Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Alergik Cinta
Aku Alergik Cinta
Ilyana Hani
12/11/2012 22:50:11
200,088
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 1
KAKI Aifa terjengket-jengket menuruni deretan anak tangga, satu persatu. Sangat perlahan kakinya mengatur langkah agar derapan langkanya tidak dapat dikesan. Pagi hujung minggu begini memang sedap untuk berselubung di bawah selimut.

Dia menyembunyikan tubuh di sebalik dinding terakhir yang menghubungkan tangga dengan ruang tamu. Nampaknya keadaan masih selamat, kelibat ibu dan ayahnya tidak kelihatan. Sebenarnya, dia takut andai bertembung dengan ayah dan ibu, mahunya dia diberi ceramah percuma tanpa henti selama satu hari. Masih untung andai sekadar ceramah untuk sehari, andai disambung untuk seminggu? Mahu bernanah telinganya menahan pedih.

“Hoi, terintai-intai tengok apa tu?”

Kaki Aifa terdorong ke hadapan apabila dia disergah dengan kuat begitu. Dadanya diurut perlahan, andai hari-hari disergah begitu pasti jangka hayat jantungnya akan semakin berkurang. Hatinya panas terbakar saat mendengar tawa orang yang menyergahnya.

“Nama aje doktor kan? Tapi kesihatan jantung orang lain tak nak jaga langsung! Kalau Aifa ke serangan jantung tadi macam mana?” Laju sahaja mulutnya membebel.

“Sebab tahu Aifa tak ada penyakit jantunglah abang berani sergah macam tu.” Aizam membalas. Dia sudah tahu alasan Aifa terintai-intai seperti tadi. Pasti takut andai ibu atau ayah menangkap dia terlewat bangun lagi. Memang sudah menjadi kebiasaan adik perempuan tunggalnya itu bangun pukul sepuluh pagi ke atas. Andai wajah Aifa terpacul awal pagi, pasti ada benda yang dia inginkan.

“Mana ayah dan ibu?” Aifa memperlahankan suaranya. Lagaknya seolah-olah sedang berbual kisah rahsia besar.

“Ada di luar rumah tu, tengah siram pokok bunga. Nak diharapkan anak dara dalam rumah ni, memang sampai ke malam pokok bunga tak disiram.” Sengaja Aizam menguatkan suaranya, lagaknya bagaikan seorang guru yang sedang bercakap di hadapan perhimpunan. Sangat kuat dan jelas.

Laju sahaja tangan Aifa menutup mulut abangnya. “Suara tu boleh perlahankan sikit tak? Abang memang sengaja nak bagi ibu dan ayah dengar ke? Sekali lagi abang jerit, Aifa stapler mulut abang.” Ujarnya mengugut sebelum melepaskan tangannya perlahan-lahan.

“Ingat abang takut sangat? Macamlah abang tak tahu, Aifa takut kena bebel dengan ibu dan ayah kan? Sebelum tu, biar abang yang...” Butir bicaranya hanya tergantung sekadar di situ apabila bibirnya kembali dihalang oleh jemari mulus Aifa.

“Diam!” Aifa memberi arahan sebelum dia memaksa Aizam mengikut langkahnya kembali ke tingkat atas rumah mereka.

“Takut?” Suara Aizam kembali bergema, sengaja dia mahu menyakat Aifa yang sedang bercekak pinggang memandangnya. Tetapi gadis itu masih diam tanpa bicara, hanya matanya sahaja yang memadang tepat ke arah tubuh di hadapannya. Lagak garangnya itu seperti pemangsa yang ingin menerkam mangsanya.

“Ibu dengan ayah tak ada di rumah, pergi kenduri rumah kawan ibu pagi tadi.” Aizam memberi jawapan bagi soalan yang telah lama ditanyakan oleh Aifa.

“Kenapa tak bagi tahu awal? Kalau Aifa tahu, macam pelari pecut Aifa turun ke bawah tadi. Tak adalah jadi macam pencuri, terintai-intai nak berjalan dalam rumah sendiri.” Aifa kembali bersuara. Geram rasanya dipermainkan sebegitu.

Aizam tertawa kecil. “Siapa suruh tidur tak ingat dunia? Macam abang tak tahu, melayan novel semalam sampai pukul tiga pagi. Kalau dah bersuami nanti. Mahunya suami Aifa minum air kosong dengan biskut kering aje tau! Entah-entah baru sebulan kahwin dah dapat madu.”

Aifa mencebik bibir, memang kebanyak lelaki begitu. Perkara yang difikir hanyalah tambah kuota. Memang dasar lelaki tak cukup satu. “Madu? Memang orang lelaki macam tu kan? Kalau dapat isteri sempurna macam mana sekalipun, hati tu tetap tak puas. Nak juga tambah cawangan baru.” Sinis dia bersuara.

Wajah gadis di hadapannya dipandang sayu. Nampaknya, dia tersalah membuka topik perbualan. Aifa benar-benar bencikan insan bernama lelaki. Susah benar dia mahu ubah pendirian adiknya yang satu itu. Gara-gara perangai Safwan yang bermain kayu tiga, habis semua lelaki lain dicop tidak setia. Itulah kelemahan adiknya yang sehingga sekarang dia tidak dapat ubah.

