Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
199,165
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 34

SUASANA di dalam kereta masih sepi, hanya suara alunan radio sahaja memenuhi segenap ruang kereta Hakimi. Arus jalan raya masih lancar, mungkin sahaja kerana waktu bekerja. Aifa membuang pandang ke arah kiri, dia tidak mahu anak matanya bertemu pandang dengan Hakimi.

Aifa asyik melayan perasan, mindanya masih ligat menayangkan setiap bait ayat perbualannya dengan Insan Biasa di alam maya. Dia hanya tersedar dari dunia khayalannya apabila Hakimi memberhentikan kereta.

Aifa membuang pandang ke arah sekeliling, bukan di kawasan pejabat tetapi di kawasan restoran. “Kau nak makan ke?”

“Tak adalah, aku nak tukar tayar kereta di restoran tu.” Hakimi menjawab acuh tak acuh.

Aifa mendengus geram, jawapan tiada dalam skema! Tetapi salahnya juga kerana bertanya soalan yang mampu di jawab oleh kanak-kana berusia 2 tahun. Hakimi meletakkan kereta berdekatan kawasan restoran pasti sahaja dia mahu makan.

“Aku tanya pun tak boleh ke?” Aifa sengaja mahu menutup malu.

“Boleh, tapi soalan tu biarlah logik sikit.”

Aifa menjuihkan bibir, dia terkena lagi!

“Kau tak nak makan ke? Kalau kau nak duduk dalam kereta aje lebih baik aku keluar dulu, perut aku dah berbunyi ni. Tetapi aku nak ingatkan kalau kau duduk dalam kereta sekalipun, aku tak akan bukakan air cond,buang duit aku aje pasangkan air conduntuk orang macam kau.” Seusai melemparkan ‘bom bicara’, Hakimi terus keluar dari kereta. Hatinya bagaikan digeletek apabila melihat wajah tidak puas hati Aifa. Sudahnya dia tersenyum sendiri, mujur sahaja senyumannya itu tidak dapat dikesan oleh Aifa kerana dia membelakangi gadis itu.

Senyuman Hakimi mati apabila telinganya menangkap bunyi dentuman yang kuat. Terkejut dia melihat Aifa menutup pintu keretanya seganas itu sehingganya bunyi yang terhasil mampu menarik perhatian beberapa insan di sekeliling mereka.

“Kau nak rosakkan kereta aku ke?” Kasar Hakimi bertanya.

“Kalau betul pun kenapa?”

“Kau ingat aku bayar kereta ni guna daun ke? Sesuka hati kau aje nak merosakkan kereta aku.”

Aifa menjuih bibir. Padan muka! Siapa suruh Hakimi tidak membenarkan mereka pergi kereta berasingan. “Kau yang suruh aku naik kereta buruk kau ni, jadi jangan banyak cakap!”

Hakimi sudah berjalan merapati Aifa, jawapan Aifa bagaikan menjentik tangkai hatinya. Ganas punya perempuan! Kalau diikutkan hati yang panas mahu sahaja dia melempang gadis itu.

“Aku suruh kau naik kereta ni sebab kita nak pergi ke tempat yang sama, tak perlulah nak membazirkan petrol.”

“Kau ingat aku kedekut ke? Aku boleh bawa kereta sendirilah!” Aifa membalas geram, dia lebih rela menghabiskan petrol yang hanya beberapa ringgit daripada perlu berkongsi kereta dengan Hakimi.

“Itu bukan masalah utamanya. Sebenarnya aku ni jenis sayangkan alam sekitar. Kau tahu tak apa kesan kalau banyak sangat kereta di Malaysia ni melepaskan gas berbahaya daripada asap kereta? Kesannya alam sekitar kita akan tercemar, nanti penuh dengan gas karbon dioksida dan gas tu bahaya untuk kesihatan. Itulah dulu mak dan ayah kau hantar ke sekolah untuk belajar tetapi kau main-main. Sekarang ini apa dah jadi? Ataupun kau nak aku jadi cikgu Sains kau?” Hakimi tertawa kecil, melihat wajah Aifa yang tegang itu seolah-olah berjaya membuatkan urat ketawanya bekerja lebih masa. Dia terasa seperti mahu ketawa!

