masuk Faizal.

"Apa maksud Encik Faizal saling membantu?" Amira tidak mahu meneka, bimbang tersilap teka lagi. Faizal merenung Amira dan mengnarik nafas dalam. Cuba membaca reaksi Amira jika dia ucapkan terus-terang maksud hatinya. Adakah Amira akan menamparnya?

"Maksud saya, disebabkan kita mempunyai pemahaman yang sama tentang perkahwinan. Kita tidak mahu kahwin, suka hidup sendiri, tidak suka ada orang masuk campur tentang soal hidup kita, mungkin kita boleh...." Faizal terhenti lagi.

"Saya tak pasti apa maksud Encik Faizal tapi, saya rasa seperti Encik Faizal cuba mencadangkan untuk kita.... berkahwin?" Amira merenung Faizal seakan meminta kepastian pada telahan yang dibuat. Faizal menghela nafas lega. Ya, Amira faham maksudnya!

"Ya, itu maksud saya. Saya cuma cadangkan, Cik Amira boleh fikirkan dulu," Faizal segera menjelaskan agar Amira tidak salah faham.

Amira merenung dalam wajah lelaki di hadapannya. Sebenarnya dia seakan tidak percaya sedang menjalankan sesi perbualan berkaitan isu itu dengan seseorang yang asing. Bagaimana dia boleh mempercayai untuk mengahwini lelaki itu. Mungkin dari sudut kerjaya lelaki itu nampak berkemampuan. Rupa paras, jujurnya Amira akui Faizal agak tampan orangnya cuma bila di usia yang makin meningkat, ketampanan tidak lagi kriteria utama dalam menilai seseorang. Cuma, dia tidak kenal lelaki itu. Bagaimana sikapya? Bagaimana dalamannya? Bagaimana lelaki itu boleh mencadangkan sesuatu seperti itu kepada dia, perempuan yang hanya dikenali lewat sesi temuramah selama kurang dua jam?

"Erm, jujur, saya agak terkejut dengan apa yang Encik Faizal katakan. Memang, saya fikir Encik Faizal agak tertekan dengan ibu bapa Encik Faizal sehingga boleh terfikir untuk cadangkan perkara seperti itu kepada saya. Cuma, saya harap Encik Faizal boleh fikir balik sebab walaupun saya tidak percaya pada perkahwinan, saya tidak percaya lelaki dan saya suka hidup sendiri, saya masih perempuan. Saya masih perempuan seperti mana perempuan-perempuan yang pernah Encik Faizal kenali dulu. Dan Encik Faizal tetap lelaki. Lelaki yang pasti tidak mudah untuk saya percayai," Amira cuba membalas secara rasional. Ya, dia wanita yang rasional yang sentiasa berfikir panjang dan dalam sebelum membuat keputusan.

"Saya faham. Saya juga terfikirkan perkara yang sama. Cuma, beza kita, bila orang lain mengimpi bahagia yang kekal ke akhir hayat. Kita percaya kebahagiaan akan terhenti satu masa dan perceraian dan perpisahan adalah kemungkinan yang paling realistik dalam setiap perhubungan," Faizal cuba memberi rasional.

Amira diam. Dia berfikir sejenak. Tidak pernah dia berbicara soal seperti ini dengan seorang lagi. Agak janggal rasanya. Amira memerhati sekitar bilik. Pendingin hawa yang dipasang terasa sejuk luar biasa. Sejak dia mula bekerja sebagai editor dan menemuramah, dia sudah boleh berbicara bersama lelaki di dalam bilik tertutup seperti ini. Kalau ketika belajar dulu, jangan harap dia akan buat sebegitu. Pandang dan bercakap dengan lelaki cuma bila ada tugasan akademik. Dia akan sedaya-upaya mengelakkan diri untuk berurusan dengan lelaki dalam perkara lain. Akibatnya, dia tidak pernah punya teman lelaki. Malah kawan lelaki juga tidak ada kecuali teman-teman sekuliah yang hanya dihubungi lewat urusan pelajaran.

