Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,044
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 16
AIFA keluar untuk menghirup udara pagi. Cuti hujung minggu begini sememangnya ditunggu. Kelmarin juga dia sudah berehat sepanjang hari. Dia diberi cuti sakit kelmarin.

“Awal kau bangun.”

Aifa terkejut saat suara itu menyapanya. Aifa tersenyum kepada pemilik suara itu. Dia terhutang budi pada lelaki itu, andai sahaja lelaki itu tidak membantunya, pasti kepalanya terhantuk ke bawah. Menurut Amira, lelaki itu yang menyambutnya sebelum dia jatuh ke lantai kelmarin.

“Saja bangun awal, seronok juga hirup udara pagi-pagi ni.” Aifa berkata ramah. Rasanya inilah kali pertama dia berlembut dengan lelaki itu. Semalam dia sudah berazam, dia tidak mahu berperang dengan lelaki itu lagi. Azamnya dia mahu berkawan dengan Ikmal Hakimi seperti dia berkawan dengan Syafiq. Ada benar kata-kata Aizam, bukan semua lelaki sama seperti Safwan.

“Dah sihat?”

“Alhamdulillah, kepala tak adalah rasa berat macam sebelum ni.” Terang Aifa. Suaranya masih dikawal. Lagipun lelaki ini juga kelihatannya seperti mahu berbaik dengannya.

Hakimi tersenyum. “Tak sangka pula minah gengster macam kau boleh pengsan! Tak rocklah beb!” Hakimi tertawa. Aifa memandang Hakimi dari atas sehingga ke bawah. ‘Tadi baik sangat!’ Desis hatinya. Matanya masih ralit memerhati Hakimi yang lengkap berpakaian sukan. Mungkin sahaja dia hendak ke gymnasium kerana dia memang gemar ke sana sewaktu cuti hujung minggu begini.

“Minah gengster pun orang juga.” Nada suara Aifa masih terkawal. Mungkin sahaja Hakimi ingin menduganya dengan bercakap sedikit kasar.

“Aku tak mimpikan sekarang ni?” Hakimi seolah-olah bercakap dengan diri sendiri sambil menampar-nampar pipinya. Dia melihat Aifa mengerutkan dahinya, pasti gadis itu pelik melihatnya. Tiba-tiba sahaja bercakap tentang mimpi.

“Kenapa?” Tanya Aifa sepatah.

“Selalunya kau ni tak pernah cakap baik-baik dengan aku, ada aje benda yang kau nak gaduhkan. Kenapa tiba-tiba aje hari ini lembut betul suara kau. Kau kenapa? Terkena demam kepialu ke?”

Aifa memandang Hakimi geram. Dia menyabarkan hatinya, mungkin sahaja lelaki itu ingin menduganya. “Cakap lembutlah elok, baru nampak macam perempuan.” Aifa pura-pura tertawa, hatinya kian panas. ‘Orang nak berbaik banyak cakap pula mamat ni!’

“Nama kau Aifa Nabilakan? Kau tak ada kembar seiraskan? Lain betul kau hari ini.” Hakimi memandang Aifa, akhirnya dia tersenyum sendiri. “Alahai minah gengster, tak sangka pula aku yang kau nak berbaik dengan aku. Bagai bulan jatuh ke riba betullah!” Hakimi menghamburkan tawanya.

“Sekarang ni dah siang mana ada bulan!” Tempelak Aifa, dia masih mengawal amarahnya agar tidak meletup di sini.

“Tak sesuailah minah gengster macam kau nak jadi lembut.”

“Hei, kau dengar sini! Aku susah payah nak berbaik dengan kau, tapi kau buat hal dengan aku. Sekarang ni siapa yang cari pasal dengan siapa? Kau jangan ingat aku takut. Aku pun tak inginlah nak berbaik dengan kau. Orang sengal aje suka cari pasal dengan orang lain.” Kesabaran Aifa kian menipis.

“Wah, garangnya! Aku dah cakap tadi orang macam kau tak sesuai nak jadi lembut.” Hakimi sengaja mencurah minyak pada api kemarahan Aifa.

Aifa menjeling Hakimi sekilas sebelum mengayun langkah untuk masuk ke dalam rumah.

“Minah gengster, baru semalam kau minta maaf pada aku, hari ini kau buat pasal balik.” Terhenti langkah Aifa saat itu jua. Badannya dip sing menghadap Hakimi.

