Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,034
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 24
AIFA menghempaskan badannya di atas sofa. Penat! Ya itu yang dirasakan sekarang. Baru kini dia tahu susah untuk menguruskan tapak projek. Saat ini mindanya menangkap sebaris nama Ikmal Hakimi. Selalunya lelaki itu yang menemaninya ke tapak projek, malah mamat sengal itu yang acap kali membantunya ketika dia berada di tapak projek. Alahai, Hakimi! Apa khabar dia sekarang? Bagaimana keadaan dia sekarang? Masih terukkah keadaan dia ataupun sudah kembali pulih. Apabila difikirkan kembali menyesal juga dia mengenakan Hakimi seperti itu. Letih juga buat kerja seorang diri seperti tadi. Mulanya dia mahu ke tapak projek dengan Amira, tetapi di saat-saat akhir Encik Fitri mengarahkan Amira ke Puchong, jadinya dia perlu ke sana sendirian.

“Menungkan apa tu? Lambat balik hari ni?”

Aifa tersenyum kecil kepada abangnya tetapi mulutnya masih terkunci, malas mahu berbicara.

“Kenapa tiba-tiba Aifa hilang suara ni? Takkan sebab Kimi MC baru sehari Aifa dah hilang mood, hebat juga penangan Kimi ni ya? Itulah waktu Kimi elok aje temankan Aifa di pejabat, Aifa cari pasal. Sekarang ni siapa yang susah?” Aizam tertawa kecil, tetapi tawanya itu menyakitkan hati Aifa. Dia bagaikan dapat menangkap bisikan hati Aifa.

Aifa menjeling Aizam, andai sahaja tenaganya masih banyak tika ini mahu sahaja dia membelasah abangnya sehingga patah riuk. “Apa kena-mengena dengan Kimi pula ni? Aifa boleh aje buat kerja sendiri.” Bohongnya lagi. Aifa Nabila tidak boleh kalah! Tidak sama sekali dia akan mengaku bahawa dia penat hari ini.

“Betul ke? Muka macam penat aje. Jangan nak tipu abanglah.” Duga Aizam lagi, mata Aifa direnung cuba mencari jawapan.

“Abang ingat Aifa ni kak Maz ke nak renung macam tu?”

“Eh, ke situ pula!”

“Sudahlah, Aifa nak naik bilik dulu, nak mandi. Panas la!” Aifa lantas bangun mencapai beg tangannya.

“Ibu ajak makan dulu.”

Langkah Aifa terhenti saat mendengar perkataan ‘makan’. Perutnya sudah membuat orkestra, berbunyi sakan. “Makan? Jom, Aifa memang lapar ni.” Aifa meletakkan kembali beg tangannya di atas sofa. Dia terus sahaja menyusun langkah ke dapur tanpa menghiraukan Aizam yang asyik memerhatikan gelagatnya.

“Tadi kata nak makan dulu.” Aizam mengingatkan Aifa, rasanya adiknya tadi beria-ria mahu mandi tetapi apabila mendengar perkataan ‘makan’ adiknya itu bagaikan dipukau, terus sahaja melangkah ke dapur tanpa sempat membuka tudung.

“Tak seronoklah mandi waktu perut berkeroncong, nanti lepas makan Aifa mandilah.”

Aizam turut membuntuti langkah Aifa, nampak sangat adiknya itu telah diserang oleh ‘encik lapar’. “Bukan sebelum ni Aifa cakap tak boleh makan sebelum mandi ke? Katanya nanti perut buncit.” Aizam mengenakan adiknya, itulah kata-kata yang sering diguna pakai oleh Aifa. Pantang betul Aifa seandainya makan sebelum mandi, boleh membuatkan perut buncit katanya.

“Tak salahkan kalau sesekali kita langgar pantang yang dibuat oleh diri kita sendiri? Tak dosa pun, betul tak?”

“Errr..” Aizam terdiam, serius benar adiknya petang ini. Lain dari yang lain, nampaknya ada sesuatu yang tidak kena.

AIFA mengeringkan rambutnya yang basah sambil matanya terpaku pada kaca televisyen. Diamendengus apabila telefon bimbitnya berbunyi, waktu dia sedang berehat ada sahaja orang yang mahu mengirimkan khidmat pesanan ringkas kepadanya. Dia menyusun langkah lantas mengambil telefon bimbit yang diletakkan di atas katil. Aifa menjerit geram apabila melihat nama Hakimi yang terpapar pada skrin telefon bimbitnya. Andai sahaja itu telefon mainan, rasanya sudah lama gajet itu berderai dihempas ke lantai. Tetapi apabila memikirkan harga gajet itu yang mencecah ribuan ringgit, rasanya tidak berbaloi sama sekali dia merosakkannya kerana geramkan Hakimi.

“How’s today? Okey ke bila aku tak MC? Ataupun kau mula rasa kepentingan aku?”

“Hei, sudahlah salam pun tak tahu nak bagi tiba-tiba kau fire aku pula! Memang tak ada sivik betullah mamat ni, nama aje pakai kereta Honda Civic tapi hampeh, kesedaran sivik tak ada langsung.”

“Kau ni belajar mana tiba-tiba aje serbu orang? Salam pun tak tahu nak bagi, tiba-tiba aje serang orang. Lain kali pakai helmet dulu sebelum serbu orang. Kau jangan perasanlah, aku boleh aje kerja sendiri.”

Aifa membalas sms Hakimi. Dia akhirnya tertawa sendiri, betapa hipokritnya dirinya. Kata hati dia sukar bekerja seorang diri, rasanya dia lebih selesa andai Hakimi ada bersama tetapi lain pula tangannya menaip pesanan buat lelaki itu. Apa dah jadi ni Aifa?

Aifa kembali duduk di atas katil selepas menutup suis televisyen. Ada baiknya dia melayan rakan FB atau twitter. Belum sempat dia menghidupkan komputer riba berjenama Toshiba miliknya, telefon bimbinya kembali berbunyi.

“Betul ke? Aku dapat maklumat kau teruk juga hari ni kerja seorang diri! Itulah waktu aku ada kau tak nak hargai, sekarang ini kau tanggunglah!”

Aifa tertawa sendirian, rasanya tidak benar andai dia mengatakan si Hakimi perasaan kerana telahannya benar, cuma dia sahaja yang tidak mahu mengaku.

“Malas aku nak layan orang perasan macam kau. Rasanya lebih baik aku tidur daripada melayan kau.”

Send! Aifa tertawa sendiri, malas dia mahu melayan kerenah Hakimi. Ada sahaja yang mahu digaduhkan.

“Kalau dulu kau pengsan sebab tak cukup tidur, tapi esok aku tak nak dengar kau berat kepala sebab terlebih tidur pula. Sekarang baru pukul 9.30 malam.”

Aifa meletakkan kembali telefon bimbitnya di atas katil. Dia sudah malas untuk melayan Hakimi. Biar sahaja sms tu tidak dibalas. Aifa kembali tersenyum saat melihat nama ‘Insan Biasa’ muncul di chat box. Belum sempat dia menegur, rakan barunya sudah menegur terlebih dahulu. Rasanya lebih baik dia melayan Insan Biasa daripada melayan manusia luar biasa seperti Hakimi. Ya, Hakimi memang luar biasa, rasanya wayar dalam otaknya sudah tercabut kesemuanya!

Previous: Bab 23
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.