“Tapi aku tak rela jadi cikgu kau, sebabnya kau ni dulu ayat Bahasa Melayu pun tunggang-langgang, masa dalam Matematik pun kau kantoi dan sekarang Sains pun kau macam boleh tak boleh aje. Rasanya kalau aku jadi cikgu kau mahunya tak tidur malam aku.”

Aifa memandang geram ke arah Hakimi. Sesedap hatinya sahaja mengutuk aku! Hatinya mengomel sendirian. Lidah Aifa seakan-akan kaku untuk memuntahkan kata, mungkin sahaja mindanya malas mahu memikirkan jawapan balas. Aifa melangkah meninggalkan Hakimi sendirian.

Hakimi terpana, benarkah perkara yang dilihat sekarang? Aifa tidak membalas? Ini perkara yang aneh! Hakimi menyaingi langkah Aifa, sesedap rasa sahaja gadis itu melangkah meninggalkannya. Hakimi mempercepatkan langkah, dia mahu sampai terlebih dahulu di restoran sebelum Aifa.

Kerana terlalu asyik memandang ke arah restoran, Hakimi tidak memandang ke kiri dan ke kanan. Buntang mata Aifa melihat motosikal yang sedang bergerak laju menunju ke arah Hakimi, pantas sahaja dia merentap kasar lengan Hakimi. Akibat rentapan kasar itu, Hakimi gagal mengawal imbangan badannya lalu terjatuh dan Aifa turut sama terdorong ke arahnya apabila tangannya masih memegang kejap lengan Hakimi.

Beberapa orang yang lalu lalang di kawasan itu berlari mendapatkan mereka. “Awak okey?”

Hakimi hanya menangguk, dia memandang Aifa yang turut sama jatuh terduduk dengannya.

“Aku yang sepatutnya jadi cikgu kau, aku kena ajar kau cara melintas jalan yang betul.” Aifa berbisik perlahan agar hanya dapat didengari oleh Hakimi sahaja. Dia tidak peduli beberapa orang di sekeliling mereka yang sedang sibuk bertanya itu dan ini. Perkara yang menjadi fokus sekarang ialah membasuh Hakimi secukupnya! Sudahlah dia menarik lelaki itu daripada dilanggar dan dia turut sama menerima akibat apabila lelaki itu gagal mengawal imbangan badan dan membuatkan dia turut sama terjatuh.

“Waktu kecemasan macam ni pun kau boleh buat ayat tak masuk akal kau tu!” Hakimi membidas. Niat asalnya mahu membantu Aifa bangun dan bertanya sama ada gadis itu tercedera atau tidak. Tetapi mendengar sahaja jawapan panas Aifa itu membuktikan gadis itu masih sihat.

Aifa turut sama bangun. Dia dan Hakimi mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang yang membantu dan bertanya sama ada mereka tercedera atau tidak. Aifa memandang Hakimi, hatinya masih panas mengenangkan bajunya menjamah jalan tar panas sebentar tadi.

“Malam ni kelas cara-cara melintas jalan kau bermula.” Aifa tersenyum sinis, padan muka Hakimi!

TUMPUAN Aifa kini sudah beralih ke arah jam dinding, dia asyik menghitung setiap detik yang berlalu. Dia merasakan jam itu terlalu lambat bergerak. Tangan Aifa kembali lincah menghabiskan kerja yang masih belum selesai, sesekali anak matanya melihat jam.

Aifa tersenyum puas apabila masa yang dinanti tiba, waktu tamat kerja. Yeah! Penantiannya untuk hari ini berakhir, dia tidak perlu lagi menghadap muka Hakimi untuk hari ini, diulang untuk hari ini sahaja. Tetapi esok dia perlu menghadap muka itu lagi.