“Hakimi, thanks for everything. Kak Amira cakap kau banyak tolong tadi, terima kasih banyak ya. Lagi satu tentang pagi tadi, aku nak minta maaf sangat-sangat.” Hakimi bercakap dalam nada suara yang lembut, meniru gaya Aifa berbicara melalui telefon semalam. Aifa memandang Hakimi, andai sahaja Hakimi itu boleh dimakan, pasti dikunyah lelaki itu saat ini juga!

“Kau ni kenapa? Nak cari pasal dengan aku lagi ke? Semalam aku dah minta maaf, tapi sekarang kau yang cari pasal dahulu. Maknanya bahagian aku dah lepas, aku dah minta maaf tapi semalam dahsyat kau perli aku! Sekarang ni kau pula yang mulakan semuanya. Kau yang cari pasal dulu!” Melenting Aifa apabila mendengar musuh ketatnya mengajuk cakapnya semalam. Dia berpeluk tubuh sambil meminjam badan keretanya sebagai tempat bersandar.

Melihatkan Hakimi yang tersenyum sinis benar-benarkan membuatkan hatinya kian terbakar. Andai sahaja ada penyukat untuk mengukur tahap kebenciannya pada Hakimi pasti sahaja alat itu menunjukkan bacaan tertinggi.

“Kau ingat dengan cara kau bersandar pada kereta macam tu dah macam gengster ke? Tolonglah sikit pun aku tak takut.” Ejek Hakimi.

“Menyakitkan hati aku aje cakap dengan kau ni! Aku ingatkan aku minta maaf semalam semuanya akan baik-baik tapi sebaliknya. Opsss lupa pula aku, mamat sengal mana faham erti maaf.” Nada suara Aifa juga seakan mengejek.

“Kau sakit hati ke? Kau nak ke aku dermakan separuh hati aku pada kau? Untung-untung kita boleh berkongsi hati, romantik gitu! Opsss lupa pula aku, hari itu aku dah berjasa pada kau, kalau aku derma hati maknanya aku berjasa lagilah.” Hakimi mengejek cara percakapan Aifa dengan menyebut ‘opsss’. Melihat muka Aifa yang kian tegang membuatkan hati Hakimi bersorak riang. Suka benar melihat gadis itu marah.

“Berjasa?” Aifa tertawa sinis, sengaja dia meninggalkan persoalan di situ sebelum dia menyambung percakapan. “Aku hargai orang yang berjasa pada aku dan dia ikhlas!” Ditekankan pada perkataan ikhlas.

“Kalau setakat tak ikhlas dan mengungkit depan aku, tak ada guna juga.” Tambah Aifa lagi.

“Kau ahli nujum ke yang boleh nilai keikhlasan orang? Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat. Kau yakin ke yang aku tak ikhlas, kalau betul aku tak ikhlas lebih baik aku biar aje kau tidur atas lantai tu.” Sempat lagi Hakimi menggunakan kata-kata hikmah. Sebolehnya dia mahu berdebat seperti seorang peguam biar musuh ketatnya itu kalah, sesedap hatinya sahaja dia tidak ikhlas!

Aifa menjuihkan bibirnya. “Memang aku bukan ahli nujum tapi kalau orang tu asyik sebut perkara yang dia dah buat, ikhlas ke namanya?” Aifa memandang Hakimi dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Dia benci lelaki itu tetapi terselit juga perasaan terhutang budi. Andai sahaja lelaki itu tidak menolongnya pasti sahaja ayah atau ibunya perlu ke pejabat untuk mengambilnya. Tetapi entahlah perangai lelaki itu benar-benar membakar hatinya!

“Aku tak pernah sebut dan aku tak pernah ungkit. Kau yang buat aku sebut balik! Aku memang ikhlas, biarpun kau tu selalu aje sakitkan hati aku tapi aku ni ada hati perut, aku kesian juga tengok kau! Ingat tak pagi kelmarin waktu aku tanya kau sihat ataupun tak? Waktu tu aku ikhlas tanya kau, aku cakap baik-baik tapi apa yang kau buat? Sebab kepala batu kau itulah kita gaduh. Kalau kau tak melawan, kau cakap baik-baik aku pun tak akan naik angin. Kalau ikutkan hati aku yang memang panas lepas kau gaduh dengan aku, tak ingin aku nak tolong kau! Biar kau tergolek di situ juga. Tapi waktu itu siapa yang sambut kau daripada jatuh? Kalau aku lambat mungkin kepala kau dah kena jahit kau tahu tak? Itu ke yang kau kata tak ikhlas?” Panjang Hakimi berceramah, tercabar egonya apabila Aifa menuduhnya tidak ikhlas. Dia memang pantang andai ada yang menyebut dia tidak ikhlas. Ayah dan ibunya sentiasa berpesan supaya hormatkan orang dan ikhlas dalam setiap benda andai kita mahu orang hormatkan dan ikhlas pada kita.

