Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,112
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 5
AIZAM merenung tajam ke arah Aifa, geram dibuatnya kerana baru hari pertama Hakimi sampai ke sini sudah dibuat musuh. Sedangkan petang tadi Aizam sempat berbual dengan Hakimi, rasanya dia orang yang baik.

“Kenapa dengan Aifa ni? Ingatkan dah insaf, nak ke nanti orang cop Aifa minah gengster a.k.a minah ganas?”

Aifa berpura-pura membelek majalah Remaja yang terdapat di hadapannya. Dia malas mendengar bebelan Aizam a.k.a neneknya itu.

“Tengok tu, orang nasihat dia buat tak tahu aje.” Aizam merampas majalah yang masih dalam pegangan Aifa. Terkejut Aifa dibuatnya. Sesedap hati sahaja merampas majalah yang dipegangnya! Rasanya tak lama lagi ceramah percuma abangnya akan bermula. Alahai, sabar ajelah!

“Aifa nak baca majalah tu.” Aifa mendengus kuat. Dihentakkan kaki pada lantai rumah.

“Macam budak-budak!”

“Biarlah!” Aifa menjawab sepatah.

“Tapi budak-budak tak gengster dan budak-budak tak akan mandikan orang waktu malam macam ni.”

Aifa terdiam, bagai ada batu besar yang menghempapnya sekarang. Benar-benar dia terasa!

“Mamat sengal tu memang perlu diajar, dia menyanyi lagu untuk perli Aifa lepas tu dia cakap Aifa ni tak bermotivasi. Ada ke patut?” Aifa membela diri, dipalingkan matanya ke arah televisyen. Dia malas mendengar bebelan Aizam yang asyik menangkan mamat sengal itu! Abang dah jatuh hati dekat mamat sengal tu agaknya.

“Aifa yang mula cari pasal dengan dia petang tadi. Memang patutlah dia buat macam tu.” Aizam masih membela Hakimi. Pada firasatnya, Aifa marahkan Hakimi bukan kerana peristiwa tadi tetapi kerana kisah hidup Aifa. Ya, kisah pahit hidupnya!

“Bela dia banyak-banyak lagi. Pergi duduk dekat rumah dia, sayang dia sangatlah tu sampai bela dia. Siapalah Aifa ni? Tak ada orang nak bela Aifa. Abang asyik sebelahkan dia aje.”

“Abang tak sebelahkan dia, cuma abang kasihan tengok dia. Aifa, sedar tak yang petang tadi Aifa dah cari gaduh dengan dia? Rasanya elok aje dia cakap Aifa tapi balasan Aifa kasar. Jangan ingat abang tak tahu benda yang jadi petang tadi. Dia okey, cuma Aifa aje asyik nak cari musuh nak ajak gaduh. Pula tu asalkan cari musuh aje, cari lelaki. Ada maksud lainlah tu? Tersayang nanti baru tahu.” Aizam sengaja menyejukkan hati Aifa, takut juga andai adiknya itu merajuk, muncungnya itu sudah boleh dibuat ampaian baju.

“Yalah tu.” Mulut Aifa sudah mula muncung. Aizam tersenyum kecil, teorinya menjadi! Mulut adiknya sudah muncung sedepa, merajuk lagilah tu. Aduhai, kalau tidak merajuk bukan Aifa namanya!

“Asyik-asyik panjang sedepa aje mulut Aifa tu, dah rupa Donald Duck. Merajuklah banyak-banyak nanti cepat tua.” Tawa Aizam akhirnya terburai. Aifa pula sudah tidak senang duduk, tangannya terasa gatal seperti mahu menumbuk seseorang. Sesedap hatinya sahaja menyamakan mulutnya dengan mulut Donald Duck. Memang mulut abangnya itu tiada insurans!

“Apa abang cakap? Nak kena ni!”Aifa menghampiri Aizam, bantal kecil di sofa dicapainya.

“Sudah-sudah nanti pecah bantal rumah ni.”

“Aifa bagi betul kang!” Aifa mengugut, bantal kecil itu sudah diangkat tinggi.

“Okey, abang mengalah.” Aizam tertawa kecil. Adiknya itu pantang diajak perang, mahunya esok mereka perlu bergotong-royong membersihkan rumah andai Aifa mula ‘berperang’. Bukannya dia tidak pernah melalui saat membosankan itu, seharian mereka perlu membersihkan rumah kerana mereka memecahkan bantal sehingga kekabu berselerak di atas lantai. Sudahlah didenda membersihkan rumah, mereka diberi ceramah percuma pula! Terpaksalah mereka menadah telinga.

“Tahu pun takut.” Aifa menukar tempat duduk. Dia mengambil tempat disofa yang bersambung tiga. Sengaja dia ingin berbaring sambil menonton televisyen.

“Dahsyat juga kalau Aifa gaduh ya?” Aizam mengutarakan ayat ‘skemanya’ itu. Macamlah dia tidak pernah melihat adiknya itu berperang sebelum ini!

“Macam baru sehari abang kenal Aifa?”