Amira kembali Faizal. Tersenyum nipis. Faizal turut tersenyum. Amira terfikir, berkahwin mungkin tidak. Tapi apa salahnya mereka berkawan. Ya, seperti pasangan lain, cuba berkawan, mungkin jatuh cinta dan jika benar serasi, barangkali boleh berakhir dengan perkahwinan.

"Maaf, saya rasa saya bukanlah orang yang Encik Faizal cari," Amira berbicara tenang. Faizal mengukir senyum terpaksa dan mengangguk. Dalam fikirannya sedar yang rancangannya tidak mungkin berjaya cuma dia terfikir tidak salah mencuba. Panggilan telefon dari ibunya di kampung saban malam membuatnya terfikir untuk mencari penyelesaian. Memang ibu bapanya ada mencadangkan calon pilihan mereka tetapi Faizal bimbang, gadis itu cuma menderita hidup dengannya. Faizal memandang Amira, barangkali jika Amira merasakan seperti dia, mungkin Amira tidak akan menderita.

"Tak apa, saya minta maaf sebab cadang perkara sebegini," Faizal tahu, masalahnya belum selesai dan dia perlu cari jalan lain untuk menyelesaikannya.

"Saya ada cadangan, walaupun saya tak terima cadangan Encik Faizal untuk berkahwin tapi saya fikir kita boleh berkawan," Amira tersenyum sambil mengangkat kening. Ragu-ragu jika cadangannya kurang munasabah. Bukankah Faizal bencikan perempuan. Faizal mengerutkan kening. Cadangan yang dia tidak terfikirkan.

"Saya tak mungkin kahwin dengan orang yang saya tak kenal, jadi kita boleh kawan dulu, dan kalau saya yakin dengan Encik Faizal, saya akan terima lamaran Encik Faizal ni. Jika tidak, kita berhenti sebagai kawan sahaja," Amira cuba menjelaskan. Faizal merenung dalam wajah gadis bertudung biru itu, apa maksudnya? Adakah Amira mengajaknya untuk bercinta? Dia sudah penat bercinta dan melukakan hati wanita. Dia tidak mungkin berubah. Faizal mengeluh sendiri.

"Encik Faizal tak setuju ke? Maaf, walaupun saya sedar perkahwinan bukan sesuatu yang kekal tapi, sekurang-kurangnya saya kena kenal dengan siapa saya kahwin. Walau mungkin akan berakhir dengan penceraian tapi saya harap saya tak kahwin dengan penjenayah atau orang gila," Amira sekali lagi cuba menerangkan. Entah mengapa seakan dia pula yang beria mencadangkan. Adakah dia sudah mulai sukakan lelaki ini. Faizal yang berkemeja ungu dijeling sejenak.

"Oh, tentu, kita perlu kenal dulu. Cuma, saya tak fikir untuk bercinta lagi. Sebab, dari pengalaman yang lepas saya kira, saya dah lukakan hati ramai perempuan. Saya tidak mungkin dapat memahami perempuan," Faizal tersenyum lega. Mungkinkah Amira setuju berkahwin dengannya?

"Maksudnya, saya bakal terluka la?" Amira tersenyum sinis. Wajah Faizal berubah.

"Erm, ya, kalau yang Cik Amira harapkan cinta dan perhatian. Sebab saya bukan lelaki yang boleh memberikan semua itu," Faizal berbicara tenang. Penjelasan yang penting untuk Amira faham. Amira diam. Apa yang sedang dia lakukan ini? Cuma mengenali seorang lelaki buat pertama kali dengan niat untuk berkahwin. Tetapi lelaki itu sama sekali tidak mungkin mencintainya. Amira menelan liur. Cuma berkawan. Ya, cuma berkawan. Jika dia sangat teruk, lupakan saja soal kahwin.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.