Hakimi memandang Aifa, dilihat wajah yang sudah berubah riak itu. Ada riak serba salah yang terpamer di wajah gadis itu.

“Aku.. Aku tak cakap pun kau..”

“Apa yang kau tak cakap? Kalaulah aku ada perakam suara dah lama aku rakam, aku tunjukkan pada kau!” Pintas Hakimi, geram juga apabila Aifa seolah-olah cuba menafikan percakapannya.

“Kenapa bising sangat ni!” Tegur Aizam yang berjalan menghampiri Aifa. Dia juga terkejut sewaktu mendengar suara mereka bergaduh, jelas sekali sampai ke dalam rumah.

“Kau orang berdua ni asyik gaduh aje, tak bosan ke?” Tergeleng-geleng kepala Aizam, boleh kena migraine andai selalu dia mendengar pertengkaran adik dan jirannya itu.

“Dia orang ini memang. Kalau bergaduh macam rumah kita kena gempa bumi, bergegar sakan. Tapi kalau berbaik, aku pula pelik tengok. Semalam setiap saat Kimi bertanyakan Aifa, risau katanya Aifa tiba-tiba pengsan! Dia sampai suruh aku call Zam tanya tentang Aifa.” Tambah Syafiq lagi. Dia yang berdiri di tepi pintu tadi secara tidak sengaja terdengar peperangan mereka.

“Kimi suruh kau call aku?” Berkerut dahi Aizam, pelik juga dia memikirkan kata-kata jirannya itu. Kenapa sampai perlu mengambil tahu sebegitu? Sedangkan Hakimi sendiri mendengar penjelasan doktor yang merawat Aifa sebelum dia pulang ke pejabat.

Rahsianya sudah bocor! ‘Tak guna punya kawan, tak boleh harap!’ Hamunnya di dalam hati.

“Apa yang dimalukan Kimi, kalau suka buat aje cara suka! Aku ni wali dia, kalau aku cakap on, kita langsungkan aje.” Tawa Aizam dan Syafiq bersatu.

“Abang jangan nak perasan, ayah wali untuk Aifa.” Potong Aifa sebelum abangnya mengarut yang bukan-bukan.

“Kau orang ni asyik gaduh aje, nanti tersayang baru tahu. Silap-silap rakan serumah aku bawa beg masuk rumah sebelah.” Tambah Syafiq lagi, sengaja menambah perisa pada gurauan Hakimi.

Yes that right, give me five.” Seronok benar Aizam apabila Syafiq berada di sebelahnya.

“Dengan mamat sengal ni? Tolonglah, tak ingin langsung! Kalau Aifa kena tunggu seribu tahun untuk kahwin dengan lelaki lain pun Aifa sanggup. Asalkan bukan dengan dia ni!” Aifa menuding jari ke arah Hakimi.

“Kalau aku pula, aku lebih sanggup tunggu sejuta tahun untuk kahwin dengan perempuan lain daripada kahwin dengan kau!” Hakimi mengajuk kata-kata Aifa, tetapi ditukar pada seribu menjadi sejuta. Biar gadis itu tahu, andai dia tidak sudi Hakimi pula sejuta kali tidak sudi.

“Hei, kau ingat kau bagus sangat ke?” Aifa kembali bercekak pinggang di hadapan Hakimi.

“Sudah-sudah. Tak elok gaduh-gaduh. Hari itu Aifa janji apa dengan Fiq?” Sengaja Syafiq memancing perhatian Aifa daripada terus berperang dengan Hakimi. Dia sudah tahu Aifa pantang berperang dengan lelaki, pasti dia akan hancurkan musuh-musuhnya selumat-lumatnya.

“Janji apa?” Tanya Aifa acuh tak acuh. Perhatiannya masih buat musuh ketatnya. Dipandang Hakimi dengan pandangan tajam.

“Aifa janji nak buat tomyamkan? Upah sebab Syafiq tukarkan tayar kereta.”

“Baru ingat. Kejap lagi Aifa buatkan.” Aifa memetik jarinya seolah-olah baru teringatkan janjinya.