Aizam tersengih, terkena juga dia kerana bertanya soalan yang sudah ada jawapannya. Aizam memberikan kacang goreng kepada Aifa, sambil menonton seronok juga mengunyah.

“Eh, dah dekat pukul 11 malam. Cepatnya!” Aifa terkejut melihat jam di dinding.

“Memanglah Aifa perang dengan mamat sebelah tu pun dah lama.”

“Sekali lagi abang sebut pasal mamat sengal tu, Aifa mandikan abang dengan air panas yang baru mendidih. ” Aifa pantas mengatur langkah ke bilik, semakin dilayan abangnya itu semakin menjadi-jadi nanti.

AIFA bangun awal pagi itu. Dia sudah berjanji dengan abangnya untuk bersenam. Aifa menuju ke meja makan. Ibunya sudah menyediakan mee goreng. Aduh, bertambahlah kalorinya!

“Makan dulu baru bersenam, nanti pengsan pula.” Puan Anisa menyendukkan mee goreng untuk Aifa.

“Mana abang?”

“Tengah siap.”

“Kalau abang siap mengalahkan pengantin.” Tambah Aifa.

Puan Anisa tertawa. Ada-ada sahaja kerenah anak bongsunya itu!

“Kutuk abang, tak jadi pergi bersenamlah!” Aizam yang baru turun dari biliknya mendengar perbualan ibu dan adinya.

“Merajuk aje kerjanya. Buruklah lelaki merajuk!”

Aizam tidak melayan Aifa. Malas dia mahu memanjangkan gaduh-gaduh manja dengan adiknya itu.

“Kak Maz tunggu kita di sana ke?” Aifa bertanya. Air di dalam cawan dihirup sedikit.

“Siapa kak Maz? Kita berdua aje kan?” Aizam mengenyit mata pada Aifa. Adiknya itu sudah tua agaknya, baru sahaja mereka berpakat semalam agar tidak memberitahu ibu yang mereka akan bersenam bersama-sama Mazliana, tetapi pagi ini adiknya sudah lupa. Nampak sangat adiknya itu sudah tua.

“Oh, berpakat nak sorokkan daripada ibu ya!”

“Aifa ni memang suka bergurau ibu. Ada aje dia nak kenakan Aizam.”

“Yalah tu, ibu dah pernah lalui ini semua. Jangan nak tipu ibu.”

Aizam hanya tersengih, gara-gara Aifa dia sudah kantoi.

Selepas membasuh pinggan, Aifa dan Aizam bersalaman dengan ibu mereka. Encik Ariff masih tidur, jadi mereka tidak mahu mengganggunya. Aifa mendapatkan abangnya yang sudah berada di pintu. Kasut sukan di atas rak di ambil lalu disarungkan ke kaki.

Aifa membuat fyling kiss untuk ibunya. Puan Anisa hanya tertawa kecil. Aizam memboloskan diri ke dalam perut kereta. Dihidupkan enjin kereta terlebih dahulu.

“Awal keluar minah gengster, nak pergi bersenam ke?”

“Taklah, aku nak ke bulan. Kau tak nampak ke aku pakai baju apa ni?”

Hakimi tertawa, dia sudah terkena! Itulah, cari pasal lagi pagi-pagi.

“Aku ingatkan minah gengster macam kau ni tak tahu nak bangun awal.”

“Aku mesti bangun awal, subuh sekarang awal. Kau bangun lambat ke? Nampak sangat subuh gajah aje ni.” Aifa membalas geram, rasanya mahu dicilikan mulut mamat sengal ni!

“Aku bangun pukul enamlah! Kau nak bersenam ke? Kalau kau bersenam sampai berpeluh macam baru lepas mandi sekalipun, badan kau tu tak akan slim! Gemuk macam tu juga!” Hakimi tertawa sinis. Puan Anisa hanya melihat anak dan jiran barunya itu. Gayanya sedang berbual, dia tidak dapat menangkap perbualan mereka kerana nada perbualan mereka agak perlahan.

“Bersenam untuk kesihatan, itu yang penting. Lagi satu aku rasa kau ni rabun tahap tak terhingga. Orang macam aku kau kata gemuk? BMI aku kurang dari 18.5, jadinya aku kategori kurang berat badan. Kau ni memang dasar sengallah. Harap badan aje tegap, tapi otak tak tegap pun, lembab adalah! Nampak sangat dulu tak belajar Sains.”

“Sedap hati kau aje cakap otak aku lembab! Kau tu gengster, ganas, brutal! Aku rasa tak ada perempuan seganas kau kat dunia ni! Malang lelaki yang dapat isteri macam kau!” Hakimi sudah mula meradang. Semalam dia sudah menceritakan segala-galanya kepada Syafiq, tetapi teman serumahnya itu masih menyebelahkan Aifa. Katanya gadis itu merupakan seorang yang sangat baik. Erk! Memang taklah!

