Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,113
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 12
AIZAM memandang sekilas gadis di sebelahnya, ternyata gadis itu tidak dapat menyembunyikan gemuruhnya. Pucat sekali wajah gadis kesayangannya itu.

“Jangan risau ya, keluarga Zam okey aje. Asalkan Maz pandai ambil hati mereka.” Aizam cuba meyakinkan Mazliana.

“Jom turun, mereka semua dah tunggu kita tu.” Aizam menghadiahkan senyuman buat Mazliana cuba memberikan semangat.

Mazliana dan Aizam turun serentak daripada kereta. Jantung Mazliana kian berdegup kencang, dipandang Aizam yang berdiri di sebelahnya, cuma meminjam kekuatan. Senyuman lelaki itu seolah-olah menyalurkan kekuatan buatnya. Mazliana mengangguk perlahan menandakan dia sudah bersedia.

Aizam mengeluarkan kunci rumah daripada poket seluarnya. Dia terus sahaja memberi salam selepas membuka pintu rumah.

“Jom masuk.”

Mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah. Mazliana kaget apabila terasa pinggangnya dicucuk daripada belakang., Dia sudah dapat mengagak pasti Aifa yang ingin mengusiknya lantas dipusingkan wajahnya ke belakang. Sah, wajah Aifa yang sedang tersengih memandangnya. Dia mencubit geram pipi adik Aizam itu, geram kerana baru sahaja dia sampai ke rumah itu dia sudah diusik.

“Akak sihat?” Aifa menyalami tangan Mazliana, selepas itu dilaga pipi dengan gadis mulus itu.

“Mestilah sihat, kalau tak sihat masuk hospitallah.” Aizam menjawab sebagai wakil Mazliana

. “Maknanya abang dengan akak ke hospital hari-hari tu sebab sakitlah ya. Abang dengan akak masuk hospital hari-hari jugakan?” Sengaja Aifa menakan pada perkataan ‘masuk hospital’. ‘Abang ingat abang seorang aje boleh loyar buruk, Aifa ni juara bertahan a.k.a maharaja loyar buruklah.’ Hati Aifa tertawa senang.

“Ada aje jawapan budak ni! Ibu dengan ayah mana?”

“Ayah kat atas, ibu tengah masak di dapur.”

“Malas betul anak dara ni. Pergilah tolong ibu di dapur.”

“Ibu dah siap masak, rasanya ibu tengah hidangkan makanan aje tu. Semalas-malas Aifa, malas lagi abang.” Aifa sudah mengeluarkan teorinya. Aizam menjelingnya geram.

“Isyhh budak berdua ni, pantang berjumpa sungguh. Malulah sikit pada Mazliana, harap badan aje besar tapi perangai mengalahkan budak kecil.” Puan Anisa yang baru sahaja melangkah ke ruang tamu terkejut melihat Aifa dan Aizam bercakaran. Memang pantang berjumpa betul kedua-dua anaknya itu!

Mazliana yang sedang asyik memandang telatah kedua-dua beradik itu terus sahaja tergamam sebaik sahaja melihat Puan Anisa berdiri di hadapannya. Tangan wanita itu disalami dan dicium penuh hormat.

“Ini ke Doktor Mazliana yang Aizam selalu ceritakan pada ibu?” Puan Anisa sekadar memerhati gadis mulus bertudung litup di hadapannya menyalami dan mencium tangannya penuh hormat. Sejuk dia melihat kelembutan Mazliana.

“Mak cik panggil Maz aje.” Mazliana membetulkan nama panggilannya, kurang senang dipanggil doktor, terasa terlalu formal.

“Mazliana, Maz. Cantik nama tu, macam tuannya juga.” Ikhlas Puan Anisa memuji. Tersipu-sipu Mazliana kerana dipuji begitu, keramahan Puan Anisa sedikit sebanyak telah menghilangkan gemuruhnya.

“Kucing tak ada pula dalam rumah ni tapi kenapa tiba-tiba aje Doktor Mazliana ni malu-malu kucing pula.” Aifa mengusik Mazliana.

“Kucing tak ada, harimau adalah nak makan Aifa, menyibuk aje.” Tambah Aizam.

“Jom Maz kita duduk, jangan dilayan budak berdua ni. Kalau dilayan sampai esok kita kena berdiri di sini aje.” Puan Anisa menarik tangan Mazliana agar mengikutinya ke ruang tamu. Dia masih belum berkenalan dengan Mazliana lagi. Gadis mulus itu hanya tertawa kecil mendengar gurauan Puan Anisa. Dia sudah tahu kelakuan Aifa dan Aizam apabila kedua-dua beradik itu bertemu. Aifa membuntuti ibunya.