Dia sudah malas mahu memutarkan kembali kenangan ‘terindah’ antara dia dan Hakimi. Sudahlah mereka membuat drama di tepi jalan. Malunya usah dikata!

Aifa mengemas barang-barangnya lantas cepat sahaja dia mengatur langkah meninggalkan ruang pejabat. Dia menanti lif dengan seribu satu perasaan, dia tidak mahu terserempak dengan Hakimi lagi. Cepatlah lif!

Aifa terus sahaja menapak masuk ke dalam lif apabila pintunya terbuka. Belum sempat pintu lif tertutup rapat, ia kembali terbuka. Aifa mengeluh, pasti ada orang yang menekan dari luar! Buntang matanya melihat sesusuk tubuh yang sedang melangkah masuk ke dalam lif. Hakimi!

Ah, cepatlah masa berlalu! Aifa kian resah, dia terasa seperti mahu keluar dari lif itu sekarang juga dan dia sanggup menunggu lif yang seterusnya. Duduk bersama-sama Hakimi di dalam satu lif di saat mereka mempunyai konflik adalah sesuatu perkara yang di luar jangkaannya.

Prangg!!!

Aifa terasa lif yang mereka naiki bergegar hebat dan serentak itu lampu turut terpadam. Aifa kaget, kenangan lama kembali menghantui mindanya.

“Ibu!” Jeritnya sekuat hati.

“Kenapa dengan kau ni? Menjerit mengalahkan budak kecil. Relax, lif rosak aje pun. Menggelabah mengalahkan orang yang kena hukuman bunuh.”

“Ibuuuu..” Suara Aifa kian perlahan dan yang pasti kian sayu. Dahinya sudah berpeluh-peluh, kenangan lama kembali bertamu di mindanya. Air matanya sudah mula menitis dan kian lama air matanya kian lebat.

“Ibuuuu..Aifa takut.” Rintih Aifa lagi.

“Kau diam boleh tak, macam budak kecil asyik-asyik menangis aje.” Hakimi kian berang, hanya kerana terperangkap di dalam lif, Aifa menangis bagaikan terperangkap di gua yang tidak berpenghuni.

Tanpa mempedulikan Aifa, dia berjalan menuju ke dinding lif dan menekan butang kecemasan. Hakimi berdoa agar bantuan akan tiba sebentar lagi.

Aifa menutup kedua-dua telinganya dengan telapak tangan, kenangan itu kembali menghantuinya. “Jangan ganggu aku, pergi. Pergi!” Jeritnya ketakutan.

Hakimi cuba mendekati Aifa, dia terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan Aifa. Secara tiba-tiba Aifa menjerit seperti itu?

“Aifa, kau okey ke?”

Tanpa kata kakinya dipeluk Aifa, dapat dirasakan tangan Aifa yang sedikit menggigil.

“Aifa, kau okey ke?” Hakimi bertanya buat ke sekian kalinya, risau juga dia melihat keadaan Aifa.

“Ibu, jangan tinggalkan Aifa, Aifa takut bu.”

“Aifa, ni akulah Kimi.” Hakimi cuba menjarakkan dirinya daripada Aifa, dia cuba menarik kembali kakinya. Aifa bagaikan tersedar apabila Hakimi bersuara lantang, dia sedar di hadapannya kini bukanlah ibunya tetapi Ikmal Hakimi.

“Ja..jangan tinggalkan saya Kimi, saya takut.” Suara Aifa kian sebak, dia bagaikan sukar untuk menyusun kata.

“Awak ni kenapa Aifa? Tiba-tiba aje jadi macam ni? Lepaskan kaki sayalah.” Hakimi cuba berlembut.

“Tak nak, saya takut. Jangan tinggalkan saya. Tolonglah.” Rayu Aifa lagi, dia takut peristiwa lama berulang kembali.