“Sampai bila Aifa nak jadi macam ni? Umur Aifa semakin lama semakin bertambah. Saham pula semakin turun, kalau macam inilah perangai Aifa, memang susah lelaki nak dekat.”

“Tak pernah kisah pun kalau lelaki tak nak dekat, lagi bahagia hidup! Kalau setakat lelaki muncul untuk sakitkan hati, lepas tu terus jalan macam tu aje. Lebih baik tak payah! Sendiri itu lebih baik.” Panjang lebar dia berhujah. Biarpun lelaki di hadapanya menggeleng kepala berkali-kali, dia tidak peduli. Pendiriannya tetap sama, apa guna kehadiran seorang lelaki sekadar untuk menyakiti?

“Aifa memang tak nak bagi peluang pada orang lain? Sampai bila Safwan nak jadi bayang-bayang hitam dalam hidup Aifa?”

“Dia tak pernah jadi bayang-bayang pun dalam hidup Aifa. Dia hanya sekadar lelaki yang ajar Aifa maksud sebenar kesetiaan! Aifa patut berterima kasih kepada dia, disebabkan dia Aifa dah mula kenal orang di sekeliling Aifa. Mana yang boleh dipercaya dan mana yang bagi janji sia-sia.” Nada suaranya kian tegang. Sensitif benar andai nama Safwan kembali diungkit.

Aizam mengangkat kedua-dua tangannya, menandakan dia mengaku kalah. Tidak guna dia bertegang urat dengan Aifa mengenai perkara ini. Sudahnya dia juga akan kalah, apatah lagi jika melihat air mata Aifa bergenang andai kembali diungkit mengenai perkara ini. Jadi, sebelum air mata wajah kesayangannya kembali bercucuran, lebih baik dia mengalah.

“Jom, turun makan. Abang dah dengar bunyi okestra dalam perut Aifa.”

Sengihan Aizam berjaya menyejukkan kembali hati Aifa. Itulah kelebihan abangnya, pandai benar dia mengambil hati. “Hebat betulkan kumpulan okestra boleh masuk dalam perut. Kuat betul imaginasi abang.”

“Tak adalah, sebab jelas sangat bunyi perut tu sampai sini abang dengar. Lain kali bangunlah pukul 12 tengah hari, boleh terus brunch.Jimat makanan.”

“Jimat? Bukan membazir ke? Sarapan pagi memang dah disediakan untuk Aifa sekali. Kalau Aifa tak makan maknanya nanti buang membazir ajalah. Lebih baik Aifa makan, betul tak?” Aifa memberi jawapan balas. Mulut abangnya itu bukan boleh dibiar, nanti kelaut jadinya.

“Cubalah belajar bangun awal sikit. Nama aje perempuan tapi bangun lewat! Cubalah tolong ibu kemas rumah ke, sapu sampah ke, basuh baje ke, ada juga faedahnya.” Suara bebelan Aizam kembali bergema, matanya sekadar memandang raut wajah Aifa yang mempamerkan riak bosan.

“Bagilah peluang, dua minggu aje lagi Aifa nak bangun lewat pun. Lepas ni dah kena kerja. Abang lainlah, kerja shif.” Aifa membela diri.

“Ada aje alasan dia nak bagi. Tapi abang nasihat ikhlas, cubalah tolong ibu buat kerja rumah.”

“Okey, Aifa janji mulai esok Aifa akan bangun awal. Bukan setakat tolong ibu buat kerja rumah, tapi Aifa akan tolong ayah sekali susunkan perabot, cat rumah bagi elok, tukar bumbung rumah bagi cantik, semuanya Aifa akan buat!” Tubuhnya diliuk-lentok mengikut gaya membuat kerja. Kalau boleh, semua benda dia mahu senaraikan.

“Lepas tu, Aifa boleh tolong jiran-jiran kita kemas rumah. Nanti Aifa sapu sampah dari hujung lorong rumah kita sampailah ke jalan utama taman di depan. Lepas tu boleh juga Aifa tolong Syafiq sapu sampah rumah dia. Kesian dia, hidup bujang sorang diri tak ada orang nak tolong.” Aifa kembali menghamburkan kata.

Aizam sekadar menggelengkan kepala. Itulah perwatakan sebenar Aifa, mulut tidak ubah seperti bertih jagung dan kuat juga loyar buruknya. “Tapi kan Aifa, sebelum nak buat khidmat masyarakat dekat rumah jiran-jiran, nak sapu sampah dari lorong rumah ke jalan utama, rasanya Aifa kena berlatih dalam rumah kita dulu. Lepas tu baru boleh di tempat lain.”

Jawapan balas Aizam membuatkan wajah Aifa bertukar macam mencuka, malas dia mahu melayan omongan kosong abangnya. “Aifa pergi makan lagi bagus daripada melayan abang. Buang masa!” Terus sahaja dia menapak meninggalkan Aizam tanpa sebarang pamitan. Jika dilayan abangnya itu, semakin parah nanti.

Aizam pula tersengih, suka benar dia melihat wajah masam mencuka adiknya itu! Bukan selalu dia dapat mengenakan Aifa, maklumlah adiknya itu mahasiswa yang tersalah mengambil kursus di universiti dahulu. Dia mengambil kursus kejuruteraan, andai sahaja dia mengambil kursus undang-undang bolehlah dia menjadi lawyer yang bertauliah. Tidaklah seperti sekarang loyar buruk sahaja kerjanya!

Next: bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.