Puan Anisa mengambil duduk di sofa kembar dua dan dia menepuk perlahan sofa di sebelahnya, menyuruh Mazliana duduk di sebelahnya. Tanpa kata gadis itu melabuhkan punggungnya di sebelah Puan Anisa. Tangannya masih kejap dalam genggaman Puan Anisa.

“Maz datang seorang aje ke? Keluarga tak ada yang teman ke?” Puan Anisa memulakan perbualan. Mazliana dilihatnya sebagai seorang gadis yang agak pemalu, mungkin sahaja kerana ini pertemuan pertama mereka.

“Nisa sebatang kara aje mak cik. Nisa anak tunggal, mak dan ayah dah lama meninggal.” Mazliana menjawab, perlahan sekali suaranya, malah hampir sahaja tidak dapat didengar. Dia agak sensitif apabila orang bertanya mengenai soalan ini.

“Maaf, mak cik tak tahu tentang ni. Zam tak pernah cerita pun pada mak cik.” Semakin kuat genggaman tangannya, rasa bersalah meresap ke jiwanya. Andai sahaja dia tahu gadis ini sebatang kara, tidak akan dia bertanya soalan seperti itu.

“Maz dah lama kenal dengan Zam ke?” Sambung Puan Anisa lagi, Cuma mengalih topik.

“Maz baru aje kenal Zam dalam setahun.” Jujur Mazliana mengaku, rasanya tidak perlu dia membohongi wanita di hadapannya. Aifa dan Aizam hanya menjadi penonton yang setia.

“Terus terang mak cik cakap yang mak cik berkenan dengan Maz, lembut aje orangnya. Pandai Zam pilih.”

Mazliana tersipu-sipu, pasti wajahnya sudah merona merah. Wajahnya ditundukkan sedikit, tidak berani untuk bertentang mata dengan wanita di hadapannya. Andai sahaja dia punya kuasa untuk menghilangkan diri pada saat ini, pasti sahaja dia menggunakan kuasanya itu untuk menghilangkan diri daripada renungan Puan Anisa. Malunya usah disebut.

“Bila mak cik boleh bawa rombongan meminang?” Tanpa lapik Puan Anisa bertanya soalan kepada Mazliana. Soalan itu benar-benar membuatkan Mazliana terkejut! Sama sekali dia tidak menduga ibu Aizam akan bertanya soalan itu kepadanya. Dia fikir kehadirannya pada hari ini sekadar untuk berjumpa dan berkenalan dengan keluarga Aizam. Tetapi sekarang ini lain pula jadinya.

“Wah, tak lama lagi Aifa dapat kakak iparlah ya!” Aifa benar-benar teruja dan selebihnya dia ingin mengusik gadis itu. Kian lama dia lihat rona merah wajah gadis itu semakin ketara. Aizam mencucuk pinggang Aifa menghantar isyarat agar diam.

“Oii mak kau kena cucuk!” Latah Aifa berjaya meletuskan tawa Mazliana.

“Aifa pergi bancuh air, lepas ni kita makan sama-sama.” Arahan Puan Anisa membuatkan mulut Aifa muncung sedepa. Dia baru sahaja berangan-angan untuk mencuri-curi dengar perbualan ibunya dan Mazliana.

Aizam mengangkat ibu jarinya kepada Aifa menunjukkan isyarat ‘best’.

“Jangan asyik nak usik adik! Zam pun pergi bantu Aifa.” Puan Anisa yang perasan Aizam sedang mengejek adiknya terus sahaja menyuruh anak lelakinya itu membantu Aifa di dapur. Mazliana hanya tersenyum kecil, terhibur jua hatinya melihat telatah keluarga bahagia ini.

“Ala ibu, Zam tak ada kena-mengena pun. Kenapa Zam kena sama?”

“Sudah, pergi tolong Aifa.” Puan Anisa memberi kata putus.

“Dah lama sampai ke Maz?” Encik Ariff yang baru sahaja turun menegur.

“Baru aje pak cik.” Mazliana menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat kepada Encik Ariff, rasanya tidak perlulah dia menyalami tangan lelaki itu kerana mereka masih bukan mahram.

“Maaflah, pak cik ada kerja sikit kat atas tadi.” Encik Ariff melabuhkan punggungnya di sofa.

“Pak cik sihat?” Ramah Mazliana bertanya. Baru kelmarin Aizam memberitahunya bahawa Encik Ariff demam.