“Ingat tau jangan letakkan makanan laut nanti tak pasal-pasal orang sebelah ni alergik pula.” Syafiq menudingkan jarinya ke arah Hakimi sambil tertawa kecil.

“Kau alergik dengan makanan laut Kimi? Tak pernah cakap pun.” Tanya Aizam kurang percaya. Aifa pula buat muka seolah-olah tidak peduli, dia bukan memasak untuk lelaki itu!

“Macam mana nak cakap, kita tak pernah makan semeja pun.” Balas Hakimi acuh tak acuh. Dia masih panas hati dengan Aifa.

“Okey, Aifa nak pergi beli barang untuk masak tengah hari ni.” Aifa meminta diri, daripada dia terus memandang Hakimi lebih baik dia meminta diri. Tenang sikit hatinya! Aifa teringatkan sesuatu, kunci kereta dan beg duitnya masih berada di dalam rumah.

“Biar abang yang drive,masuk dalam rumah ambil kunci kereta abang.” Langkah Aifa mati sebaik sahaja mendengar arahan Aizam.

“Aifa boleh drive sendiri.” Aifa memandang Aizam, jangan hanya kerana dia pengsan dua hari lepas, lesen memandu keretanya ditarik balik untuk seminggu! Abangnya itu memang, sengaja menempah perang!

“Biar abang yang drive, kalau tak jangan keluar langsung!” Tegas Aizam bersuara. Aifa memandang abangnya, andai suara Aizam sudah berubah tegas, dia tidak mampu melawan lagi.

“Zam nanti jangan lupa beli ubat cirit-birit sekali. Mahunya kau orang sakit perut setahun kalau minah gengster tu yang masak.” Balas Hakimi selamba, tidak dipedulikan jelingan tajam Aifa.

“Kau jangan risau sebab kau tak akan sakit perut, aku nak masak untuk keluarga aku dan Syafiq, bukannya untuk kau.” Bidas Aifa geram. Sebelum melangkah masuk, dia sempat menjelirkan lidah kepada Hakimi.

“Aku masuk dululah.” Hakimi pula meminta diri. Dia terasa bagai ingin mandi sekali lagi walaupun dia baru sahaja mandi. Panas hatinya masih belum berkurangan.

“Kimi.” Langkah Hakimi terhenti saat namanya dipanggil Aizam. Dia memandang Aizam.

“Kalau kau nak jadi adik ipar aku boleh aje. Aku gerenti ibu dan ayah aku setuju.” Sakat Aizam.

“Terima kasih ajelah bakal abang ipar tak jadi.” Ditekankan pada perkataan ‘tak jadi’. Pantas sahaja langkahnya diatur untuk masuk ke dalam rumah, enggan lagi dia dijadikan bahan usikan.

Aizam dan Syafiq hanya melihat pasangan merpati tak sejoli itu melangkah masuk ke dalam rumah.

“Sudah lama aku kenal dengan Kimi, dari zaman universiti lagi. Aku rasa dia jarang bergaduh.” Tutur Syafiq, dia juga hairan melihat rakannya yang selama ini sangat menjaga tutur kata tiba-tiba sahaja berubah, bagaikan sudah mahir di pentas perang mulut.

“Macamlah kau tak kenal Aifa, semua lelaki yang kenal dengan dia mesti pandai gaduhlah! Orang yang selama ini lembut pun boleh jadi juara berperang!” Aizam tertawa, cuba menyembunyikan resah di hati. Hakikatnya dia juga runsing, Aifa memang gemar berperang mulut dengan lelaki!

“Aku ada cara untuk baikkan hubungan Aifa dengan Kimi. Kau nak tolong aku tak?” Syafiq memberi cadangan, apabila terpandangkan kepala Aizam yang sudah terangguk-angguk bersetuju, hatinya berbunga riang. Pantas sahaja dia menceritakan pelannya sebelum mereka terkantoi dengan Aifa dan Hakimi. Rahsia ini tidak boleh sampai ke pengetahuan mereka berdua.

Okay, aku setuju.” Sambut Aizam.

“Rahsia kita berdua aje. Deal?” Tambah Syafiq sambil menghulurkan tangan sebagai tanda perjanjian.

Deal.”Aizam menyambut huluran tangan Syafiq, digenggam erat tangan lelaki itu. Tekadnya Cuma satu dia ingin melihat Aifa melupakan dendamnya terhadap lelaki.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.