AIFA meraba-raba kawasan di sekitarnya, dia cuba mencari Aizam. Sewaktu menghabiskan kerja sekolah, secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Sudahlah ibu dan ayah tiada di rumah.

“Abang di mana?” Jerit Aifa.

“Ada di sini. Kejaplah abang nak cari lampu suluh.”

“Jangan, Aifa takut! Jangan tinggalkan Aifa.”

“Abang cari lampu suluh kejap aje, cuba Aifa duduk senyap-senyap. Nanti abang datang. Abang janji, kejap aje abang cari lampu suluh.”

Aifa berpura-pura tenang, dia masih duduk di atas sofa, setia menanti Aizam. Manik-manik peluh di dahi dikesat, dia sendiri tidak tahu peluh itu terhasil kerana panas atau kerana dia sedang bimbang kini. Andai punya alat untuk mengukur tahap kebimbangannya pasti alat itu akan menunjukkan bacaan paling tinggi.

Aifa kian resah, rasanya sudah lama dia menunggu abangnya. Sudahlah persekitarannya gelap, di tambah pula waktu malam sebegini.

“Aifaaaa…”

Kecut perut Aifa mendengar namanya dipanggil, rasanya itu bukan suara abangnya. Aifa memejamkan mata, enggan melihat sekeliling. Matanya ditutup lama, setelah yakin tiada lagi suara yang memanggilnya, Aifa kembali mencelikkan matanya.

Tegak bulu romanya apabila matanya menangkap kehadiran ‘sesuatu’ di hadapannya. Semuanya putih!

“Ibuuuuuuuuuuuu!” Jeritnya sekuat hati. Aifa dapat merasakan degupan jantungnya kian berdegup kencang. Dia kembali membuka mata dan bayangan makhluk putih masih di situ. Aifa menjerit lagu sehinggalah dia rebah tidak sedarkan diri.

RENIK peluh di dahi Aifa kian hebat, dia gelabah dan takut peristiwa lama berulang kembali.

“Aifa, awak okey ke ni?”

Aifa menggeleng-gelengkan kepalanya. Cukuplah sekali dia terkena. Biarpun bayangan makhluk putih itu hanya lakonan abangnya tetapi peristiwa itu melekat di mindanya sehingga menyebabkan dia trauma dengan gelap.

Pandangan mata Hakimi masih tidak berganjak daripada memerhatikan tingkah laku Aifa. Pelik benar dia melihat gadis itu, selalunya gengster mengalahkan Ah Long mengutip hutang tetapi kini pengecut bagaikan kanak-kanak berusia setahun yang ditinggalkan keseorangan.

“Awak ni kenapa? Boleh lepaskan kaki saya tak? Saya dah kebas ni, saya nak duduklah.”

Hakimi melepaskan keluhan berat apabila Aifa enggan melepaskan kakinya, tanpa kata dia merentap kakinya sehingga pegangan kuat Aifa terlerai. Dia menjauhkan diri daripada Aifa.

PleaseKimi, jangan tinggalkan saya seorang. Saya takut, tolonglah. Nanti makhluk tu datang ganggu saya.” Aifa merayu.

“Apa yang awak merepek ni? Sudahlah malas nak layan.” Hakimi bersandar di penjuru lif, dia mahu menjauhkan diri daripada Aifa. Jika tidak pasti kakinya menjadi mangsa Aifa. Dia memejamkan matam cuba menenangkan hati.

Telinga Hakimi dapat menangkap tangisan Aifa yang kian menjadi-jadi. Rasanya Aifa tidak main-main kali ini, dia bagaikan takut dengan situasi sekarang. Aifa takutkan gelap ke? Persoalan itu yang bermain di mindanya kini.

Hakimi menyusun langkah mendekati Aifa, dia mengambil tempat di sisi gadis itu. “Okey, saya temankan awak di sini.” Hakimi berjanji.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.