“Macam inilah orang tua-tua Maz. Sakit demam biasa tu adalah. Itupun semalam Aizam dah bising suruh pak cik makan ubat, selagi tak makan ubat membebel aje dia tu, memang turun sebiji perangai ibu dia.” Sempat pula Encik Ariff mengenakan isterinya. Biarpun usia perkahwinan mereka sudah hampir mencecah tiga puluh tahun, namun mereka tidak segan mempamerkan kemesraan di hadapan orang ramai. Kemesraan inilah resipi kebahagiaan rumah tangga mereka.

“Abang ni ke situ pula.” Merah pipi Puan Anisa kerana diusik begitu. Membebel merupakan perkara normal bagi seorang wanita yang sudah berkahwin.

“Memang ayah, Puan Anisa dengan Cik Mazliana sama aje perangainya, kuat membebel. Habislah kita kalau lepas ni Puan Anisa dan Puan Mazliana duduk sekali dalam rumah ni.” Aizam mengenakan ibunya dan Mazliana. Tawa Encik Ariff dan Aizam bersatu.

“Ayah dan anak sama aje, kalau sehari tak kenakan orang memang tak sah! Tengoklah Zam dengan Aifa suka menjawab, suka kenakan orang, kaki loyar buruk semua tu turun perangai abanglah!” Tambah Puan Anisa lagi, dicubit mesra suaminya.

“Zam dengan Aifa mulut pot pet macam bertih jagung ikut sayang juga. Kalau nak tunggu mulut budak berdua ini diam alamatnya tunggu waktu mereka tidurlah. Kalau tidak memang tak senang duduk, asyik nak pot pet aje kerjanya macam ibu dia juga.” Encik Ariff masih belum puas mengenakan isterinya, cubitan isterinya tidak dipedulikan. Seronok benar melihat isterinya itu terkena.

“Ishyy anak dengan ayah ni, tak malu ke dekat Maz? Dari tadi Maz tengok aje.” Puan Anisa mengaitkan nama Mazliana sebagai alasan untuk menutup mulut suami dan anaknya.

“Maz tak kisahlah mak cik, lagipun Maz dah biasa dengan Zam ni, selalu aje dia kenakan Maz. Boleh dikata hari-hari Maz kena. Lagipun Maz seronok tengok keluarga ni, bahagia aje. Maz rasa macam seronok sangat dapat bersama-sama dengan keluarga ni.”

“Lepas ni kalau Maz nak datang ke sini selalu pun boleh. Pintu rumah ni memang terbuka untuk Maz. Datang aje bila-bila masa yang Maz nak, lagipun mak cik rasa macam dah tak sabar nak Maz jadi menantu mak cik.” Puan Anisa kembali memang erat tangan Mazliana, kali ini dia enggan untuk melepaskan tangan gadis itu lagi. Kali pertama memandangnya, dia sudah dapat melihat keikhlasan dalam diri gadis itu. Dia yakin Mazliana mampu membahagiakan Aizam, satu-satunya anak lelaki yang dia punya.

“Terima kasih mak cik, terima kasih pak cik.” Mazliana sudah kehilangan kata, kebaikan keluarga ini benar-benar membuatkan hatinya terharu.

“Apa pula pak cik dan mak cik? Maz panggil aje ibu dan ayah, tak adalah kekok lepas ni.” Encik Ariff menambah. Berderai tawanya dan Puan Anisa melihat wajah Mazliana yang kian merona merah. Malu benar Mazliana!

“Ibu, ayah, Maz jomlah ke dapur. Lupa pula nak jemput. Sebenarnya tadi Aifa dah siapkan air. Waktu Zam ke depan tadi lupa pula nak jemput bila dengar ayah kenakan ibu.”

“Itulah tadi asyik nak kenakan ibu, berpakat dengan ayah sudahnya terlupa semua benda. Jomlah Maz, kita jangan layan sangat ayah dengan anak ni! Kalau tidak makin menjadi-jadi dua beranak ni.” Puan Anisa menarik tangan Mazliana agar mengikutinya ke meja makan. Dia sudah malas untuk melayan suami dan anak lelakinya.

“Ingatkan tak lapar tadi.” Mulut becok Aifa kembali bising sebaik sahaja ternampak kelibat mereka berempat, Rasanya sudah lebih lima minit dia menyuruh abangnya memanggil mereka untuk ke sini.

“Abang kesayangan Aifa yang terlupa nak panggil kami. Boleh pula dia join kami berbual tadi.” Puan Anisa membela diri.