“Oh ya! Tak apalah, sekurang-kurangnya bukan kau lelaki yang malang tu sebab aku pun tak ingin lelaki macam kau! Kalau bagi duit sejuta pun aku tak ingin!” Aifa tersenyum sinis, akhirnya hatinya puas. Dia berlalu ke kereta sambil melambai-lambai mesra kepada Hakimi. Hati Hakimi sudah panas! ‘Dasar minah gengster!’ Malah sebelum memboloskan diri ke dalam kereta Aizam, dia sempat membuat aksi flying kiss kepada Hakimi, sengaja menambah minyak pada kemarahan Hakimi.

“Apa yang dibualkan dengan Kimi tadi?” Aizam bertanya selepas Aifa duduk di tempat duduk sebelah pemandu.

“Biasa-biasa aje.” Aifa memasang tali pinggang keledar. Kereta semakin laju membelah dingin pagi.

“Kalau Aifa berbual dengan Hakimi tak ada maknanya bual biasa-biasa. Mesti gaduh lagi pagi ni.” Aizam meneka, matanya masih tertumpu pada jalan raya.

“Dia yang cari pasal dulu!”

“Aifa sudah-sudahlah tu. Boleh tak kalau Aifa jangan cari pasal lagi dengan lelaki. Ingat sikit, awak tu perempuan, nanti nak bina hidup berkeluarga dengan lelaki juga. Umur makin meningkat, kalau garang macam ni lelaki manalah nak lekat. Garang sangat Aifa ni.” Lembut sekali Aizam memberi nasihat.

“Bina hidup? Tolonglah abang, lelaki semua tak boleh percaya! Harap janji aje manis, tapi hampeh! Tak setia langsung, orang macam ni abang nak suruh Aifa percaya? Sudahlah abang, lelaki semua sama aje. Menyakitkan hati, di mulut cinta konon, belakang kita pasang lagi satu! Itu baru waktu tunang, kalau dah kahwin mahunya dia pasang empat! Sudahlah, malas nak fikir.”

“Aifa sedar tak yang abang ni pun lelaki? Maknanya abang pun tak boleh haraplah ya?”

“Bukan macam tu maksud Aifa. Abang jangan salah faham.” Aifa cuba membetulkan tanggapan abangnya.

“Maknanya, selain daripada abang dan ayah semuanya lelaki tak boleh percaya? Aifa, tak semua lelaki sama. Jangan hanya kerana si Safwan tu Aifa anggap semua lelaki sama.”

“Semua lelaki sama aje abang! Suka menyakitkan hati. Janji hanya di mulut bukan di hati.”

“Maknanya semua perempuan pun samalah ya? Julia bekas kekasih abang tu pernah curang pada abang, dia khianati cinta abang. Maknanya semua perempuan pun samalah macam dia? Suka menyakitkan hati.”

“Apa pula macam tu? Semua perempuan tak sama. Ada aje perempuan yang setia, rambut aje sama hitam tapi hati lain-lain. Abang jangan anggap semua perempuan sama!” Aifa mempertahankan pendapatnya.

“Samalah juga macam abang cakap tadi, semua lelaki tak sama. Jangan sebab bekas tunang Aifa tu curang terus aje Aifa buat kesimpulan yang semua lelaki ini sama. Aifa, tolonglah bagi kesempatan pada diri Aifa untuk terima cinta lagi, jangan sebab seorang lelaki Aifa jadi macam ni. Rugi aje dia seronok dengan perempuan lain tapi Aifa pendam rasa, benci setiap lelaki! Ingat pesan abang ni dik, abang sayangkan Aifa, tolonglah jangan terus seksa diri, Aifa berhak hidup bahagia.” Aizam memandang sekilas wajah adiknya itu. Aifa hanya menundukkan wajahnya, dia cuba memamah setiap butir nasihat abangnya.

“Terima kasih abang.”

Aizam menghadiahkan senyuman buat adik kesayangannya. Aifa pula hanya diam seribu bahasa, dia melayan perasaannya yang sudah bercampur aduk. Entah berapa lama dia dalam keadaan sebegitu dia pun tidak pasti.

“Jom kita dah sampai.”

“Eh, cepatnya! Tak sedar pun kita dah sampai.” Aifa menanggalkan tali pinggang keledarnya.

“Mahunya tak sedar, orang itu asyik melayan perasaan aje.” Aizam mengenakan Aifa. Lengannya dicubit oleh Aifa. Dia hanya tertawa, wajah Aifa yang kembali ceria mendamaikan hatinya. Aifalah racun dan dia jugalah penawarnya.

Mereka keluar dari kereta. Dari jauh Mazliana sudah melambai-lambaikan tangannya. Aizam membalas lambaian tersebut. Senyuman manis Mazliana mendebarkan hatinya, kencang sekali degupannya.

“Seronok nampak! Sampai sini Aifa dengar rentak hati abang tu!” Aifa bergurau.

“Mitos!”

Aizam menarik lengan Aifa agar dekat dengannya. Semakin Mazliana menghampirinya, semakin kencang degup jantungnya. Wajah ayu Mazliana dipandangnya, senyuman manis gadis itu benar-benar membuatkan dirinya tidur tak lena, mandi tak basah dan makan tak kenyang. Oh, cinta!

Previous: bab 4
Next: bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.