“Abang memang! Jomlah makan, Aifa dah lapar ni!” Aifa menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Encik Ariff mengambil tempat di kepala meja, Puan Anisa pula mengambil duduk bertentangan dengan Mazliana. Saat Aifa terlihat Aizam menarik kerusi untuk duduk di sebelah Mazliana, pantas sahaja dia bersuara untuk menyakat abangnya. Dendamnya harus dibalas!

“Opsss! Abang tok kadi cakap tak sah lagi, jangan duduk sebelah kak Maz. Boleh pandang-pandang, jangan pegang-pegang, duduk renggang-renggang.” Ditekankan pada perkataan ‘duduk renggang-renggang’. Aifa menyanyi lagu Kalau berpacaran buat abangnya dan Mazliana. Puan Anisa sudah menggeleng-gelangkan kepalanya. ‘Kalau dah namanya Aifa Nabila, tabiat mengusik memang tak boleh dibuang.’ Desis hatinya, namun di sebalik semua ini hakikatnya dia bersyukur kerana keluarga hidup dalam aman dan damai. Malah, keluarga mereka pernah memenangi anugerah keluarga bahagia selama beberapa tahun berturut-turut sewaktu hari keluarga anjuran syarikat bekas tempat Encik Ariff bekerja.

Mazliana hanya tersenyum simpul, malu barangkali kerana hari ini dia acap kali dijadikan bahan usikan. Tanpa dipinta, cekap sahaja tangannya menolong Aifa menuang air ke dalam cawan yang terdapat di atas meja.

“Cemburulah tu. Aifa tu pun sama aje, jangan asyik nak cari gaduh aje dengan mamat sengal kang nanti jadi suami baru tahu.” Aizam kembali mengenakan adiknya. Hutang darah dibayar darah, hutang terkena usikan harus dibayar dengan usikan juga. Aizam mengambil tempat di sebelah ibunya.

“Mamat sengal mana pula ni?” Hampir serentak Puan Anisa dan Encik Ariff bertanya.

“Jomlah makan, Aifa dah lapar ni. Ayah bacalah doa makan, perut Aifa ni dah berkeroncong hebat.” Aifa sengaja mencari alasan, sedangkan dia sama sekali tidak mahu ayah dan ibunya dapat menghidu peperangan antara dia dan Hakimi.

Encik Ariff mengepalai bacaan doa pada malam itu. Lauk ayam masak merah, ketam masak lemak, udang goreng, sayur kubis goreng, sambal belacan dan beberapa jenis ulam menjadi santapan mereka pada malam itu.

Pergerakan Mazliana acap kali menjadi perhatian Puan Anisa, penuh tertib gadis itu makan. Hati tuanya benar-benar tertarik dengan perwatakan Mazliana.

“Bila ibu boleh masuk meminang Maz?” Tanpa lapis Puan Anisa bertanya. Terhenti suapan Mazliana saat telinganya menangkap soalan cepu emas itu. Aizam pula sudah tersedak selepas mendengar soalan ‘slumber’ibunya. Nasiblah Aifa menghulurkan air kepadanya .Aifa hanya tersenyum kecil melihat wajah abangnya!

“Maz tak kisah ibu. Kalau ikut Maz tak perlulah buat majlis bertunang, kita terus Nikah aje sebab Maz ni sebatang kara ibu, tak ada orang yang nak bantu Maz.” Mazliana berkata ikhlas, dari kecil lagi dia sudah merancang masa depannya. Andai dia berkahwin, dia tidak mahu majlis pertunangan kerana dia sebatang kara. Ayah anak tunggal manakala ibunya pula anak bongsu daripada dua beradik. Mak longnya itu sudah tidak dapat dikesan. Selepas Dia tamat SPM, mak long mengikut suaminya berpindah ke Pulau Labuan, dia terus terputus hubungan dengan mak longnya itu. Sehingga kini dia tidak pernah bertemu dengan mak longnya.

“Ibu ikut aje yang terbaik untuk Maz dan Zam. Kalau boleh ibu nak cepatkan Zam dan Maz bernikah. Lagi cepat lagi baik, lagipun tak elok ditangguhkan benda baik. Bagi pendapat ibu, kita langsungkan hujung tahun ni pun elok juga.” Puan Anisa memberikan pendapat.

“Anisa, kita makan dulu boleh tak? Benda tu kita bincang lepas makan. Kasihan Zam dan Maz, tak tertelan nasi tu.” Encik Ariff menegur isterinya. Kasihan juga dia melihat Mazliana dan Aizam, biarlah mereka makan dengan tenang.

Previous: bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.